Fadhilat Rejab Kembali Mencari Populariti..

Post by syahrezan

 

Didalam waktu zohor ada sebahagian tempat yang memanfaatkan masa untuk mengisi kuliah-kuliah. Tidak terlepas tempat kerjaku.

Siapa yang solat sunat tahiyatul masjid tidak ada masalah. Walaubagaimanapun, apabila kuliah sedang dijalankan, manakala waktu zohor sudah masuk, ada kekurangan yang berlaku iaitu tidak ada orang yang akan tunaikan solat sunat zuhur walaupun ada hadith sahih yang menerangkan bahawa kadangkala nabi solat sunat 4 rakaat sebelum zuhur, adakalanya 2 rakaat.

Hasilnya, ceramah dikala ini menutup pintu sunnah diamalkan, malah semakin menjadi satu kewajipan kuliah sebelum waktu zohor ditangguhkan sehingga jam 2.00. Sedangkan didalam hadith yang lain, nabi bersabda "Seafdal-afdal solat diawal waktunya".

Sebenarnya bukan itu isi yang saya nak bualkan disini. Setiba disurau, saya cuba ambil buku hadith-hadith sahih yang dikumpulkan oleh Dr Ghani Idris. Saya sedang mencari fadilat membaca surah alKahfi pada hari Jumaat. Sedikit terabai dengan kuliah yang sedang disampaikan. Kiranya mukholafah (asingkan / berlainan) dari orang lain kerana jemaah lain asyik mendengar ceramah. Ini kerana ustaz yang sedang menyampaikan bagi saya tidak menjaga keaslian sunnah.

Asyik saya membaca, telinga saya menangkap "Tajuk kita pada hari ini ialah fadhilat bulan Rejab!". Saya mula menutup kitab untuk mengambil perhatian. Bukan sedia mengkritik tetapi saya mula berfikir setahu yang saya telah baca bahwa Dr Yusuf alQardhawi pernah membuat statement bahawa terlalu sedikit hadith yang sahih (nanti nak buat entri hadith sahih di Bulan Rejab) mengenai fadhilat bulan Rejab seperti hadith yang diriwayatkan oleh asSilafi bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Kelebihan Rejab atas segala bulan bagaikan kelebihan Al-Quran atas segala zikir; kelebihan Syaban atas segala bulan adalah seperti kelebihan Muhammad atas segala para Nabi dan kelebihan Ramadhan atas segala bulan bagaikan kelebihan Allah atas segala hambanya."

Hadith ini adalah Maudhu

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar : Sanad Hadith thiqah , kecuali Hibatullah As- Saqathi, dialah yang menjadi penyakitnya. Kata As-Samani : Ia mendakwa mendengar hadith dari Syeikh - syeikh yang tidak pernah dilihatnya. Kata Ibnu Nashir : Hibatullah bin Al-Mubarak Al-saqathi ini tidak thiqah dan nyata dustanya

Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 517

Manakala, ramai ustaz-ustaz yang mengatakan ada hadith kelebihan yang sangat famous iaitu "Awal bulan Ramadhan adalah rahmat , pertengahannya keampunan dan akhirnya ialah pembebasan dari Neraka"

Hadith ini adalah Munkar

Az-Zahabi menyebutkan dalam Al-Mizan dari riwayat tersebut sanadnya : Hisyam bin Ammar dari jalan Sallam bin Sawwar dari Maslamah bin Ash-Shalti kemudian Abu Hurairah

Kata Az-Zahabi : Ibnu Adiy berkata : Sallam ini munkar Hadithnya , demikian pula kata Al-Uqaili . Salah satunya ialah hadith ini . ( * )

Hadis ini diriwayatkan juga oleh Ibnu Abi Ad-Dunya, Al-Khatib dan Ibn Asakir. Kata

Al-Albani: Hadisnya sangat dhaif.

Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 500

Diawal ceramah lagi ustaz (dari seberang) memerahkan telinga saya dengan berkata "janganlah ada diantara kita yang menjadi satu golongan menolak keraian maulid nabi, menolak fadhilat-fadhilat bulan rejab, tetapi apabila dijemput ke majlis maulid, dia pun ada (jemaah tergelak, humornya ustaz ini tidak mencuit hatiku pun), jangan pula kata nabi tak buat, maka tak boleh buat. Itu salah! (yakinnya dia, bagaimana la majikan aku boleh jemput orang cam ini. Mungkin dasar keyakinan terhadap ilmu yang ditimba kot, Wallahualam)"

Telingaku mula panas dan merah. Aku letakkan buku didalam almari untuk aku sedia mendengar semua isi ceramahnya. Hasil dari 45 minit ceramah aku simpulkan isi kandungan seperti berikut :

1- Dirikan solat sunat Rejab 20 rakaat

Ustaz kata diambil dari hadith. Ini kes berat. Tak sebut pula dhoif atau sebagainya. Maka aku mula menukilkan bahawa semaksima solat nabi adalah 13 rakaat.

Diriwayatkan oleh bahawa nabi Sallahualaihiwassalam mengerjakan solat sunat sebanyak 13 rakaat" [Muttafaqun alaih]

Malah, tiada mana-mana ulama yang muktabar menulis solat sunat Rejab. Aku rasa ustaz ini terlalu banyak menuntut sehingga tidak sebut dari mana sumbernya.

2- Membaca Surah al-Ikhlas sebanyak 11 kali didalam bulan Rejab.

Surah al-Ikhlas dibaca 3 kali bersamaan dengan khatam alQuran adalah sahih sepertimana diriwayatkan oleh Ali bahawa Rasulullah bersabda "Surah alIkhlas menyamai sepertiga alQuran"

Aku mula perhatikan ustaz tadi tidak menyebut langsung sumber hadith baca surah alIkhlas sebanyak 11 kali walaupun dia beria-ria kata ini hadith sebut.

3- Kerjakan qiamullail didalam Rejab seperti yang diriwayatkan oleh Thauban bahawa dia dan Nabi pergi ke kubur. Kemudian, nabi bersabda "Dia sedang diseksa ketika tidak pernah bangun malam walau sekali didalam bulan Rejab"

Hadith ini khusus qiamullail didalam bulan Rejab?. Sepanjang pengajian dan tuntutan ilmu saya, tidak ada dan tidak pernah ku dengar hadith ini melainkan hari kuliah tersebut. Manakala, mengenai perawi Thauban pernah meriwayatkan didalam hadith Bukhari dan Muslim juga berkenaan jenazah. Inilah hadithnya :

Diriwayatkan daripada Thauban r.a, bekas hamba Rasulullah s.a.w katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang melakukan sembahyang jenazah, maka dia mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak). Jika dia menghadiri pengebumiannya maka dia mendapat dua qirat. Satu qirat adalah sama dengan bukit Uhud" [Bukhari, Kitab Pertanian no 2155, Muslim, Kitab Jenazah no 1575 Ahmad Jilid 5/276]

Hadith diatas memang sahih tetapi bukan mengenai Rejab sekali-kali. Maaf, dari mana sumbernya qiamullail yang khusus didirikan didalam Rejab?

4- Istighar yang banyak didalam bulan Rejab dijanjikan oleh ALlah akan tertutupnya semua pintu neraka, adanya kolam susu, sejuk seperti salju dan manis seperti madu dan sebagainya (aku cuba ingat kata-kata ustaz seberang itu)

Wah aku rasa dia maksudkan hadith berikut :

Abu Muhammad Al- Khallal , Ad-Dailami , Al-Ashbahani meriwayatkan dari Mansor bin Yazid Al-Asadi , dari Musa bin Imran , dari Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Bahawasanya di dalam Syurga ada sebuah sungai yang dipanggil Rejab , airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu , barangsiapa berpuasa sehari sahaja dari bulan Rejab nescaya Allah memberinya minum dari sungai itu".

Kata Az-Zahabi : Mansor bin Yazid tidak dikenali orangnya dan khabarnya ( Hadithnya ) adalah Batil

Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 514

Tapi bukan bab istigfar, tetapi bab puasa. Itu pun batil..

Wah. Aku juga jahil akan hadith ini. Majhull!! Setahu aku itulah kolam alKauthar ataupun kolam yang dijadikan ALlah untuk umat Nabi Muhammad berpuasa.

5- Boleh berpuasa walaupun penuh tiga puluh hari.

Ini sudah masuk ghuluw atau tafrit iaitu melampau-melampau sedangkan ada petunjuk dari nabi bahawa tidak pernah nabi buat puasa satu bulan melainkan didalam Bulan Ramadhan.

Aku pernah membaca bahawa riwayat Aisyah menyebut "Dan aku tidak pemah melihat Baginda berpuasa sebulan penuh semenjak datang ke Madinah kecuali Ramadhan... "[Sahih Muslim]

Hadith yang biasa digunakan Puasa Rejab seperti berikut :

a)Ibnul-Jauzi menyebutkan dari riwayat Al-Furat bin As-Saib , dari Maimum bin Mahran dari Abu Zarr r.a. katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda :

Ertinya: "Barangsiapa berpuasa sehari dari bulan Rejab disamakan dengan puasa sebulan . Barangsiapa berpuasa tujuh hari dari bulan Rejab nescaya ditutup baginya pintu - pintu Neraka Jahim yang tujuh . Barangsiapa berpuasa lapan hari dari bulan Rejab nescaya dibukakan bagikan baginya pintu - pintu Syurga yang lapan itu . Barangsiapa berpuasa sepuluh hari dari bulan Rejab maka Allah menukarkan kejahatan - kejahatannya dengan kebaikan - kebaikan , dan barangsiapa berpuasa lapan belas hari dari bulan Rejab nescaya berserulah seorang penyeru bahawasanya telah diampunkan apa yang telah lalu dan mulakanlah amalan."

Kata Ibnul-Jauzi : Hadith ini tidak sah

Kata Yahya bin Main : Al - Furat bin As-Saib tidak bernilai apa-apa. Kata Al-Bukhari dan Ad-Daruquthni : Dia adalah matruk. Dalam sanad juga terdapat Risydin Abu Abdullah yang juga seorang yang matruk

Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 524

Paling-paling pun orang kata, dalam puasa semua ibadat seperti tidur. Ia berpandukan hadith maudhu berikut :

b) Ad - Dailami meriwayatkan dari Abdullah bin Abi Aufa r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda :

"Tidur orang yang berpuasa itu adalah satu ibadat"

Hadith ini Maudhu

Penyakitnya ialah Sulaiman bin Amru , iaitu Abu Daud An-Nakhai , seorang pembohong dan sangat terkenal mereka Hadith . Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar : Lebih daripada tiga puluh orang ( ulama hadith ) mengatakan ia mereka Hadith .

Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 478

Hadith yang disebarkan super-famous ialah:

c)Ibnu - Jauzi menyebutkan dari riwayat Muhammad bin Abdul - Baqi dari jalan Abu Bakr Muhammad bin Al-Hasan An Naqqasy , dari Abu Said r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Rejab adalah bulan Allah , Syaban bulanku dan Ramdahan bulan umatku..dan seterusnya yang terlalu panjang untuk dinukilkan.

Kata Ibnu - Jauzi :Hadith ini adalah Maudhu

Al-Kasa-i yang terdapat dalam sanadnya tidak dikenal orangnya . Manakala An-Naqqassi iaitu Abu Bakar bin Muhammad bin Al- Hasan An- Naqqassi dituduh berbohong

Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu (Jld 1) - Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 529

Kesimpulan yang dapat aku buat ialah kita setiap tahun didedahkan dengan ilmu dan bahan ilmiah akan fadhilat bulan rejab tidak pun melebih bulan Ramadhan. Malah, terlalu sedikit menyebut akan kelebihan bulan Rejab.

Akhir kata, aku ingin katakan bahwa kaedah usuliah menyebut "Asal ibadat itu haram kecuali ada nas yang menunjukkan wujudnya perlakuan tersebut, manakala asal muamalat itu harus kecuali ada nas menunjukkan akan keharamannya"

Diriwayatkan daripada al-Mughirah r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya pendustaan terhadapku adalah tidak sama dengan pendustaan yang dilakukan terhadap seseorang kerana orang yang sengaja mendustakanku akan disediakan baginya azab dari api Neraka [Bukhari, Kitab Jenazah no 1209, Muslim, Mukaddimah no 9, TIrmidzi, Kitab Jenazah no 921, Ahmad Juzuk 4/245 & 252]

Wallhualam.