Tindakan JAIS Ke Atas Syiah - Apa Kata Agensi Berita Syiah Iran

Primary tabs

Berikut ini adalah laporan sekitar serbuan JAIS ke atas 200 pengikut Syiah di markaz mereka di Hauzah ar-Ridha, Gombak.  Laporan ini dari Ahlul Bayt News Agency (abna.ir) yang berdomainkan negara Iran. Agensi berita ini mengandungi 15 bahasa yang mempropagandakan idea-idea ajaran Syiah, dari berita tentang Syiah, fatwa-fatwa ayatullah mereka dan sebagainya. Ruangan berbahasa Melayu dapat dilayari di sini: http://www.abna.ir/index.asp?lang=15

------PETIKAN---

Muharam di seluruh dunia;
Majlis Azadari Penghulu Syuhada di Kuala Lumpur

Pencinta Imam Husain (as) mengadakan majlis majlis berdukacita mengenang kesyahidan Imam Husain, keluarga beliau dan para sahabatnya di Kuala Lumpur selama 10 malam.
Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Menjelang bulan Muharam dan hari-hari kesedihan mengenang kesyahidan Imam Husain, keluarga beliuau dan para sahabatnya, majlis Azadari selama 10 malam dianjurkan di Kuala Lumpur, Malaysia.

Majlis ini bermula sejak Selasa lalu dengan kehadiran masyarakat tempatan dan pencinta Ahlul Bait dari luar negara. Ceramah pula disampaikan oleh Hujjatul Islam Radmard tentang kata-kata Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib kepada Malik Asytar manakala Hujjatul Islam Miri menyampaikan ceramah mengenai perbandingan haji Ibrahim (as) dan Imam Husain (as). Majlis malam-malam Asyura ini diakhiri dengan Maktam.

Sumber: http://www.abna.ir/data.asp?lang=15&id=216482



Susulan penangkapan seorang aktivis Syiah Malaysia dan seorang ulama Iran;
Kedua tertuduh dibenar ikat jamin

Ulama warga Iran dan aktivis Syiah telah dibebaskan dengan ikat jamin RM2000 setiap seorang

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Kuala Lumpur, Hakim Mahkamah Syar'i Saiful Aziz Jamaluddin membenar seorang ulama warga Iran dan seorang aktivis Syiah yang ditahan dalam majlis mengenang kesyahidan Imam Husain (as) malam tadi diikat jamin dua ribu ringgit setiap seorang. Januari depan ditetapkan sebagai sebutan kes.

Tidak ada pertuduhan yang dibaca dalam persidangan mahkamah siang tadi kerana pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) masih meneliti kes ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 kurungan C dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM3000 setiap seorang dan penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Buletin Utama TV3 sebentar tadi melaporkan bahawa: "Menurut pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusnin Munawi, antara fahaman kumpulan itu melawat makam Saidina Hussein sudah cukup bagi mendapat tempat di syurga, selain menganggap menunaikan haji tidak wajib, serta menetapkan 10 Muharram hari menyeksa tubuh badan sendiri untuk memperingati kematian pemimpin mereka".

Pernyataan ini tidak ada kaitan dengan Syiah Imamiyah sama sekali dan komuniti Hawzah Imam Ridha Gombak dijangka akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Mohammed Khusnin kerana tuduhan palsunya itu.

Sumber:  http://www.abna.ir/data.asp?lang=15&id=217173



Gelombang anti Syiah melanda Malaysia

Media Malaysia kelmarin menyiarkan berita serbuan Jabatan Agama Islam Malaysia (JAIS) terhadap Hawzah Imam Ali Ar-Ridha (as) di Gombak bersama tuduhan-tuduhan terhadap Syiah Imamiyah di Malaysia tanpa memberi ruang kepada pengikutnya menjawab. Antara fitnah-fitnah yang ditujukan kepada Syiah Imamiyah ialah seperti berikut:

Utusan Malaysia:
Melaporkan bahawa pengarah JAIS Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata pengikut Syiah Imamiyah menganggap umat Islam mazhab lain sebagai kafir dan menyeleweng kerana wujud beberapa percanggahan dari sudut akidah dan syariah.

Berita Harian:
“Memukul badan sendiri menggunakan rantai sehingga berdarah sebagai tanda menyucikan dosa pada setiap 10 Muharam adalah antara 23 penyelewengan agama diamalkan kumpulan ajaran sesat dikenali Hauzah Ar Ridha”

(Hauzah Ar-Ridha ialah nama tempat yang diadakan majlis-majlis dan pengajian pengikut Ahlul Bait a.s., bukannya nama kumpulan)

Akhbar Sinar Harian:
Menulis kata-kata Muhammed Khusrin Munawi bahawa sambutan 10 Muharam merupakan salah satu pengisian fahaman Syiah yang mana jika di negara Iran mereka akan menyeksa tubuh sehingga berdarah sebagai cara untuk menyucikan diri dan hari memperingati Saidina Ali.

(Lihat fatwa-fatwa ulama Syiah yang menjadi pegangan para pengikut Syiah Imamiyah: Fatwa-fatwa ulama dan Marji' tentang budaya memukul badan dengan pisau dan rantai)

Akhbar Kosmo:
Ajaran yang dipercayai aktif sejak dua tahun lalu itu (Syiah Imamiyah) dikatakan lebih berbahaya daripada ajaran Al-Aqram kerana pengikutnya menganggap darah orang Islam yang lain adalah halal dan jika dibunuh dianggap sebagai jihad.

(Syiah Imamiyah sentiasa menganjurkan perpaduan umat Islam. Perkara ini jelas di dalam perlembagaan artikel 11 dan 12 Republik Islam Iran yang mewajibkan perpaduan dan membenarkan mazhab-mazhab Ahlusunnah bebas beramal dengan pegangan masing-masing).

Harian Metro:
Memetik kata-kata Muhammed Khusrin Munawi sebagai berikut:
“Bagi lelaki, tarikan seks dipercayai menjadi antara sebab utama mereka mudah mengikuti fahaman Syiah kerana fahaman ini menghalalkan nikah mutaah. Pengikut Syiah juga beranggapan membunuh Ahli Sunnah Wal Jamaah halal dan dibenarkan, malah menjadi satu jihad kepada mereka.”

(Nikah Mut'ah jelas disebut dalam al-Quran dan Hadis. Dalam hukum Fiqh Syiah Imamiyah nikah Mut'ah sudah jelas wajib disertai izin wali, mas kahwin dan hak anak yang lahir. Walaupun Ahlusunnah mengharamkan nikah Mut'ah, di dalam kitab Siyar A'lam an-Nubala menceritakan seorang tokohnya bernama Ibnu Juraij pernah menikah Mut'ah dengan 60 wanita. Beliau merupakan seorang perawi Hadis Ahlusunnah.)

Lebih meghairankan lagi hari ini Penasihat Agama Istana Negara, Datuk Dr Hassan Din al-Hafiz, berkata Syiah tidak pernah diiktiraf di Malaysia. Lebih malang lagi katanya perkahwinan di antara umat Islam yang berpegang kepada ajaran ahli Sunnah Wal Jamaah dan pengikut Syiah yang boleh mengakibatkan perkahwinan tidak sah dan anak yang lahir daripada perkahwinan terbabit boleh dikategorikan sebagai anak zina. Padahal Undang-undang keluarga Islam Selangor pernah mengakui Mazhab Syiah Imamiyah (rujuk: http://www.islam.gov.my/buu/kelsel.html#tafsiran "Hukum Syara' " ertinya hukum yang diterima oleh mazhab Syafle, Hanafi, Maliki, Hambali dan Syiah (Zaidiyyah dan Jaafariyyah)

Sumber:  http://www.abna.ir/data.asp?lang=15&id=217360