Mengenali Syeikh Abd. Fattah Abu Ghuddah - rahimahullah..!

Oleh: alitantawi

Di antara tokoh hadith yang amat berjasa dalam kajian hadith moden ialah seorang alim bernama Abd. Fattah Abu Ghuddah. Abu Ghuddah atau nama penuhnya Abd. Fattah Bin Muhammad dilahirkan pada 9 Mei tahun 1917.

Semasa belajar di Jordan, saya amat berterima kasih kepada abang-abang ‘senior’ kerana telah memperkenalkan saya kepada nama Abd. Fattah Abu Ghuddah yang tertera pada buku-buku yang dijual di sana. Walaupun pada awalnya mereka tidak menjelaskan siapakah beliau sebenarnya dan apakah kelebihannya, saya sudah tertarik untuk membeli buku-buku beliau. Sehinggalah saya bersahabat dan berguru dalam masa yang sama dengan salah seorang ‘senior’ saya iaitu Ustaz Muhammad Anwaruddin (penasihat Jabatan Hadith al-ahkam.net), barulah saya benar-benar dapat merasai kehebatan insan bergelar Abu Ghuddah.

Abu Ghuddah dikenali sebagai ahli dalam hadith, tahqiq (suntingan dan semakan buku), seorang alim yang faqih serta diiktiraf dengan kekuatannya dalam penguasaan ilmu-ilmu Bahasa Arab dan kesusasteraannya. Beliau terkenal dengan jasanya membuat semakan dan mencetak buku-buku utama dalam pelbagai ilmu terutamanya ilmu berkaitan hadith.

Pengembaraan ilmunya bermula dari kampung halamannya di Syria sehinggalah ke al-Azhar, Mesir dan sejak itu beliau merantau ke seluruh dunia Islam menyebarkan ilmu semampu mungkin. Semuanya itu dilakukan sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1997 di Arab Saudi.



Walaupun saya tidak dapat berguru dengan beliau semasa di luar negara, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat berguru dengan salah seorang muridnya iaitu Dr. Abd. Sami’ al-Anis yang ketika itu merupakan salah seorang pensyarah dalam bidang hadith di Universiti Al al-Bayt, Jordan. Masih ada dalam simpanan saya tulisan tangan Dr. Abd. Sami’ yang memberikan ijazah periwayatan buku Risalat al-Mustarsyidin karya al-Harith al-Muhasibi (sebuah kitab tasawwuf yang amat hebat) melalui jalan periwayatan yang diperolehinya daripada Syeikh Abu Ghuddah.

Alhamdulillah, sekurangnya ada juga hubungan antara seorang pelajar Malaysia yang amat cetek ilmunya dengan seorang alim yang amat dikagumi kehebatannya. Itulah keindahan pengijazahan sanad dalam pengajian yang hanya diketahui oleh mereka yang merasainya sahaja. Sanad perlu dilihat sebagai kesinambungan antara kita dan generasi awal. Namun begitu berbangga hanya dengan sanad tanpa ilmu atau tanpa menyebarkannya adalah satu kerugian. Manakala berbangga dengan ilmu tanpa sebarang sanad pula ibarat minum teh atau kopi tanpa gula…memang tak sedap!

Berbalik kepada Syeikh Abu Ghuddah, apabila kita melihat kepada karya beliau, kita dapat merasai bahawa karya yang beliau keluarkan bukan karya biasa. Ia satu karya yang penuh dengan ketelitian, amanah, kesungguhan menyebarkan ilmu dan ulasan yang ilmiah lagi mantap. Sesiapa sahaja yang membaca buku-buku yang disemak dan disunting oleh Syeikh Abu Ghuddah, atau buku yang ditulis sendiri oleh beliau.. pasti dapat mengesan sekurang-kurangnya tiga ciri berikut:

Pertama – Pendahuluan yang cukup jelas dalam menghuraikan buku yang beliau sunting.

Kedua – Ulasan beliau dalam nota kaki yang amat berguna malah terkadang amat panjang tetapi percayalah.. ia amat membantu pembaca dalam memahami teks asal buku yang disunting.

Ketiga – Sifat beliau yang amat mementingkan ‘baris’ dan maksud bahasa perkataan-perkataan tertentu yang dirasakan boleh mengelirukan pembaca sama ada kekeliruan membariskannya dengan betul atau kekeliruan pada maknanya.

Seperkara lagi yang amat penting dalam menghargai jasa ahli tahqiq seperti Syeikh Abu Ghuddah ialah kesungguhan dalam mencetak dan menyemak teks sesebuah buku dengan teliti. Tujuan paling utama ialah ‘menjelmakan’ sesebuah buku itu seperti mana atau hampir seperti mana yang dikarang oleh penulis asalnya. Ini amat penting bagi mereka yang tahu tentang kesilapan-kesilapan yang mungkin berlaku jika sesebuah buku itu tidak dicetak seperti mana dalam manuskrip (atau manuskrip-manuskrip) yang ditulis sejak sekian lama. Sesetengah penuntut ilmu tidak memahami kepentingan ini lalu mereka menumpukan kepada ulasan ahli tahqiq terhadap kesahihan hadith atau kesahihan fakta semata-mata. Sedangkan tujuan utama tahqiq ialah untuk cuba sedaya upaya memastikan apa yang dicetak menyamai apa yang ditulis oleh penulis asal yang hidup beratus malah beribu tahun dahulu. Inilah yang amat dititik beratkan oleh ahli tahqiq yang amanah seperti Syeikh Abu Ghuddah.


Walaupun begitu, Syeikh Abu Ghuddah tidak terlepas dari kritikan sama ada ilmiah atau kritikan berasaskan ketaksuban. Saya masih ingat di mana satu ketika semasa di Jordan saya terbaca satu kritikan yang amat keras dari seorang lagi ahli hadith moden terhadap peribadi dan keilmuan Syeikh Abu Ghuddah. ‘Berpeluh’ juga membaca ayat-ayat tajam yang ada di dalam penulisan tersebut. Tetapi apabila membaca jawapan balas Syeikh Abu Ghuddah dan membuat penilaian dari pihak ketiga, saya dapat bahawa perselisihan itu langsung tidak menjejaskan kedudukan keilmuan Syeikh Abu Ghuddah. Ia timbul berpunca dari salah faham dan juga campur tangan pihak ketiga.

Syeikh Abu Ghuddah juga amat dikenali dengan kecenderungannya ke arah tasawwuf. Sikap beliau yang amat positif terhadap persoalan tasawwuf dan sebahagian pengikut tasawwuf kadangkala mewujudkan kekeliruan pada sebahagian penuntut ilmu terutama yang melampau dalam mengkritik tasawwuf. Pendirian beliau yang amat positif terhadap tasawwuf mirip kepada sikap seorang lagi ulama terkemuka ummat iaitu Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi. Namun begitu tasawwuf yang beliau maksudkan bukanlah tasawwuf yang melampau sehingga tidak mengikut panduan Al-Quran dan hadith. Pernah beliau mengkritik sikap sebahagian ahli tasawwuf yang berzikir sehingga melompat dan menari. Kritikan itu boleh dibaca di dalam pendahuluannya terhadap buku Imam Abd. Hayy al-Laknawi iaitu Sibahat al-Fikr Fi al-Jahr Bi al-Dzikr. Jelas dalam buku itu Abu Ghuddah menyokong pandangan al-Laknawi bahawa zikir dengan suara yang lantang itu dibolehkan pada tempat tertentu dan syarat tertentu. Tetapi Abu Ghuddah tidak menyokong zikir yang melampau sehingga terkeluar dari adab dan ketenangan zikir.

Dalam berdakwah pula Syeikh Abu Ghuddah amat gigih dan pro aktif sehinggakan beliau pernah menjawat jawatan ahli parlimen di Syria pada tahun 1961 mewakili bandar terbesar di Syria iaitu Halab atau Aleppo. Di samping menulis, beliau amat aktif menyampaikan ilmu di mana sahaja beliau dijemput.

*Pembaca boleh menatap wajah beliau dalam laman web khas untuk beliau:

www.aboghodda.com

atau boleh melayari youtube.com lalu menulis nama :
أبو غدة

Terdapat beberapa rakaman video dan audio beliau yang amat bermanfaat untuk penuntut ilmu yang menguasai Bahasa Arab.

Satu lagi perkara yang amat menarik tentang Syeikh Abu Ghuddah ialah beliau berguru dengan pelbagai guru walaupun terkadang guru-guru itu ada di antara mereka yang tidak sependapat dengan beliau dalam beberapa isu ilmiah. Itu tidak sedikit pun menghalang beliau untuk menuntut ilmu dan menghormati para gurunya. Inilah sikap yang amat kita perlukan di zaman ini.

Kini pengembaraan ilmu beliau diteruskan oleh salah seorang anaknya, Salman Abd. Fattah yang juga giat mencetak buku-buku bermanfaat untuk para penuntut ilmu.

Di antara buku-buku beliau yang disunting dan amat penting pada penuntut ilmu adalah seperti:

- Al-Raf’u wa al-Takmil Fi al-Jarh wa al-Ta’dil - karya Abd. Hayy al-Laknawi
- Al-Ajwibah al-Fadhilah – al-Laknawi. (berkaitan Mustolah al-Hadith)
- Risalat al-Mustarsyidin – al-Muhasibi. (tasawwuf)
- Al-Tasrih Bi Ma Tawatara Fi Nuzul al-Masih – Anwar Syah al-Kasymiri. (tentang tanda-tanda kiamat)
- Al-Manar al-Munif – Ibn Qayyim al-Jauziyyah. (Buku berkaitan kaedah mengenal pasti kesahihan dan kedhaifan hadith).
- Al-Mashnu’ Fi Ma’rifat al-Hadith al-Maudhu’ – Ali al-Qari. (himpunan hadith-hadith dhaif dan palsu).
- Al-Muqizoh – al-Zahabi. (Mustolah al-Hadith).

Di atas adalah buku-buku yang beliau sunting dan semak. Terdapat banyak lagi buku tetapi itu yang saya pilih untuk disebutkan di sini.

Manakala buku-buku yang beliau sendiri hasilkan pula ialah seperti:

- Min Adab al-Islam. (buku kecil yang menghimpunkan adab-adab kecil tapi penting dalam hidup muslim).
- Safahat Min Sabr al-Ulama. (himpunan kisah-kisah para ulama silam mendalami ilmu dan kesusahan serta kesabaran mereka).
- Al-Ulama al-‘Uzzab. (himpunan kisah ulama yang tidak berkahwin demi menuntut ilmu).
- Qiimat al-Zaman ‘Inda al-Ulama’. (buku ringkas tapi padat tentang kepentingan masa dan bagaimana ulama terdahulu menjaga masa dalam mencari dan beramal dengan ilmu mereka).
- Tahqiq Ismai al-Sahihain wa ismi Jami’ al-Tirmidzi. (perbahasan ilmiah tentang nama sebenar buku Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim dan Jami’/Sunan al-Tirmidzi).
- Al-Rasul al-Mu’allim. (buku khas mengumpulkan kaedah Rasulullah s.a.w. dalam mengajar para sahabat. Amat penting untuk ilmu perguruan).
Dan banyak lagi buku-buku lain yang amat penting.

Semoga coretan kecil ini dapat memberikan ilmu, membangkitkan amal, mencetuskan semangat dan keazaman untuk mencontohi tokoh ilmuan ini, Syeikh Abd. Fattah Abu Ghuddah.

* Perhatikan gambar yang saya lampirkan di sini. Itulah adab Syeikh Abd. Fattah Abu Ghuddah bersama gurunya Syeikh Mustofa al-Zarqa’.