Kasihanlah….

Kiriman: Nadzam Rush


“Demi jiwa dan Tuhan yang menyempurnakan (ciptaan)Nya, lalu mengilhamkan kepadanya (jalan) kefasikan dan ketakwaaannya; sesungguhnya berjayalah sesiapa yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang merosakkan (dan mengotorkan)nya.” (Surah asy-Syams 91: 7-10)

Dipetik daripada Kitab Syarah Al-Hikam Jilid 2 Hikmah 93 – Sesuatu Maksiat Yang Menyebabkan Rasa Hina Dan Rendah Diri (Kepada Allah s.w.t) yang diterjemahkan dan disyarahkan oleh Yang Berbahagia Ustaz Zulkifli Mohamad Al-Bakri:

Sayyid Quthub rhm. berkata: “Keupayaan dan kemampuan itu tersembunyi dalam jiwa manusia dalam bentuk persediaan. Sementara peranan agama, bimbingan dan faktor-faktor luaran pula ialah menggerak, menguat dan membimbing persediaan itu ke sana atau ke sini. Ia bukannya dicipta oleh faktor-faktor luaran, bahkan diciptakan secara semula jadi lagi. Ia wujud selaku tabiat semula jadi dan tersembunyi dalam bentuk ilham. Di samping persediaan semula jadi yang tersembunyi itu, terdapat pula daya kekuatan yang sedar, mampu berfikir dan memimpin dalam diri manusia. Dengan daya kekuatan ini, manusia menjadi bertanggungjawab atas tindak-tanduknya.”

Saya yang hina berpendapat: Sewajarnyalah kita berdakwah dan mendokong amar makruf, nahir munkar secara berhemah dengan perasaan belas-ihsan kepada golongan yang tersesat untuk kembali ke pangkal jalan. Maka, usaha amar makruf memerlukan usaha untuk menarik secara halus dan berhikmah golongan ini untuk kembali kepada jalan yang lurus yakni Islam. Usaha nahir munkar pula memerlukan usaha yang dijalankan dengan penuh belas-ihsan dan kasih sayang dengan niat untuk “menyelamatkan” golongan ini. Tindakan mengecam, memaki, menghina secara keras akan menjauhkan lagi golongan ini daripada Islam dan akan gagallah usaha dakwah ini.

Mengecam, memaki dan menghina boleh mendedahkan para pendakwah kepada sikap takabbur dan ujub di mana pihak yang mengecam akan secara tidak sedar merasakan bahawa dirinyalah orang yang beriman dan bertaqwa, manakala golongan yang sesat ini adalah golongan hina dan tercela.

Janganlah kaedah mengecam, memaki dan menghina seolah-oleh dijadikan jalan singkat untuk mencegah kemungkaran. Walaupun ianya lebih mudah daripada jalan yang lebih halus yang memerlukan kesabaran untuk mendekati, memahami dan seterusnya menyelamatkan golongan yang tersesat dengan penuh kasih-sayang sesama Islam. Seolah-olah kecaman, makian dan hinaan itulah cara untuk mencegah kemungkaran. Allah s.w.t telah “menyempurnakan (ciptaan)Nya, lalu mengilhamkan kepadanya (jalan) kefasikan dan ketakwaaannya” sebagaimana ayat di atas, maka yakinlah setiap insan itu susah sebati di dalam dirinya itu “ketakwaan” yang perlu disuburkan semula agar cukup kuat untuk mengalahkan “kefasikan”.

Sesungguhnya tabiat semula jadi manusia juga adalah tidak suka ditegur, apatah lagi dikecam, dimaki dan dihina, maka makinlah jauhlah mereka daripada Islam jika dilayan sebegitu rupa. Serulah kebaikan dengan hikmah dan cegahlah kemungkaran dengan ihsan. Wallahu ‘alam.