SJ-12-0378 : Suami Memaksa Isteri Bersumpah

Primary tabs

2 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-12-0378 : Suami Memaksa Isteri Bersumpah

:salam

Saya menerima dua soalan dalam peti email dari seorang isteri seperti berikut:

******************************** email 1
salam. dalam masa 3 bulan suami saya telah memaksa saya bersumpah untuk mengembalikan kepercayaannya setelah satu tahun kami berumah tanggga. tetapi saya tidak menyatakan kebenaran dalam erti kata lain sya telah menipu untuk menyelamatkan rumah tangga kami.
dalam sumpah ada dinyatakan jika saya menipu dalam sumpah maka akan jatuh talak ke atas saya

adakah talak telah jatuh ke atas sya tetapi suami tidak menetahui saya teah menipu

adakah talak akan berganda jika saya telah bersumpah sebanyak 3 kali dalam masa tiga bulan

selepas kejadin suami ada menyatakan, walau apapun saya tetap iaterinya. adakah itu dikira lafaz rujuk.

kami juga telah beberapa kali bersama adakah telah bersama dianggap rujuk dan adakah sah rujuk dengan perbuatan tanpa lafaz rujuk

mohon penjelasan segera. terima kasih
**********************************************
Email 2:

saya mengandung 7 bulan. sejak awal perkahwinan saya suami tidak memepercayai saya dan dia telah memaksa saya bersumpah yang berbunyi jika sumpah saya tidak benar maka akan jatuh talak satu ke atas saya. Saya telah bersumpah tetapi tidak benar kerana saya berniat saya ingin menjaga dan memperbaiki hubungan rumah tangga saya.dalam masa mengandung ini dah 3 kali suami menyuruh saya bersumpah, saya terpaksa berbohong untuk menjaga keharmonian rumah tangga. walaupun sudah bersumpah tetapi suami masih tidak mempercayai saya.

1)jika isteri yang bersumpah, adakah ini juga dikenali sebagai cerai takliq dan adakah jatuh talak

2) apakah hukumnya bersumpah tapi terpaksa berbohong dengan niat untuk selamatkan rumah tangga

3) adakah sah rujuk sekiranya jatuh talak tetapi kami telah bersama dalam masa idah tanpa lafaz rujuk

mohon penjelasan

Mohon penjelasan dari pihak Ustaz. Jawapan didahului dengan jutaan terima kasih.

:salam

Re: Suami Memaksa Isteri Bersumpah

Wa’alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami telah memanjangkan soalan ini kepada seorang sahabat, Ustaz Ridwan @ Abu Razeen (Jabatan Bantuan Guaman) dan berikut adalah jawapannya :-

1. Mahkamah Syariah atau Hakim adalah pemutus kepada setiap penceraian. Jawapan yang diberikan tidaklah memberi kata putus terhadap masalah yang dinyatakan, tetapi sekadar panduan sahaja.

2. Lafaz yang dinyatakan adalah dalam bentuk ta’lik, atau tergantung atas perbuatan. Maka ia boleh disabitkan sekiranya perbuatan tersebut benar-benar berlaku. Malah ta’liq boleh berlaku jika dikaitkan dengan masa seperti “Engkau tertalak pada bulan September ini. Maka terjatuh talak apabila tiba bulan September. Ta’liq berlaku juga jika dikaitkan dengan kejadian pada isteri seperti “Jika engkau hamil maka jatuh talak”, maka boleh disabitkan apabila isteri itu hamil. [Rujuk Mughni Muhtaj, Sheikh Muhammad Khatib Syarbini, Kitab At-Talaq , m/s 319, jilid 3 Darul Fikr]

3. Dalam pertanyaan, Suami telah berta’lik dengan sumpah isteri jika menipu dalam sumpah maka jatuh talak, isteri telah bersumpah tidak menipu dalam hal keadaan si isteri telah tahu bahawa penipuan memang wujud. Maka jatuhlah talak sebaik sahaja si isteri melafazkan sumpah yang tipu. Lain keadaannya sekiranya isteri itu tidak menipu atau tidak tahu ia telah menipu.

4. Menipu dalam sumpah dengan tujuan untuk menjaga keharmonian rumah tangga, apabila dikaitkan dengan talak, maka ia tetap dihukumkan berdosa kerana ia berlainan dengan helah yang diharuskan oleh sesetengah pendapat ulama’ dalam hubungan suami isteri. Kerana sumpah ini membabitkan sah atau tidaknya hubungan suami isteri selepas ianya dilafazkan . Selain itu dari hukum syara’ Hakim boleh mensabitkan talak tersebut setelah diperiksa keterangan suami dan isteri terlibat.

5. Ta’lik tidak berulang, dalam ertikata lain sekiranya suami melafazkan ta’lik sekali dan sumpah dibuat tiga kali atau lebih maka sabit hanya sekali, berdasarkan nas Khatib Syarbini dalam mensyarahkan kalam Imam Nawawi “wala tikraran illa kullama” [ms.316]. Dalam situasi orang yang bertanya, maka Hakim boleh mensabitkan hanya berlaku satu talak.

6. Tidak sah rujuk tanpa lafaz menurut mazhab syafie, manakala saksi tidak diperlukan kerana di dalam kitab Mughni menyatakan “tidak disyaratkan dengan saksi dan sah dengan kinayah pada pendapat jadid”. [ms. 236]

7. Perbuatan bersedudukan dengan isteri yang telah diceraikan tanpa rujuk yang sempurna dan sah dianggap telah melakukan kesalahan. Ini mengambil kira undang-undang syariah di Malaysia yang berpegang kepada Mazhab Shafie.

8. Oleh kerana itu, menurut seksyen 132(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 : Seseorang lelaki yang, setelah menceraikan dengan sah isterinya, bersekedudukan semula dengan isteri tanpa terlebih dahulu ruju’ yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

9. Soalan ini banyak menimbulkan isu yang wajib diselesaikan melalui Mahkamah Syariah sebelum lebih banyak perkara syubhat membabitkan wati’ syubhah nasab dan sebagainya.

10. Isu pertama mengenai sabit atau tidak perceraian secara ta’lik akibat sumpah tipu. Isu kedua bilangan talak yang telah jatuh akibat berulangnya sumpah yang dibuat oleh isteri. Isu ketiga mengenai status rujuk, adakah memadai dengan perkataan ‘walaubagaimanapun perempuan itu tetap isterinya”

11. Kesemua isu ini walau telah dikupas secara ringkas dengan rujukan kitab Mughni namun masih terikat dengan proses siasatan dan pensabitan oleh Hakim Syarie. Sewajibnya pihak-pihak merujuk perkara ini kepada Mahkamah Syariah sesegera mungkin kerana status persetubuhan selepas ta’lik dilanggar adalah bergantung kepada pensabitan atau tidak lafaz yang dibuat oleh suami.

p/s saya rasa penyoal pertama dan kedua adalah orang yang sama jadi jawapan saya adalah untuk kedua-dua soalan.

Sekian, wassalam

*Jazakallah khairan kathiran Ustaz Abu Razeen

خيرالأمين