Tentang Muslim Taksub dan Melayu Radikal

Oleh: Dr Ahmad Farouk Musa (Diterjemah daripada artikel asal “Of Muslim Bigots and Malay Zealots” oleh Dr Ahmad Nabil Amir, Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front)

Setelah hangat digembar gembur, rapat umum Himpun di Stadium Shah Alam akhirnya bukanlah suatu perisitwa yang historik. Kehadiran yang dingin yang hanya berhasil menarik sekitar lima ribu jiwa yang dahaga merupakan suatu kegagalan mutlak dari segi jangkaan untuk mengerahkan satu juta umat.

Sungguhpun diklaim bahawa pertemuan Himpun adalah suatu kejayaan oleh pihak penganjur, adalah jelas bahawa ia lebih untuk memberi keyakinan sendiri. Himpun gagal dengan teruk dalam usaha mereka untuk membangkitkan inspirasi umat Islam yang berfikir bagi mendukung perjuangan jihad mereka.

Penekanan mereka bahawa matlamatnya adalah kempen kesedaran sukar untuk ditelan. Media arus perdana khasnya Utusan telah memukul gendang memainkan isu ini selama lebih berminggu. Ia pastinya menghantar kesan kekecewaan yang sebenar kerana walaupun dengan keadaan cuaca yang baik, ia masih tidak dapat menarik kehadiran yang penuh seperti yang dijangkakan.

 

Slogan

Salah satu daripada sekian banyak poster yang terpampang jelas ketika majlis tersebut menyebut: ““Melayu Sepakat, Islam Berdaulat”. Bagi kebanyakan aktivis Islam, slogan ini bukanlah sesuatu yang asing. Ia dimiliki oleh sebuah gerakan Islam yang mendakwa menjadi wakil “sebenar” gerakan “al-Ikhwan al-Muslimun”, iaitu ISMA atau Ikatan Muslimin Malaysia.

Seseorang akan kehairanan memikirkan sama ada dakwaan yang mereka pertahankan sebagai satu-satunya jama’ah yang mengikut dengan sebenarnya metodologi da‘wah Ikhwan al-Muslimun adalah sesungguhnya berasas. Ia mungkin bukan suatu keangkuhan bagi seseorang yang membaca artikel-artikel yang dimuatkan dalam laman sesawang mereka untuk menyimpulkan betapa taksubnya mereka dengan sangkaan bahawa pendirian merekalah satu-satunya yang paling benar.

 

Jurucakap

Sepertimana dijangka, bekas pemimpin ABIM – Angkatan Belia Islam Malaysia, Yusri Mohamad adalah pengucap pertama dalam perhimpunan tersebut. Hal ini tidak menghairankankan kerana beliau adalah “jeneral perang” ketika isu Lina Joy bergolak dan kini menjadi Presiden Pembela – sebuah gabungan longgar Pertubuhan Muslim untuk Membela Islam.

Yusri mendakwa tidak ada pelanggaran yang lebih besar terhadap hak-hak kemanusiaan daripada pelakuan murtad. Antara pembicara yang terkemuka seterusnya adalah Mufti Perak, Haji Harussani Zakaria dan pengerusi-bersama Himpun Cikgu Azmi Abdul Hamid.

Harussani mendakwa bahawa Melayu adalah bangsa yang paling istimewa di dunia kerana semua orang Melayu “adalah Islam menurut perlembagaan”.

Sementara itu Cikgu Azmi mempersoalkan hak Himpun untuk menganjurkan perhimpunan. Ia adalah hak demokrasi yang termaktub dalam perlembagaan.

Beliau turut membacakan 10 resolusi Himpun yang mengesyorkan tuntutan memperkenalkan Akta Anti-Murtad dan Gerakan Pemurtadan. Dan hal ini akan menjadi fokus penting perbincangan kita.

 

Akta Anti-Murtad dan Pemurtadan

Kita telah melihat sejauh ini pembenturan antara kem Islamis dan nasionalis dalam mewarwarkan agenda utama mereka untuk membela agama.

Kedua-dua kem sepakat tentang satu isu yang fundamental bahawa akidah adalah isu yang tertakluk kepada budi bicara negara. Lantaran itu mereka menuntut kuasa negara supaya campur tangan dalam menguatkuasakan Akta yang boleh menghalang orang Islam daripada meninggalkan agamanya dan bukan Islam daripada menjalankan dakyahnya terhadap penganut Islam.

Ia merupakan suatu hal yang aneh bagi suatu agama yang agung seperti Islam untuk mengharapkan peruntukan Akta seperti ini bagi melindungi penganutnya daripada meninggalkannya. Ia hanya menunjukkan bahawa agama yang telah bertahan sepanjang sejarah peralihan zaman sejak kemunculannya tiba-tiba memerlukan akta pelindung untuk memastikan kelangsungan dan survivalnya.

Adakah Islam, sebuah agama yang sering mengacu pada akal, telah beralih kepada otokrasi sebagai sifatnya? Adakah ia telah begitu terkebelakang sehingga tidak mampu mendepani cabaran moden yang tidak mengenal sempadan sehingga mendesaknya menggubal Akta yang dapat melindunginya? Mengapa orang Islam harus hidup dengan mental yang terbelenggu ini, dengan sikap yang defensif dan menanam prasangka bahawa kaum lain senantiasa memusuhi mereka?

 

Kebebasan Naluri

Salah satu ciri dan karakter zahir yang diraikan tentang Islam adalah pengiktirafannya terhadap kebebasan naluri. Dan ayat yang paling kerap dinukil ialah: “Tidak harus ada sebarang paksaan dalam urusan agama” [2:256]

Ayat ini adalah salah satu daripada banyak ayat lain yang mengesahkan prinsip kebebasan memilih dalam perkara yang berkait dengan keyakinan peribadi.

Banyak pihak dalam lingkungan penganut Islam dan kalangan yang berugama, tanpa terkecuali para ulama’; mempunyai interpretasi bahawa ayat ini hanya bermaksud orang yang tidak beriman tidak boleh dipaksa memeluk Islam. Bagaimanapun setelah diikrarkan keimanannya, tidak lagi boleh keluar daripada agama. Sama juga situasinya seorang insan, yang dilahirkan sebagai Muslim, harus mengikrarkan keimanan terhadap agamanya, walaupun ia bercanggah dengan segenap persepsi tentang kebebasan naluri.

Memadai untuk dinyatakan bahawa al-Qur’an sarat dengan dalil selain daripada yang dinukil di atas yang memperlihatkan manusia sebagai wakil yang bebas yang diperkasakan untuk menentukan pilihannya sendiri. Hujahan bahawa setelah seseorang mendakap Islam, maka ia harus kekal menjadi Muslim selamanya tidak lain melainan suatu kepincangan yang nyata.

Argumen seperti ini tidak menzahirkan mesej yang sebenar tentang kebebasan beragama. Oleh kerana Islam secara etimologinya bermakna upaya meraih keamanan dhamir dengan penyerahan yang bersandarkan kerelaan dan kesedaran kepada Tuhan, adalah tidak dapat dibayangkan kemungkinan mencapai keamanan tersebut sekiranya seseorang dipaksa memeluk Islam atau terus kekal dengan keislamannya sungguhpun bercanggah dengan kehendak dan kemahuannya sendiri.

Argumen seperti ini tidak kira dengan alasan dan justifikasi bagaimana sekalipun adalah tidak konsisten dan selaras dengan maqasid dan prinsip teras al-Qur’an. Ia juga bercanggah dengan ayat-ayat yang tidak boleh dinafikan dalam al-Qur’an yang menegakkan kebebasan naluri yang berasaskan semua pertimbangan yang menekankan rasa hati untuk bebas menerima dan meyakini.

 

Campurtangan Negara

Bukti utama yang lain yang sering diangkat sebagai asas bagi membenarkan campurtangan negara dalam urusan yang menyentuh aqidah adalah tindakan Abu Bakr, Khalifah pertama setelah Nabi yang melancarkan serangan terhadap Musailamah al-Kazzab, yang mendakwa hak nubuwwah setelah kewafatan Nabi.

Pembela aqidah percaya bahawa ini adalah dalil yang tidak boleh disangkal bahawa negara mempunyai hak untuk campur tangan apabila ia melibatkan kasus orang beriman meninggalkan agamanya.

Seperti yang diungkapkan sebelumnya, agama adalah keyakinan peribadi. Negara tidak punyai hak untuk campurtangan terhadap keputusan seseorang memilih agamanya. Seseorang bertanggungjawab terhadap Tuhan di atas keputusan yang diambil dalam hidupnya.

Ghannoushi melihat “riddah” sebagai tindakan khianat dan aggresif terhadap negara dan bukan hanya perlakuan murtad atau berpaling daripada agamaTidak akan diketemui satu ayat dalam al-Qur’an yang menghalang seseorang untuk mendakap atau meninggalkan agama yang tidak diimaninya lagi. Negara malahan mempunyai peranan untuk memantau mana-mana kuasa yang cuba menafikan manusia daripada menyempurnakan hak kebebasan agamanya, sama ada memeluk atau meninggalkan agama yang ia anuti.

Negara hanya boleh campurtangan sekiranya perlakuan murtad dikaitkan dengan bukti penderhakaan dan pengkhianatan, kerana hal ini termasuk dalam bidang kuasa negara.  

Justeru tindakan Abu Bakr, Khalifah yang pertama adalah dibuat dalam kapasitinya selaku pemimpin negara yang melihat perlakuan murtad sebagai pengkhianatan dan tantangan terhadap negara. Dalam istilah Islam, hal ini dikenali sebagai “siyasah syar’iyyah” – bermakna keputusan dan polisi yang diambil oleh pemimpin dalam perkara yang tidak ditemui ketentuan yang spesifik dalam syari‘ah.

Siyasah syar’iyyah adalah selari dengan penetapan hukum mengikut maslahah, atau kebajikan umum, di mana Pemberi hukum tidak mendukung atau membatalkannya.

Rashid Ghanoushi, tokoh Islamis asal Tunis, pengasas dan bekas pemimpin politik buangan dari Hizb an-Nahdah – Parti Renaisans – mengutarakan pandangan bahawa “ar-riddah” – berpaling tadah atau murtad – yang merupakan ancaman pertama dihadapi oleh Abu Bakr, lebih sebagai pemberontakan militer daripada aksi murtad semata.

Yang bermakna, bahawa Ghannoushi melihat “riddah” sebagai tindakan khianat dan aggresif terhadap negara dan bukan hanya perlakuan murtad atau berpaling daripada agama.


Komuniti Munafik

Sebagai rumusan, adalah releven untuk menekankan bahawa kebebasan beragama merupakan suatu pelindung daripada tindakan opresif oleh sumber kuasa yang lebih tinggi.

Dakyah untuk menegakkan Akta Anti-Murtad dan Gerakan Pemurtadan tidak hanya bertentangan dengan semangat al-Qur’an dalam menjamin kebebasan naluri dan kebebasan beragama, malah akan mencambahkan masyarakat yang hipokrit atau “munafiqin”. Yang demikian ini adalah kesan akhir apabila negara mula menggunakan kuasanya untuk menghalang orang Islam daripada meninggalkan agama yang tidak diyakininya lagi.

Namakan ia “amar ma’ruf nahi munkar” – menyeru pada kebaikan, mencegah kemungkaran – atau apa saja konsepsi Islam, kesan yang dilahirkan adalah ia hanya memperlihatkan Islam sebagai agama yang tidak toleran malahan bersandar pada kuasa dan autoriti berbanding sebagai agama yang menyeru pada fikrah dan akal.

 


Dr Ahmad Farouk Musa adalah pakar bedah Kardiotorasik yang terlatih. Beliau merupakan ahli akademik di Universiti Monash dan pengerusi Islamic Renaissance Front, sebuah gerakan intelektual yang menfokuskan kepada pemberdayaan anak muda.