JH-BUKU-002- Sahih Muslim

Primary tabs

Oleh: alitantawi

- Nama penuh buku: Al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasor Min al-Sunan Bi Naqli al-‘Adl ‘an al-‘Adl ‘An Rasulillah (SAW).

- Buku yang dianggap kedua terbaik dalam mengumpulkan hadith-hadith sahih selepas buku Sahih al-Bukhari.

- Bilangan hadith di dalamnya ialah sebanyak 3033 tanpa berulang.

- Disusun mengikut bab fiqh dan ia lebih mudah digunakan berbanding buku-buku lain kerana Muslim mengumpulkan hadith-hadith yang berkaitan pada satu tempat.

- Perkataan ’al-Musnad’ dalam nama bukunya itu memberi maksud bahawa Muslim menumpukan kepada hadith-hadith yang benar-benar datangnya daripada Rasulullah SAW lebih dari tumpuan beliau terhadap kata-kata sahabat dan sebagainya. 

- Perkataan ’al-Sahih’ pula memberikan isyarat bahawa beliau (seperti mana al-Bukhari) ingin mengumpulkan hadith-hadith yang sahih. Namun begitu, dalam menyusun hadith-hadith buku beliau, Muslim telah menyelitkan juga beberapa hadith dhaif bagi menjelaskan pandangan beliau tentang cara penilaian hadith antara sahih dan dhaif. Ia difahami oleh ulama-ulama hadith yang mengetahui cara membacanya.

- Perkataan ’al-Mukhtasor’ pula bermakna ringkasan kerana beliau tidak berniat untuk mengumpulkan kesemua hadith sahih. Beliau hanya mengambil sebahagiannya dan ia dikira sebagai pilihan hadith-hadith sahih terbaik menurut metodologi beliau.

- Berlainan dengan Sahih al-Bukhari dan beberapa buku hadith lain yang tidak mempunyai pendahuluan, Muslim telah menulis pendahuluan yang panjang lebar tentang metodologi beliau dalam menyusun buku Sahih Muslim serta maklumat lain tentang periwayatan hadith. Pendahuluan beliau amat penting untuk dibaca oleh mereka yang ingin mengetahui bagaimana Sahih Muslim disusun.

- Terdapat hadith-hadith di dalam Sahih Muslim yang menyamai hadith-hadith dalam Sahih al-Bukhari dan dikenali dengan istilah ’Muttafaqun ’Alaih’ atau ’Rawahu al-Syaikhan’. Begitu juga terdapat di dalam Sahih Muslim hadith-hadith yang tidak ada di dalam Sahih al-Bukhari.

- Buku Sahih Muslim telah diambil dengan lengkap oleh murid-murid Muslim seperti Ibrahim Ibn Muhammad Ibn Sufyan dan lain-lain lagi serta dipelihara zaman berzaman sehinggalah ia dicetak dengan lengkap dan baik pada zaman ini.

- Terdapat huraian terhadap maksud hadith-hadith Sahih Muslim yang ditulis oleh al-Nawawi dan lain-lain lagi.

- Buku Sahih Muslim juga telah diringkaskan iaitu dengan mengumpulkan hadith-hadith tanpa berulang serta membuang senarai nama-nama periwayat (sanad) dengan hanya menyebut teks hadith Rasulullah SAW. Riwayat-riwayat daripada kata-kata sahabat dan tabiin juga tidak disebut. Cara begini dapat memudahkan pembaca untuk membaca dan mencari teks hadith Sahih Muslim. Di antara mereka yang meringkaskan buku Sahih Muslim ialah seperti al-Qurtubi (656H) dan al-Mundziri (656H).

- Buku ini (sama ada edisi lengkap atau ringkasan) telah diterjemah ke pelbagai bahasa termasuklah Bahasa Indonesia dan Malaysia.

- Sahih Muslim adalah diterima sebagai hujah walaupun terdapat sebahagian kecil ulama hadith yang mengkritik beberapa aspek daripada beberapa hadith, jumlah hadith-hadith yang dipertikaikan itu terlalu sedikit dan langsung tidak menjejaskan kedudukan Sahih Muslim sebagai buku kedua terbaik selepas Sahih al-Bukhari.

- Seseorang yang ingin mempertikaikan kesahihan hadith dalam Sahih Muslim perlulah merujuk kepada kajian ulama terdahulu di zaman Muslim atau zaman yang hampir dengannya agar tidak tersalah langkah dalam menolak hadith-hadith yang sahih. Keghairahan sebahagian penuntut ilmu untuk mempertikaikan hadith-hadith dalam Sahih Muslim selalunya adalah berdasarkan kegopohan dan sikap ingin menonjolkan diri. Semoga kita dikurniakan sikap rendah diri dalam menghormati kajian ulama salaf dan sekiranya kita ingin mengkritik, biarlah kita mampu dan tahu selok-belok ilmu ini terlebih dahulu serta mengkritik dengan beradab.

Sumber Rujukan:

- Muqaddimah Sahih Muslim.

- Manhaj al-Naqd Fi ’Ulum al-Hadith – Dr. Nuruddin ’Itr.

- Manahij al-Muhaddithin – Dr. Sa’d al-Humayyid.

- Masadir al-Sunnah – Dr. Hatim al-Syarif.

- Tadwin al-Sunnah al-Nabawiyyah – Dr. Muhammad al-Zahrani.