Assalamualaikum. Saya baru sahaja berkahwin 4 bulan. Umur saya dan isteri 25 tahun, Alhamdulillah saya bahagia bersama isteri. Cuma saya ada sejenis penyakit was-was, adakalanya saya dihasuti perasaan bahawa saya adalah orang kristian,penyakit ini hadir semenjak dari sekolah rendah lagi dan belarutan hingga sekarang, saya cuba melawan perasaan itu. Semoga saya diredhai Allah SWT.
Selain dari itu saya juga dihantui dengan masalah cerai dan talak, hal begini berlaku sejak awal pernikahan. Sering kali bermain difikiran berkenaan lafaz talak/cerai, saya cuba melawan. Sebelum ini saya juga pernah bertanya dan mendapatkan kaunseling dengan pihak jabatan agama Islam di tempat saya tinggal. Saya menceritakan kepada seorang ustazah disitu berkenaan masalah saya. Dia menyuruh saya banyak melakukan ibadat dan ingatkan Allah SWT. Saya banyak melakukan solat sunat taubat dan solat sunat hajat moga dihindarkan penyakit ini. Walaubagaimanapun saya gagal melawan dan akhirnya saya jatuh dalam perangkap penyakit ini.
Kes yang terbaru adalah saya berkata 'aku dah tak nak bini aku', seingat saya, saya melafazkan di dalam hati dan berkemungkinan saya berkata begitu bagi mengawal perasaan saya bahawa saya tidak akan sanggup untuk berkata demikian terhadap isteri saya . Walaubagaimanapun terlintas di minda mengatakan saya telah melafazkan dengan keluar bunyi keseluruhan lafaz tersebut. Seingat saya tidak ada keluar bunyi tapi saya masih musykil kerana saya terdengar bunyi 'tak nak' terpacul dari mulut saya. Saya musykil sama ada saya telah melafazkan keseluruhan ayat tersebut atau tidak melafazkan langsung dan saya musykil apakah niat saya ketika itu jika saya betul-betul melafazkan ayat tersebut . Saya bimbang jikalau ada nya niat ingin bercerai ketika itu akan jatuhnya talak. Kemusykilan ini terlalu kuat sehingga menggangu perjalanan pembelajaran saya.
Saya ada bertanya pihak jakim dalam ruangan musykil agama, ini jawapannya:
Wa’alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Lafaz talaq yang diucapkan oleh suami di dalam hati tidak menyebabkan terjatuhnya talaq. Hal ini berikutan daripada lafaz tersebut tidak dikira sebagai lafaz yang Sarih yang boleh menjatuhkan talaq ke atas isterinya.
Walau bagaimanapun, anda diminta untuk merujuk perkara ini kepada Mahkamah Syariah yang berdekatan untuk mengesahkan apa yang telah terjadi. Wallahu ‘alam.
Adakah jatuh talak saya itu sebenarnya? Saya masih keliru dengan jawapan pihak jakim, sebelum ini seperti yang pernah saya katakan, saya pernah berjumpa ustazah di bahagian kaunseling keluarga di pejabat agama negeri, beliau mengatakan talak susah nak jatuh bagi orang yang berpenyakit was-was dan ada hukum bagi orang berpenyakit was-was. Sekarang saya tengah belajar dan tidak dapat menghubungi ustazah itu dan kadangkala saya berasa malu kerana kerap bertanya dengan beliau jika saya pulang ke kampung.
Saya seperti dikawal bahawa saya memerlukan seseorang untuk diberitahu bahawa tidak jatuh talak, Hanya Allah sahaja yang tahu betapa peritnya saya menanggung penyakit ini. Saya tidak tahu apalagi harus dibuat untuk mengekang penyakit ini. Apakah ubat yang terbaik untuk mengawal penyakit ini? Sukar untuk saya untuk fokus dalam kerja seharian terutamanya pelajaran memandangkan saya kini sedang belajar dan isteri berada dikampung. Saya berharap pihak tuan dapat membantu saya. Dimanakah tempat yang menyediakan rawatan penyakit seperti saya ini?
Wa’alaikumussalam
Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, inSyaAllah.
Didalam kes anda, sebanyak mana was-waas itu berbisik kepada anda, selama-mana anda tidak melafazkannya secara perkataan atau tulisan, maka tidak berlaku penceraian. Allah swt memaafkan hamba atas bisikan yang mereka hadapi. Sabda Nabi :saw :
إن الله عز وجل تجاوز لأمتي ما وسوست به وحدثت به أنفسها ما لم تعمل أو تتكلم به
“Sesungguhnya Allah mema’afkan umatnya apa-apa yang dibisikan (was-waas) dan apa sahaja yang melalui fikirannya, selama-mana dia tidak melakukannya atau berkata mengenainya” [Hadith Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim].
Was-Waas adalah mainan Syaitan. Diantara 3 perkara utama yang dapat membantu mengatasi was-waas adalah :
1. Setiap kali wujud bisikan, cuba buat tidak tahu (ignore) bisikan tersebut. Cuba larikan fikiran anda dan di ganti dengan berzikir kepada Allah swt.
2. Mohon do’a banyak kepada Allah swt moga-moga dapat membantu anda didalam permasalahan was-waas. Diantara do’a yang boleh dibaca, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn al-Sunni melalui A’isyah ra.:
آمنا بالله وبرسله
“(Aamantu Billaahi wa bi rusulihi) – Aku beriman dengan Allah dan Rasulnya” sebanyak 3 kali.
3. Bejumpa orang yang alim didalam bidang hati dan cara pengubatannya. Mudah-mudahan orang alim tersebut dapat membantu. eg: Darul Syifa', dibawah kelolaan Dato Dr Haron Din.
Berikut adalah petikan dari jawapan Ustaz Abu Umair berkenaan dengan cara mengubati penyakit was-waas.
Sekian, wassalam
خيرالأمين