Dr Ahmad Nabil Amir | Abduh Study Group, IRF
Pemuda itu adalah bunga-nya tiap-tiap bangsa. [Presiden Soekarno]
Ahmad Boestamam (1920-1983) adalah seorang pejuang kebangsaan dan nasionalis melayu yang radikal yang banyak dikaitkan dengan gerakan kiri dan komunis. Pandangan ini ternyata tidak dapat dipertahankan jika disorot dari rangka sejarah yang luas. Boestamam sebenarnya adalah sosok pejuang yang setanding dengan Dr Burhanuddin al-Helmi, Dr. Zukifli Muhammad, Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Pendeta Za‘ba, dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) yang telah memainkan peranan yang penting dalam sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu.
Sosoknya yang tangkas telah menggerakkan daya perjuangan yang besar di kalangan pemuda dan melahirkan referendum untuk memperjuangkan cita-cita Melayu Raya. Boestamam telah berhempas pulas menggembling kekuatan pemuda di seluruh tanah air bagi membangkitkan kesedaran dan menanam keyakinan dengan semboyan perjuangan merdeka dengan darah, dan menolak rencana penjajah yang berusaha menumpaskan perjuangannya.
Dengan kekuatan dan keazaman yang tinggi, Boestamam mengerahkan seluruh kekuatannya untuk membentengi gerakan rakyat dan menjadi pelopor dalam memimpin perubahan bagi mengangkat martabat dan harakat bangsa. Kepimpinannya dalam Angkatan Pemuda Insaf (API) telah melonjakkan daya juang barisan pemuda untuk menentang penjajah dengan semangat perjuangan yang dibakar serentak dengan ikrar yang dicetuskan bagi menggembling tenaga dan pergerakan pemuda di seluruh dunia yang kental mempertahankan idealisme.
Perjuangan Boestamam untuk mendirikan negara merdeka banyak diilhamkan daripada sumpah pemuda yang diikrarkan pada 28 Oktober 1928 di Indonesia sebagai landasan dan momentum perjuangannya yang keras bagi mewujudkan negara yang bebas dan berdaulat di Malaysia.
Latar Belakang
Ahmad Boestamam dilahirkan pada 30 November 1920 sebagai Abdullah Thani bin Raja Kechil. Beliau dibesarkan di Kampung Behrang Ulu, Tanjung Malim, Perak dan menuntut di sekolah-sekolah Melayu dan Inggeris sekitar Perak termasuk di Sekolah Menengah Anderson, Ipoh, Perak. Sejak awal pertumbuhannya beliau telah dikenal sebagai aktivis yang cekal memperjuangkan agenda bangsa dan membawa suara rakyat.
Boestamam merupakan tokoh pemuda yang disegani dan pejuang yang tegar, yang beriltizam dengan kata hatinya untuk melangkah dalam perjuangan yang murni membela dan memperbaharui nasib umat. Boestamam menzahirkan iltizam yang kukuh untuk menuntut cita-cita membentuk negara yang demokratik dan ini diperkuat dengan lapisan pemuda yang direkrutnya bagi meneruskan aspirasi perjuangan berlandaskan kerjasama pemuda-pemuda Melayu dan Indonesia untuk mencapai hasrat kemerdekaan.
Dalam pertarungannya dengan penjajah, Boestamam telah beberapa kali ditangkap dan dipenjarakan oleh Inggeris dan diperosokkan dalam sel. Namun dengan kecekalan yang luar biasa, beliau menulis rencana-rencana dari dalam penjara sebagai perintang masa.
Pada tahun 1945, Boestamam bergerak aktif dalam gerakan KRIS (Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung) bersama-sama dengan anggota-anggota KMM (Kesatuan Melayu Muda) yang mencuba mengisytiharkan kemerdekaan bersama bagi Malaya dan Indonesia. Beliau ditahan oleh Inggeris dari tahun 1948 sehingga 1955 kerana aktivitinya memimpin gerakan bawah tanah untuk menumpaskan penjajah.
Pada tahun 1955 beliau menubuhkan Parti Rakyat, dan dilantik sebagai yang dipertuanya. Boestamam terpilih sebagai ahli parlimen di Dewan Rakyat pada tahun 1959 mewakili Front Sosialis dan ditahan lagi pada tahun 1963 kerana aktiviti-aktiviti “pro-Indonesianya.”
Boestamam juga aktif menulis untuk akhbar-akhbar penting seperti Pelita Malaya, Suluh Malaya, Utusan Zaman, Warta Malaya dan sebagainya. Ketika merengkuk dalam penjara British, beliau menulis dengan menggunakan nama samaran, Ruhi Hayat. Boestamam juga merupakan penggiat sastera dan wartawan yang terkenal dengan ide-ide radikalnya.
Perjuangan Boestamam merumuskan kembali gagasan Melayu raya dan menemukan identiti bangsa yang tersendiri telah menyumbang dalam pembangunan budaya dan pemugaran ide yang kritis. Menanggapi sumbangan Boestamam yang cukup besar dalam memartabat sejarah dan agenda bangsa, Profesor Khoo Khay Kim mengungkapkan: “Kini beliau telah pergi. Satu era dalam politik Malaysia telah tamat. Ramai berjuang dalam [tahun] empat puluhan dan lima puluhan namun tiada antara tokoh-tokoh zaman itu yang lebih berjaya melambangkan gaya dan corak perjuangan golongan radikal Melayu.”
Karya
Boestamam adalah penulis yang prolifik yang banyak menghasilkan karya-karya politik dan novel yang memberangsangkan, seperti buku Merintis Jalan ke Punchak, Tujuh Tahun Malam Memanjang, Lambaian Dari Puncak, Testament Politik A.P.I., dan Memoir Ahmad Boestamam: Merdeka dengan Darah dalam Api. Boestamam turut menterjemahkan buku yang ditulis oleh William R. Roff, berjudul The Origins of Malay Nationalism [Nasionalisme Melayu] yang mengupas sejarah perkembangan nasionalisme Melayu sejak kurun kedua puluh dan menelusuri secara terperinci liku-liku perjuangan, corak politik dan garis sosial, kesan pemerintahan Inggeris, penjelmaan kaum muda dan golongan elit pentadbiran, peranan surat-surat khabar dalam membakar sentimen rakyat, pemisahan etnik dan semangat nasionalisme yang digerakkan di Tanah Melayu.
Perbincangan yang diutarakan tentang pertubuhan-pertubuhan nasional dalam dekad 1930-an, turut mencerakinkan perjuangan Ahmad Boestamam dalam kesatuan Melayu Muda dan pembabitannya dalam politik dan pergerakannya bersama pemimpin dan pejuang-pejuang kebangsaan seperti Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad, Abdul Karim Rashid, Hassan Manan, Abdullah Sidek, Isa Mohd Mahmud, Othman Abdullah dan tokoh-tokoh pembaharuan seperti Dr Burhanuddin al-Helmi yang disifatkan sebagai “golongan intelek yang radikal”.
Mengulas tentang peranan Boestamam dalam kebangkitan gerakan nasionalisme, Roff menyatakan: “Ahmad Boestamam [dulunya terkenal sebagai Abdullah Sani] Raja Kecil, salah seorang tokoh yang meributkan gelanggang politik setelah perang, dilahirkan oleh keturunan raja-raja di Perak dalam tahun 1920.” (William R. Roff, 2003: 270)
Dalam kerjayanya sebagai wartawan, Boestamam turut menyumbangkan tulisan-tulisan yang produktif yang mengupas idealisme politik yang diperjuangkannya, dan menerbitkan artikel-artikel ringkas yang membahas perkembangan pemikiran dan perjalanan ekonomi dan sosial di tanah air dan arus perjuangan rakyat marhaen menuntut hak dan kebebasan.
Dasar dan Pengaruh
Perjuangan Boestamam didasarkan oleh aspirasi untuk menuntut kemerdekaan tanah air. Bagi mencapai hasrat ini beliau telah mengumpul kekuatan pemuda untuk berjuang habis-habisan seperti dalam zaman pemberontakan Indonesia yang memperlihatkan pemudanya “betul-betul membuktikan jiwa, semangat dan kemahuan pemuda Indonesia.”
Boestamam mengambil ilham daripada perjuangan Sutomo atau dikenali sebagai Bung Tomo di Indonesia dalam langkahnya untuk membina dan menyusun tenaga raksasa untuk mencapai kemerdekaan. Boestamam telah merangka dan menggariskan dasar perjuangan yang tuntas untuk melahirkan kepimpinan moden dan melakar corak politik baru yang berilitizam menegakkan negara yang bebas dan demokratik, dan memecahkan monopoli penjajah yang telah memunggah kekayaan dan khazanah bangsa di seluruh wilayah takluknya.
Berbekalkan keyakinan dan keazaman yang tak dapat ditawar-tawar lagi, Boestamam maju memperkukuh barisan pemuda dan menyusun saf perjuangan yang strategik bagi menyambut perjuangan serantau menentang pemerintah kolonial dan membebaskan tanah jajahan. Bagi merealisasikan tekad dan cita-cita yang besar ini beliau berusaha (1) menggabungkan Angkatan Pemuda Insaf dengan Gabungan Pemuda Demokratik Sedunia dan Lembaga Pemuda Bangsa-Bangsa Asia (2) memperkukuh perpaduan pemuda-pemuda Malaya yang sefaham dan secita-cita (3) dan memperkukuh perpaduan pemuda sedunia yang sefaham dan secita-cita.
Harapan ini dizahirkan dalam tulisannya Testament Politik yang menyatakan dukungan terhadap hasrat mendirikan persaudaraan dan demokrasi dalam dunia, dan menggerakkan tenaga dan kesatuan pemuda bangsa Asia untuk mencapai persaudaraan, persefahaman, dan keadilan.
Testament politik API yang dihasilkan Boestamam pada 1946 merumuskan garis perjuangan dan cita-cita besarnya dalam arus politik dan sosial tanah air. Karya ini disifatkan sebagai testimonial perjuangannya yang terbaik yang memperlihatkan arah perjuangan dalam gerakan kiri dan radikal yang dipimpinnya, yang turut menyebabkan penulisnya didenda sebanyak 1,200 ringgit oleh pemerintah Inggeris.
Dalam Testament ini tertuang pandangan dunianya tentang corak pemerintahan dan sistem pendidikan yang ingin ditegakkan, cita-cita mengangkat martabat politik, ekonomi dan sosial, mempertahan hak dan maruah bangsa, menangani ketempangan ekonomi. memantapkan prasarana sekolah, menjawab tentangan daripada golongan tradisionalis dan feudalis, dan mengumpul tenaga pemuda untuk memperjuangkan kemerdekaan dan mematahkan agenda koloni.
Langkah perjuangannya banyak dipengaruhi oleh sosok-sosok radikal yang dikaguminya seperti Boeng Tomo (Soetomo), Drs. Mohd. Hatta, Subhas Chandra Bose, Ir Soekarno dan Zarqaa binti Adji. Kenyataan ini dikupas oleh Rustam Sani dalam tulisannya yang singkat Ayahku Ahmad Boestamam: “Apakah ‘gaya dan corak’ pejuangan golongan tersebut (tokoh pejuang tahun 30-40 an) yang terpancar pada kehidupan Ahmad Boestamam? Pada hemat saya, gaya dan corak itu tidaklah terlalu berbeza daripada gaya dan corak perjuangan para pemimpin dan gerakan-gerakan nasionalis lainnya yang banyak muncul di seluruh rantau Asia dan Afrika pada tahun-tahun empat puluhan dan lima puluhan itu – gerakan-gerakan yang telah mengakhiri pemerintahan kolonial dan melahirkan sebilangan negara-negara bebas di rantau ini yang kita kenal hingga ke hari ini. Kebanyakan gerakan tersebut merupakan gerakan anti-kolonial dalam ertikata yang visionary (berwawasan). Penolakan mereka terhadap kuasa penjajahan itu tidaklah didorong oleh rasa benci yang bersifat perkauman, tetapi didorong oleh fahaman tentang keadilan, demokrasi dan kesamarataan yang amat kuat.”
Gerakan Pemuda
Boestamam memimpin gerakan pemuda bermula dengan Kesatuan Melayu Muda (KMM) [1938], Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) [1945] dan Angkatan Pemuda Insaf (API) [1946]. Pertubuhan ini bertujuan untuk mengumpul tenaga pemuda dalam pergerakan dan mencari jalan persefahaman dan kerjasama dalam perkara-perkara yang menyentuh hak pemuda, dan memenuhi “tuntutan-tuntutan pemuda yang mustahak.” Ia juga berhasrat untuk membuka gelanggang perjuangan di kalangan pemuda dan menyiapkan angkatan kader dalam menggerakkan perjuangan menolak penjajah.
Menurut Boestamam, semangat dan jiwa pemuda harus digembling untuk membina tenaga raksasa bagi menggerak dan melahirkan negara merdeka. Pergerakan pemuda harus menerobos dalam lapangan-lapangan ekonomi, politik, sosial dan kebudayaan supaya “pemuda-pemuda yang berjiwa demokratik mendapat kebebasan berpidato, mengeluarkan fikiran dalam surat-surat khabar, beragama, bersidang dan berarak”, dan pimpinan harus “menjalankan segala daya upaya untuk memberi pelajaran kepada angkatan muda dalam fikiran-fikiran dan tanggungan-tanggungannya sebagai penduduk alam ini.”
Semangat juang yang dilahirkan Boestamam adalah bagi membentuk pemuda yang berjiwa keras dan radikal, “mahukan perubahan dalam segala lapangan dengan serta merta dan serentak.” Cita-citanya digerakkan oleh aspirasi perjuangan untuk menuntut keadilan dan persamaan hak, dan melahirkan pemuda-pemuda bangsa yang merdeka, berjuang untuk menjayakan aspirasi kebebasan.
Pewaris Perjuangan
Dalam meneruskan perjuangan yang dirintis Boestamam, anak lelakinya yang tunggal Rustam Sani (1944-2008) telah menggalas amanah perjuangan yang disematkan ke bahunya, dan meneruskan warisan perjuangan untuk membina negara yang berpaksikan cita-cita luhur, dan sudah selayaknya beliau melanjutkan perjuangan gigih bapanya, yang telah mempercayakan nasib perjuangan dan tanggungjawab kemerdekaan ke pundaknya.
Rustam adalah sosok pejuang dan intelek yang gigih membedah ketempangan sosial dan kebobrokan politik di Malaysia dan menzahirkan aspirasi perjuangan yang murni dalam meniupkan kesedaran dan menggerakkan kebangkitan massa yang kolektif. Lewat karya-karyanya yang kritis, seperti Riak-Riak Kecil (kumpulan sajak), Failed Nation: Concerns of a Malaysian Nationalist dan Social Roots of the Malay-Left, Rustam menganalisis sejarah perjuangan gerakan kiri di Malaysia dan menghuraikan ideologi pergerakan dan impak sosialnya terhadap aliran pemikiran moden.
Dalam catatannya yang ringkas tentang Boestamam bertajuk Ayahku Ahmad Boestamam, Rustam menulis tentang pembacaannya yang mendalam tentang pemikiran Boestamam dan halangannya untuk berdamping dengannya akibat ditahan dan dipenjarakan berulang kali: “pengetahuan saya tentang Ahmad Boestamam tidak mungkin merupakan pengetahuan intim seorang anak tentang keperibadian ayahnya. Sebahagian besar pengetahuan saya – malah kekaguman saya juga – tentang beliau sekadar merupakan hasil kajian dan renungan saya sebagai seorang pelajar ilmu politik dan sejarah politik Malaysia moden, khususnya nasionalisme dan gerakan politik radikal Melayu.”
Dengan watak, tingkah dan raut wajah yang seimbas ayahnya, Rustam, anak lelaki yang mewarisi kejantanan Boestamam tampil memimpin perubahan dan menggerakkan cita-cita bangsa dan menempuh perjuangan untuk membawa keadilan politik dan sosial dengan mendengungkan semboyan “Merdeka dalam Darah” yang telah dilaungkan Boestamam.