Siapa Yang Layak Digelar Pakar Hadith?

Primary tabs

Oleh alitantawi

Sejak saya mula mengenali hadith (SPM ada subjek Al Quran Sunnah) sampailah ke peringkat belajar hadith di universiti secara formal atau tidak, saya sering tertanya, siapakah yang benar-benar layak digelar ahli hadith/pakar hadith/muhaddith? Orang yang banyak hafal hadith? Orang yang hafal matan mustolah hadith (kaedah-kaedah kajian hadith)? Orang yang banyak beli buku hadith? Orang yang banyak tulis buku hadith? Orang yang boleh check setiap hadith sahih atau tidak? Orang yang banyak beramal dengan hadith? Orang yang mampu membaca kitab-kitab hadith dalam Bahasa Arab? Orang yang hafal nama buku-buku hadith? Dan sebagainya…

Bila melihat ulama-ulama silam, boleh dikatakan semuanya pakar hadith. Tapi siapa lebih hebat? Al Bukhari? Ibn Hajar?

Bila melihat ulama-ulama moden, siapa pula yang boleh digelar pakar? Al Albani? Abu Ghuddah? Al Ghumari?

Ciri-ciri yang saya persoalkan di atas sebenarnya bercampur-aduk dan kadangkala memeningkan kepala. Persoalan yang saya utarakan di awal tulisan ini adalah di antara ukuran atau neraca timbangan yang digunakan oleh sebahagian kita untuk menilai sama ada seseorang itu pakar dalam bidang hadith atau alim dalam hadith.

Perlu kita sedari….bahawasanya ulama-ulama hadith terdahulu amat mendalam pengetahuan mereka tentang hadith terutama ulama-ulama yang kita kenali mereka sebagai pakar dalam bidang hadith seperti para periwayat hadith daripada golongan tabi’in dan selepas mereka sehinggalah kepada imam-imam pengumpul hadith terkemuka: al Bukhari, Muslim dan murid-murid mereka seterusnya pewaris mereka hingga ke zaman ini. Tetapi…tetapi….mereka juga tidak terlepas daripada melakukan beberapa kesilapan dalam bidang ini. Mereka juga tidak tahu semua perkara dalam bidang mereka sendiri. Mereka ibarat batu-bata yang saling melengkapi untuk satu binaan berdiri kukuh. Masing-masing menjalankan tugas sekadar termampu dan diteruskan pula oleh ulama-ulama yang muncul selepas mereka. Inilah hakikatnya. Inilah satu fakta yang perlu kita sedari sebelum kita membuat penilaian tentang siapa muhaddith paling ulung atau siapa pakar hadith sama ada di zaman silam atau pada zaman ini.

Kita lihat para ulama yang terlibat dalam bidang hadith terlalu ramai di zaman silam. Mereka yang digelar al Hafiz atau al Muhaddith juga ramai. Gelaran sebegini bukanlah bermaksud mereka tidak boleh lagi ditandingi oleh ulama lain. Ia juga bukanlah bermaksud mereka telah mencapai kemuncak dan segala kata-kata mereka atau ijtihad mereka adalah benar 100%. Bagi saya, siapa pun anda, kalau anda mempunyai hujah atau dalil, anda boleh mengkritik mereka (bukan menghina) dan boleh membincangkan semula pendapat atau ijtihad mereka…asalkan anda mempunyai hujah yang kukuh. Kerana mereka juga manusia, mereka bukan malaikat atau nabi yang maksum.

Sekiranya kita menggelar seseorang alim atau sebahagian ulama sebagai pakar hadith pun tidak mengapa bagi saya. Cuma kita perlu menyedari tentang maksud sebenar kata-kata kita. Janganlah gelaran itu mengkaburkan pandangan kita sehingga kita jadi taksub dan taat sepenuhnya kepada setiap gerak-geri dan ucapan ulama yang kita gelar sebagai muhaddith atau pakar hadith.

Sehebat Ibn al Jauzi yang mengarang buku al Maudhu’at (himpunan hadith-hadith palsu berserta sebab ia dinilai palsu) pun masih tersilap menggunakan hadith-hadith yang tidak sahih dalam buku-bukunya yang lain. Sehebat Ibn Hajar juga tersilap dalam bukunya Taqrib al Tahdzib (penilaian kedudukan periwayat). Sehebat al Suyuthi pun masih ada banyak kesilapannya dalam buku al Jami’ al Shoghir. Biasalah, manusia itu lemah!

Ada orang yang kagum dengan kehebatan sebahagian ustaz menghafal matan/lafaz hadith di dalam Bahasa Arab lantas menggelarkannya sebagai muhaddith ulung yang tiada tandingan. Setakat menghafal hadith belum cukup untuk kita mengangkatnya kepada kedudukan yang terlalu tinggi. Mungkin dia menghafal tapi kurang arif tentang fiqh hadith? Mungkin dia tak dapat membezakan di antara hadith sahih, dhaif atau palsu?

Tengok pula pada ustaz yang lain, dia memang hebat. Semua hadith kalau ditanyakan kepadanya dia akan berjaya menceritakan di mana hadith itu berada (takhrij). Tapi rupanya dia tak tahu macam mana caranya untuk menapis hadith-hadith yang dhaif atau palsu.

Ada pula ustaz ketiga, amat faham tentang teori kajian (mustolah hadith) sehingga dia hafal syarat-syarat itu dan syarat-syarat ini, tapi kalau dilontarkan padanya satu hadith, berpeluh juga dia hendak mencari di mana wujudnya hadith itu dan siapa yang meriwayatkannya.

Ada ustaz lain pula, amat hebat dalam menapis hadith. Tapi rupa-rupanya dia amat kurang membaca hadith dan mengingatinya. Kalau ingin mengkaji, perlu buka buku terlebih dahulu barulah boleh mengkaji. Hadith-hadith yang penting tidak diingatinya melainkan jika bukunya dibuka.

Cari lagi ustaz lain, amat mendalam ilmunya tentang hadith dan fiqh hadith (huraian maksud dan hukum yang terkandung dalam hadith). Tapi sayangnya, sekali lagi ustaz sebegini tidak tahu bagaimana ingin membezakan antara hadith sahih dan hadith yang tidak sahih.

Tidak kurang juga yang kuat beramal dengan sunnah, tapi dia sendiri tidak tahu asal usul atau hadith yang diamalkannya. Apa yang ada pada dirinya ialah keinginan yang tinggi untuk mencontohi Rasulullah SAW dalam segala gerak-geri dan tutur kata.

Lebih malang lagi, ada orang yang mendakwa ‘syeikh’nya sahajalah yang alim hadith, orang lain tidak. Hebat kerana syeikhnya tahu satu dua perkara dalam hadith. Itu sahaja. Taksubnya sehingga menafikan kehebatan syeikh orang lain. Bila agaknya sikap taksub ini akan hilang? Taksub bukan sahaja menjangkiti sebahagian (bukan semua) ahli tarekat, ahli pondok, bahkan menjangkiti juga sebahagian yang menggelar diri mereka salafi atau pengikut sunnah!

Berbalik kepada topik artikel…siapa ulama atau pakar hadith? Bagi saya,..wallahu a’lam…akan ada ulama yang arif dalam satu cabang daripada bidang hadith, tetapi sudah pasti dia tidak tahu cabang-cabang yang lain. Ada yang tahu satu sudut dengan mendalam, namun sudut-sudut lain hanya diketahui secara umum. Ada yang masih dalam proses menuntut dan mencari pengalaman, mungkin ketika umur mencapai 70 tahun, barulah boleh dipanggil muhaddith! Kalau nak dipanggil semua ulama dengan gelaran muhaddith atau pakar hadith, atau alim hadith…bagi saya tidak ada masalah …tapi dengan syarat: kita sedar bahawa setiap ulama itu mempunyai kelebihan dan kekurangan dan pastikan diri kita tidak taksub sehingga menghalang kita untuk mengkritik atau mengambil pendapat lain selain pendapat orang yang kita sanjung dan gelar sebagai muhaddith tadi.

Dan apa pula tindakan kita? Teruskan usaha untuk menambah ilmu kerana ilmu sama ada bidang hadith atau bidang lain, ia perlu dicari dan dituntut, ia tidak datang bergolek, ia tidak mencari kita. Kitalah yang akan berusaha menambah ilmu di dada. Sekiranya kita ingin sama menyertai golongan yang digelar sebagai pengkaji atau alim hadith, mulakan usaha dengan belajar dan membaca dan mengkaji. Kalau setakat kita membaca satu dua buku daripada seorang dua penulis, kemudian berangan-angan untuk jadi alim hadith, lupakan saja impian itu! Impian menjadi muhaddith tidak mustahil, tapi ia perlukan usaha dan pengorbanan.