[Bacaan Untuk Anak Muda Sahaja!] Dan Mereka Berkata Saya Menghina al-Albani

Primary tabs

Oleh: Ustaz Adlan Abd. Aziz

*Tulisan ini hanya untuk mereka yang mengikuti perkembangan 'Analisis Kajian Hadith al-Albani' dan isu yang berkaitan sahaja. Buat mereka yang tidak ada idea tentang soal ini, saya persilakan untuk membaca artikel-artikel yang lain semoga berfaedah untuk semua.

....izinkan saya untuk bercerita agar mereka yang menuduh itu boleh memikirkan kembali catatan tangan mereka - adakah ia benar atau sangkaan atau suka-suka?

...dan mereka melagukan lagu yang sama kepada sesiapa yang ingin mengetengahkan 'analisis' atau 'kritikan' terhadap 'beberapa' pandangan Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani. Lagu itu ialah 'orang itu menghina al-Albani', 'orang ini merendahkan al-Albani'...dan yang senada dengannya.

...siapa mereka? Mereka terlalu kagum dan sayangkan al-Albani. Ya, saya faham kerana saya juga pernah begitu wahai sahabat. Mereka yang mengenali dan tahu pasti tidak akan lupa bagaimana 'taksubnya' Adlan Abd. Aziz terhadap karya al-Albani. Mereka juga mungkin tahu apakah rutin harian pelajar tajaan KPM ini di Perpustakaan Universiti Al al-Bayt? Berulang alik ke dewan Ulum Hadith untuk membaca pelbagai karya al-Albani. Dari Silsilah al-Sahihah berjilid-jilid menuju kepada Silsilah al-Dhaifah berjilid juga. 'Terbang' dari satu dahan ke dahan yang lain menimba maklumat daripada buku-buku yang dikarang atau ditahqiq (edit dan ulas) oleh al-Albani.

...ya, saya amat faham kerana sayalah orang yang tidak tahu berapa kali telah khatam buku Sifat Solat an-Nabi dan mengamalkannya. Siapa tidak kagum meneliti buku ini dan buku-buku lain? 'Terbang' pula dan hinggap ke buku Irwa' al-Ghalil...begitu teliti huraian dan takhrijnya. Anda boleh buat sehebat buku-buku al-Albani? Siapa sanggup bersusah payah membelek ribuan bahan rujukan (ada yang masih belum dicetak sempurna dan masih dalam bentuk manuskrip)?

...wahai sahabat yang terlalu marah sehingga menuduh saya 'menghina' al-Albani...renungkanlah dalam diri kamu. Berapa banyakkah buku al-Albani yang telah kamu baca? Sehingga kamu ingin mempertahankannya tanpa hujah? Bacalah buku beliau dan timbalah ilmu beliau lalu kamu akan dapati jalan terbuka luas untuk kamu pertahankan dirinya kerana telah tahu apa yang telah beliau sendiri coretkan, bukan membaca ulasan orang lain semata-mata.

...pernah anda yang menuduh ini bersusah payah mendengar kaset/audio kuliah-kuliah al-Albani? Mengikuti dengan jelas bagaimana penghujahan dan penerangan beliau dalam kuliahnya. Mendengar bagaimana beliau menjawab soalan dan menjelaskan istilah serta ulasan lain? Adakah masuk akal saya akan menghina seseorang yang saya ikuti kuliah-kuliahnya? Jadilah orang yang benar dan bercakap sesuatu yang benar.

...sehingga hari ini belum ada yang membuktikan bahawa saya 'menghina' al-Albani. Apakah satu dua kritikan ilmiah yang berdasarkan rujukan dan komentar ulama sama taraf atau sama dengan = menghina? Sifir apakah yang digunakan? Kritikan belum pasti benar atau salah. Kritikan belum pasti positif atau negatif. Kritikan belum pasti berhujah atau cakap kosong. Tak bolehkah diri kamu menahan dari mengutuk sebelum mendengar? Kritikan bukan 'Penghinaan'. Kritikan bukan 'Memperbodohkan'. Bahasa mana yang kamu guna?

...dan kalaulah al-Albani benar salah dalam beberapa pandangan, apakah ganjil mendapati al-Albani melakukan kesilapan? Apakah anda pernah bertemu dengan pengakuan al-Albani sendiri bahawa beliau melakukan kesilapan? Kalau anda belum bertemu, saya ulangi nasihat di atas iaitu - bacalah buku-buku al-Albani sebelum mempertahankannya! Beliau sentiasa terbuka sekiranya benar beliau salah dan berterima kasih kepada yang memberitahu dan menegurnya. Anda pernah jumpa ayat-ayat beliau yang bernada begitu dalam buku-bukunya? Kalau belum, carilah dulu.

...seharusnya apabila al-Albani dikritik, anda bingkas bangun mempertahankannya dengan segala rujukan dan bacaan...itulah yang al-Albani sendiri lakukan apabila ada orang mengkritiknya. Sudah baca muqaddimah-muqaddimah panjang al-Albani pada buku-bukunya menjawab kritikan dan komen dari pelbagai pihak? Kalau belum, tolonglah baca. Hujah dibalas hujah. Bukan semata bualan kosong tanpa nota dan rujukan.

...sekarang analisis siri 1 telah disebarkan umum - audionya dan videonya - tanpa sebarang suntingan. Buktikanlah bahawa:

1-Saya telah menghina al-Albani?
2-Saya telah merendah-rendahkan al-Albani?
3-Atau saya telah mengkritik dengan salah?
4-Atau ada maklumat, rujukan diambil secara salah dan tidak tepat?

Tak perlu membuat dakwaan. Rakaman sudah ada di depan mata, ayuh buktikan di mana 'penghinaan' itu. Atau sebenarnya anda tidak dapat menerima ada orang mengkritik al-Albani?

Saya ulangi cadangan saya bahawa - jawablah dan kritiklah kembali dengan penuh ilmiah dan ini menuntut anda untuk membaca kembali dengan teliti apakah yang al-Albani telah coretkan. Jangan anda menyangka bahawa al-Albani berkata 'begini' atau 'begitu'. Contohnya menyatakan al-Albani mengambil dari 'sahabat, tabiin dan lain-lain' sedangkan al-Albani sendiri dalam bukunya tidak berkata demikian! Ini salah siapa? Pasti bukan salah al-Albani.

Marilah kita tumpukan pula pada analisisi yang ke 2, agar kita dapat fahami dengan sepatutnya bagaimana kita ingin mengkritik dan menjawab kritikan. Bukan menuduh dan berharap agar orang seperti Adlan Abd. Aziz akan menghentikan usaha ilmiah ini. Tidak sama sekali, insya Allah!  [Blog alitantawi]