Mengkritik, Bukan Menghina

Oleh alitantawi

Saya pernah bertemu dengan orang-orang yang cepat melenting apabila kita mengetengahkan kepadanya pendapat yang berbentuk kritikan atau menolak pendapat ulama terdahulu. Mereka akan cepat menggunakan beberapa alasan untuk menolak kritikan tersebut. Di antara alasan mereka ialah :

  • Siapa kamu untuk menolak pendapat ulama yang terkenal?
  • Dah habis ke kamu kaji untuk menolak pendapat mereka?
  • Pendapat mereka betul, cuma kita saja yang tak faham.
  • Kita perlu mendalami semua ilmu berkaitan Islam untuk kita mengkritik.

Pelbagai lagi alasan mereka untuk menolak kritikan yang kita sebut atau yang kita lontarkan.

Kepada golongan sebegini dan mereka yang sependapat dengan mereka, saya ingin menyatakan beberapa hakikat penting yang mungkin kita lupa atau tidak kita fahami dengan betul:

  1. Ulama tidak maksum, hanya Rasul dan Nabi sahaja yang maksum. Para ulama tidak mustahil untuk melakukan kesilapan kerana mereka manusia biasa.
  2. Sesuatu kritikan selalunya adalah kritikan terhadap pendapat, bukan terhadap peribadi atau diri yang mengeluarkan pendapat tersebut. Ini bermakna, kritikan ilmiah tidaklah bertujuan mencari keburukan, tapi lebih bertujuan mencari kebenaran sesuatu pendapat. Kalau kita mengkritik hadith yang ada dalam buku Imam al Ghazali contohnya, tidak semestinya ia bermaksud mengkritik peribadi dan ketokohan beliau.
  3. Sikap kita dalam menerima sesuatu pendapat adalah meneliti dalil dan mencari jalan untuk memahami bagaimana pendapat tersebut boleh dikeluarkan. Kita dilarang menerima bulat-bulat pendapat ulama seolah-olah pendapat tersebut adalah setaraf dengan Al Quran dan sunnah.
  4. Sikap yang sepatutnya diambil apabila mendengar kritikan terhadap seuatu pendapat ulama ialah menelitinya terlebih dahulu sebelum memutuskan adakah kritikan tersebut berhujah atau kritikan membuta-tuli.
  5. Mengkritik bukan bermaksud menghina atau merendah-rendahkan kedudukan ulama. Sesiapa pun akan faham bahawa kritikan yang disampaikan dengan ilmiah dan berhujah amat dialu-alukan dalam membentuk pemikiran yang kreatif dan kritis. Menghina pula adalah amalan buruk yang lahir daripada sifat benci dan dengki sehingga menafikan kebaikan orang lain. Sekiranya seseorang menyatakan bahawa pendapat Abu Hanifah dalam masalah tertentu adalah lemah dibandingkan dengan pendapat Malik atau al Syafie, adakah orang itu dianggap menghina Abu Hanifah? Tidak sama sekali.
  6. Menyayangi ulama serta menyanjung mereka adalah satu tuntutan yang mulia asalkan tidak mencapai tahap ‘taksub’ sehingga tidak boleh menerima sekiranya ulama melakukan kesilapan walaupun kesilapan yang kecil. Mengkritik mereka juga tidak menjejaskan kasih sayang kita terhadap mereka kerana kita tahu batas-batas menyayangi mereka. Pepatah melayu juga mengatakan bahawa ‘yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan’.
  7. Bagi mereka yang ingin mengkritik pula, pastikan adakah kritikan itu perlu dan adakah menjadi satu keutamaan untuk kita menyebut nama ulama tersebut. Mungkin cukup untuk kita mengkritik sesuatu pendapat tanpa menyebut nama ulama tersebut. Semuanya mesti diteliti agar kita tidak menimbulkan keresahan pada diri sahabat-sahabat kita yang lain.

Beberapa contoh kritikan terhadap pendapat ulama terdahulu

Perlu juga saya nyatakan di sini sebagai peringatan untuk para pembaca dan diri saya tentang contoh-contoh kritikan ilmiah yang berlaku di antara ulama terdahulu. Contoh-contoh ini boleh dijadikan panduan agar kita tidak cepat menolak kritikan ilmiah hanya dengan beralasankan bahawa ulama terdahulu tidak boleh dikritik atau berhujah dengan alasan bahawa pendapat ulama diterima semuanya sebagai salah satu perkara khilaf.

1- Al Zahabi dalam Siyar A’lam al Nubala’ kerap kali menyebut tentang beberapa kritikan terhadap pendapat para ulama terkenal ketika beliau menceritakan biodata dan sumbangan mereka. Kadangkala beliau mempertahankannya dan kadangkala beliau menerima kelemahan pendapat seseorang ulama dengan penuh adab. Contohnya seperti kritikan yang beliau sebutkan berkaitan Ibn Khuzaimah (wafat 311H) tentang bukunya ‘Al Tauhid’. Beliau juga menyebut kritikan terhadap al Ghazali (wafat 505H) dan dalam masa yang sama beliau memuji kehebatan ilmu al Ghazali. Bahkan beliau tetap menyebutkan kritikan terhadap sebahagian tabiin seperti Mujahid (wafat 104H) dan ‘Ikrimah (wafat 105H). Bolehkah kita berkata kepada al Zahabi: ‘siapa engkau? Berani engkau mengkritik para tabiin? Mereka adalah murid para sahabat!’. Bolehkah kita menolak kritikan ilmiah hanya dengan alasan sebegitu?

(Tashnif al Naas – Dr. Bakr Abu Zaid – m.s. 83-85 – cetakan Muassasah al Risalah)

2- Al Syaukani (wafat 1250H) pernah mengkritik al Zahabi (wafat 748H) dalam bukunya al Fath al Rabbani tentang fatwa al Zahabi berkaitan ahli syurga. Al Zahabi berkata bahawa akal dan ingatan ahli syurga akan hilang apabila masuk ke syurga. Al Syaukani membuktikan dalam bukunya bahawa pendapat al Zahabi menyalahi pendapat ulama-ulama Islam yang lain. Adakah al Syaukani dipersalahkan? Adakah kita patut membiarkan pendapat al Zahabi tanpa dikritik?

(Tashnif al Naas – Dr. Bakr Abu Zaid – m.s. 86 – cetakan Muassasah al Risalah)

3- Al Iraqi (806H) pernah mengarang buku yang terkenal iaitu al Mughni ‘An Hamli al Asfar Fi al Asfar Fi Takhrij Ma Fi al Ihya’ Min al Akhbar’ iaitu satu semakan ringkas terhadap semua hadith-hadith buku Ihya’ Ulumiddin karya al Ghazali (wafat 505H). Al Iraqi dengan penuh amanah telah mengkaji hadith-hadith Ihya’ Ulumiddin dan beliau mendapati ada di antaranya adalah hadith sahih, ada yang dhaif dan ada juga hadith palsu di dalamnya. Hari ini, kita dapati para ulama merujuk kepada al Mughni tanpa langsung bersangka buruk terhadap al Iraqi kerana mereka tahu bahawa al Iraqi bertujuan untuk mengkaji dan bukannya menghina al Ghazali.

4- Ibn Kathir (wafat 774H) juga menilai dan menapis kembali segala pendapat yang ditemuinya berkaitan tafsir Al Quran seperti apa yang dilakukannya di dalam bukunya yang terkenal ‘Tafsir Al Quran al Azhim’. Kadangkala beliau menghimpunkan pendapat-pendapat tersebut (terutama daripada ulama tabiin dan ahli tafsir terkenal) dan kadangkala beliau memilih pendapat yang lebih kuat berdasarkan hujah dan dalil.

5- Ibn Hajar al Asqalani (wafat 852H) – pengarang buku ‘Fathu al Bari’ (huraian Sahih al Bukhari) – juga tidak ketinggalan melakukan kajian kembali terhadap pendapat ulama sebelumnya seperti kajiannya terhadap hadith-hadith di dalam buku tafsir al Zamakhsyari dan hadith-hadith di dalam buku fiqh imam terkenal mazhab Syafie iaitu al Rafie dan menamakannya sebagai Talkhish al Habir. Kita juga mendapati Ibn Hajar akan menilai kembali pendapat ulama dan bukan hanya menerima bulat-bulat akibat terlalu menghormati mereka seperti apa yang beliau lakukan di dalam bukunya tentang hadith-hadith hukum ‘Bulugh al Maram’ dan juga bukunya yang paling dikenali iaitu ‘Fathu al Bari’ yang menghuraikan Sahih al Bukhari.

 

(sahabat-sahabat pembaca dialu-alukan mengemukakan contoh-contoh lain bagaimana ulama mengkritik pendapat ulama yang terdahulu daripadanya)

 

Kepada yang mendengar seseorang mengeluarkan kritikan…..

Janganlah sesekali kita campur adukkan di antara perbuatan mengkritik dengan menghina atau merendahkan kedudukan ulama. Kedua-duanya (kritik dan hina) adalah dua perkara yang berbeza. Kita dapat mengenali di antara kritikan dan penghinaan dengan melihat bagaimana ia disampaikan dan juga yang paling penting ialah, melihat hujah dan dalil.

 

Kepada sesiapa yang ingin mengemukakan kritikan….

Saya juga menasihatkan para pendakwah dan sesiapa sahaja yang ingin mengkritik pendapat tertentu yang terdapat di kalangan ulama supaya mereka menjaga adab dalam mengkritik. Ini penting agar orang yang mendengar tidak salah faham. Akhirnya, kritikan yang ilmiah telah bertukar menjadi sindiran atau penghinaan. Tidak ada gunanya kita bergaduh hanya kerana sedikit salah faham. Bersatu lebih baik daripada berpecah. Berbeza pendapat adalah perkara lumrah asalkan ianya tidak melibatkan perkara usul dan asas.

Seperkara lagi ialah kita perlu memastikan bahawa hujah dan dalil yang kita gunakan adalah benar-benar kukuh dan betul sebelum kita mengutarakan kritikan kita terhadap sesuatu pendapat.

Semoga kita semua menjadi pencinta ilmu dan termasuk dalam golongan orang-orang yang bersatu untuk berdakwah mengembangkan Islam dan ilmu-ilmunya.

 

SOALAN YANG PATUT DITANYA IALAH:

Apa hujah kamu untuk menolak pendapat tersebut?

Adakah kamu pasti hujah kamu lebih kukuh?

Dan sebagainya….

Bukannya dengan menyoal..siapa engkau nak kritik pendapat ulama?

 

Wallahu a’lam.