JADI MUJTAHID DALAM MASA 10 MINIT!!!

Primary tabs

Oleh Abu Umair

Kalau anda berminat menjadi mujtahid mee segera, ikuti cara-cara di bawah. Ia hanya memakan masa 10 minit sahaja!!!

Peralatan yang diperlukan (alat ijtihad) :

i- Sebuah kitab Ikhtiarat Ibn Taimiyyah (seeloknya yang ditahqiq).
ii- Sebuah kitab Syarah Mumti’ oleh Syeikh Uthaimin.

Boleh juga ditambah dengan beberapa kitab Syeikh Albani. Jika anda tidak mempunyai rujukan-rujukan itu, download sahaja di internet, atau gunakan Maktabah Syamilah.

Markah untuk Kitab Ibn Taimiyyah ialah (2) point, begitu juga kitab Syeikh Uthaimin (2) point.

Cara-cara berijtihad:

Jika anda mahu berijtihad dalam satu-satu masalah feqah, ikuti step-step di bawah.

1. Buatkan satu jadual yang mempunyai dua bahagian. Bahagian pertama ditulis: ‘Pendapat Pertama’, dan bahagian kedua ditulis ‘Pendapat Kedua’.
2. Buka kitab ‘Ikhtiarat Ibn Taimiyyah’. Apabila bertemu dengan pendapat beliau, tandakan (2) point pada bahagian ‘Pendapat Pertama’.
3. Buka kitab Syarah Mumti’. Apabila bertemu dengan pendapat beliau, tandakan (2) point pada jadual. Jika sama dengan pendapat Ibn Taimiyyah, tandakan (2) pada ‘Pendapat Pertama’.
4. Jika pendapat Syeikh Uthaimin berlainan, tandakan (2) pada ‘Pendapat Kedua’.
5. Untuk lebih menyakinkan dalam ijtihad anda, lihat pendapat Syeikh Albani, dan tandakan (2) point pada pendapat yang dipilihnya.
6. Kira berapa point bagi setiap pendapat. Mana-mana pendapat yang mempunyai pont paling banyak, maka itulah pendapat paling RAJIH.
7. Jika ‘Pendapat Pertama’ memperoleh (6) point, dan ‘Pendapat Kedua’ memperoleh (0) point, maka anda boleh menyimpulkan begini: “Yang rajih ialah pendapat pertama. Ia berdasarkan dalil-dalil yang kuat dan bertepatan dengan maqasid syariah. Manakala pendapat kedua, ia sangat lemah dan berlawanan dengan dalil-dalil yang sahih”.
8. Jika masing-masing mempunyai point, anda pilihlah mana-mana pendapat yang anda suka, dan sebutkan begini, “Masalah ini adalah masalah khilaf. Dan diharuskan berijtihad padanya. Tetapi saya lebih cenderung kepada pendapat ….(pertama/kedua)… Tetapi tidak boleh ingkar terhadap pendapat yang berlawanan”.

Dengan cara di atas, anda sudah bergelar seorang ‘Mujtahid Juz’ie’ (mujtahid dalam sesetengah masalah). Tidak puas hati dengan taraf Mujtahid Juz’ie? Selepas ini, pasti ada yang cari kaedah mudah menjadi Mujtahid Mutlaq pula.

Penutup
Usahlah menyangka taraf mujtahid samada mutlaq atau juz’ie dapat dicapai dengan cara yang mudah. Semudah membuat mee segera.

- ubahsuai daripada satu post di Multaqa Ahli Hadith

Sumber: http://abuumair1.wordpress.com/2008/08/12/jadi-mujtahid-dalam-masa-10-minit/#more-386