JH-ASAS-002- NASIHAT SEORANG TOKOH TABIIN

CARILAH IA SEPERTI MENCARI SESUATU YANG HILANG

Sesekali terlintas di hati kita atau terdengar di telinga kita rungutan tentang sukarnya mengenal pasti hadith sama ada ia sahih atau tidak. Kepada mereka yang pernah merungut dan mengeluh tentang perkara ini, saya ingin tegaskan...ya! Sememangnya ia adalah sesuatu yang sukar dan hanya boleh dilakukan oleh pakar-pakar hadith yang layak. Jadi? Apa penyelesaiannya? Takkanlah tak ada apa yang boleh kita lakukan?

Mungkin ada. Mari kita lihat bersama satu ungkapan yang pernah disebut oleh salah seorang tokoh tabi’in (mereka yang sempat bertemu dengan para sahabat tetapi tidak sempat bertemu dengan Rasulullah SAW) yang bernama Yazid Ibn Abi Habib (128H). Beliau pernah memberi nasihat kepada umat Islam di zamannya dengan katanya: ’Apabila engkau mendengar satu hadith, carilah ia seperti mana kamu mencari sesuatu yang hilang. Jika hadith itu dikenali orang, terimalah. Tapi sekiranya ia tidak dikenali, tinggalkanlah ia’. Kata-katanya lebih ringkas tetapi itulah yang dapat saya terjemahkan untuk sama-sama kita fahami. Sumber: Risalah Abu Daud Ila Ahl Makkah karya Abu Daud (275H); Al-Jarh Wa al-Ta’dil karya Ibn Abi Hatim (327H).

UNGKAPAN YANG MENARIK!

Entah kenapa saya amat tertarik dengan kata-kata ini! Bagi saya ia menarik kerana ia datang daripada seorang ahli hadith terkemuka dalam kalangan tabi’in yang tahu keadaan yang dihadapi oleh masyarakat di zamannya. Seolah-olah nasihat ini ditujukan kepada mereka yang masih tercari-cari kaedah sebenar mengenal hadith antara yang sahih atau tidak. Beliau tidak menyuruh semua masyarakat agar belajar sehingga mencapai tahap beliau sendiri yang merupakan antara tokoh hadith terbilang. Ia akan memakan masa yang panjang! Sebaliknya ia memberikan satu penyelesaian yang praktikal dan mudah dilakukan walaupun oleh seorang yang tidak belajar hadith secara formal.

Bolehkah nasihat ini digunakan pada zaman kita sekarang? Bolehkah nasihat ini dipakai di Malaysia dalam keadaan ilmu hadith masih belum benar-benar berkembang? Mari kita lihat satu persatu nasihat beliau ini. Mungkin ia berguna untuk saya dan anda dan mungkin juga ia tidak lagi relevan untuk zaman kita. Pilihan di tangan anda!

APABILA ENGKAU MENDENGAR SATU HADITH...

Selalunya kita akan mendengar hadith (walaupun hanya satu!) melalui radio atau kaca tv. Kita juga akan mendengar hadith pada ceramah-ceramah atau kuliah-kuliah agama bahkan mungkin pada ceramah pilihanraya. Begitu juga kita seringkali terjumpa dengan hadith di dalam majalah, surat khabar, buku, poster, ukiran di dinding, internet, kain rentang, diari, botol ubat, makanan atau minuman dan sebagainya. Yazid Ibn Abi Habib seakan menyuruh kita agar tidak membiarkan sahaja hadith itu tanpa difikirkan atau dikaji, sahih, dhaif atau palsu. Beliau ingin mendidik jiwa umat Islam agar peka dengan maklumat tentang agama mereka, bukan hanya melihat dan membiarkannya tanpa dipedulikan. Kepekaan ini jarang kita temui termasuklah dalam kalangan penuntut ilmu agama sendiri!

Pernah satu petang Jumaat pada tahun 2004 saya didatangi oleh salah seorang pelajar sekolah tempat saya mengajar. Dia datang membawa buku nota kecil dan menunjukkan kepada saya beberapa hadith yang telah dicatatkannya semasa khutbah Jumaat di masjid! Dia ingin tahu, adakah hadith-hadith itu sahih atau tidak. Adakah ini berlaku dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini? Ia akan berlaku jika kepekaan dalam diri itu wujud. Nasihat Yazid Ibn Abi Habib amat mendalam. Sanggupkah kita menerima nasihat ini?

CARILAH IA SEPERTI MENCARI BARANG YANG HILANG...

Kalau anda kehilangan sesuatu yang berharga, pasti anda akan ke sana dan ke sini dalam keadaan gelisah dan resah. Ada yang berjumpa bomoh dan dukun. Ada yang meminta masjid melakukan solat hajat berjemaah. Ada yang berdoa siang dan malam agar Allah SWT memberi petunjuk dan mengembalikan barang yang hilang itu.

Inilah yang ingin ditanam oleh Yazid Ibn Abi Habib dalam jiwa masyarakat Islam pada zamannya. Kalau bertemu dengan satu...walaupun satu hadith, carilah ia seperti mencari barang yang hilang. Pergilah bertanya kepada yang tahu. Bukalah alat carian yang anda mampu. Gunakanlah segala jalan yang dirasakan boleh membantu kita mengetahui dari manakah asal-usul hadith itu. Carilah dengan bersungguh-sungguh dan bukan dengan sekadar sambil lewa.

SEKIRANYA ADA, AMBILLAH TAPI SEKIRANYA TIADA...

Setelah mencari, ditaqdirkan anda bertemu dengan kenyataan bahawa hadith yang satu itu adalah sahih, maka tenangkanlah diri anda dan cubalah beramal dengan memahaminya.

Tapi sekiranya hadith itu tidak sahih, tidak diketahui oleh orang berilmu, tiada dalam mana-mana buku yang mengumpulkan hadith sahih, tidak pernah dinilai sahih oleh mana-mana ahli hadith, maka tinggalkanlah ia. Tinggalkan sahaja hadith itu.

Sekiranya hadith itu berada dalam status ’tidak ditemui’, tinggalkanlah juga ia kerana kita masih belum pasti adakah ia sahih atau tidak. Tinggalkanlah ia sekejap dalam simpanan. Ada masa, teruskan mencari. Mungkin ada yang akan menjumpainya selain anda.

Setelah anda membaca huraian saya terhadap kata-kata Yazid Ibn Abi Habib, anda boleh membuat keputusan, adakah nasihat beliau masih relevan untuk kita pada zaman ini di negara ini? Wallahu a’lam.

 

alitantawi

(bagi saya, nasihat ini amat sesuai dipraktikkan sebagai langkah segera untuk memulihkan kepekaan masyarakat terhadap hadith-hadith Rasulullah SAW. Ini pendapat saya, anda bagaimana?)