Islam Progresif: Wacana Kritis dalam Pemikiran Keugamaan dan Tradisi Keintelektualan Muslim - Bahagian Akhir

Primary tabs

Asghar Ali EngineerMuhammad Nazreen Jaafar | Intern, Islamic Renaissance Front

“Jika kita inginkan revolusi pembaharuan di dalam dunia Islam, kita perlu memulakannya daripada sistem madrasah. Sistem ini harus disemak dan diubah sepenuhnya sehingga membolehkan kemasukan pendekatan-pendekatan dan subjek-subjek moden” [Asghar Ali Engineer].

Petikan di atas diambil daripada versi asal “Islam and Contemporary Issues'” yang diterbitkan pada awal April 2009. Jadi, penegasan beliau untuk mewujudkan wacana-wacana baru yang terus berkembang dalam ranah menvisikan kebudayaan adalah menerusi reformasi sistem pendidikan.

Hal ini tidaklah bermaksud silibus pengajian yang sedia ada kurang memutukan keberkesanannya tetapi kesediaan untuk mengadaptasikan kemajuan dan kemunduran umat Islam adalah terletak pada keberanian mereka untuk sedia berubah. Nukleus perubahan pendidikan ke arah yang lebih semasa saya kira bakal menjanjikan paradigma pemikiran berpusar di dalam rencam yang lebih ke hadapan.

Teks  pengajian masih berteraskan pemahaman lampau yang serba tidak  diperbaharui dan bagaimanakah mereka cuba mendepani dan berhadapan  dengan cabaran serta bentuk intelektualisme yang sofistikated sekiranya  masih alpa untuk dibelenggu dengan kisah-kisah pengajian klasik.Lanjut, etika dan mutu pendidikan yang berkesan bermula daripada keberanian untuk berfikir. Sebagaimana yang disampaikan oleh Fazlur Rahman, pembekuan pemikiran langsung terjadi akibat daripada kelembapan pendidikan Islam yang masih tersangkut dengan romantisisme sejarah zaman lampau. Lantas, teks pengajian mereka masih berteraskan pemahaman lampau yang serba tidak diperbaharui dan bagaimanakah mereka cuba mendepani dan berhadapan dengan cabaran serta bentuk intelektualisme yang sofistikated sekiranya masih alpa untuk dibelenggu dengan kisah-kisah pengajian klasik.

Menurutnya lagi, penghargaan tradisi harus bermula dengan kesediaan menerima cabaran yang diketengahkan dan keselariannya dengan keperluan dewasa ini. Pengiktirafan keintelektualan harus berkaca dengan kebudayaan kritis di saat berlangsungnya sikap yang anti-intelektualisme dan ketumpulan keberanian moral. Usaha pembaharuan dan rekonstruksi sosial adalah mustahak untuk menjadikan landasan kritis sebagai tiang dan fundamental untuk tersandar dengan kebenturan pemikiran.

Pemikiran Kritis

Menggerakkan pemikiran ke arah kritis bukanlah tugas yang dipikul golongan elit cendiakawan sahaja dan pemikiran orang awam dibiarkan tersenggang daripada struktur ini tetapi harus dipupuk oleh setiap orang bagi mengelakkan proses 'dehumanisasi' manusia itu terjadi. Manusia ini sememangnya berhak untuk berkhilaf dan memperbaharui sikap dan pandangan mereka, proses keberjadian manusia juga sebenarnya perlu disusun untuk terus berfikir dengan radikal untuk meningkatkan tahap ide masing-masing.

Menggerakkan pemikiran ke arah kritis adalah tugas semua orangDalam erti kata lain, penghargaan yang kritis terhadap sejarah membenarkan seseorang untuk meneladani pengertian lain berkenaan sejarah dan peranan mereka dalam sejarah tersebut. Paolo Freire menanggapi hal ini dengan memberikan pengertian bahawa itu bermaksud mereka enggan berkecuali, sebaliknya, mereka akan terus menggerakkan yang lain demi mengubah dunia.

Komitmen untuk berfikiran kritis pastinya akan membina keteguhan daripada sebarang ancaman. Mereka tidak takut untuk dipinggirkan, diganggu atau digertak oleh kekuasaan. Malah, kita sedia maklum, kekuasaan sebenarnya dibayangi dengan ketakutan yang dahsyat dengan kebebasan berfikir kerana kebebasan berfikir adalah prasyarat utama dalam pembangunan individu yang berpendirian kritis terhadap masyarakat.

Ujar Peter Lavrov di dalam bukunya Russian Philosophy, masyarakat akan terancam dengan kejumudan sekiranya mereka melemaskan pemikiran-pemikiran kritis individu di dalam masyarakat mereka.

Perkara ini penting untuk membenarkan hal-hal yang disifatkan sebagai kemaslahatan umum dapat terbela dengan rinci-rinci kerangka pemikiran yang kritis dapat dilukut daripada setiap sisi-sisi mereka melihat persoalan dan perbahasan yang alami.

Penentangan Terhadap Budaya Taqlid

Edward Said: Taqlid buta kepada pihak berkuasa ancaman paling besar untuk kewarasan intelektual yang beretika dan aktifMenurut Edward Said pula, kepatuhan membuta sepenuhnya kepada pihak berkuasa (juga: status quo yang berautoriti agama) dalam dunia hari ini adalah salah sebuah ancaman paling besar untuk kewarasan intelektual yang beretika dan aktif. Di sini, saya melihat apa yang cuba disampaikan oleh pemikir besar seperti Edward Said dan Fazlur Rahman adalah ancaman besar yang mengiringi musibah buat sekalian umat adalah bentuk pemikiran yang dididik secara stereotaip mengikut struktur tradisi yang ditetapkan di zaman yang lampau.

Bentuk hegemoni pemikiran yang mempunyai kecenderungan teologi dan simbol kepada bentuk 'theist' adalah penghalang utama dalam segala bentuk yang mengisi aspek kemasyarakatan. Pemikiran sebegini tidak terlepas dalam perbincangan yang meliputi ilmu ketuhanan, sosio-politik, ekonomi, seni kebudayaan malah kesusasteraan sekalipun. Kendatipun, kita melihat permasalahan kelompok ini sebenarnya wujud di mana-mana polemiknya termasuklah di Tanah Melayu.

Saya kira sekiranya kita mengimbas kembali kemelut pemikiran yang dicetuskan Kaum Tua dan Kaum Muda sekitar 1950an dahulu, bentuk penindasan yang ada kecenderungan teologi ini memupuk manusia untuk bertindak dengan kekerasan walhal agama itu sendiri bukanlah aparatus membenarkan kekerasan dan paksaan terhadap iman orang lain.

Kemuncak perdebatan aliran baru yang terpengaruh dengan pembaharuan Jamaluddin al-Afghani dan Imam Muhammad Abduh ini adalah dengan ketidaksenangan golongan konservatif (Kaum Tua) terhadap kemunculan bentuk-bentuk sastera yang mengangkat hal yang dianggap moden dan asing dalam masyarakat.

Hal ini dibuktikan dengan tulisan Syed Sheikh al-Hadi dalam Hikayat Faridah Hanum yang saya kira merupakan adaptasi semula pemikiran reformasi kebudayaan yang mula berani untuk mengangkat tema-tema seksualiti dan feminisme.

Demikian juga keberanian Kaum Muda dalam mereformasikan pemikiran umat yang beku dan kolot dari segi pendidikan dan sains moden. Dengan perjuangan memartabatkan ilmu yang bukan hanya berkisar disekitar fardu ‘ain tetapi juga merangkumi ilmu astronomi, geografi, biologi dan berbagai ilmu moden yang lain, maka lahirlah Madrasah al-Mashur di Pulau Pinang.

Jadi, tugas mendengungkan semula kemurnian ajaran Islam terletak kepada keberanian umatnya melakukan pembaharuan yang membawa potensi kebaikan. Hal yang lebih genting lagi adalah bagaimana kita mengelakkan agama dijadikan modal kekuasaan untuk membentuk hegemoni yang ekstrem sepertimana yang pernah dinyatakan oleh ahli falsafah, Ibn Rushd: 'Tiada terdapat kezaiman di bumi sepertimana kezaliman agamawan'.

Tema terakhir yang saya kira penting adalah usaha yang memurnikan keseimbangan teks (naqliah) dan rasional (aqliah) dengan memahami maqasid yang cuba dikecapi selari dengan konteks zaman adalah visi penting di dalam kurikulum yang merancakkan Islam Progresif.

Gagasan Pembaharuan Islam

Dalam membangunkan kemurnian agama sebagai citra positif, pelengkapan terhadap gagasan pembaharuan Islam, Nurcholish Majdid pernah mengkehadapan program liberalisasi yang meliputi sekularisasi, kebebasan berfikir, ide mengenai kemajuan dan sikap terbuka.

Penafsiran al-Quran perlu diperbaharuiJalan ke arah reformasi agama harus bertunjangkan kepada keabsahan nilai-nilai murni yang terdapat di dalam al-Qur’an dan bukannya tafsiran-tafsiran masa lampau yang masih membelenggu pemikiran umat masa kini. Segala penafsiran kuno yang terikat dengan masa lalu umpamanya pembahagian negara kepada Darul Islam dan Darul Harb, ataupun pandangan terhadap bukan Islam sebagai dzimmi yang wajib membayar jizyah sebagai warga kelas dua adalah contoh keterikatan pemikiran umat di zaman moden ini dengan fiqh masa silam.

Tambah malang, komitmen menjadi seorang Muslim yang baik dikaitkan hanya dengan  mereka yang mendokong perjuangan politik parti Islam atau menjadi anggota parti Islam dan memperjuangkan penubuhan sebuah Negara Islam. Dengan semudah begitu, kesungguhan mereka terbukti. Bahkan, orang Islam yang tidak menyokong parti Islam atau wacana Negara Islam dianggap tidak peduli dengan perjuangan Islam dan sama tidak peduli terhadap Islam sebagai agama.

Tetapi, apa yang dilihat, imej yang terbangun dengan perjuangan berlandaskan atas nama agama ini sering berakhir dengan reputasi pemaksaan kuasa yang mencengkam dan menghalalkan ketidakadilan terhadap golongan bawahan dan wanita. Kenapa?

Kerana kesedaran bahawa kebenaran hanya menjadi monopoli perjuangan parti Islam sahaja dan tidak dilihat sebagai tawaran kepada kesejagatan umat manusia. Pada masa yang sama, perbahasan yang mendalam terhadap jurang dan kesenggangan ilmu teologi tidak diraikan. Itulah masalahnya.

Kesimpulan: Masa Depan Buat Islam Progresif

Islam seharusnya dilihat sebagai agama yang melangkaui tindak penganutnya sahaja tetapi Islam harus dijernihkan sebagai fahaman yang meraikan keterbukaan, kepelbagaian dan keadilan sejagat. Soal demokrasi dan hak asasi manusiawi misalnya, tuntutan yang meraikan kesaksamaan sejagat ini harus dipaparkan sebagai entiti yang bersamaan dengan perjuangan Islam.

Islam progresif ini harus difahami sebagai paradigma yang berdiri dengan pemahaman yang menekankan persamaan nilai-nilai asasi manusiawi yang universal. Misalnya, benih-benih Islam Progresif di nusantara seawal abad ke 20. Haji Agus Salim dan HOS Tjokroaminoto (Tokoh utama Sarekat Dagang Islam) boleh dikira sebagai pelopor Islam Progresif.

Kedua-dua tokoh ini menyumbang ke arah gerakan Islam yang menjadikan demokrasi, kemerdekaan dan keadilan sebagai tujuan masing-masing. Agus Salim misalnya, dalam hampir semua tulisan, pidato, dan khutbahnya selalu menekankan nilai-nilai universal dan kesetaraan antara sesama manusia. Dia menekankan bahawa perbezaan seksual antara lelaki dan perempuan tidak lagi relevan digunakan dalam alasan melanjutkan struktur patriaki dan hubungan kuasa berdasarkan gender.

Jadi, sebagai langkah permulaan, usaha menghidupkan wacana kritis dan konsep berani berfikir ini adalah cara menghidupkan dan meneruskan legasi Islam Progresif dalam dunia intelektual Islam moden pada hari ini. Kebanyakan pemikir dan sarjana Islam kontemporari turut menyakini bahawa tuntutan reformasi keagamaan ini perlu supaya masyarakat Islam tidak tersepit dengan taqlid buta (sebagaimana sindrom fiqihisme yang dijelaskan di bahagian pertama), dan kemunduran dalam berfikir akibat keterikatan dengan dogmatisme yang ditanam semenjak berzaman dahulu.