Menyemai Pemikiran Kritikal

Oleh: Nik Thaqif

Jika diperhatikan kepada dunia sekarang, seseorang itu boleh mendapatkan sumber pengetahuan dari mana-mana sumber sahaja. Lebih tepat diistilahkan sebagai lambakan punca pengetahuan. Ini termasuklah sumber daripada buku, risalah, akhbar dan juga internet. Masakan tidak, dengan internet untuk mendapatkan maklumat tentang sesuatu perkara, seseorang hanya perlu menaip dan dengan hanya satu klik, pelayar internet dapat mengetahui pelbagai jenis maklumat daripada pelbagai sumber seluruh dunia. Begitu juga dengan maklumat-maklumat bercetak dan kemasukan buku-buku daripada pelbagai genre yang membanjiri kedai buku seluruh negara. Kemudahan ini sedikit sebanyak memberikan kemudahan kepada penuntut ilmu untuk menelaah dan membuat kajian tentang hal ehwal agama, politik, ekonomi atau bidang-bidang lain.

Namun, di sebalik kemudahan ini terselit pula keburukan dan kekurangan jika si pembaca hanya menerima bulat-bulat pelbagai sumber maklumat yang sepatutnya ditapis dengan tapisan yang adil dan kritis. Para pemikir dan sarjana mengistilahkan tindakan tapisan yang dibuat sebagai pemikiran kritis (kritikal). Di bawah subjek pemikiran kritikal, kita sebenarnya banyak disenaraikan subtopik namun apa yang disentuh dalam artikel ini merupakan tonggak atau kunci utama kepada subjek tersebut.

Shukri Zain mendefinisikan kemahiran berfikir secara kritis sebagai:

“Kecekapan dan keupayaan menggunakan minda untuk menilai kemunasabahan atau kewajaran sesuatu idea, meneliti kebernasan dan kelemahan sesuatu hujah itu, dan membuat pertimbangan yang wajar dengan menggunakan alasan dan bukti yang munasabah” [Shukri Zain (2007). Pengantar Pemikiran. Quantum Books. Tanjung Malim. Halaman 148].

Ini bertepatan dengan apa yang dikemukakan oleh Ainon Mohd dan Abdullah Hassan tentang asal-usul perkataan kritik:

“Perkataan kritik berasal daripada bahasa Yunani iaitu kritikos yang bermakna ‘dapat menilai’. Pada asalnya kritikos tidak membawa pengertian kritikan positif ataupun negatif. Pada masa ini perkataan kritik sentiasa bermakna mencari salah, menghentam dan bertentang pendapat. Ini semua dilakukan kerana hasrat mencari kebenaran” [Ainon Mohd & Abdullah Hassan (2003). Belajar Berfikir. PTS. Bentong. Halaman 7].

Memberi pendidikan tentang subjek kemahiran berfikir terutamanya pemikiran kritikal ini amatlah penting pada masa lambakan pengetahuan begitu meluas sehinggakan kita kebingungan untuk menilai yang mana betul yang mana salah, idea mana yang tersasar idea mana yang tepat dan hujah mana yang menyokong hujah mana yang membantah. Sehinggakan jika kita amati subjek pemikiran ini mula dijadikan subjek wajib universiti dan wajib lulus oleh semua mahasiswa. Sebagaimana disebut oleh Ainon Abdullah & Abdullah Hassan:

“Matlamat kolej dan universiti memperkenalkan kursus kemahiran berfikir ialah supaya para pelajar bukan setakat mempunyai pengetahuan akademik yang banyak tetapi mereka juga mempunyai kemahiran menggunakan pengetahuan yang ada mereka itu secara kreatif bagi mencipta pelbagai idea, menyelesaikan pelbagai masalah secara berkesan, membuat keputusan yang terbaik, mengelakkan pelbagai kesilapan berfikir dan lain-lain, yang semuanya memerlukan kemahiran berfikir secara praktikal.” [Ibid. Halaman V]. Di peringkat sekolah juga, istilah ini bukanlah suatu istilah yang asing memandangkan penerapan kemahiran sudah dilakukan di sekolah melalui Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif (KBKK).

Namun alangkah malangnya jika seseorang mahasiswa hanya menghabiskan bacaan buku pemikiran, menelaah siang dan malam, menghafal berulang-ulang hanya semata-mata untuk peperiksaan tanpa praktikal amalan seharian. Alangkah ruginya sedangkan zaman penuh cabaran dan pancaroba ini menuntut seseorang mempraktikkan kemahiran tersebut. Lihat sahaja sebagai contoh isu politik yang semakin hari semakin mengganas dengan pendedahan isu-isu hangat tanpa batas sempadan. Tanpa menghalakan kritikan ini kepada mana-mana warna bendera, cogan kata dan lambang, hero-hero politik terus menimbulkan isu demi isu, kes demi kes, skandal demi skandal untuk menelanjangkan lawannya. Serang balas kedua-dua pihak yang bertelagah boleh dibaca di mana-mana sahaja sama ada media arus perdana atau media alternatif. Maka kita yang memerhatikan isu ini memerlukan ketajaman berfikir untuk menilai yang mana betul dan yang mana salah dengan mempertimbang segala kemungkinan dan alasan. Dan itulah tujuan pemikiran kritikal.

Bidang agama juga tidak sunyi daripada semua itu. Pertentangan pendapat dan khilaf merupakan perkara biasa dalam agama terutamanya dalam bidang fiqh sehinggakan ada ulama menyebut ‘sesiapa yang tidak mengetahui tentang khilaf fiqh, maka dia masih belum mencium bau fiqh’. Namun apa yang membimbangkan ialah apabila kem yang berbeza pendapat bangun mempertahankan hujah dengan emosi dan kutukan. Sedangkan dalam agama yang suci ini, mana-mana pertikaian pendapat perlulah dinilai siapa yang tepat dan siapa yang lebih tepat dengan neraca al-Quran dan as-Sunnah, wahyu yang tak mungkin silap. Semua Imam Mazhab bersikap tunduk kepada al-Quran dan as-Sunnah, maka siapalah kita untuk melebihi mereka dalam mempertahankan pendapat tanpa dirujuk kepada dua sumber agung itu. Di sinilah juga pentingnya pemikiran kritikal dalam menilai hujah dan dalil yang dibincangkan, yang mana tepat atau yang mana kurang tepat atau yang mana hanya membawakan pendapat tanpa dalil sokongan atau lebih teruk membawa rujukan tapi ‘kelentong’ dan ‘kantoi’ dalam memberikan hujah.

Bidang-bidang lain pun situasinya sama, memerlukan kemahiran dan ketajaman dalam berfikir agar kita sentiasa berada dalam situasi dahagakan kebenaran dan meninggalkan kesalahan atau memilih yang lebih tepat apabila berada di simpang kekeliruan. Maka apa yang dibincangkan di dalam bilik-bilik kuliah bukan hanya untuk coretan di atas kertas peperiksaan bahkan lebis luas daripada itu iaitu untuk amalan dan praktikal di alam kehidupan. Kalau tidak kita akan mudah diresapi oleh pelbagai anasir luar yang menyerang pemikiran sebagai tunjang kepada gerak-geri tindakan, menyerang iman sebagai pokok kepada Islam.

Agama suci yang kita anuti ini juga sudah lama mendidik kita ke arah pemikiran kritikal, jauh lebih lama sebelum pakar-pakar pemikiran memperkenalkan istilah tersebut. Larangan mengikut membuta tuli, larangan mempercayai tanpa usul periksa, dipertanggungjawabkan atas segala tindakan pancaindera, mempertimbangkan perselisihan dengan timbangan al-Quran dan as-Sunnah, dan memilih yang lebih tepat semuanya merupakan ajaran Islam kepada kita semua dan itu jugalah sub-sub dalam pemikiran kritikal.

Semoga kita semua diberikan kemudahan untuk mempraktikkan segala ajaran agama yang murni ini demi kebaikan bersama, kelangsungan bangsa, kemajuan negara dan hasilnya yang paling penting iaitu kehebatan AGAMA! InsyaAllah.

Sumber: http://catatanrefleksi.wordpress.com/2010/10/30/menyemai-pemikiran-kritikal/