Sheikh Mustafa al-Zarqa (1907-1999M) : Tokoh Fiqh Muamalat dan Undang-Undang

Primary tabs

Mustafa bin Ahmad bin Muhammad bin Uthman bin Muhammad bin Abdul Qadir al-Zarqa dilahirkan di kawasan bernama Banqusah, Halab, Syria pada tahun 1907M. Sebahagian pengkaji menyatakan kelahirannya pada 1904M. Sebenarnya beliau dilahirkan pada 1907M sepertimana yang dinyatakan olehnya sendiri. Perkara ini disebabkan semasa memasuki peringkat menengah dan untuk melayakkan memasuki peperiksaan untuk B.A mesti telah mencapai usia 23 tahun. Maka ditukar secara rasmi kepada tahun 1904M.

Bapanya ialah Syeikh Ahmad bin Muhamad al-Zarqa, pengarang syarah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah. Bapanya dilahirkan 1868M dan meninggal pada 1938M. Beliau merupakan ulamak fiqh hanbali  dan mengajar di Sekolah Khusrawiyyah dan beberapa masjid di Halab. Anaknya Mustafa sentiasa mengiringi bapanya semasa mengajar di  Sekolah Khasuwiriyyah dan di masjid al-Umawi di Halab belajar fiqh dan hadith setiap minggu dan beberapa masjid yang lain.

Datuknya Syeikh Muhammad bin Uthman bin Muhammad bin Abdul Qadir al-Zarqa merupakan juga seorang ulamak yang masyhur di Halab malah di Syria. Beliau dilahirkan pada 1832M dan meninggal pada tahun 1925M. Pernah memegang jawatan hakim dan institut fatwa dan dipanggil oleh Syeikh Islam di Istanbul untuk menolongnya dalam bidang fatwa namun beliau pulang ke Halab selepas itu. 

Adalah menjadi kebiasaan keluaraga ini berhimpun pada setiap hari selepas maghrib iaitu Muhamad (datuk) dan Ahmad (ayah)  dan Mustafa (cucu) akan hadir bersama ayahnya . Syeikh Ahmad dan Syeikh Muhamad akan berbincang mengenai masalah fiqah  dan isu-isu semasa. Apabila ada kehadiran ulama yang lain perbincangan akan lebih rancak dan Mustafa hanya mendengar perbincangan tersebut. Datuknya melihat Mustafa mempunyai bakat semula jadi dalam menuntut ilmu lalu memilih untuk Mustafa memasuki al-khusrawiyyah dan belajar fiqh. Ayah nya Syeikh Ahmad memberitahu tentang perancangan Datuknya untuk beliau bersekolah tetapi Mustafa tidak memberi sambutan kerana keadaan syeikh-syeikh dan kegiatan menuntut ilmu tidak menarik minatnya dan pada yang sama beliau  lebih berminat berniaga dengan abang sulong Muhamad.

Oleh kerana beliau enggan belajar, datuknya telah membuat keputusan bahawa Mustafa tidak dibenarkan datang dalam pertemuan keluarga bersama ayahnya setiap hari selepasa maghrib. Pada mula perkara ini tidak dihiraukan oleh Mustafa tetapi  silang beberapa hari hukuman yang melarang beliau berjumpa dengan perjumpaan keluarga telah memberi kesan kepadanya. Perkara ini kerana kasih sayang yang mendalam kepada datuknya. Keadaan ini menyebabkan beliau berubah daripada anak yang derhaka kepada anak yang taat dan terus memasuki sekolah khusrawiyyah. (Abdul Nasir, 2010: 73)

Peringkat-peringkat Pembelajaran
Peringkat tadika (Kuttab)

Syeikh Mustafa memasuki Kuttab yang dikendalikan oleh Syeikh Muhammad Hijjaz dan beliau belajar membaca al-Quran, menulis, membaca dan matematik. 

Peringkat Kedua - Sekolah Perancis di Halab.
Di sekolah ini,beliau belajar Bahasa Perancis dan juga sekolah al-Rasyidiyyah yang ditutup disebabkan peperangan.

Peringkat Ketiga –Sekolah Khusrawiyyah (Sekolah agama)
Beliau belajar selama enam tahun di sekolah ini. Pada masa ini juga, beliau mengikuti pengajian yang dikendalikan oleh bapanya di masjid-masjid di sekitar Halab. Pengajian ini adalah pengajian ilmiah dan khusus kerana mengunakan teks buku yang tinggi seperti Hasiyah Ibn Abdin- Raddu al-Mukhtar, Sahih al-Bukhari dan buku-buku muktabar dan rujukan penting.

Keempat - Peringkat B.A
Mustafa telah menduduki peperiksaan pada peringkat ini dan telah  mencapai peringkat pertama seluruh  Syria. Beliau juga memasuki peperiksaan di Damsyiq dan mendaftar di program falsafah .

Kelima – Universiti Syria ( Sekarang Universiti Damsyiq)
Pada peringkat ini, beliau belajar dua kuliah sekaligus iaitu :

i.    Kuliah Undang-Undang

ii.    Kuliah Kesusasteraan

Beliau berjaya menjadi dari kedua-dua kuliah tersebut pada 1933M dengan mendapat pangkat cemerlang.

Keenam – Universiti Fuad I (kini Universiti Kaherah)
Beliau memasuki kuliah Undang-Undang dalam bidang Syariah pada tahun 1947M. Perimgkat ini adalah diploma dalam peringkat pengajian tinggi kerana sistem di Universiti Fuad I memerlukan lulus di peringkat diploma  ini untuk melayakkan di peringkat Ph.D. Pada masa yang sama, beliau telah dilantik sebagai pensyarah di Universiti Damsyiq dan tidak ingin meneruskan pengajian. Beliau hanya ingin ke Mesir untuk mencari bahan –bahan rujukan kerana Mesir dan al-Azhar kaya dengan khazanah fiqh. (Abdul Nasir,2010:76)

Guru-Guru
i. Syeikh Ahmad bin Muhamad al-Zarqa (Ayah)

ii. Syeikh Muhammad bin Muhammad Khairuddin bin Abdul Rahman Agha (dikenali Syeikh hanifi) (1876- 1924). Seorang ulamak di Halab dan mengajar di Sekolah al-Khusrawiyyah dalam bidang tafsir, tauhid dan balaghah. Beliau belajar di al-Azhar dengan syeikh Muhamad Bakhit al-Muti’i, Muhamad Abduh dan syeikh Abdul Rahman al-Bahrawi. Mustafa menyebutkan guru ini banyak memberi kesan kepada jiwanya. Beliau sering berharap Mustafa menjadi seorang tokoh ilmu dan sering berkata  berkata : “Wahai Mustafa.. Mudah-mudahan Kamu akan menjadi  salah seorang tokoh ilmu, insyaallah.” Kata –kata ini terigia –gia sepanjang hayat Mustafa al-Zarqa.

iii.    Syeikh Muhamad Raghib al-Tibakh(1877-1951M). Seorang tokoh ulama yang masyhur di Syria dan sejarawan. Beliau menjadi ahli Majma’ al-Ilmi al-Arabi di Damsyiq. Beliau adalah murid kepada Muhamad  al-Zarqa iaitu datuk Mustafa al-Zarqa.

iv. Syeikh Ahmad bin Mustafa al-Katabi (1847-1924). Beliau adalah lulusan al-Azhar  dan mengajar  nahu dan mengajar di sekolah al-Khusrawiyyah.
v. Syeikh Ahmad bin Muhamad ‘Asap al-Kurfi (1882-1953), Mufti Mazhab Hanafi di Halab 
vi. Syeikh Isa bin Hassan al-Bayanuni (1873-1943)
vii. Syeikh Ibrahim al-Salqini (1854-1948)
viii. Syeikh Muhamad al-Nasad (1900-1943)
ix. Syeikh Ahmad al-Syimad (1870-1954)
x. Syeikh Abdullah Hamad (1893-1970)
xi. Syeikh Faidullah al-Ayyubi al-Kurdi.

Guru-Gurunya di Universiti Syria (kini Damsyiq)
i.    Syeikh Muhamad Abu Yusri Abidin (1889-1981M). Beliau mengajar di Fakulti Undang-Undang  dalam subjek Hukum Perkahwinan dan talak, Fara’id, Wasiat dan Usul Fiqh. Beliau pernah dilantik menjadi Mufti Syria dari tahun 1953-1963M.

ii.    Syakir bin Raghib al-Hanbali (1876-1958M). Belajar di Istanbul dan pernah memegang pegawai di Kementerian Pendidikan, Kementerian Kehakiman di Syria. Beliau mengajar di Universiti Damsyiq subjek Undang-Undang Pentadbiran, Undang-Undang Tanah dan Wakaf.
iii.    Faris bin Yaakub al-Khuri (1873-1962M). Seorang ahli politik dan pakar  undang-undang di Syria. Beliau belajar di Lebanon, pernah menjadi peguam dan profesor di Fakulti Undang-Undang di Universiti Damsyiq kemudian menjadi Menteri Kewangan dan menjadi Perdana Menteri dan Ketua Majlis Perwakilan. 
iv.    Said al-Mahasani(1887-1954M) Beliau belajar Undang-Undang di Istanbul dan kemudian menjadi peguam. Mengajar di Fakulti Undang-Undang dalam subjek Majalah Hukum Keadilan (Majalah al-Ahkam al-Adiliah) dan beliau mempunyai buku syarah kepada majalah tersebut.
v.    Abdul Qadir al-Azim(1881-1960M) Belajar di Istanbul dan mengajar di Kuliah undang-undang dalam bidang Ekonomi,
vi.    Faiz al-Khuri –Adik bongsu kepada Faris al-Khuri dan mengajar Undang-Undang Rom.
vii.    Sami al-Maydani-Seorang Peguam dan mengajar undang-undang antarabangsa.
viii.    Syafiq Jabri (1897-1980M) –Seorang pensyair dan mengajar dalam bidang kesusteraan Arab. Beliau merupakan Dekan di Kulaih Kesusteraan Arab. Mustafa juga belajar di Kuliah Kesusasteraan Arab.
ix.    Abdul Qadir Mubarak  (1887-1945M)- Berasal dari Algeria dan pakar dan bidang bahasa dan kesusasteraan. Beliau adalah ayah kepada Muhammad Mubarak dan Mazin Mubarak.

Anak Muridnya
Mustafa meninggalkan banyak generasi pelajar kerana ia mengajar lebih 20 tahun di Damsyiq, hampir 20 tahun di Jordan,  dan juga di Halab. Banyak pelajar yang pernah belajar dengannnya menjadi ulama, peguam, hakim dan pendakwah. Antaranya ialah: Syeikh Abdul Fatah Abu Ghudah, Muhamad Fauzi Faidullah, Muhamad Adib Salih, Muhamad Naim Yassin, Said Hawwa, Muhamad Anas Zarqa,  Syeikh Nuh Ali Salman, Mufti Angkatan Tentera Jordan, Muhamad al-Zuhayli, Muhamad Rasul al-Kaylani, Menteri Dalam Negeri Jordan, Ibrahim Zaid al-Kaylani, Menteri Wakaf Jordan, 

Akhlaknya 
Mustafa merupakan seorang yang tenang, sedikit bercakap, banyak berfikir dan sentiasa berlapang dada. Beliau juga seorang yang merendah diri dan tidak sombong dan memangil pelajar dengan  Ya waladi Ya Binti (Wahai anakku). Beliau tidak fanatik dengan pendapat jika terdapat kebenaran pendapat pada orang lain dan sentiasa berdiskusi secara ilmiah walaupun dengan para pelajarnya dan tidak fanatik dengan mazhab malah membuah tarjih  walaupun bukan dari pegangan mazhabnya Hanafi. (Abdul Nasir, 2010: 87)

Mustafa juga seorang yang penyabar terutama kesabaran dalam menuntut ilmu dalam bentuk talaqqi dan halaqah dengan para syeikh dan kesabaran melayani para pelajar dan permasalahan mereka. Beliau sentiasa menjawab persoalan-persoalan yang timbul tanpa mengira waktu. Beliau juga terkenal sebagai seorang yang berdisplin dan jadual tugas yang bersistem malah ketika makan dan minum. Beliau membiasakan Qailulah iaitu tidur sekejab pada waktu Zuhur yang membolehkan seseorang untuk berjaga malam. (Abdul Nasir, 2010:89)                         

Ilmu yang diminati dan dikuasai.
Melihat kepada manhaj dan cara pembelajaran yang dilalui oleh Mustafa serta bidang yang diceburi, maka Mustafa mempunyai kepakaran dalam bidang berikut :

i.    Fiqh. Mustafa belajar fiqh Hanafi secara serius dan mendalam menyebabkan beliau seorang yang pakar dalam bidang fikah Hanbali. Dalam mazhab Hanbali, beliau telah membuat tarjih di antara pandangan-pandangan ulama mazhab serta mengeluarkan fatwa dan ijtihadnya sendiri. Walaupun beliau pakar dalam mazhab Hanafi tetapi beliau juga pakar dalam mazhab-mazhab yang lain seperti mazhab  Maliki, Hanbali dan Syafie. Oleh itu itu, didapati beliau dapat menguasai fikah perbandingan.
ii.    Undang-Undang. Secara khususnya Mustafa adalah pakar dalam undang-undang Sivil dan undang-undang kekeluargaan. Di samping itu, beliau juga pernah menjadi peguam yang menyebabkan dapat menguasai teks undang-undang dengan baik

Mustafa adalah seorang ahli fikih dan tajdid terutama dalam bidang fikah kerana kerana keberaniannya mengeluarkan pendapat dan fatwa setelah kajian dan penyelidikan perkara tersebut tanpa ragu-ragu. Antaranya ialah:

i. Mengharuskan insurans. Mustafa menyebutkan perkara ini dalam buku al-Ta’min (Insurans) termasuk insuran hayat. Beliau bukan sahaja mengharuskannya malah mewajibkannya dalam keadaan tertentu kerana beliau berpendangan insurans memelihara kepentingan orang mati dan pemilikan anak-anak Yatim dan wakaf.

ii. Pandangannya tentang riba dan berinteraksi dengan dengan bank. Terdapat pandangan riwayat dari Mustafa al-Zarqa iaitu riwayat yang tidak benar iaitu beliau mengharuskan riba dan jenis-jenis. Orang ramai mengambil pendapat ini terutama orang yang ada ingin berinteraksi dengan riba dan ingin pendapat yang mengharuskannya. Dalam hal ini, beliau berpendapat seperti berikut :
a.    Pendapat mengenai adalah jelas tentang pengharaman riba dan jenis-jenis dan tidak ada kompromi dalam perkara  tersebut.
b.    Kebanyakan pandangan yang menisbahkan kepada beliau  adalah kefahman yang salah yang disebutkan ketika temuramah atau soalan yang bersifat bukan tulisan. Umpamanuya , mereka mengambil pendapatnya yang mengatakan mengharuskan  riba bank dan mengambil faedah bank. Namun Mustafa al-Zarqa mengatakan : “ saya tidak pernah mengharuskan riba bank dan mengambil faedah dari wang simpanan tersebut.Perkara yang saya sebut dalan siaran TV bahawa sesiapa yang mempunyai wang dalam bank, saya berpandangan dari tinggal keuntungan tersebut dalam bank lebih baik dia mengambil keuntungan tersebut seperti yang ditentukan bank untuk diberikan kepada orang miskin.”(hal.96)

iii. Beliau juga mengharuskan wanita untuk mengahwinkan dirinya setelah baligh dan bapa atau saudaranya tidak ada hak untuk menegahnya malah tidak wajib untuk memberitahu mereka. Nmaun lebih baik perkahwinan itu mengenali ibubapa masing-masing. Pendapat beliau ini adalah sama dengan pendapat dalam mazhab hanafi dan undang-undang keluarga Syria.

iv. Perancangan Keluarga: beliau berpendapat perancangan keluarga adalah haram secara umum pada asalnya, namun tidak ada tegahan syarak kepada sesiapa yang menggunakan kaedah dalam bentuk peribadi mengikut keadaan yang tertentu dan kemampuan harta untuk perancangan keluarga dengan menegah kehamilan.

v. Melantik Wanita menjadi hakim: Beliau berpendapat seperti pendapat mazhab Hanafi bahawa penghakimannya dalah betul tetapi tidak mengalakkannya. Beliau berpendapat pemerintah adalah berdosa apabila bersandarkan kehakiman kepada wanita.

Beliau juga bergiat secara serius dalamm melawan penjajahan Perancis terutama melalui syarahan dan menjadi ahli perbandaran di bandar halab dan beliau telah menang menjadi naib ketua bersama ustaz Muhammad Mubarak dari kalangan kumpukan Islam dalam majlis perbandaran pada 1954-1958M.

Beliau pernah sebagai menteri keadikan dan wakaf pada tahun 1956 tetapi tempoh jawatan menteri tersebut tidak lama disebabkan jeadaan politik yang tidak stabil. Kemudian beliau menjadi menteri keadilan dan wakaf sekali lagi ketika Dr maaruf al-dawalibi menjadi Perdana Menteri dan Ustaz Nizam al-Qudsi menjadi Presiden pada tahun 1962M. 

Al-Zarqa dan Ensiklopedia Fiqah
Timbul pemikiran untuk menyusun ensiklopedia fiqah Islam dalam pendekatan semasa pada tahun 1951M apabila diadakan Muktamar atas nama Minggu fiqah al-Islam yang dianjurkan oleh kuliah undang-Undang Universiti Serbon, Perancis dan dijemput pensyarah universiti dari kuliah undang-undang dan syariah untuk menghadirinya. Mustafa al-Zara dan Maaruf al-Dawalibi merupakan wakil dari universiti damsyiqa.antara resolusi muktamar iaitu menubuhkan lujnah untuk menyusun muajam fiqah Islami untuk memudahkan membuat rujukan. Buku ensiklopedia ini merupakan himpunan segala hukum fiqah  yang bersesuaian dengan pendekatan semasa.

Apabila ditubuhkan kuliah Syariah di Universiti Damsyiq pada tahun 1954M, mereka memulakan tugas yang diketuai oleh Mustafa al-Zarqa, Dr Dawalibi, Mustafa al-Siba’iy yang merupakan Dekan Pertama, dan Muhamad Mubarak pada tahun 1955M bagi melaksana recolusi mukatamar Paris tersebut. Ahli lujnah tersebut telah memulakan bab pendahukuan dengan pendekatan semasa. Apabila berlaku peristiwa penyatuan antara Syria dan Mesir pada tahun 1958M maka berlaku pencantuman antara ulama Syria dan Ulama Mesir dalam lujnah tesebut. Syeikh Mustafa turut menjadi ahli dalam lujnah tersebut bersama Muhamad  Abu Zahrah dan Ali Khafif. Lujnah tersebut berterusan semasa zaman penyatuan dan mengeluarkan juzuk pertama bagi ensiklopedia pada tahun 1960. Pada tahun 1961, Lujnah tersebut dibubarkan disebabkan pemisahan antara Syria dan Mesir. Kemudian beliau juga terlibat dalam ensiklopedia yang dilakukan oleh Kementerian Kuwait pada tahun 1966 sehingga tahun 1971M.

Mustafa al-Zarqa dan Majma’ al-Fiqhi
Penubuhan majma’ al-fiqhi merupakan usaha yang baik dari sebilangan ulamak termasuk Mustafa al-Zarqa. Namun sebelum itu, Ahmad Muhamad Syakir mengesa penubuhan Ijtihad Jama’iy  dan pelaksanaan asasnya ialah penubuhan majma’ al-Fiqhi.

Penubuhan majma’ di Mekkah melalui keputusan Majlis Pengasas Rabitah al-Alami Islami pada tahun 1978M dan dipilih Mustafa al-Zarqa  sebagai salah seorang daripada ahlinya. Mustafa al-Zarqa berperanan aktif dalam Majma’ al-Fiqhi sama ada dengan memberi pandangan, membuat kajian hukum dan berani memberi pendapat walaupun berbeza dengan pendapat majoriti ulamak. Kematiannya merupakan kehilangan besar kepada majma’  tambahan pula  pada tahun kematiannya banyak ahli-ahli majma’ seangkatannya meninggal dunia.

Kematiannya
Setelah hampir 100 tahun  berjuang, berijtihad dan memberi sumbangan kepada dunia ilmu, beliau telah meninggal dunia di Riyadh pada waktu Asar hari sabtu 3 Julai 1999 pada usia 92 tahun mengikut kalendar masehi dan 95 tahun mengikut kalendar Islam. Beliau telah meninggal anak murid yang ramai dan anak-anak yang soleh. Ali Tantawi menyifatkan keturunan al-Zarqa sebagai keturunan emas. Kematian merupakan kehilangan besar kepada dunia Islam terutama dalam bidang pengajian fikah kerana beliau tokoh fikah terkemuka dalam dunia zaman moden. (Mohd Nasir, 2010:113)


Pada hari kematian, anaknya Dr Anas telah memanggil doktor Abdul Razak dan doktor menasihati untuk masuk ke hospital namun Syeikh Mustafa berkeras tidak mahu pergi. Doktor reda dengan keputusan dan membenarkan berehat di rumah. Selepas selesai solat Zuhur, beliau masih bertemu orang di atas katil dan mengeluarkan fatwa apabila dua orang dari pusat penyelidikan dalam syarikat al-Rajhi datang melawatnya. Apabila kedua-duanya telah pulang dan beliau memanggil anaknya Dr Anas  dan menerangkan fatwanya yang telah diberikannya dengan menyuruh anaknya melihat kepada buku datuknya buku Qawa’id al-Fiqhiyyah dalam bab terakhir.

Setelah itu, beliau berasa penat namun masih buka mata dan bertanya sama ada masuk waktu solat Asar dan anaknya berada  ditepi sambil memegang tangan kanannya. Dr Anas tidak mengetahui kematiannya kecuali setelah azan Asar apabila Mustafa tidak lagi membuka mata lalu memanggil Dr Abdul Razak dan doktor tersebut mengesahkan kematiannya.

 Sumber http://www.mindamadani.my/content/view/257/2/