Fatwa Mufti Selangor: Jamak Kerana Sakit

HUKUM SEMBAHYANG JAMAK KERANA MENJALANI RAWATAN PENYAKIT-PENYAKIT KRONIK DI HOSPITAL-HOSPITAL KERAJAAN DAN SWASTA


1. TUJUAN

Kertas ini disediakan adalah untuk mendapat pandangan dan pertimbangan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor mengenai “Hukum Sembahyang Jamak Kerana Menjalani Rawatan Penyakit-Penyakit Kronik”.


2. LATAR BELAKANG

2.1. Isu ini timbul ekoran daripada pertanyaan orang ramai kepada JAKIM mengenai hukum sembahyang jamak kerana menjalani rawatan penyakit-penyakit kronik seperti rawatan hemodialisis bagi penyakit buah pinggang, rawatan penyakit jantung, lumpuh dan seumpamanya yang telah mendapat pengesahan daripada doktor- doktor pakar daripada hospital-hospital kerajaan ataupun swasta.

2.2. Penggunaan alat-alat semasa dan sesudah rawatan homodialisis adalah sepert berikut:-

(i) Semasa Rawatan

Setiap pesakit dikehendaki menjalani pemeriksaan tekanan darah sebelum, semasa dan sesudah rawatan sekurang- kurangnya 5 kali menggunakan alat khas tekanan darah tinggi. Kemudian ditimbang berat badan satu (1) kali sebelum dan satu (1) kali selepas rawatan untuk mengetahui berat sebenar. Bagi timbangan berat sebelum rawatan untuk mengetahui kedudukan berat air yang ada di dalam badan dan timbangan kedua selepas rawatan untuk mengetahui berapakah sudah dikurangkan air dalam badan.

Semua bacaan untuk timbangan berat ini dicatat dalam buku rekod peribadi. Kemudian jururawat akan membuat suntikan di dua tempat di lengan - satu untuk pengeluaran darah dan satu untuk memasukkan semula darah. Setelah suntikan dibuat, jarum itu tetap berada di lengan pesakit dari awal hingga ke akhir masa rawatan sekurang-kurangnya 4 jam atau paling lama 5 jam. Aliran darah keluar melalui bawah lengan suntikan bahagian bawah memasuki tiub yang digunakan untuk masuk ke dalam satu tabung penapis sebagai ganti fungsi buah pinggang - untuk menapis segala darah kotor dan lebihan air yang berada dalam darah menggunakan mesin khas. Kemudian darah yang bersih disalurkan semula ke lengan bahagian atas melalui jarum yang tersedia.

(ii) Selepas Rawatan

Setelah cukup masa rawatan sekurang-kurangnya 4 jam tadi, jururawat akan membuka tampalan serta jarum berkenaan dan diletakkan tampalan lain dengan menggunakan sejenis kain yang dikeraskan di bahagian liang suntikan supaya menghalang darah keluar kerana ketika itu jika tidak dibuat demikian, darah akan terpancut dengan kuat (dalam tempoh 1 jam). Liang suntikan hanya boleh dibuka dalam tempoh lebih 40 - 60 minit kerana di waktu itulah bagi pesakit tertentu liang suntikan itu telah tertutup oleh darah yang beku, tetapi bagi sesetengah pesakit pula lebih daripada 1 jam, ini bergantung kepada kecairan atau kepekatan darah seseorang.


3. PERMASALAHAN/PERSOALAN

Bolehkah orang yang menjalani rawatan hemodialisis dan seumpamanya menunaikan sembahyang Zohor dengan Asar - Jamak Takhir disebabkan oleh rawatan berkenaan?

(i) Bagi pesakit yang mengambil syif rawatan pertama iaitu jam 6.00 pagi - 12.00 tengahari, dalam tempoh rawatan ini tidak menimbulkan masalah dari segi waktu sembahyang fardhu kerana rawatan itu telah selesai sebelum waktu Zohor.

(ii) Bagi pesakit yang mengambil syif rawatan kedua iaitu jam 11.00 pagi - 6.00 petang, menimbulkan implikasi hukum mengenai sembahyang. Ini menyebabkan waktu sembahyang Zohor luput. Sementara itu sekiranya pesakit mengambil wuduk sebelum rawatan dibuat, ia boleh membatalkan wuduk disebabkan persentuhan dengan jururawat wanita bagi pesakit lelaki atau disebabkan keluar angin daripada dubur.

(iii) Bagi mereka yang mengambil syif rawatan ketiga iaitu jam 3.00 petang - 9.00 malam, menimbulkan masalah kerana melibatkan sembahyang Asar dan Maghrib. Apakah boleh bagi pesakit berkenaan sembahyang Jamak Takdim - Sembahyang Zohor dan Asar dan Jamak Takhir - Sembahyang Maghrib dan Isyak?


4. ASAS-ASAS PETIMBANGAN

3.1. Mengikut kitab Ahsan al-Kalam Fi al-Fatawa Wa al-Ahkam oleh Fadhilah Syeikh Atiyyah Saqr, juzu’ 3 hal. 421 - 422 menyatakan mengenai pendapat-pendapat ulama’ bagi empat mazhab.

(i) Menurut pendapat Mazhab Maliki, harus jamak sembahyang ketika bermusafir jauh atau dekat. Begitu juga bagi orang yang sakit yang pitam atau sakit di kepala yang boleh menghalangnya daripada menunaikan sembahyang ketika masuk waktu kedua, maka harus baginya mentakdimkan sembahyang tersebut. Begitulah juga harus jamak sernbahyang kerana hujan lebat, ribut pasir, kegelapan malam, maka harus dijamak secara takdim sembahyang maghrib dan isyak dengan syarat sembahyang tersebut dilakukan di masjid secara berjamaah.

(ii) Mengikut pendapat Mazhab Syafie, harus jamak sembahyang kerana musafir yang lama perjalanannya dengan sebab hujan secara jamak takdim sahaja, apabila dilakukan sembahyang itu secara berjemaah di masjid yang jauh daripada rumahnya, mengelakkan kesusahan untuk pergi ke sana, maka ia harus menjamakkan sembahyang walaupun tidak kerana hujan dan harus jamak sembahyang sama ada takdim atau takhir bagi orang yang sakit.

(iii) Sementara Mazhab Hanafi pula tidak harus jamak sembahyang secara takdim kecuali bagi orang yang mengerjakan haji di Arafah dengan syarat berjamaah berserta Imam atau naibnya dan tidak harus mentahlulkan sembahyang kecuali di Muzdalifah bagi orang yang mengerjakan haji, maka ia boleh sembahyang Asar dalam waktu Zohor di Arafah dan sembahyang Maghrib dalam waktu Isyak di Muzdalifah.

(iv) Mengikut Mazhab Hambali, harus bagi orang yang sakit menjarakkan sembahyang ketika timbulnya kesusahan mendirikan sembahyang apabila masuknya waktu. Harus juga menjamakkan sembahyang bagi orang yang lemah daripada mengetahui awal waktu sembahyang bagi orang yang buta dan begitu juga bagi orang yang takut berlaku kemudaratan ke atas dirinya, harta atau maruahnya atau takut kemudaratan yang bersangkutan dengan kehidupannya dengan meninggalkan sembahyang dan yang lebih utamanya ialah memilih yang paling mudah ke atasnya sama ada untuk jamak takdim atau takhir dengan mematuhi syarat-syarat takdim dan takhir seperti tertib, niat jamak dan berterusan uzur.

3.2. Mengikut keputusan Jawatankuasa Fatwa Kali Ke 14 pada 22 - 23 Oktober 1985 menyatakan bahawa dalam Islam uzur syarie adalah diertikan seperti berikut:-

(i) Keuzuran yang di luar kuasa seseorang untuk mengatasinya seperti penyakit kronik, menghadapi hujan, ribut dan taufan.

(ii) Keuzuran yang bersabit dengan keluarga atau saudara yang sakit tenat yang tiada harapan untuk hidup yang perlu diziarahi.

(iii) Keuzuran berkenaan dengan berkemungkinan berlaku kerosakan bahan perusahaan yang ditinggalkan semasa menunaikan fardhu Jumaat.

Daripada kesimpulan di atas dapatlah dirumuskan bahawa menjalani rawatan penyakit-penyakit kronik seperti hemodialisis bagi penyakit buah pinggang dan seumpamnya adalah dikira uzur syarie yang di luar kuasa seseorang untuk mengatasinya.


5. SYOR

Berdasarkan fakta-fakta yang disebutkan di atas, maka dengan ini dipohon Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor memutuskan “Hukum Rawatan Penyakit-Penyakit Kronik seperti Hemodialisis dan seumpamanya dengan menjamak sembahyang fardhu dan keputusan ini hanya tertentu kepada orang yang mengalami penyakit berkenaan sahaja.”


KEPUTUSAN

ENAKMEN PENTADBIRAN PERUNDANGAN ISLAM 1989

FATWA TENTANG HUKUM SEMBAHYANG JAMAK KERANA MENJALANI RAWATAN PENYAKIT-PENYAKIT KRONIK Dl HOSPITAL KERAJAAN DAN SWASTA

Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen 31(1) dan seksyen 32 Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989, Mufti bagi Negeri Selangor, selepas berbincang dengan Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’, membuat fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual. (En. 2/1989)


JADUAL

(1) Harus menjamakkan sembahyang kerana menjalani rawatan penyakit kronik yang memakan masa yang lama.

(2) Pekerja-pekerja yang tidak dapat meninggalkan tugasnya kerana sebab- sebab yang tidak dapat dielakkan seperti doktor yang bertugas di wad ICU dan seumpamanya yang terpaksa bertugas tanpa had masa. Keharusan menjamakkan sembahyang dikhususkan pada masa berlaku darurat sahaja, tidak terpakai pada masa sihat atau hari yang tiada rawatan atau ketika tidak bertugas.


Dibuat pada 16 Januari 2001.

[MUFTI Sel. 500-2; PU. Sel. AGM/0007 Jld. 2]

DATO’ HAJI MOHD TAMYES BIN ABD. WAHID,

Dato’ Seri Utama Diraja,

Mufti Negeri Selangor

 


Mungkin anda juga berminat untuk menonton pandangan dari Ustaz Azhar Idrus tentang Jamak kerana sakit:

{youtube}8vNuXFZx_ak{/youtube}