Demo Tarif Air Kedah: Harap Bukan Muawiyah Sahabat Nabi s.a.w.

Primary tabs

10 Okt lalu mereka yang mendakwa diri mereka ahli PAS telah mengadakan demo mendesak MB Kedah membatalkan kenaikan tarif air. Kita menatap gambar-gambar sekitar demo berkenaan samada di akhbar arus perdana atau melalui internet. Sebagaimana biasa mereka akan angkat sepanduk dan banner dengan pelbagai slogan dan luahan hati. Bagi kita ia perkara biasa. Itu hak mereka yang berada di negara demokrasi.


Namun dalam banyak-banyak banner ada satu yang menarik perhatian kita. Iaitu banner yang tertulis: CONTOHILAH TG. MURSYIDUL AM. JANGAN JADIKAN MUAWIYAH SEBAGAI IDOLA.

Kita berharap bahawa Muawiyah yang dimaksudkan pada banner itu bukanlah Muawiyah r.a. sahabat besar Nabi s.a.w.

Gambar:




---Petikan Berita---

Anggota PAS Kedah Buat Demo Desak MB Batal Kenaikan Tarif Air

ALOR SETAR, 10 Okt (Bernama) -- Kira-kira 30 anggota PAS hari ini mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat Menteri Besar Kedah bagi membantah kenaikan tarif air di negeri ini yang bermula 1 Okt lepas.

Mereka turut menghantar satu memorandum bantahan kepada Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Dalam memorandum berkenaan, kumpulan itu mendesak supaya kerajaan negeri menarik balik keputusan menaikkan tarif air yang memberi kesan terhadap golongan miskin, mendesak Menteri Besar supaya mendedahkan perjanjian antara Syarikat Air Darul Aman (Sada) dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang dikatakan merugikan rakyat dan mendesak Menteri Besar meletakkan jawatan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Kedah.

Wakil Jawatankuasa Bertindak Membantah Kenaikan Isu Air, Abdullah Hashim berkata demonstrasi dan memorandum itu dibuat bagi membantah kenaikan tarif air yang dibuat kerajaan negeri dan Sada kerana ia tidak wajar memandangkan ia amat membebankan rakyat di negeri ini.

"Saya amat kesal dengan beliau (Azizan) yang sengaja membebankan rakyat dengan kenaikan tarif air bermula 1 Okt lalu," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Menteri Besar, Zulkapli Osman di Pejabat Menteri Besar Kedah, di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Turut serta dalam demontrasi itu adalah bekas Setiausaha PAS Cawangan Sungai Limau Mohd Najid Fahami Yahaya, bekas Setiausaha Kerja PAS Kedah Md Noor Abd Rahman dan bekas wartawan Harakah Kedah Zainun Ismail.

"Beban yang sama turut ditanggung oleh 12 Sekolah Agama Rakyat (SAR) di seluruh Kedah yang tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh serta tidak mendapat peruntukan oleh kerajaan negeri bagi membayar bil air yang dikatakan terlalu tinggi itu," kata Abdullah.

Beliau berkata ini membuktikan kerajaan negeri hanya membuat janji-janji kosong kepada rakyat bagi meraih simpati daripada rakyat Kedah supaya menyokong PAS agar membolehkan mereka memerintah kerajaan negeri seperti sekarang.

Katanya dalam manifesto pilihan raya umum ke-12 lalu, PAS berjanji akan menjaga kebajikan rakyat dengan menurunkan caj air dan meningkatkan kualiti bekalan air di negeri ini namun ia tidak ditunaikan oleh Azizan.

Abdullah yang juga bekas Ketua Pemuda Pas Kedah berkata sejak kerajaan negeri diambil alih oleh PAS, kualiti air di negeri ini pada tahap yang tidak memuaskan dan saban hari mereka terpaksa menggunakan air yang berkeladak dan berwarna kuning.

"Ini membuktikan kerajaan negeri pada hari ini tidak peka dan perihatin dengan nasib yang menimpa rakyat. Ia tidak seperti sewaktu pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa mengambil berat mengenai nasib rakyat dari semasa ke semasa," katanya.

Sehubungan itu jika Azizan tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut, mereka mahu Azizan meletakkan jawatan segera dan digantikan pemimpin lain yang mampu melakukan tugas dengan baik dan mahu membela nasib rakyat dan bukan cakap-cakap kosong.

-- BERNAMA
http://bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=534054