Isu al-Hafiz al-Iraqi: Ustaz Adlan Jawab Abu SyafiQ!!

1- Terima kasih kpd ust Abu Syafiq di atas teguran beliau terhadap buku saya yang telah ditulis pada tahun 2006. Teguran yang tepat dan membina perlu diterima sebagai bukti kita adalah penuntut ilmu. Soal bahasanya yang kasar, itu mungkin kerana beliau merasakan saya sebagai 'musuh' sedangkan saya menganggapnya sebagai 'saudara' yang sudi menegur kesilapan saudaranya sendiri. Itu bukan persoalan untuk dibincangkan di sini. Persoalannya adalah seperti berikut:

2- Untuk meringkaskan terus kepada fakta yang ditegur oleh beliau dalam buku '20 Persoalan Asas Tentang Hadis' pada muka surat 91, sememangnya saya akui bahawa saya cuai dan melakukan kesilapan tanpa disengajakan. Apa yang berlaku ialah - hadith 'An-Nazhofatu Minal Iman' (kebersihan itu separuh daripada iman) tidak dinyatakan di dalam takhrij al-Iraqi terhadap buku Ihya' Ulumiddin dan saya tersalah kerana kecuaian melihat takhrij hadith yang lain iaitu - hadith 'An-Nazhofatu Tad'u Ilal Iman' (kebersihan menyeru kepada iman). Maka di sini saya menarik balik tulisan saya bahawa hukum hadith 'dhaif jiddan' itu adalah ditujukan kepada hadith 'An-Nazhofatu Minal Iman'. Ini dibuat setelah merujuk kepada kitab Ihya' Ulumiddin bersama takhrij al-Iraqi, jilid 1, m.s. 121, cetakan Darul Kutub al-Ilmiyyah, tahun 2001.

 

3- Hadith yang dinilai oleh al-Iraqi sebagai 'dhaif jiddan' itu :(An-Nazhofatu Tad'u Ilal Iman) saya telah sebutkan selepas itu dengan merujuk kepada buku Dhaif Jami' as-Saghir. Ini bermakna hadith yang dirujuk kepada takhrij al-Iraqi sebagai 'dhaif jiddan' (sangat dhaif) dan Dhaif Jami' as-Saghir ialah hadith yang sama iaitu '(An-Nazhofatu Tad'u Ilal Iman). Di sinilah kesilapan dalam penulisan saya dan saya mohon maaf kepada semua yang membaca buku ini.

4- Kedua, saya ingin menyatakan bahawa sememangnya tidak ada hadith dengan lafaz 'An-Nazhofatu Minal Iman' (menggunakan perkataan An-Nazhofah iaitu kebersihan) dalam takhrij yang disebut oleh al-Iraqi dan dalam buku-buku hadith yang saya mampu rujuk. Itu maksud saya dengan merujuk kepada hadith dengan lafaz yang dibincangkan. Lafaz sebegitu tidak dinilai oleh al-Iraqi kerana besar kemungkinan ia tidak wujud dalam buku-buku hadith kerana al-Iraqi membawa riwayat lain dengan lafaz lain. Persoalan ini berkaitan dengan lafaz, bukan makna hadith.

5- Saya menekankan soal perbezaan lafaz dan makna kerana saya telah menyatakan dengan jelas dalam muka surat 91 bahawa 'Telah disepakati oleh semua orang yang mempelajari tentang Islam melalui sumber utamanya iaitu Al-Quran dan Hadith Sahih bahawa Islam memang mementingkan kebersihan'.

6- Seterusnya, saya juga menyebutkan dengan jelas sebuah hadith yang seakan menghampiri maksud 'An-Nazhofatu Minal Iman' iaitu hadith 'At-Tuhuur Syatrul Iman' (dalam kitab Ihya' Ulumiddin ditulis 'At-Tuhuur Nisful Iman') yang memang sahih diriwayatkan dalam Sahih Muslim. Hadith ini saya sebutkan dalam buku yang sama (20 Persoalan Asas Tentang Hadis) pada muka surat sebelah iaitu muka surat 92. Saya dengan jelas menyatakan ia hadith sahih, tetapi maksudnya di sisi ulama mempunyai makna yang berbeza. Dan makna yang saya pilih melihat kepada huraian dalam buku 'Jami' al-Ulum wal Hikam' karya Ibn Rajab ialah 'berwudhu' itu separuh daripada solat' dan tidak hanya merujuk kepada 'An-Nazhofatu' iaitu dengan maksud kebersihan.

7- Saya mengucapkan terima kasih di atas teguran dan serta merta membetulkan apa yang saya tahu dan juga mempertahankan apa yang saya rasa benar. Tidak ada niat sama sekali untuk berbohong atau menipu seperti yang didakwa. Itulah kecuaian seorang manusia lemah seperti saya. Jazakumullah.

8- Diharapkan teguran membina akan terus diberikan bagi membetulkan kesilapan dan meningkatkan ilmu di kalangan kita sebagai penuntut ilmu.

9- Ini ditambah dengan masa buku itu ditulis dan kita sentiasa menambahkan ilmu dan belajar. Sudah pasti pandangan yang lalu kadangkala ada yang sudah tidak kita pegang atau sebaliknya.

10- Sebagai contoh, saya pernah menarik balik dengan jelas dalam kuliah-kuliah dan laman web serta blog tentang kesilapan saya dalam persoalan no.15 pada muka surat 59 iaitu 'lebih baik tidak beramal dengan hadith dhaif'. Saya telah sekian lama menukar pegangan itu kepada pegangan para ulama hadith zaman berzaman iaitu 'boleh beramal dengan hadith dhaif dengan syarat yang ditetapkan oleh ulama' seperti Ibnu Hajar al-Asqlani, an-Nawawi dan lain-lain lagi. Itu sebagai contoh perubahan pandangan setiap penuntut ilmu seperti kita.

 

Wallahu a'lam