Hercules : yakin tidak semestinya beriman

Primary tabs

Keyakinan kepada kebenaran sahaja tidak mencukupi untuk membuat seseorang itu beriman. Sejarah membuktikan, walaupun kebenaran di hadapan mata, namun belum tentu seseorang itu akan menerima kebenaran tersebut. Misalnya bapa saudara Nabi sendiri, Abu Thalib bin Abu Mutallib atau nama sebenarnya Imran, tidak memeluk agama Islam sehinggalah beliau mati.

Abu Thalib pernah menulis sebuah syair menceritakan tentang Nabi :saw yang membayangkan bahawa beliau tahu akan kebenaran agama yang dibawa oleh anak buahnya itu.

وإني لأعلم أن دين محمـد
من خير أديان البريّة دينا
لولا الملامة أو حذار مسبّة

لوجدتني سمحا بذاك مبينا

Sesungguhnya ku tahu bahawa Agama Muhammad
Lebih baik dari Agama-Agama manusia lain
Jika tidak kerana takut di salahkan atau dikeji
Akan mendapatiku menerima keseluruhannya

Namun demikian, umum mengetahui bahawa beliau menghabiskan nafas terakhir tanpa mengucapkan kalimah tauhid. Didalam hadith riwayat Imam al-Bukhari (3884) ada meriwayatkan bahawa Nabi :saw telah mengajak bapa saudaranya Abu Thalib kepada Islam ketika dia sedang uzur, dan Nabi pernah berkata :”Aku akan berdo’a untuk keampunanmu jika tidak dilarang melakukannya. Kemudian, Allah swt telah menurunkan wahyu berikut :

مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ
Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli Neraka. [al-Tawbah 9:113]

Begitu juga dengan peristiwa yang dipaparkan pada awal Kitab Sahih Hadith Bukhari dimana Nabi :saw telah mengutuskan Dihyah untuk menghantar surat mengajak Maharaja Rom pada masa itu, Hercules, memeluk Agama Islam. Kepintaran mengenali ciri-ciri Nabi akhir zaman membuktikan bahawa Raja Rom ini merupakan dikalangan manusia yang tinggi nilai inteleknya, dan masyarakat Eropah seolah-olah sudah tahu akan Kriteria Nabi yang diutuskan.

Hercules menggunakan kaedah mengenali Nabi melalui seseorang yang mempunyai darah pertalian dengannya, dan pernah memerangi beliau, iaitu Abu Sufyan. Beliau mula melontarkan soalan dengan menyentuh pribadi baginda sendiri; seperti :

- Bagaimana kedudukan Nabi dikalangan penduduk Mekah?
- Pernahkan orang lain membawa agama seperti ini?
- Adakah beliau berketurunan Raja?
- Adakah pengikut baginda orang elite atau orang lemah?
- Apakah Pengikutnya bertambah atau berkurang?
- Apakah pengikutnya makin bertambah atau berkurang?
- Pernahkah dikalangan pengikut keluar dari agamanya kerana bencikan agama?
- Pernahkan kamu menuduh dia pembohong?
- Apakah dia pernah khianat?
- Apakah kamu memeranginya?
- Siapa yang selalunya menang?

Akhirnya, Hercules bertanyakan mengenai apakah yang Muhammad suruh mereka lakukan? Disana Abu Sufyan menjelaskan konsep tauhid yang dibawa oleh Islam, tidak mensyirikkan Allah swt, menunaikan solat, menjaga maruah diri dan menjalankan hubungan persahabatan.

Dalam mengulas jawapan Abu Sufyan kepada soalan yang awal tersebut, Hercules memang sudah menduga akan kenabian Muhammad :saw. Beliau tahu bahawa kepribadian Nabi itu didatangkan dari kalangan keluarga yang mulia, beliau bukan dari kalangan Raja, pengikutnya adalah dikalangan mereka yang miskin dan pengikutnya semakin bertambah. Kekuatan keperibadian Muhammad :saw juga menyakinkan Hercules, iaitu Muhammad tidak pernah berbohong dan beliau merupakan sesorang yang sangat amanah. Ini merupakan ciri-ciri seorang Nabi.

Setelah bertalu-talu soalan yang ditanyakan kepada Abu Sufyan, Hercules meminta Dihyah menyerahkan surat dari Nabi :saw dan mengarahkan pembesarnya membaca surat berikut :-


[sila klik untuk imej surat Nabi kepada Hercules]

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ . مِنْ مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى هِرَقْلَ عَظِيمِ الرُّومِ . سَلَامٌ عَلَى مَنْ اتَّبَعَ الْهُدَى . أَمَّا بَعْدُ ؛ فَإِنِّي أَدْعُوكَ بِدِعَايَةِ الإِسْلامِ ، أَسْلِمْ تَسْلَمْ يُؤْتِكَ اللَّهُ أَجْرَكَ مَرَّتَيْنِ ، فَإِنْ تَوَلَّيْتَ فَإِنَّ عَلَيْكَ إِثْمَ الأَرِيسِيِّينَ. وَ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَنْ لا نَعْبُدَ إِلا اللَّهَ وَلا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ
“Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Dari Muhammad bin Abdullah dan RasulNya kepada Hercules Pembesar Rom. Salam sejahtera keatas mereka yang mengikuti petunjuk. Amma ba’du. Sesungguhnya aku mengajak kamu dengan seruan Islam. Masuklah Islam, maka kamu akan selamat, dan Allah akan memberi kamu dua ganjaran. Akan tetapi, jika engkau berpaling dari seruan ini maka sesungguhnya keatas kamu adalah dosa orang Arisiyin. -

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam.” [Hadith Riwayat al-Bukhari no: 7].

Hercules berkata “Jika apa yang kamu katakan itu benar, maka dia adalah Nabi, dia akan menguasai tempat dibawah kedua kakiku. Aku tahu bahawa dia akan muncul, tetapi aku tidak sangka dia adalah dari kalangan kamu. Kalau aku tahu bahawa aku akan berjumpanya, aku akan melakukan sedaya upaya berjumpa dengannya, dan jika aku bersamanya, aku akan membasuh kakinya”.

Hercules juga telah memberi gambaran bahawa jika tidak kerana takut kehilangan kuasa, beliau akan menerima agama yang dibawa oleh Muhammad :saw. Kata beliau : “Aku tahu sesungguhnya perkara itu benar, akan tetapi aku tidak mampu melakukan apa-apa. Jika aku lakukan, tahtaku akan pergi, dan orang Rom akan membunuhku”. Didalam riwayat yang lain, kata Hercules : “Demi Allah, sesunggunya aku tahu akan Nabi yang diutuskan, akan tetapi aku takut dengan orang Rom lakukan keatas diriku, dan Jika tidak begitu, Aku akan mengikutinya”

Jelas kata-kata Hercules ini membayangkan bahawa beliau tahu akan kebenaran utusan dan surat Muhammad. Beliau yakin bahawa Nabi akhir zaman akan muncul, dan benarlah apa yang beliau yakini selama ini. Teruja dengan jawapan-jawapan yang dibawa oleh Abu Sufyan, akan tetapi takut akan hilang kuasa dan pangkat. Jika beliau benar-benar faham akan mesej Nabi :saw – “Islamlah kamu, maka kamu akan selamat”, sudah tentu Hercules, Mahaja Rom akan memeluk agama Islam.

Surat Nabi :saw itu umpama seruan dan do’a, akan tetapi yang benar-benar membuka hati seseorang itu adalah Allah swt. Firman Allah swt :-

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayat petunjuk (kepada memeluk Islam). [al-Qasas 28:56]

Scenario “yakin tetapi tidak beriman” ini masih berlaku pada masa kini dan selama-lamanya. Dugaan harta, pangkat, wanita dan segala kemewahan dunia menjadi penghalang utama untuk seseorang itu beriman dengan kebenaran. Kita hanya mampu menyampaikan risalah, namun Allah swt yang akan menentukan samada seseorang itu berhak menerima hidayah ataupun tidak. Sirah ini benar-benar menggambarkan situasi penerimaan kebenaran..... yakin dan mengetahui (berilmu) tidak semestinya beriman dengan kebenaran.

Sekian, wassalam
30 November 2010

sumber : http://kaminms.blogspot.com/2010/11/yakin-tidak-semestinya-beriman.html