000009-SJ-AQIDAH: Sekitar masalah mengenai Ibnu Taimiyah &am

1 post / 0 new
zain-ys's picture
Offline
Joined: 01/01/1970 - 7:30am
000009-SJ-AQIDAH: Sekitar masalah mengenai Ibnu Taimiyah &am

Quote:
Sekitar masalah mengenai Ibnu Taimiyah & imam al-Ghazali
Soalan 1:
Nama Penuh: Abdullah Faqir
E-Mail: [email]saalik_j96@hotmail.com">saalik_j96@hotmail.com
Daerah: Kajang
Negeri: Selangor
Pekerjaan&jawatan/penuntut:2guin penuntut
Majikan/jabatan/univ/sekolah:2guin uniten
Soalan: Saya ada terbaca mengenai soal jawab mengenai adakah Wahabi tergolong dalam Ahlu Sunnah Wal Jamaah..Saya keliru dengan jawapan yang diberi, krn saya ada seorang rakan yang menuntut di luar negara. Dia telah ditarbiyyah oleh seorang pengikut Wahabi, yang telah mendakwa bahawa Allah itu berada di Arasy, bersemayam dengan caranya tersendiri, di langit ke tujuh..

Bukankah ini menyalahi sifat Qiyamuhu binafsih dan mukhalafatuhu lilhawadith pegangan Ahlus Sunnah WAl Jamaah, yang berpegang bahawa Allah tidak bergantung/berhajat kepada dimensi bagi kewujudanNya, agar dia kekal bersifat berdiri dgn sendiri, dan bersalah2an dengan makhluk yang berhajat kepada tempat/ruang/dimensi bagi kewujudannya... bukankah pandangan ini amat bertentangan dengan aqidah kita, dan tidak megithbatkan sifat kamalaat Allah..Jadi apakah komen tuan dalam hal ini?

--------------
Soalan 2:
Nama Penuh: Ahmad Awang
E-Mail: (Lihat: Fathul Majid, Syeikh Abdul Rahman bin Hasan Aali Syeikh, hal. 463, Maktabah Darus Salam- Riyadh)

Fathul Majid adalah sebuah syarah kitab al-Tauhid karya Syeikh Muhamad bin Abdul Wahab.

Di atas, adalah penjelasan mengenai pegangan para salafus soleh dalam memahami ayat al-Quran, "ALlah bersemayam di atas Arasy" (Thaha: 5). Mereka berpegang kepada zahir ayat berkenaan tanpa takwilan.

Maksud perkataan Ummu Salmah: "Bersemayam itu adalah maklum" ialah bersemayam adalah sebagaimana yang kita semua tahu.

Maksud: "kaifiyat adalah tidak tergambar oleh fikiran" ialah, cara bagaimana ALlah bersemayam tidak tergambar oleh fikiran. Ia berbeza dengan makhluk, sesuai dengan sifatnya mukhalafatuhu lil Hawadith. Allah bersemayam dengan cara yang selayak bagiNya. Jika terfikir oleh kita, caranya adalah begini atau begitu, maka itu tidak benar. Jika kita masih dapat menggambarkannya, bermakna Dia masih ada sifat menyerupai makhluk. Maha Suci ALlah dari menyerupai makhlukNya.

Maksud: "berikrar dengannya adalah keimanan" bermaksud, jika kita mengakui bahawa Allah Taala bersemayam di atas Arasy dengan cara yang selayaknya bagiNya (tidak serupa makhluk), maka bermakna kita telah beriman dengan apa yg telah diturunkan olehNya kepada kita.

Maksud: "dan mengingkarinya adalah kufur.", sesiapa yang mengingkari sifat bersemayam ini adalah kufur.

Dari kitab ini juga dipetik perkataan beberapa ulamak salaf seperti imam Malik, Rabi'ah bin Abdul Rahman, Mujahid dll. dengan maksud yg sama dengan perkataan Ummu Salmah. (ibid.)

Petikan di atas adalah dari kitab Tauhid dari aliran salaf. Atau yang ramai menyebut-nyebutnya dengan nama Wahabi.

---------
Berikut ini pula, kami petik dari kitab Tauhid dari aliran Asya'irah yg menjadi anutan majoriti masyarakat Malaysia:
"Sesungguhnya ada perkataan di dalam al-Quran dan Hadis yang menyebut muka dan tangan Allah, maka perkataan itu hendaklah kita i'tikadkan sabit (tetap) secara yang layak dengan ALlah Taala, yang Mahasuci daripada berjisim dan Mahasuci daripada bersifat dengan segala sifat yang baharu. Maka tiada mengetahui akan dia melainkan Allah Taala jua. Demikian inilah perjalanan i'tikad sekelian sahabat dan orang yang mengikut sahabat dan orang yang mengikut orang yang mengikut sahabat, yang dinamakan ulamak Mutaqaddimin." (Lihat: Risalah Tauhid, Abdul Ghani Yahya, hal. 18)

Menurut kitab itu lagi:
"Tetapi ulamak Mutakhirin telah berkata adalah perkataan yang tersebut di dalam Quran dan Hadis mengatakan muka dan tangan bagi Allah itu ialah yang dikehendaki dengan muka itu zat dan yang dikehendaki dengan tangan itu qudrah. Demikian lagi tiap-tiap perkataan yang seumpama itu ditakwil (ditanggungkan) dengan perkara yang munasabah daripada segala sifat yang sabit bagi Allah Taala." (ibid.)

Menurutnya lagi:
"Maka di antara i'tiqad-i'tiqad ini yang lebih sentosa ialah i'tiqad ulamak Mutaqaddimin." (ibid.)

Kesimpulan dari perkataan di atas ialah, para ulamak salaf tidak mentakwil ayat-ayat atau hadis yang mutasyabihat. Sedangkan para ulamak khalaf mentakwilkannya. Manakah pegangan yang lebih selamat? Iaitu pegangan yg tidak mentakwil ayat-ayat berkenaan. Beriman terus kepada apa yang telah diturunkan serta menyerahkan maknanya yg sebenar kepada Allah Taala. Pokok pangkalnya, jika di sebut wajah Allah, maka wajah Allah-lah yang kita imankan. Bagaimana dengan rupanya? Iaitu, yang selayaknya bagi ALlah Taala, serta tidak menyerupai makhluk. Hakikatnya, hanya ALlah sahaja yg mengetahui.

Dan inilah yang dipegang oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rh. Beriman begini sebagaimana para ulamak salaf bukanlah bermaksud menjisimkan Allah Taala, jauh samasekali.

Namun majoriti rakyat, termasuk para ulamak di Malaysia berpegang kepada aliran ulamak Khalaf yang mentakwilkan ayat-ayat berkenaan. Jika Allah bersemayam di atas Arasy, maka ditakwilkannya dengan kerajaan Allah Taala.

Mahu ikut yang mana, itu terpulang...

--------
Masalah: Bukankah ini menyalahi sifat Qiyamuhu binafsih dan mukhalafatuhu lilhawadith pegangan Ahlus Sunnah WAl Jamaah, yang berpegang bahawa Allah tidak bergantung/berhajat kepada dimensi bagi kewujudanNya, agar dia kekal bersifat berdiri dgn sendiri, dan bersalah2an dengan makhluk yang berhajat kepada tempat/ruang/dimensi bagi kewujudannya...bukankah pandangan ini amat bertentangan dengan aqidah kita, dan tidak megithbatkan sifat kamalaat Allah..

Jawapan kami: Berpegang dengan i'tiqad para ulamak salaf bukanlah menyalahi sifat Qiyamuhu Bi-Nafsih. Maksud dari perkataan ini ialah, Allah tidak mengambil tempat untuk berdiri dan tidak berhajat kepada pencipta.

Mengapa tidak menyalahi sifat ini? Para ulamak salaf mengatakan bahawa Allah bersemayam di atas Arasy, tidak serupa makhluk di mana makhluk memerlukan ruang atau tempat utk berbuat demikian. Bagaimana Allah bersemayam di atas Arasy? Itu, hanya Allah Taala sahaja yg tahu caranya. Pokok pangkalnya tidak serupa makhluk dan tidak menyalahi sifat qiyamuhu binafsih (lihat kembali perkataan Ummu Salmah).

--------------------------------------------------------------------------------

Masalah: Ibnu Taimyiah menyalahi empat mazhab
Saya ada terbaca mengenai soal jawab mengenai Ibnu Taimiyyah, yang diajukan oleh seorang pelajar pondok. Saya juga telah membaca semua siri karangan KH Sirajuddin Abbas. Nampaknya pengarang itu juga tidak bersetuju Ibnu Taimiyyah sebagai tergolong dari kalangan ASWJ.
Menurutnya, soal tawassul adalah soal yang besar dalam masalah aqidah kerana ada golongan yang mensyirikkan golongan yang lain kerananya. Adakah hal ini boleh dianggap khilafiah yang boleh tidak perlu dipandang berat, dan tidak perlu dibahaskan untuk mencari yang hak? Pada saya, saya bersetuju dengan pendapat pelajar itu, dan tidak pula bermakna saya menentang Ibnu Taimiyyah habis-habisan.

Jawapan kami:
Memang, kami sendiri mempunyai pengalaman sebagai anak pondok. Memang begitu. Buku KH Sirajuddin Abbas kami pegang dan kami hafal untuk dijadikan sebagai senjata menghentam puak-puak salafi. Namun, apabila sudah agak jauh berjalan, telah ada sedikit sebanyak pengalaman hidup dan ilmu, maka kami lebih mementingkan soal perpaduan dari menitikberatkan soal-soal khilafiyah yg jika diperdebatkan tidak akan berkesudahan.

Dan, memang, KH Sirajuddin Abbas adalah salah seorang anti Ibnu Taimiyah. Dan bukan dia seorang yang tidak setuju dengan Ibnu Taimiyah. Namun, kita biarkan dia.

Soal: soal tawassul adalah soal yang besar dalam masalah aqidah kerana ada golongan yang mensyirikkan golongan yang lain kerananya. Adakah hal ini boleh dianggap khilafiah yang boleh tidak perlu dipandang berat, dan tidak perlu dibahaskan untuk mencari yang hak?

Jawab: Cuba lihat perselisihan pendapat antara mazhab Syafi'i dan mazhab Hanafi.. Dalam satu masalah Syafi'i kata sah, manakala Hanafi kata batal. Begitulah sebaliknya dalam beberapa masalah lain. Adakalanya membabitkan masalah ibadah pokok, iaitu sembahyang. Itu bagaimana? Apakah kita akan mengatakannya sebagai bukan masalah khilafiyah? Jika bukan maslaah khilafiyah bermakna, sembahyang orang-orang Hanafi tidak sah selama-lamanya, kerana wuduk tidak berniat... Perkahwinan orang Hanafi tidak sah selama-lamanya kerana mereka tidak pakai wali... Apakah begitu?

Masalah khilafiyah ialah masalah pemahaman nash atau dalil. Apabila Allah kata: "Dirikanlah sembahyang..." (Al-Nisaa':77) Maka ini adalah dalil yang qath'i. Dilalahnya (penunjukkan dalilnya) bagaimana? Apakah qath'i juga? Jawabnya: Ya.

Oleh itu, mendirikan sembahyang fardu adalah wajib berdasarkan dalil qath'i dan qath'i dilalah (penunjukan dalilnya juga qath'i). Apakah ada ulamak yg mengatakan bahawa ayat di atas menunjukkan bahawa sembahyang fardu itu hanya sunat? jawabnya: tidak ada seorangpun yg membangkang. Jadi, ini bermakna, kewajipan sembahyang telah diijma'kan oleh para ulamak berdasarkan nash ayat di atas. Inilah dia perkara asas, bukan khilafiyah. Ia tidak boleh diingkari.

Ia bermaksud bahawa ada masalah-masalah hukum yang dalilnya adalah pasti (qath'i) dan dilalahnya juga pasti. Dalil tersebut hanya mempunyai satu pengertian sahaja. Hukum-hakam begini tidak punya ruang langsung untuk melakukan ijtihad.

Kita lihat satu contoh lain sebagai perbandingan...
Firman Allah:

Masalah mengenai `lams' yang membatalkan wuduk. Hukum `lams' yg membatalkan wuduk ditetapkan melalui dalil yg pasti (qath'i). Manakala dilalahnya (penunjukan hukum/apa yang dapat difahami dari dalil) adalah tidak begitu. Ia adalah zhanni. Sekalipun dalilnya qath'i tetapi pemahaman mengenainya tidak hanya satu sahaja. Malah bermacam-macam. Ia masuk di bawah nash yang dibenarkan berijtihad di dalamnya. Mengenai ayat Laamastumun Nisaa' , ada yg mengatakannya sebagai jima'. Ada yang mengatakannya sebagai bersentuh kulit. Ada yang menafsirkannya sebagai sentuh dengan syahwat.

Jika perselisihan mengenai masalah tawassul memberi mudarat, maka perselisihan ini juga memberi mudarat. Jika tawassul membabitkan masalah bid'ah dan syirik, manakala di sini membabitkan sah atau batalnya sembahyang. Iaitu perkara kedua dalam rukun Islam. Bukan ini sahaja, malah perselisihan2 lain antara mazhab2 juga memberi mudarat. Dan ini tidak mungkin akan berlaku samasekali. Kerana, ayat di atas atau lain-lainnya, termasuk hadis-hadis, ada yang tabiatnya memang mengundang pelbagai penafsiran. Dan inilah antara sebab mengapa terdapat mazhab-mazhab di dalam Islam, yang pada hakikatnya membawa seribu rahmat kepada umat ini.

Satu contoh, seandainya di dunia ini hanya ada mazhab Syafi'i sahaja, maka setiap kali Ramadhan, kita terpaksa mengusung beras utk membayar fitrah keluarga kita. Jika di dalam dunia ini hanya ada mazhab Syafi'i sahaja, maka sudah tentu kita tidak boleh menjamak-kan sembahyang sekalipun dalam keadaan yang sangat diperlukan. Kalau tidak ada mazhab Hanafi, Hanbali dan Maliki, maka sudah tentu apabila tangan kita berbalut kerana cedera, kita akan terpaksa bertayamum di dalam wuduk kita. Dan tidaklah boleh kita hanya menyapu air di atas balutan berkenaan sebagaimana pendapat 3 mazhab di atas.

Dengan perselisihan2 ini, maka feqh Islami menjadi begitu serasi untuk setiap zaman. Feqh Islami tidak kaku, malah mampu bergerak di mana-mana sahaja. Mazhab-mazhab yg ada di dalam Islam adalah suatu kebanggaan bagi umat ini.

------
Masalah: Apakah di dalam ilmu usuluddin/tauhid terjadi ijtihad dan perselisihan mazhab?
Jawab: Ya, memang berlaku. Salah satu contohnya ialah soal `kasb', iaitu daya dan iktiyar manusia. Pandangan Asya'irah agak berbeza dengan pandangan Maturidiyah (Rujuk kitab-kitab Tauhid mengenainya).. Contoh lain ialah mengenai masalah sifat Wujud Allah Taala, terdapat perbezaan pendapat antara al-Maturidi dan Fakhruz Razi dengan Al-Asy'ari. Apakah ia `ain wujud dan bukan lain daripada `ain maujud ataupun ia adalah `ain maujud? Begitu juga dengan masalah iman orang yang taqlid. Para ulamak ahlus sunnah berselisih pendapat mengenainya, apakah orang seperti ini jadi kafir ataupun tidak? Dan banyak lagi...

-------
Kembali kepada persoalan tawassul pula.. Para ulamak telah bersepakat mengatakan bahawa tawassul itu disyariatkan, cuma caranya bagaimana? Ada cara tawassul yang mereka sepakati dan ada yg mereka perselisihkan. Semuanya bertitik tolak dari pemahaman nash-nash mengenainya. Jadi, ini adalah masalah ijtihadi, bukan qath'i.

Dalam masalah ijtihadi, Dr. Yusof al-Qardhawi mengingatkan agar kita perlu bersikap toleransi terhadap orang-orang yang berbeza pendapat dengan kita selama mereka mempunyai sandaran yang mereka jadikan pegangan serta mereka merasa selesa dan mantap berpegang dengannya. Sekalipun kita berbeza pendapat dengan kita di dalam mentarjih apa yang mereka tarjihkan.

Rashid Redha merumuskan satu kaedah: Bersikap tolong menolong dalam perkara yang kita sepakati dan bertolak ansur dalam perkara yang kita perselisihkan.

Hal ini termasuklah di dalam masalah ziarah kubur, tabarruk dll.

--------
Masalah: Ibnu Taimiyah bercanggah dengan 4 mazhab dalam masalah talaq tiga jatuh satu.
Jawab: Kami telah jawab masalah ini. http://ahkam.hypermart.net/soaljawab/soaljawab119.htm
Dan walaupun Ibnu Taimiyah bercanggah dengan 4 mazhab dalam masalah ini, namun ia bertepatan dengan mazhab beberapa orang sahabat seperti Abu Bakar, Ibnu Umar, Ibnu Amr, Ibnu Abbas, Ibnu Mas'ud dan Abu Hurairah r.a.
Apakah salah Ibnu Taimiyah mengikut mazhab para sahabat ini?

Tidak semestinya bercanggah dengan empat mazhab, bermakna seseorang itu sesat. Kerana, di sana ada mazhab sahabat, ada mazhab Daud Zahiri, ada mazhab Auza'i, ada mazhab al-Laitsi dll. yg sekalipun sebahagiannya telah pupus namun ia masih tergolong di dalam Ahlus Sunnah wal Jamaah. Ia dii'tiraf dan diperakui oleh seluruh ulamak Islam dahulu dan kini.

Masalah: Jika Ibnu Taimiyyah kekal dipandang tinggi tanpa ditapis dan diperbetulkan mana2 fahamnya yang mengelirukan, bagaimanakah generasi akhir zaman yang rata2nya jahil mampu berpegang dengan pelbagai faham yang bertentangan seperti ini?
Jawab: Sebenarnya, bukan fahaman Ibnu Taimiyah yang perlu ditapis dan diperbetulkan, tetapi pemikiran dan sikap kita yang perlu ditapis dan diluruskan. Dan, Ibnu Taimiyah sewajarnya dipandang tinggi tanpa ragu lagi.

Masalah: Imam al-Ghazali
Jawab: Begitu juga dengan masalah Hujjatul Islam imam al-Ghazali, ia diserang habis-habisan oleh sebahagian puak-puak salafi. Ini adalah perkara yg tidak wajar samasekali. Mempelajarinya secara kritis, itu tidak mengapa, tetapi menolak kewibawaannya atau mencaci makinya adalah tidak wajar. Kewibawaan al-Ghazali memang tidak boleh dipertikaikan samasekali, seperti halnya dengan kewibawaan Ibnu Taimiyah.

Al-Ghazali telah menjadi sasaran amarah golongan Muktazilah modern (lihat buku2 Dr. Harun Nasution). Kerana apa, kerana al-Ghazali-lah yg bertanggungjawab menyebarkan aliran tauhid Asya'irah dengan memojokkan bahkan mematikan aliran Muktazilah. Beliau dianggap mematikan aliran pemikiran rasional Islam (muktazilah). Malah mematikan aliran falsafah sesat lainnya yg sebelum ini begitu popular di kalangan umat Islam. Beliaulah juga yang bertanggungjawab mencantumkan ilmu feqh dan tasauf, yg sebelum itu terpisah2. Yang sebelum itu terjadi perkelahian besar antara ahli feqh dan ahli sufi.

Dan masalah penggunaan hadis-hadis dha'if oleh al-Ghazali tidak bermakna kewibawaan dirinya dan al-Ihya'nya dapat dipadamkan begitu sahaja. Dari satu sudut, kita perlu mengakui bahawa ada kemasukan hadis-hadis dha'if di dalam al-Ihya' dan dari satu sudut lain kita juga perlu mengakui kewibawaannya dan al-Ihya'nya.

Kami melihat, bagaimana sebahagian dari kita yang keterlaluan dalam menerima al-Ghazali sehingga ke tahap tidak mengakui bahawa terdapat hadis2 dha'if yg terlepas masuk ke dalam al-Ihya'. Dan sebahagiannya pula terlalu menolak bulat-bulat al-Ghazali dan al-Ihya'.

Tambah memilukan ialah ada sebahagiannya mengatakan bahawa al-Ghazali itu fasiq, dan sebahagian lain mengatakan bahawa Ibnu Taimiyah itu bukan dari golongan Islam. Apakah wajar begini?

Bertolak ansurlah.. Dan, apakah kita tidak malu, pada sebahagian waktu kita memaki para ulamak ini, dan pada sebahagian waktu yg lain, kita memanfaatkan ilmunya, sekalipun debu-debunya.

Kalau tidak asbab (kerana) al-Ghazali yg Allah Taala telah kurniakan kelebihan kepadanya, mungkin sebahagian besar dari kita ini adalah penganut aliran Muktazilah dan ajaran falsafah sesat yg lain. Dan jika tidak kerana Ibnu Taimiyah, apakah mungkin kita dapat memahami Islam secara syumul seperti sekarang ini, terutama dalam bidang politik.

Ya... Jika kita ini tidak tahu malu, maki sahaja al-Ghazali. Jika kita ini tidak tahu diuntung, tendang saja Ibnu Taimiyah.

Soal: Bagaimana dengan masalah sufi dan tasauf, apakah perlu diterima atau ditolak?
Jawab: Kami juga melihat bagaimana sebahagian dari manusia yang menelan bulat-bulat tasauf ini. Sehingga habis tasauf yang telah dicemari dengan noda-noda falsafah yg keterlaluan juga dihirupnya. Sehingga bukannya sedikit yg terjerumus ke lembah pemikiran Jabbariyah. Sehingga ada yg tergelincir kepada pemikiran bahawa alam ini qadim. Sehingga tasauf sudah tidak menjadi madrasah mendidik akhlak, tetapi sebuah madrasah falsafah yg banyak putar belit di dalamnya. Sehingga sering dipersoalkan: Allah itu Maha Besar, besarnya di mana? Di tanyakan: Apakah nama Allah sebelum di namakan Allah?

Sebahagian manusia pula dengan mata terpejam menolak dan memaki hamun tasauf ini. Sehingga menafikan kebenaran tasauf. Sehingga menolak secara total jasa dan kewibawaan ahli-ahlinya. Sehingga ibadah mereka hampa kosong tidak berisi samasekali.

Kita genarasi baru tidak boleh menerima pemikiran kedua-dua golongan di atas. Tidak ada salahnya kita menerima tasauf yang bertepatan dengan al-Quran dan sunnah serta mengiktiraf jasa-jasa ahli-ahlinya dalam sejarah pengembangan Islam. Dan tidak ada silapnya jika kita menolak segala putar belit yang ada di dalamnya.

Tidak ada salahnya jika kita mengambil pengajaran al-Ghazali dan tidak ada silapnya jika kita menceduk pengetahuan di dalam kitab Ibnu Jauzi atau Ibnu Taimiyah.

--------------
Masalah: Bukankah ia boleh mengakibatkan pepecahan juga seperti yang terjadi kepada kaum Wahabi?
Jawab: Sebenarnya bukan isikandungan yang dibawa oleh Wahabi (salafi) itu yang membawa perpecahan, tetapi sikap kedua-dua belah pihak yang mencetuskan pertempuran. iaitu sikap tidak tahu menangani dan tidak tahu membezakan masalah khilafiyah.

Sikap kaum tua dan golongan pondok yg keras terhadap Ibnu Taimiyah dan Wahabi (salafi) adalah timbal balik dari sikap salafi yang begitu keras dengan memaksakan semua orang mengikuti ajarannya. Hingga kini, sikap puak-puak salafi masih tidak berubah lagi. Dan, sebab itulah gerakan mereka tidak dapat bertapak kukuh di Malaysia ini (Cuba bandingkan perbezaan gerakan Muhamadiyah di Indonesia).

Bagi kami, apa yang golongan Salafi bawa, itu tidak menjadi masalah. Kami tidak mengengkarinya, malahan dalam beberapa masalah Tauhid dan beberapa masalah feqh kami lebih selesa mengikut pendapat Ibnu Taimiyah/Salaf. Hatta tidak mengapa jika mereka mahu menukar mazhab rakyat Malaysia, dari Syafi'i kepada Hanbali, atau kepada Daud Zahiri sekalipun, lakukanlah.. Tetapi kenalah dengan caranya. Jangan buat seperti yang kamu lakukan sekarang ini. Umat Islam akan bertindak balas membenci dan menjauhkan diri dari kamu seperti menjauhkan diri dari hantu jembalang. Janganlah bersikap beku dalam perlaksanaan dakwah.

Bagi golongan Salafi dan kaum tua, bersikaplah seperti orang dewasa...

-------
Bagi golongan pondok pula, pelajarilah sesuatu itu secara kritis. Janganlah hanya bergantung semata-mata kepada syahid/nash kitab-kitab sahaja atau secara tekstualnya sahaja. Perlulah diambil pengajaran dari sudut kontekstualnya. Sudah tiba masanya, kehalusan dan ketelitian dari sistem pondok diserasikan dengan perubahan zaman dan keadaan masyarakat. Contohilah tokoh-tokoh tuanguru masa kini seperti Tuan guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru hj. Abdul Hadi Awang. Tokoh yang amat sukar dicari ganti.

Semoga penerangan di atas jelas.

Sekian. Wallahu a'lam.
zain y.s.

Rujukan:
Fathul Majid, Syeikh Abdul Rahman bin Hasan Aali Syeikh
Risalah Tauhid, Abdul Ghani Yahya
Fatawa Mu'ashirah, juz. 2, al-Qardhawi
Al-Muwafaqat, al-Syathibi.