Wacana Negara Ideal

Primary tabs

Ahmad Fuad Rahmat | Research Fellow, IRF

Ramai aktivis Islam yang beranggapan bahawa sebuah Negara yang ideal atau Negara Islam itu mestilah sebuah Negara Hukum. Hal ini adalah berdasarkan anggapan mereka bahawa Syari’ah mempunyai penyelesian kepada semua masalah manusiawi, dan ini sudah cukup merangkumi apa yang diperlukan oleh suatu negara.

Dengan kerana itu, sekiranya kita berkuasa maka kita akan dapat melahirkan sebuah masyarakat dan negara Islam yang ideal, kata mereka.

Sesungguhnya pengalaman Republik Islam Iran adalah merupakan eksperimen pertama di mana sebuah negara berkeinginan untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang teguh beragama. Tetapi hakikat yang sebenarnya ialah ia bukan merupakan sesuatu yang amat dihajati ataupun mungkin bagi sesuatu negara itu mewujudkan suatu masyarakat yang teguh beragama.

 

Hal ini adalah kerana sesungguhnya, aqidah dan iman tidak boleh dianyami dengan kekerasan kuasa dan juga kerana kekerasan kuasa itu bukannya cara yang terbaik dalam menganjurkan aqidah dan keimanan.

Persoalannya, adakah sesebuah negara yang membuatkan sesuatu masyarakat itu masyarakat yang patuh beragama ataupun masyarakat yang membuatkan sesebuah negara itu menjadi negara yang ada agama.

 

Matlamat

Pada pandangan saya, Negara yang ideal ialah negara yang:

1. Menegakkan keadilan dan membasmikan penindasan dengan secara yang mendalam,

2.   Menjanakan satu masyarakat yang maju, berpendidikan, bertamadun dan dinamik.

Pendek kata, Negara yang ideal pada saya ialah Negara yang progresif, iaitu Negara yang sentiasa di dalam proses untuk menaikkan taraf hidup, martabat dan kemanusian rakyatnya secara total sebanyak dan sejauh yang mungkin.

 

Demokrasi

Sistem Negara yang paling sesuai untuk mendokong hasrat ini ialah sistem demokrasi.

Negara berdemokrasi ialah Negara yang memberikan, sebagai satu prinsipnya yang asas, kuasa sepenuh kepada rakyat. Kuasa itu mestilah berpaksikan kebebasan dan kesetaraan untuk semua.

Kuasa ini tidak terhad kepada prosedur-prosedur formal seperti pilihanraya atau kebebasan berpolitik. Itu semua hanya means not ends.

Tujuan nilai-nilai Kebebasan dan Kesetaraan itu adalah untuk melindungi rakyat daripada tirani, kediktatoran dan fasisme.

Kebebasan dan kesetaraan, jika di perlihara dengan betul dan telus, boleh menjamin keadilan untuk semua.

Kuasa rakyat ini diperlihara dan dikendalikan di dalam satu sistem yang mempunyai check and balance , dan separation of powers, di mana kuasa itu diamanahkan kepada ahli-ahli politik dan pemimpin supaya mereka bertugas dan berkhidmat di atas nama rakyat dan bukan untuk kepentingan sendiri.

Walaupun kedudukan agama di dalam sistem demokrasi kemungkinan merupakan permasalahan yang kompleks, tetapi mesti ada ruang di dalam negara tersebut yang memungkinkan pengamalan bukan hanya rakyat majoriti yang menganuti sesuatu agama, tetapi juga realiti kebebasan beragama bagi golongan minoriti.

Golongan minoriti sesuatu agama itu bukanlah bermaksud hanya golongan yang bukan Islam tetapi juga golongan minoriti daripada kalangan agama Islam itu sendiri seperti Syi’ah dan Bahai.

Apabila kedua-duanya dapat diamali dengan sempurna maka akan wujud keserasian antara Islam dan Demokrasi. Lalu wujudlah dengan keserasian ini sebuah negara yang adil yang menghormati nilai-nilai kemanusiaan dan kebudayaan yang sihat lagi subur.

 

Pembangunan

Apakah makna dan matlamat pembangunan? Secara asasnya pembangunan ialah gerakan yang sentiasa bertambah baik – pembangunan ialah proses di mana sebuah masyarakat itu saling dan sentiasa mencapai keupayaannya meningkatkan tahap diri dan hidup masyarakat.

Salah satu ciri penting di dalam masyarakat yang progresif dan dinamik ialah kebajikan rakyatnya diperlihara.

Secara idealnya rakyat tidak akan dibebankan dengan kemiskinan, penyakit dan kejahilan. Kebebasan di sini bukan sahaja kebebasan memilih, tetapi kebabasan daripada beban hidup.

Oleh itu, Negara itu harus berusaha untuk menyediakan sebanyak kemudahan yang ada untuk golongan rakyatnya yang memerlukan, di mana kemudahan peribadi dan persendirian tidak didahulukan, atau diistimewakan, daripada kemudahan am dan awam.

Negara tersebut juga akan memberikan perhatian yang lebih sensitif dan mendalam untuk menangani masalah kezaliman dan penindasan – iaitu penindasan daripada segi gender, kaum atau kelas.

Ciri kedua masyarakat progresif ialah masyarakat yang kreatif. Di mana ide-ide original dan baru dapat dilahirkan.

Sebagai satu contoh – kita boleh mengambil iktibar daripada tamadun Islam di Sepanyol dan Baghdad di mana kekayaan, wujud disamping ide-ide dan ilmu baru sehingga menjadi kecemburuan tamadun lain.

Kemajuan itu dinilai bukan sahaja daripada segi material dan hak milik harta benda, tetapi daripada segi ilmu, di bidang akitektur, sains, falsafah, budaya dan sastera.

Satu masyarakat progresif itu bukan sahaja memberi kebebasan untuk menggiatkan ide-ide baru tetapi juga menggalakkannya.

 

Hak

Di dalam rangka ini “hak asasi” ditarifkan daripada segi yang luas – hak dipelihara bukan daripada segi formal – terhad hanya kepada hak bersuara dan berfikir – tetapi hak untuk membangun, hak untuk berpendidikan, hak untuk hidup satu kehidupan yang bermartabat dan bermakna.

Di sini, pendidikan menjadi satu unsur yang penting untuk mengsyorkan pembangunan itu.

Satu sistem yang terbuka, matang, updated dan kritis harus dijanakan oleh badan pemerintah, untuk meningkatkan taraf pendidikan.

Pelajar dan guru akan digalakkan untuk menghadapi soalan-soalan yang kontemporari dan kompleks yang dihadapi oleh masyarakat dan wacana sains sosial dan alam.

Tujuan pendidikan disini ialah untuk membangunkan insan yang bermaklumat dan berperikemanusiaan bukan untuk menarik perhatian atau menjaga hati pelabur asing.

Tujuan pendidikan yang berteraskan pembangunan dan kemajuan ini ialah supaya setiap insan itu boleh memainkan peranannya untuk menjadi rakyat yang matang, berwawasan, bertanggungjawab dan bermaklumat.

Dengan adanya rakyat yang berpendidikan kritis taraf wacana awam mengenai isu-isu semasa dan dasar Negara akan meningkat, dan lebih sukarlah pemerintah berasuah, menipu dan mengelirukan rakyat, atau mengalihkan perhatian rakyat kepada isu-isu yang remeh yang tidak ada kena mengena langsung dengan hal ehwal kemajuan mereka.

 

Sekular

Kerana kebebasan dan kesetaraan didokong sebagai prinsip penting, Negara progresif mestilah terbuka kepada pluralisme dan kepelbagaian di dalam budaya, agama dan cara hidup untuk rakyatnya.

Kesan daripada pendirian itu ialah satu Negara progresif itu mestilah sekular.

Sekular ini bukan bermaksud anti-agama, istilah sekular ini untuk bermakna pemisahan atau penceraian agama daripada hal-hal pemerintahan dan kuasa.

Hal ini juga tidak bermaksud bahawa agama dipinggirkan secara total. Agama boleh hadir di ruang awam dan ruang politk, tetapi undang-undang Negara mestilah menjaga prinsip kebebasan dan kesetaraan untuk semua.

Jadi Negara itu – dan ruang awamnya - tidak boleh di kuasai hanya oleh satu golongan atau agama. Tidak sepatutnya ada golongan seperti Vilayat-i-faqih atau kepimpinan golongan ulama’ semata.

Agama juga boleh diwakilkan di dalam jabatan hal ehwal agama tetapi mereka tiada kuasa yang tersendiri; hanya selaku penasihat kepada pemerintah.

Kesimpulannya ialah nilai dan kualiti sesuatu agama itu tidak tertakluk kepada hasratnya untuk memenangi dan bertanding kuasa.

 

Pluralisme

Prinsip kebebasan dan kesetaraan untuk semua ini diharapkan akan mewujudkan satu masyarakat plural kosmopolitan di mana ruang luahan idea dan cara hidup itu subur, dinamik dan makmur.

Pluralisme secara umumnya menggambarkan penerimaan akan kepelbagaian. Di dalam bahasa politik, pluralisme mewakili kepentingan rakyat sesebuah negara. Kerana itu pluralisme politik adalah salah satu unsur yang sangat penting bagi sebuah negara demokrasi.

Di dalam bahasa politik demokrasi, pluralisme menjadi model yang ampuh bagaimana kuasa dapat diagihkan di dalam sesebuah masyarakat. Di dalam politik demokrasi juga, pluralisme merupakan prinsip yang mengarah dan memungkinkan kewujudan gaya kehidupan dan keyakinan yang pelbagai. Berbeza dengan masyarakat atau negara totalitarian, pluralisme menerima hakikat kepelbagaian dalam kehendak  masyarakat dan mewajibkan ahli masyarakat tersebut untuk menyesuaikan diri dalam sebarang perbincangan yang berlandaskan good faith atau niat baik untuk mencari sebarang penyelesaian.

Di dalam sistem politik demokrasi, ada baiknya terdapat kepelbagaian demi memastikan bahawa tiada golongan yang akan mendominasi sistem politik tersebut. Ia juga akan memastikan bahawa terdapatnya persaingan yang sihat dan tiada dominasi institusi, kaum atau golongan tertentu.

 

Negara Ideal BUKAN Negara Teokrasi

Berdasarkan perbincangan di atas, jelaslah bahawa suatu negara yang ideal itu bukanlah sebuah negara teokrasi maupun negara hukum. Tidak ada seorang manusiapun yang mempunyai hak untuk memaksa manusia lain kepada Islam.

Sebuah kerajaan boleh memaksa rakyatnya untuk membayar cukai tetapi ia tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meniupkan ruh keimanan ke dalam hati rakyatnya. Aqidah dan keimanan lahirnya daripada cinta, dan sesungguhnya cinta tidak mungkin diperolehi secara paksa.

Apa yang perlu dicapai adalah nilai-nilai universal atau sejagat yang dapat diterima oleh semua golongan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Nilai seperti justice atau keadilan daripada segi sosial, ekonomi dan undang-undang, equality atau kesetaraan, good governance atau pemerintahan yang baik, separation of power atau pemisahan kekuasaan dan rule of law atau aturan hukum dan sepertinya.

Sesungguhnya kesemua nilai-nilai ini adalah nilai-nilai yang tidak bercanggah malahan dituntut dalam sebuah pemerintahan Islam tetapi apa yang penting adalah substance atau intipati yang dapat dilaksanakan dalam pemerintahan negara tersebut yang akan memastikan bahawa ia tidak bertukar menjadi suatu negara autokrasi ataupun teokrasi.