Reformasi Radikal dan Tariq Ramadan

Primary tabs

Dr Ahmad Farouk Musa
Di terjemahkan daripada artikel asal “Radical Reform and Tariq Ramadan” oleh Edry Faizal Eddy Yusof, Fellow Penyelidikan, Islamic Renaissance Front.

Mungkin apa yang jelas di dalam minda setiap Muslim yang berfikir dan bersifat rasional adalah cabaran yang dihadapi umat Islam dewasa ini, bukanlah semata-mata dalam merumuskan kembali prinsip-prinsip demokrasi dalam ungkapan yang berbentuk Islami, tetapi juga cabaran dalam memperbaharui dan menyesuaikan etika serta pengamatan perundangan Islam dengan amalan demokrasi.

 

Lebih kurang sekurun yang lalu, terbit sinar harapan yang Islam akan dapat menemui jalan untuk menyerasikan dalam sebuah sistem antara keimanan dan kemodenan.

Ahli teologi yang agung seperti Muhammad Abduh (kiri) berhujah bahawa walaupun sesetengah aspek di dalam agama akan kekal tidak berubah terutamanya yang berkaitan dengan ibДЃdah and aqД«dah; hal-hal tadbir urus dan politik sepatutnya dikendalikan melalui akal budi manusia memandangkan hal itu jatuh di dalam ruang al-mutaghaiyyirat (yang berubah-ubah).

Agenda reformis dan rasionalisme Abduh yang menekankan kepada penaakulan (‘aql) dan keadilan Tuhan (‘adl), awalnya kelihatan seperti mampu untuk mendasari sebuah teologi Islam yang dinamis dalam berhadapan dengan cabaran-cabaran moden. Malangnya, cubaan yang memberangsangkan ini terhalang dengan kebangkitan golongan Salafi literalis dan kesan-kesan rumit yang dibawa bersama kebangkitan tersebut.

Ath-thawabit (yang tetap) dan al-mutaghaiyyirat (yang berubah)

Salah seorang sarjana dan intelektual Islam yang ulung yang berada di barisan hadapan menentang para literalis tidak lain adalah Tariq Ramadan, cucu kepada pengasas al-Ikhwan al-Muslimun, Hasan al-Banna.

Di dalam buku beliau yang bertajuk Radical Reform, Tariq Ramadan menegaskan bahawa pendekatan literalis kontemporari mengakibatkan tiga kekeliruan, yang menghadkan tafsiran dan menjadikannya mustahil untuk memberi jawapan yang memadai kepada cabaran-cabaran semasa.

Yang pertama ialah kegagalan untuk membezakan di dalam kandungan wahyu, antara yang tetap dan yang berubah-ubah mengikut perubahan masa dan persekitaran.

Sekalipun terdapat perintah dan larangan yang bersifat mutlak dan tetap, perlaksanaannya boleh mengambil bentuk yang berbeza ataupun berubah mengikut persekitaran.

Pada peringkat sosial dan budaya misalnya, walaupun prinsip moral dan kesusilaan serta peraturan-peraturannya telah ditetapkan di dalam etika Islam, tetapi perlaksanaannya di dalam mana-mana masyarakat sentiasa perlu mengambil kira budaya dan kebiasaan setempat. Kegagalan untuk membezakan dengan baik diantara yang tetap dan yang berubah-ubah, golongan literalis kontemporari terjerumus ke dalam beberapa kekeliruan lain yang mendatangkan akibat yang serius.

Antara Prinsip dan Model

Kesan daripada kekeliruan yang pertama membawa kepada kekeliruan kedua melibatkan kegagalan untuk membezakan antara prinsip and model. Walaupun prinsip boleh bersifat mutlak dan kekal, perlaksanaannya di dalam ruang masa dan di dalam sejarah adalah relatif, berubah dan berterusan bermutasi.

Dengan itu, prinsip keadilan, kesamarataan, hak dan kebebasan yang memandu Rasulullah SAW kekal menjadi rujukan, melangkaui sejarah dan sempadan zaman. Akan tetapi model bandar Madinah adalah realisasi sejarah yang hanya terkait dengan realiti dan keperluan di zaman Baginda.

Oleh itu, sekalipun kita cuba untuk berpegang kepada prinsip-prinsip asas tersebut, kita tidak boleh menduplikasi sebuah model sejarah yang tidak lagi serupa dengan keperluan zaman kita.

Kecenderungan kepada kesilapan yang disebutkan itu boleh ditemui di dalam sesetengah aliran Salafi semasa yang menyokong komitmen politik yang hampir esklusif, dengan cubaan untuk kembali kepada struktur politik tertentu di dalam sejarah (seperti zaman as-salafus-soleh umpamanya) sehingga menjejaskan prinsip-prinsip yang mentadbir masyarakat masakini.

Tariq Ramadan menegaskan bahawa intipati dalam mentaati Rasulullah SAW bukan dengan meniru bulat-bulat tindakan-tindakan mereka di zamannya, atau cuba menghasilkan kembali pencapaian-pencapaian yang telah menjadi sejarah, tetapi ketaatan itu terletak pada usaha menawan kembali kekuatan spiritual dan kuasa intelektual mereka untuk mencapai model sosial yang meyakinkan bagi zaman kita, sepertimana yang mereka lakukan bagi zaman mereka. Bukanlah rupa bentuk yang perlu diulangi tetapi substansi, semangat dan objektif itu yang perlu digapai.

Antara Aqidah atau Ibadah dan Mu’amalah

Ketiga, menurut Tariq Ramadan adalah kegagalan untuk membezakan antara metodologi perundangan berkaitan dengan aqīdah dan ibādah; dengan hal-hal yang berkaitan mu’amalah (urusan sosial).

Walaupun ruang lingkup aqīdah dan ibādah, kita didatangi dengan ajaran yang telah ditentukan oleh wahyu; ruang lingkup mu’amalah pula sebaliknya, yang mana semua perkara adalah dibenarkan melainkan yang nyata ditegah oleh wahyu.

Prinsip asas di dalam urusan sosial ialah tiap sesuatu itu dibenarkan (al-asl fil-ashyā al-ibāha), dengan itu memberi manusia ruang dalam lapangan rasionaliti, kreativiti dan penyelidikan. Selama mana manusia itu kekal berpegang kepada prinsip-prinsip asas, apa saja hasil sosial, ekonomi dan politik itu bukan bid’ah (perbuatan inovasi yang keji dari sudut agama) tetapi seharusnya dilihat sebagai pencapaian untuk kebaikan manusia.

Ketiga-tiga kekeliruan ini mempunyai kesan yang mendalam terhadap pemikiran Islam kontemporari yang mengakibatkan kerencatan dalam sebarang usaha reformasi dari sudut pembacaan, pemahaman dan perlaksanaan teks di dalam konteks sejarah di masa ini. Umumnya, ia akan mengakibatkan pengabaian mesej Islam yang bersifat universal dan akhirnya menyanggahi objektif Islam sebagai agama yang bersifat abadi yang tidak mengenal batasan waktu dan zaman.

Peranan Ijtihad

Sejarah telah menunjukkan, semenjak para ulama’ Islam membuat keputusan untuk ‘menutup pintu Ijtihād’ sekitar kurun ke-13, dunia umat Islam telah menjadi sebuah tamadun yang statik, yang menjadi hamba kepada pendapat dan penjelasan orang-orang yang terdahulu, melangkah kehadapan hanya dengan tapak-tapak kecil di dalam perjuangan yang besar.

Islah dan tajdid telah dihalang daripada tanah umat Islam dan para reformis serta pemikir Muslim samada difitnah ataupun dikenakan tekanan, hingga menghalang proses pembaharuan yang mampu membawa agama dan umat Islam menelusuri arus kemodenan.

Disebabkan itulah Tariq Ramadan menekankan keperluan IjtihДЃd dalam mengejar agenda reformasi.

Menurut beliau, Ijtihād sentiasa diperlukan dalam menggalakkan pembacaan yang kritis ke atas teks apabila ia memberi ruang untuk penafsiran, atau ketika teks bersifat diam dalam sesetengah situasi, atau ketika konteks perlu diberi perhatian dalam perlaksanaan teks, walaupun teks-teks itu kelihatan seolah-olah bersifat qat’ie.

Keabsahan dan keperluan kepada pembacaan yang bersifat kritis sedemikian jarang sekali dipersoal, melainkan oleh mereka yang mengikut aliran literalis yang sempit.
Hubungan dialektik antara teks and konteks adalah satu seruan kepada kecerdikan manusia bagi mencari jalan untuk terus berpegang kepada ajaran agama melalui penggabungan dua pengetahuan. Iaitu prinsip-prinsip yang bersifat kekal di dalam amalan dan etika serta realiti masyarakat yang sentiasa berubah-ubah.

Pembaharuan: Adaptasi atau Transformasi

Semua aliran reformis bersetuju bahawa sarjana perundangan Islam mestilah memikirkan dan mempertimbangkan fiqh (perundangan Islam) berdasarkan cabaran-cabaran baru zaman mereka. IjtihДЃd dianggap, sepertimana Muhammad Iqbal sebutkan, alat yang lazim, ditawarkan oleh tradisi perundangan Islam untuk mencapai pengubahsuaian dan pembaharuan.

Disebabkan globalisasi, fuqahā’ (ahli fiqh) kini dilanda persoalan berkaitan kemungkinan untuk ketetapan-ketetapan agama Islam itu tetap hidup di dalam era pasca-moden ini.
Dunia ini terus bergerak dan ahli-ahli fiqh sentiasa kentinggalan di belakang kemajuan yang terus meluncur dengan lajunya.

Oleh itu, Tariq Ramadan mengusulkan, sebuah pendekatan transformasi berbanding pendekatan adaptasi. Reformasi yang bersifat transformasi, menurut beliau lebih tepat kerana menambah suatu langkah lanjutan dan kondisi kepada keseluruhan proses tersebut. Pembaharuan tersebut mensasarkan untuk mengubah susunan sesuatu itu di atas nama etika yang cuba dikekalkan. Dalam erti kata lain, ia membuka langkah daripada teks menuju konteks, yakni untuk bertindak ke atas konteks dan memperbaikinya, tanpa menerima kekurangannya sebagai takdir semata.

Reformasi Radikal

Langkah selanjutnya itu memerlukan kondisi yang paling asas untuk dipenuhi, Iaitu memperoleh pengetahuan yang mendalam tentang konteks, dan menguasai penuh semua lapangan ilmu termasuklah sains kemanusiaan. Reformasi radikal yang mensasarkan untuk mengubah dunia, dan juga memperbaharui pembacaan terhadap teks, tidak boleh hanya sekadar bergantung kepada ulamā’ an-nusus (pakar teks) sahaja, tetapi memerlukan persepaduan penuh dan sama rata dengan semua cabang ilmu kemanusiaan yang lain.

Dalam hal ini, adalah sangat mustahak untuk meluaskan lingkaran kepakaran yang melibatkan ulamā’ al-waqi’ (pakar konteks) dan bukan lagi sekadar ulamā’ an-nusus.

Reformasi radikal adalah satu panggilan untuk mempertimbangkan sumber-sumber agama kepada keperluan menyelaraskannya dengan dunia dan evolusinya serta pengetahuan manusia. Oleh yang demikian, penyelarasan hati nurani dan sains adalah amat penting sekali. Pastinya akan terdapat kawasan-kawasan yang perlu diperbahaskan, dan akan ada percanggahan pendapat. Tetapi hati nurani umat Islam kontemporari mestilah mengubah kekacauan pertembungan dan percanggahan idea menjadi sebuah tenaga perbahasan, pembaharuan dan kreativiti yang melahirkan keyakinan dan juga perhubungan yang tenteram di tengah-tengah zaman moden dan segala cabarannya.

Seorang Martin Luther Islam

Tariq Ramadan telah muncul sebagai salah satu suara terpenting bagi Islam aliran reformis. Kepercayaan beliau pada pendekatan intergrasi, yang menyatukan kekuatan teologi, pendekatan berdasarkan nilai dengan pemahaman realistik masalah kontempotari adalah resipi penting bagi melaksanakan reformasi sebenar.

Dan penegasan beliau bahawa apabila dunia terus berubah, terdapatnya keperluan untuk melihat kembali pada al- Qur’ān dan teks-teks Islam yang lain adalah konsisten dengan semangat islah dan tajdid.

Seruannya untuk membaca kembali teks-teks Islam kerana banyaknya salah tanggapan dalam masyarakat Islam, agak menyerupai tuntutan Martin Luther untuk kembali kepada “teks asal”, bebas daripada segala tanggapan yang keliru.

Walau bagaimanapun, sementara pembacaan semula Martin Luther membebaskan teks Kristian daripada monopoli Gereja dan membuka jalan bagi penterjemahannya ke dalam semua bahasa Eropah, usaha Tariq Ramadan masih belum lagi diterima penuh oleh umat Islam, yang majoritinya masih terperangkap dalam perdebatan dan polemik antara golongan traditionalis, salafi dan reformis.