Masalah Imam Sujud Sajadah / Tilawah Tapi Makmum Rukuk Kerana Tak Tahu

Primary tabs

Soalan

Saya mahu bertanya dari mana sumber fatwa berkenaan poster yang disertakan, iaitu makmum tidak mengikut imam sujud tilawah kerana tidak tahu. Makmum menyangka imam sedang rukuk. Makmum sedar bahawa imam sebenarnya melakukan sujud tilawah tadi bila imam bangkit dari sujud tilawah dengan mengucapkan Allahu Akbar, bukan ucapan Sami’allahu Liman Hamidah..

 

Jawab:

Oleh Zainudin Yusro (zain y.s)

Maklumat hukum yang terdapat di dalam poster berkenaan adalah dari kitab al-Majmuk Syarah al-Muhazzab karya al-Imam al-Nawawi rhm.

Dan berikut ini adalah petikan dari kitab berkenaan serta terjemahannya (المجموع شرح المهذب - ط المنيرية، ج 4، ص 59):

وإذا سجد الإمام لزم المأموم السجود معه فإن لم يسجد بطلت صلاته بلا خلاف لتخلفه عن الإمام ولو لم يسجد الإمام لم يسجد المأموم فإن خالف وسجد بطلت صلاته بلا خلاف

Ertinya: Apabila imam sujud (tilawah), makmum wajib sujud bersamanya. Jika makmum tidak ikut sujud, maka batal solatnya tanpa khilaf. Kerana tidak mengikut imam. Dan jika imam tidak sujud, maka makmum tidak boleh sujud. Jika dia berbeza dengan imamnya dengan melakukan sujud, maka batal solatnya tanpa khilaf.

 

ولو سجد الإمام ولم يعلم المأموم حتى رفع الإمام رأسه من السجود لا تبطل صلاة المأموم لأنه تخلف بعذر ولكن لا يسجد

Ertinya: Kalau imam melakukan sujud (tilawah) sedangkan makmum tidak mengetahuinya sehinggalah imam mengangkat kepalanya dari sujud, maka solat makmum tidak batal kerana dia tertinggal dengan ada keuzuran. Dan makmum tidak perlu turun sujud.

 

فلو علم والإمام بعد في السجود لزمه السجود

Ertinya: Kalau makmum menyedarinya ketika imam masih lagi sujud, maka dia wajib sujud.

 

ولو هوى المأموم ليسجد معه فرفع الإمام وهو في الهوي رجع معه ولم يسجد

Ertinya: Kalau makmum mahu turun untuk sujud bersama imam, dalam masa yang sama imam pula sedang bangkit (dari sujud), maka hendaklah dia kembali (berdiri) bersama imam dan tidak perlu sujud.

 Wallahu A'lam...

Kategori Berita: 

Artikel Berkaitan