Terbaik Dari Dr Agus: Basyar Sanggup Bunuh Sunni Tapi Tidak Kepada Yahudi

Dalam konteks kekejamannya kepada orang Sunni inilah, saya katakan perang yang berlaku di Syria sekarang ini adalah perang mazhab. Tetapi tidak boleh kita nafikan di sebalik konflik ini, AS juga memainkan peranan. Ini kerana kerja AS menggulingkan kerajaan negara lain bukanlah perkara baru.

Oleh: Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff

Syria mencapai kemerdekaannya dari Perancis pada April 1946. Sejak merdeka Syria diperintah oleh rejim tentera sehinggalah Hafez al-Assad memerintah pada tahun 1970 hingga 2000. Selepas kematiannya, anaknya Basyar memerintah sehingga sekarang.

Syria mempunyai 21 juta penduduk yang mana 84% adalah Muslim Sunni, 10% Kristian dan 6% Syiah Alawite. Basyar al-Assad adalah dari kelompok minoriti Syiah Alawite, sebuah kelompok agama yang dikatakan oleh para ulama sebagai menyimpang dari Islam.

Sejak kemerdekaannya, hubungan antara kaum Syiah dan Sunni tidak pernah aman. Syria pernah bergabung dengan Mesir dalam tempoh singkat pada tahun 1958, tetapi kekal hanya selama tiga tahun sahaja kerana perbezaan mazhab ini.

Satu peristiwa kejam pemimpin Syria ke atas orang Sunni ialah konflik berdarah di Hama pada tahun 1982 apabila hampir 47 ribu penduduk terbunuh. Peristiwa ini menyebabkan Muslin Sunni mendiamkan diri dari politik sehinggalah munculnya revolusi rakyat ke atas Basyar lehih kurang 15 bulan yang lalu. Revolusi yang juga bermula di Hama ini kemudiannya merebak ke bandar-bandar lain seperti Dar’aa, Hauran, Halab bahkan sehingga ke 157 tempat lain di Syria.

Mengapa berlakunya tragedi Hama ini? Tragedi ini bemula dengan insiden 20 remaja menconteng dinding dengan menulis ‘Rakyat Mahu Jatuhkan Kerajaan’. Remaja ini kemudiannya ditangkap dan diseksa hingga seorang daripadanya mati. Apabila ibu bapa datang untuk membebaskan anak-anak mereka, kerajaan telah meletakkan syarat orang Sunni hendaklah terlebih dahulu memberikan wanita mereka untuk ‘dinikahi’ oleh puak-puak kerajaan Syria. Permintaan ini merupakan penghinaan kepada orang Sunni, maka dari sinilah bermulanya kebangkitan dan pemberontakan rakyat.

Basyar mengambil tindakan yang tegas pada demonstran ini. Ini boleh dilihat dari sejak bermulanya kebangkitan rakyat ini, dalam masa 42 hari sahaja seramai 4,000 orang rakyat Syria terbunuh, 39,000 orang cedera, dan 413 orang syahid di penjara. Kini, sejak Mac 2011, telah lebih dari 100 ribu yang terkorban.

Apakah faktor yang menyebabkan berlakunya konfik Syria ini? Satu jawapan umum ialah kerana campur tangan luar. Dilihat dari satu aspek ada betulnya kerana tentera Syria dibantu oleh penjuang Hezbollah, Iran dan Lubnan serta Rusia dan China. Manakala pejuang Syria pula disokong oleh Al Qaeda, Muslim Bortherhood dan negara-negara AS, negara-negara Eropah, Saudi Arabia dan Qatar, Turki dan Jordan.

Apapun kata orang, analisis saya mendapati punca peperangannya adalah disebabkan pertikaian antara dua mazhab iaitu Syiah dan Sunni. Ini kerana Basyar adalah seorang diktator yang cukup benci pada orang Sunni. Bagi Basyar, tiada tempat bagi Muslim Sunni dalam hatinya. Kezalimannya terhadap wanita dan kanak-kanak Sunni adalah luar biasa sekali. Beliau alergik kepada bangkangan dan sanggup membunuh rakyatnya sendiri. Kekejaman ini telah menyebabkan 30 ribu tenteranya sendiri telah berpaling tadah menentang rejim beliau. Kekejaman Basyar ini juga telah menyebabkan 95% ulama Syria telah bersama dalam kebangkitan rakyat ini dan 19% negara-negara Arab telah mewajibkan sekatan politik dan ekonomi ke atas Syria. Hanya dua negara sahaja yang kekal bersama Syria iaitu Iraq dan Lubnan kerana kedua-dua negara ini dikuasai oleh Syiah.

Bagi Basyar, beliau bersedia membunuh Muslim Sunni, tetapi tidak orang Yahudi. Basyar adalah seperti singa kepada rakyatnya, tetapi takut kepada Israel. Oleh sebab itulah, sejak zaman ayahnya lagi (Hafez al-Assad), tidak satu peluru pun yang singgah ke tanah Israel.

Dalam konteks kekejamannya kepada orang Sunni inilah, saya katakan perang yang berlaku di Syria sekarang ini adalah perang mazhab. Tetapi tidak boleh kita nafikan di sebalik konflik ini, AS juga memainkan peranan. Ini kerana kerja AS menggulingkan kerajaan negara lain bukanlah perkara baru. AS sudah gulingkan banyak kerajaan seperti di Cuba, Chile, Nicaragua, Brazil, Vietnam, Afghanistan, Iraq dan Libya. Semuanya atas alasan ‘regime change’ untuk membawa 'demokrasi, khususnya bagi pemimpin negara yang tidak sehaluan dengannya. Jika sehaluan, sekejam mana pun, AS akan pertahankan. Itulah yang berlaku di Mesir apabila AS hanya diam sahaja setelah tentera merampas kuasa di sana. Ini kerana AS memang dari awal tidak setuju dengan pemilihan Morsi sebagai Presiden.

Begitulah krisis Syria yang telah memakan banyak korban rakyat yang tidak berdosa. Telah lima belas bulan tragedi ini berlangsung hebat, saya belum nampak jalan penyelesaiannya. Pemimpin dunia tidak pernah serius dan sekata untuk menyelesaikan masalah ini. Pemimpin Arab sekadar mengikut telunjuk AS sahaja. Hanya pemimpin Turki dan bekas Presiden Mesir sahaja yang menunjukkan keberanian mereka mengutuk keras rejim Basyar.

Liga Arab ada mengambil inisiatif dengan mendesak Bashar supaya berundur dan menawarkan perlindungan kepada beliau, namun ditolak. Ini kerana Basyar yakin Rusia dan China di belakangnya. Kelompok AS dan Barat pula tidak serius dalam menjatuhkan Basyar sepertimana seriusnya mereka semasa menjatuhkan Saddam dan Gadaffi dulu. Maka, akan berterusanlah rakyat Syria dalam keresahan dan kesusahan.

Malaysia pula mengambil pendirian yang tegas dalam mengutuk kekejaman Basyar ini. Malaysia menyokong Resolusi PBB tentang Syria pada 15 Mei 2013, biarpun ditentang oleh 12 negara termasuk Rusia, China, Iran dan Cuba. Dan 59 negara termasuk Indonesia memilih untuk tidak mengundi. Tahniah Malaysia kerana menunjukkan komitmen yang jelas dalam hal ini.

Dengan perang yang masih berlaku sehingga di bulan Ramadan ini, kita tidak tahu bila konflik ini akan berakhir dan apa akan terjadi kepada nasib saudara kita di bumi Syria. Tidak ada apa yang dapat kita berikan kepada mereka, cumanya di bulan mulia ini, marilah kita berdoa untuk keselamatan saudara kita di sana. Dan jika kita mampu, hulurkan bantuan kewangan kepada mereka.

Pesanan akhir saya, jangan kita lupa untuk belajar daripada pengalaman Syria ini. Apa pengajarannya? Pertama, kerajaan tidak boleh bertindak zalim kepada rakyat. Kedua, apapun konflik dalam negara, jangan kita biarkan negara luar campur tangan dalam urusan negara kita. Negara kita adalah urusan kita untuk menjaganya.

 

Kategori Berita: