Artikel Dakwah: Nabi Yunus a.s. Itu Dekat Dengan Kita

Oleh Solleh Al-Fatimi

Penat, letih, sakit, sedih, putus asa, mengalah, tidak bersemangat, rasa keseorangan tiada penyokong dan pelbagai lagi perasaan yang sering melanda diri kita tatkala berhadapan dengan ujian dakwah. Kadang-kadang diri terduduk lantaran bayu ujian menerjah diri. Kadang-kadang tangan penat menabur baja akibat tangan lain berterusan menabur racun. Mematikan pohon harapan. Namun apa yang harus diri ini lakukan? Apakah diri ini harus melangkah ke belakang. Meninggalkan pohon harapan yang terpikul dibahu. Atau terus memikulnya dan membajainya sekalipun diri penat dan sedih sudah menjadi sahabat karib.

Ya, kita hanya seorang manusia. Kita punya hati dan perasaan. Iman kita bertambah dan berkurang. Semangat dakwah terkadang subur dan terkadang layu menunggu gugur. NAMUN diri harus berhenti seketika untuk mengasah mata gergaji dengan lembaran sejarah hidup insan pilihan. PARA ANBIYA'.
Plot perjalanan Nabi Yunus rupa-rupanya terlalu dekat dengan KITA. Allah menegur Nabi Yunus untuk iktibar buat diri yang lemah ini. Teguran bukan kerana kekurangan tetapi untuk membangkitkan diri yang sebenar. YA... Membangkitkan diri kita yang sebenar. Kita bukan seorang yang lemah dan mudah berputus asa.

Kita melihat akibat penentangan dan pendustaan kaumnya, Nabi Yunus merasa bosan dan susah hati. Lalu beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan mereka dengan perasaan yang marah. Kesabaran? saat itu kesabarannya telah tercabar. Dakwahnya ditinggalkan bersama dengan kesabarannya...

Babak kisah nabi Yunus ini mengandungi beberapa perkara yang menarik dan menyentuh hati yang wajar bagi kita berhenti merenunginya sebentar, Lantas Tafsir Fi Zilal al-Quran, karangan MUJAHID SYAHID SAYYID QUTB mengubati penyakit di jiwa pendakwah. Insan yang berjaya dalam dakwahnya. Beliau menggarapkan, antaranya: Nabi Yunus tidak sabar memikul tugas-tugas dakwah. Beliau cepat bosan dengan gelagat-gelagat kaumnya dan terus meletakkan (beban) tugas dakwahnya, kemudian meninggalkan kaumnya dengan perasaan yang marah, bosan dan susah hati, lalu Allah SWT campakkan beliau ke dalam kesusahan yang lebih berat dari kesusahan-kesusahan menghadapi tindak tanduk kaumnya yang mendustakan dakwahnya. Andainya beliau tidak bertaubat kepada Allah SWT dan mengakui kesalahannya yang telah bertindak zalim terhadap dirinya sendiri, terhadap dakwah dan tugasnya, tentulah Allah SWT tidak menyelamatkan beliau dari kesusahan ini. Tetapi mujurlah kudrat Ilahi telah memlihara dan menyelamatkan beliau dari kesusahan dan kedukacitaan yang dialaminya itu.

Para pendakwah pastilah sanggup menanggung beban-beban tugas dakwah, pastilah sanggup bersabar menghadapi pendustaan dan penindasan orang-orang yang tidak menerima dakwahnya. Memang benar bahawa pendustaan terhadap orang yang benar itu amat pahit dirasakan di dalam hati, tetapi ia merupakan sebahagian dari beban-beban menyampaikan risalah Ilahi. Oleh sebab itulah mereka yang ditugas menyampaikan dakwah pastilah sabar dan tabah, pastilah gigih dan perpendirian kukuh, pastilah sanggup mengulangi dakwah, sanggup memula dan sanggup mengulangi semula.

Mereka tidak seharusnya berputus asa dari mendapat sambutan dari orang-orang yang berhati baik biarpun bagaimana hebat mereka menghadapi keingkaran, pendustaan, kenagkuhan dan penentangan. Jika percubaan dakwah pada kali ini yang seratus gagal untuk sampai ke dalam hati manusia, mungkin percubaan pada kali yang seratus satu akan berjaya sampai ke dalam hati mereka. Mungkin pula ia akan berjaya pada kali yang seribu satu…andainya mereka sanggup bersabar pada kali ini dan terus mencuba lagi tanpa putus asa tentulah banyak hati akan terbuka kepada dakwahnya.

"Memang mudah kepada seorang pendakwah melahirkan perasaan marah kerana orang ramai tidak menyambut dakwahnya lalu dia terus meninggalkan mereka. Itulah satu tindakan yang senang. Kemarahan mungkin reda dan saraf yang tegang mungkin tenang, tetapi di manakah dakwah itu? Dan apakah hasil yang didapati dakwah itu setelah dipulaukan para pendusta dan penentangnya?"

Yang menjadi pokok dan dasar ialah dakwah bukannya pendakwah.Pendakwah mungkin mengalami perasaan bosan tetapi dia harus menahan perasaan marahnya dan terus berjuang lagi. Dia lebih baik bersabar dan jangan merasa bosan dan marah terhadap cemuhan-cemuhan mereka. Pendakwah hanya alat di tangan kudrat Ilahi dan Allah SWT lebih mengetahui untuk memelihara dan menjaga dakwahnya. Oleh itu tugas pendakwah ialah menunaikan kewajipan dakwahnya pada setiap waktu dan suasana. Kemudian serahlah perkembangan selanjutnya kepada Allah SWT kerana hidayah itu ialah hidayah Allah SWT.

Di dalam kisah ini terdapat pengajaran yang besar kepada para pendakwah, iaitu satu pengajaran yang sewajarnya kita semua merenunginya." Sekian... Teruskan berjuang kerana kemenangan menunggu kita di hadapan sana!

* adaptasi dari Fi Zilal al-Quran oleh Sayyid Qutb ketika mentafsirkan ayat 87-88 dari Surah al-Anbiya'.

Sumber:
http://solleh-alfatimi.blogspot.com/2011/08/nabi-yunus-itu-dekat-dengan-kita.html