DILEMA KEHIDUPAN ORANG KURANG UPAYA

Primary tabs

Oleh Faizal Che Yusoff

KECACATAN yang dialami oleh seseorang Orang Kurang Upaya OKU akan menjadikan seseorang itu dilihat daif. Kecacatan juga akan menjadikan OKU itu dilihat serba lemah dan serba kekurangan. Natijah dari persepsi itulah golongan OKU akan dijadikan salah satu dari kumpulan yang harus diberi perhatian dalam program kebajikan.

Persepsi kebajikan seterusnya menjadikan OKU dilihat sebagai golongan yang perlu dibantu sebagaimana kelompok-kelompok minority lain termasuk orang miskin dan ibu tunggal.

Program untuk OKU dirangka sekadar memastikan OKU itu dapat hidup dengan keperluan paling asas. Sebagaimana program-program kumpulan lain, sehabis jauh OKU dimasukkan dalam program untuk berupaya menjana kehidupan sendiri sepertimana yang dijalankan dalam e-kasih dan 1azam.

Dalam bidang-bidang lain seperti pendidikan, kesihatan, perumahan dan pekerjaan, pembangunan OKU dilaksanakan tidak seragam dan jarang sekali ianya bersifat  berterusan dan berkesinambungan.

Hal sebegini boleh terjadi bilamana pembangunan untuk OKU itu diperhatikan dari persepsi kebajikan. Dengan erti kata lain, kedaifan yang dipalitkan kepada OKU menjadikan tindakan perancangan dan perlaksanaan lebih cederung kepada rasa simpati.

Menyedari hal inilah gerakan antarabangsa melalui kerangka Biwaco Millennium menyatakan bahawa pembangunan OKU perlu didasari kepada hak dan bukan lagi kebajikan atau simpati.

Sebagai manusia, OKU seharusnya berfungsi sebagai insane lain yang hidup dalam masyarakat. Pihak pemerintah perlu menyediakan satu suasana yang membolehkan OKU turut menyumbang kepada masyarakat di keliling kehidupannya seterusnya menjadi penyumbang kepada Negara menaunginya.

Bagi memastikan fungsi itu dapat dilaksanakan, sebarang halangan atau rintangan yang berbangkit dari kecacatan dialami oleh individu OKU bilamana ia keluar kepada masyarakat perlulah dihilangkan. Bagi tujuan itu, OKU perlu diberikan kekuatan dalaman yang cukup, suasana keliling yang sedia untuk OKU berfungsi dan system masarakat yang faham peri potensi dan kekurangan yang ada.

Dalam menyediakan persekitaran inilah ia membuka satu cabaran yang tidak mudah sama ada buat individu OKU, pemerintah dan masyarakat seluruhnya. Mahu tidak mahu, cita dan impian ini hanya boleh dihasilkan oleh satu peneraju yang benar-benar memahami aspirasi yang dinyatakan.

Nah inilah peranan yang harus dimulakan oleh pemerintah. Sejauhmana pemerintah itu dapat beralih dari pembangunan OKU berpaksikan kebajikan kepada pembangunan yang berpaksikan hak adalah satu persoalan asas yang mesti dicari jawapannya.

Apatah lagi dalam system yang dipacu oleh ahli politik, cabaran ini dilihat tidak mudah untuk dirintangi. Dengan system yang kita amalkan hari ini, sesiapa saja boleh menjadi peneraju bila ia lincah berpolitik melalui parti-parti yang mempunyai peluang untuk menerajui pemerintah tanpa perlu menelaah pelbagai kitab masyarakat termasuklah memahami aspirasi semasa pembangunan OKU.

Apa yang boleh disimpulkan bahawa seseorang itu hanya mampu memahami program pembangunan OKU setelah ia melalui proses pendedahan yang cukup. Ia boleh berlaku  sama ada melalui pengalaman langsung mendampingi OKU sebagai ahli keluarga dan rakan atau mengikuti pengajian-pengajian intensif berkaitan OKU.

Pilihan yang ada pada pemerintah kini atau pemerintah gentian pada masa hadapan ialah membawa OKU bersama-sama dalam merancang pembangunan Negara. OKU tidak seharusnya sekadar diletakkandi bawah program kebajikan semata-mata.

Sekadar meletakkan OKU sebagai elimen kebajikan, ia akan mengulangi kekurangan yang ada pada masa kini. Karenah birokrasi dan pentadbiran yang berbeza antara agensi dan kementerian hanya menambahkan batasan kepada pembangunan OKU yang menyeluruh. Dengan menjadikan OKU dalam salah satu elimen kebajikan, badan yang diamanahkan membangun golongan OKU akan berterusan menjadi badan yang hanya mampu berkempen dan mendesak untuk OKU.

Ia boleh saja dipandang sepi dan tidak diendahkan oleh agensi dan kementerian yang berbeza. Keadaan kian mencabar lagi bilamana kuasa atasan tidak langsung cuba memahami delema dalam membangunkan golongan yang dianggarkan 10% dari populasi masyarakat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pembangunan OKU dari dua dimensi berbeza
MENYEDARI hal inilah saya tiada jawapan meyakinkan bila saya ditanya apakah nasib OKU jika peneraju atau kerajaan Malaysia berubah tangan dalam era perubahan yang rancak dijelmakan dalam ambang pilihan raya umum ke-13 kelak.

Ramai yang melihat 2012 sebagai tahun perubahan untuk rakyat Malaysia dan tahun menjana hidup berkebajikan. sebagai OKU, 2012 telah lama dipahatkan sebagai satu distinasi untuk menjadikan Malaysia sebagai (free disable) atau mesra OKU apatah lagi dekat kedua bagi pembangunan OKU Asia Pasifik berakhir pada 2012.

Namun dengan apa yang dilami hingga ke hari ini, OKU mungkin perlu menunggu sekurang-kurangnya 10 tahun lagi untuk dekat ketiga dirangka dalam menyediakan Malaysia sebagai sebuah Negara yang tiada halangan untuk pembangunan menyeluruh OKU.

Saya terus optimis untuk melihat kehidupan OKU di Negara ini sama sebagaimana apa yang dinikmati oleh golongan yang sama di Negara-negara maju seperti Australia, United Kingdom dan sebagainya. Persoalan bila ia akan berlaku bukanlah suatu yang perlu segera dijawap. Paling penting gerakan kea rah impian tersebut perlu berjalan secara bersama dan beriringan dengan pembaharuan yang ingin dinimati oleh rakyat Malaysia.

Dalam merancang pembangunan OKU, setidak-tidaknya dua dimensi perlu dilihat. Apa yang digambarkan melalui Biwako Millennium Framework dan Millennium Development Goals’ MDGS di peringkat antarabangsa jelas dan merupakan perkara minimum yang perlu diambilkira.

Pertama ialah pembangunan OKU berasaskan kecenderungan terjerumusnya OKU ke dalam fenomenon kemiskinan. Sasaran MDGS untuk ia dicapai 2015 biarpun begitu mencabar bagi Malaysia, setidak-tidaknya boleh ianya dijadikan titik mula.

Seseorang OKU yang tidak dapat berfungsi sepenuhnya atas pelbagai factor kecacatan akan terdedah kepada kemiskinan. Demikian juga seseorang yang berada dalam tahap kemiskinan boleh saja terdedah kepada gejala kecacatan bilamana kesihatan terbaik tidak dapat diperolehi. Bagi tujuan tersebut, mahu tidak mahu pihak kerajaan berkewajipan menyediakan sejumlah dana yang bukan kecil jumlahnya bagi memastikan nilai kemanusiaan dalam diri seseorang OKU itu dapat diserlahkan.

Dalam aspek pembangunan ini, Malaysia boleh disifatkan berada pada satu tahap yang memuaskan. Pun begitu, dengan kekayaan yang ada pada bumi ini, program yang lebih baik mampu dilakukan dalam mengeluarkan OKU daripada kancah kemiskinan dan kedaifan. Antara factor yang perlu diberi perhatian termasuklah pelbagai alaun dan insentif kepada OKU yang perlu dikaji selain diberi penambahan. Demikian juga system sokongan yang menyeluruh perlu dipertimbangkan kepada OKU yang merangkumi sokongan keluarga, masyarakat dan keadaan persekitaran

Program Pembangunan OKU sebagai satu hak
Dalam dimensi kedua, pembangunan OKU mestilah berasaskan hak OKU sebagai warga Negara dan OKU sebagai insane yang mempunyai kelebihan dan kekurangan. Dalam sudut ini, pemberian pelbagai subsidi, alaun dan insentif bukanlah satu elimen tunggal yang perlu diberi perhatian. Apa yang lebih utama dan tidak kurang pentingnya ialah ruang, peluang dan kesempatan perlu disediakan sesuai dengan keupayaan individu OKU yang pelbagai.

Bagi menilai keupayaan dan kebolehan OKU, tahap pendidikan dan kemahiran yang dimiliki perlu dihargai untuk disalurkan bagi manfaat Negara selain manfaat OKU itu sendiri. Suasana sekeliling dan persekitaran perlulah berupa mesra OKU bagi membeolehkan potensi OKU digilap sepenuhnya.

Apatah lagi konsep mesra OKU beriringan dengan konsep sejagat yang mana ia merupakan satu konsep yang menyediakan persekitaran yang bukan hanya sesuai untuk OKU, bahkan sesuai untuk golongan-golongan lain seperti warga emas, perempuan hamil, dan kanak-kanak.

Dalam dimensi inilah cabaran yang begitu ketara dapat dilihat untuk dilaksanakan. Dimensi ini boleh dilaksanakan bila pembangunan OKU dirancang sebagai pembangunan arus perdana dan bukan bersifat subsidiary sebagaimana berlaku hari ini.

Secara birokrasi, pembangunan dalam dimensi ini akan sukar dilakukan jika program untuk OKU itu diletakkan di bawah satu jabatan di bawah satu kementerian. Adalah baik untuk program dalam dimensi ini diterajui oleh sebuah unit atau antiti yang bertanggungjawab terus di bawah cabinet atau Perdana Menteri.

Pembabitan OKU seterusnya dalam penyediaan dasar-dasar dan perundangan Negara perlu diperhebatkan termasuklah memberi ruang kepada OKU di kedua-dua dewan Parlimen, Pegawai Pentadbir dan Diplomatik, dan bahagian-bahagian pembuat dasar lain. Tanpa pembabitan OKU secara langsung dalam pembuat dan penggubalan dasar serta perundangan Negara, mana mungkin sesuatu yang baik untuk OKU dapat dihasilkan. [FB]