Kita Adalah Bekas Tanah Jajahan British: Respon kepada Dr. Zainal Kling dan MPN

Oleh Ahmad Fuad Rahmat|Felo Penyelidik, Islamic Renaissance Front (IRF)

Dr Zainal Kling bersama Majlis Professor Negara (MPN), yang mendakwa mempunyai jumlah keahlian sehingga 1500 orang, baru-baru ini berhujah bahawa Malaysia tidak pernah dijajah oleh British. Seperti yang dilaporkan Malaysiakini[1] dan Berita Harian[2], inti utama hujah mereka adalah seperti berikut:

 

  1. Malaya adalah di bawah naungan British, bukannya tanah jajahan. Ini telah dimeterai di bawah Perjanjian Pangkor pada tahun 1987.
  2. Tetapi pihak British pernah mempunyai kuasa pentadbiran di dalam urusan kewangan dan mengeksploitasi hasil bumi Malaya.
  3. Sungguhpun demikian, Dr Kling masih menyatakan bahawa kedaulatan Melayu terus terpelihara.
  4. Oleh itu, apa yang dikenali kini sebagai Malaysia (kecuali Melaka dan Pulau Pinang) tidak pernah dijajah oleh British.

Masalah di dalam hujah-hujah Dr Kling adalah seperti berikut:

1) Hujah tersebut tidak lojik

    Penjajahan melibatkan ekploitasi kekayan dan potensi sesuatu negara oleh negara yang lain. Senarionya adalah sebuah negara ditakluk oleh kuasa dan autoriti negara lain. MPN sendiri mengakui bahawa hasil bumi Malaya dan autoriti kewangan telah dieksploitasi oleh British ‘dengan mengingkari janji’  menunjukkan kelemahan sebenar kuasa dan keupayaan politik Malaya.

    Sekiranya sesebuah negara dieksploitasi sedemikian rupa maka kedaulatan negara tersebut telah dicabul. Memandangkan ini adalah situasinya di Malaya, seperti fakta yang telah dipersembahkan di dalam penaakulan MPN, maka Malaya boleh dikatakan pernah dijajah oleh British.

    Persoalan yang tinggal adalah sekiranya Malaya hanyalah negara naungan British maka mengapa British turut mengeksploitasinya?

     

    Perjanjian Pangkor 18742) Kedaulatan Melayu tidak pernah dipelihara di bawah Perjanjian Pangkor.

      Hal ini kerana ia memberi British mandat untuk menasihati dan campur tangan di dalam urusan tempatan.

      Hal ini juga telah diakui secara eksplisit di dalam buku teks PMR selama berpuluh tahun, malah turut diakui di dalam laman sesawang Pemuda UMNO. [3] Walaupun demikian, sesetengah fakta tidak dapat dipertikaikan: 

      • Perjanjian ditulis di dalam Bahasa Inggeris
      • Ia telah ditandatangani di atas kapal British
      • Artikel 6 perjanjian itu menyatakan: “Bahawa Sultan menerima dan menyediakan sebuah kediaman yang sesuai untuk seorang Pegawai British yang dinamakan Residen, yang akan ditauliahkan ke istana Baginda, dan nasihatnya mestilah diminta dan diambil tindakan atas semua persoalan selain yang menyentuh agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.”[4]
      • Pengutipan cukai akan dipantau dan diuruskan oleh Residen British.
      • Disebabkan oleh tekanan dan caturan politik British, Sultan Ismail digulingkan dan diganti dengan Sultan Abdullah.

       

      3) Mereka tidak memahami apa yang dimaksudkan dengan kedaulatan

        Kedaulatan secara umum bermaksud kuasa. Daripada sudut isitlah negara bangsa moden, kedaulatan politik secara asasnya bermaksud kuasa mutlak dan kawalan sesebuah negara dan sempadannya terletak di bawah suatu negara. Oleh itu, sesebuah negara dikatakan telah medeka kerana ia telah memperoleh kedaulatannya. 

        Apa yang dimaksudkan adalah kewangan dan hasil bumi negara tersebut adalah sebahagian daripada kedaulatannya. Dr Kling, atas sebab tertentu menganggap hanya kerana British membiarkan urusan budaya Melayu dan agama di bawah pemerintahan Sultan maka ini bermakna kedaulatan Melayu telah dipelihara. Pihak British, yang datang begitu jauh dari Eropah dengan matlamat utama mengintai kekayaan, hasil bumi dan potensi ekonomi, tentulah tidak berminat untuk mengambil tahu tentang bagaimana kita bersembahyang dan menjalankan amalan-amalan tahyul dan kebudayaan. Residen British telah pun memiliki sesuatu yang penting dalam menentukan kedaulatan sesebuah negara: iaitu ekonomi dan pengaruh di dalam sistem politiknya.

         

        4) Hujah tersebut menganggap bahawa penjajahan mestilah berlaku secara terus

          Namun penjajahan itu jarang sekali secara terus. Lihatlah pada asas sejarah. 

          Adalah menjadi tabii penjajahan Eropah moden yang mana saiz keseluruhan jajahan adalah lebih besar daripada saiz negara yang menjajah. Hal ini merupakan situasi yang berlaku terhadap British dan juga kepada Perancis, Spanyol, Belgium, Belanda, Jerman dan Portugal.

          Sebagai contoh: Negara kecil Portugal berjaya menghimpun tanah yang meliputi saiz Brazil. Belanda melakukan perkara yang sama di Indonesia dan Spanyol  melakukan perkara yang sama di bahagian America Latin. Hal ini belum lagi mengambil kira saiz dan capaian global Empayar British. Ia terpakai dalam semua kes penjajahan Eropah moden: banyak bahagian bumi ini ditakluki oleh negara yang lebih kecil.

          Apa yang ingin dijelaskan adalah negara yang menjajah tidak mampu untuk mengekalkan kehadiran mereka selama berabad lamanya hanya melalui kuasa ketenteraan atau pemerintahan terus. Mereka memerlukan cara lain untuk mengesahkan kehadiran mereka ketika ditewaskan dengan jumlah bilangan pribumi dan budaya asing. Cara untuk menjamin kehadiran mereka adalah pelbagai: salah satu strategi lazim adalah untuk menukarkan ideologi atau agama mereka yang dijajah kepada ideologi atau agama penjajah, untuk menyakinkan mereka yang dijajah bahawa mereka itu lebih rendah tarafnya. Suatu lagi pendekatan biasa penjajah adalah dengan menjadikan mereka yang dijajah berkerja sebagai agen dan rakan, baik sebagai rakan perniagaan atau rakan pentadbiran untuk membantu memudahkan dan mempercepatkan proses eksploitasi. 

          Dalam erti kata lain, penjajah tidak punya sebarang masalah untuk berkerjasama dengan kelas pemerintah tempatan sebagai penasihat atau birokrat, atau di dalam kes Malaya mereka berfungsi dalam samaran sebagai  pelindung, atau berkhidmat sebagai ‘residen’. Malahan, itu menjadikan penjajahan lebih efisien memandangkan penjajah mempunyai rakan tempatan untuk melindungi dan mengesahkan kehadiran mereka.

           

          Kesimpulan: Ingatlah gambaran keseluruhan.

          Kesimpulannya kita harus ingat bahawa hujah Dr Kling dan MPN dibuat sebagai respon terus kepada cubaan Mat Sabu untuk meluaskan skop sejarah perjuangan anti-kolonial. Dengan membuat kesimpulan bahawa British tidak pernah menjajah Malaysia, beliau cuba untuk mencemarkan nama baik rakyat Malaysia, terutamanya gerakan kiri yang telah mejadikan British (berbanding Komunis atau sekurang-kurangnya Jepun) sebagai watak jahat utama dalam perjuangan medapatkan kemerdekaan Malaya.

          Pengajaran yang harus diberi perhatian di sini bukan hanya sifat ideologi hujah-hujah Dr Kling dan MPN, tetapi sifat ideologi mana-mana perjuangan menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan. Perbezaan golongan kiri-kanan yang perlahan-lahan muncul di dalam debat sebegini sepatutnya mengingatkan kita bahawa kemerdekaan adalah lebih daripada sekadar menyingkirkan penjajah. Reaksi meluap-luap yang jelas ditonjolkan adalah bahawa perjuangan masih berkisar tentang prinsip-prinsip bagaimana sepatutnya bentuk sebuah masyarakat yang adil.  Sesetengahnya berasa puas dengan apa yang telah dicapai Malaysia, namun sesetengah yang lain percaya ada kemungkinan yang lebih besar daripada apa yang telah dicapai setakat ini. 

          Memori adalah di mana kebebasan sebenarnya bermula. Kita hanya dapat membuat pilihan yang tepat untuk masa depan berdasarkan apa yang dapat kita imbau daripada kesilapan dan kejayaan masa lalu. Dalam erti kata lain, kita adalah sebaik (atau seburuk) apa yang mahu kita ingat dan lupakan.


          References:
          [1] http://www.malaysiakini.com/news/175301
          [2]http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Komunis_golonganhaluankiripen...
          [3]http://www.pemudaumno.org.my/modules.php?name=News&file=article&sid=7567
          [4] Barlow, H. S. (1995) Swettenham. University of Michigan Press: Southdene. Pg. 48.