[Dr Abu Anas Madani] Ulasan Buku - Terima Kasih Wahai Para Musuh

Primary tabs

ULASAN SEBUAH BUKU YANG MENARIK – Syukran Ayyuhal A’ada - شكرا أيها الأعدآء

Oleh: Abu Anas & Abu Fatih, Makkah, 20 Zulhijjah 1431H.

Susunan: Fadhilat al-Syeikh Dr. Salman al-Audah*
Syukran Ayyuhal A’ada - “Terima Kasih Wahai Para Musuh”.

Satu tajuk yang bersifat ironik tetapi penuh dengan makna yang tersirat.

Kata pengarangnya: “Betapa aku bergembira dan redha tatkala kepahitan hidup telahku rasai akibat angkara teman-teman rapatku sendiri. Mungkin bagi mereka, aku bukanlah teman rapat yang bersaudara bahkan diriku ini mungkin musuh yang paling dibenci. Tetapi ucapanku bahawasanya mereka adalah teman rapatku adalah benar dan murni. Kerana aku tahu, sesungguhnya perkara yang disepakati antara kami adalah lebih luas dan banyak daripada perkara yang diperselisihkan.”

“Sebuah bandaraya yang cantik tidak mungkin sunyi dari sampah yang mencemar pandangan. Namun, bukanlah suatu kebijaksanaan sampah tersebut dikumpul dalam sebuah bekas lalu dibawa untuk dipertontonkan di khalayak manusia penghuni bandar untuk menyakiti pandangan dan deria bau mereka dengan tujuan menghinakan. Sepatutnya sampah itu terus dibuang dan disembunyikan jauh dari manusia.”

“Kehangatan dan kemanisan iman sepatutnya digunakan sebagai sebuah tenaga yang bersifat positif dalam pembinaan sebuah generasi yang utuh akhlaknya dan tinggi motivasinya. Malangnya kuasa itu telah bertukar kepada kuasa pemusnah masyarakat dengan senjata yang mampu memusnahkan jiwa, menghancurkan peribadi, menjatuhkan maruah diri dan mematikan kehormatan insani.”

Buku ini membincangkan tentang punca-punca pemboikotan yang menjauhkan antara dua sahabat. Sehingga natijah ini menyuburkan rasa benci untuk bertemu dengan saudara sendiri. Ini adalah disebabkan kepada kebiasaannya dalam melontarkan pelbagai persoalan tentang apakah mazhabnya? apakah pula manhajnya? apa pula kumpulannya? siapa gurunya? dan pelbagai lagi persoalan yang terus menjadi punca perpecahan…

Dapatkan buku ini yang diterbitkan oleh islamtoday.net. Sila layari laman web www.islamtoday.net. [Petikan Blog Dr Abu Anas Madani]


[*]Dr. Salman al-Audah merupakan salah seorang pendakwah yang terkenal dalam ilmu-ilmu Islam seangkatan dengan pendakwah tersohor Dr. ‘Aidh al-Qarni pengarang bestseller “La Tahzan”.