Mengenali Yahudi 3 - Apa pentingnya Palestine kepada umat Islam

Oleh: zain y.s

Sekalipun secara geografi, bumi Palestine adalah hak milik bangsa Arab Muslim Palestine, namun dari sudut agama, ia adalah milik semua umat Islam seluruh dunia dan seluruh zaman. Tidak kira apa bangsanya dan apa warganegaranya.

Sebab itu, masalah Palestine bukanlah masalah bangsa Palestine, tetapi masalah umat Islam seluruh dunia. Kewajipan menghalau Yahudi Zionist juga adalah kewajipan bersama.

-----------------------------------------
Mengapa Palestine begitu penting serta sering menjadi tumpuan dan perhatian umat Islam sepanjang zaman?

Mengenai masalah yang melanda umat Islam Palestine yang tanahnya telah dirampas oleh Yahudi, ini adalah jelas dan mudah untuk mencari jawapan mengapa umat Islam seluruhnya mesti memikul tanggungjawab ini bersama.

Jawapannya ada dijelaskan di dalam sabda Rasulullah s.a.w.:
“Orang Islam adalah saudara kepada orang Islam lainnya. Oleh itu tidak boleh menzaliminya, membiarkannya dalam kehinaan, mendustainya atau menghinanya.” (HR Muslim)

Umat Islam adalah bersaudara. Adalah satu dosa ke ata umat Islam jika membiarkan saudaranya seagama dizalimi atau berada dalam kehinaan. Mereka wajib membantu dan membawanya keluar dari kezaliman dan kehinaan.

----------------------------
Di samping persaudaraan dalam Islam, ada beberapa perkara lain yang menguatkan lagi perkara ini:

Satu:
Nabi kita Muhamad s.a.w. telah melakukan Isra’ dan Mi’raj di Masjidil Aqsa, Palestine. Hal ini ada dinyatakan di dalam al-Quran:
“Mahasuci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari al-Masjidil Haram ke al-Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Al-Isra’: 1)

Dua:
Masjidil Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam. Pertukaran kiblat ini berlaku ketika Rasulullah s.a.w. berada di Madinah. Baginda di situ telah bersembahyang mengadap Masjidil Aqsa/Baitil Maqdis selama 6 bulan.

Tiga:
Masjidil Aqsa merupakan tanah haram ketiga.

Empat:
Terdapat banyak kelebihan Masjidil Aqsa dan bumi Palestine, antaranya:
1. Dalam Sahih Muslim ada menyebutkan: Abu Zar berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai masjid yang pertama di muka bumi ini. Rasulullah s.a.w. menjawab: “Masjidil Haram.” Kemudian aku bertanya: Kemudian masjid apa? Baginda s.a.w. menjawab: “Masjidil Aqsa.”

2. Diriwayatkan dari Umar al-Khattab r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Tidak diberatkan berziarah/perjalanan melainkan ke tiga buah masjid, iaitu masjidku, Masjidil Haram dan masjidil Aqsa. (HR Bukhari dan Muslim)

3. Diriwayatkan oleh Abu Bakr bin Syaibah dari Abi al-Zahriyah, Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Benteng kaum muslimin dari pertumpahan darah adalah Damsyiq, benteng mereka dari Dajjal adalah Baitul Maqdis dan benteng mereka dari Ya’juj dan Ma’juj adalah al-Thur.”

4. Allah telah memuliakan bumi Palestine sebagai markaz atau pusat para nabi dan rasulNya.

5. Kerana kemuliaan Baitul Maqdis, ketika ia ditundukkan saidina Umar al-Khattab r.a. telah pergi sendiri ke sana untuk
menerimanya, sedangkan beliau tidak berbuat demikian terhadap Mada’in dan Mesir.

5. Terdapat banyak kitab-kitab yang telah disusun oleh para ulamak mengenai fadhilat Masjidil Aqsa, antaranya ialah
Fadha’il al-Quds oleh Imam Ibnu Jauzi, al-Uns Fi Fadha’il al-Quds oleh Ibnu Hibatullah al-Syafi’I, Muthir al-Gharam Bi Fadha’il
al-Quds oleh Ibnu Surur al-Muqaddasi, Ba’ith al-Nufus Ila Ziarah al-Quds al-Syarif oleh Ibnu Qadhi dan banyak lagi…

Rujukan:
Zawalu Isra’il Hatmiyah Quraniyah, Syeikh As’ad Bayudh al-Tamimi
Yas’alunaka Fiddin Wal Hayah, al-Syarbasyi
Nurul Yaqin, Syeikh Muhammad al-Khudari