Maqasid & sirah rasul : Agama bukan hanya dilindungi dengan hujjah!

Primary tabs

Oleh: Shamsul Muda

Imam Syatibi (meninggal 790H), ada memperkatakan tentang kaedah Islam menjaga dan melindungi agama. Iaitu dalam karya agungnya, al-Muwafaqat.

Jelas beliau, agama beserta nyawa, akal, keturunan dan harta-yang kesemuanya merupakan 5 tunjang kehidupan-dipelihara dan dilindungi dengan dua kaedah. Iaitu kaedah Menghasil dan Menangkis. Atau menurut ungkapan beliau, ‘min janib al-wujud’ dan ‘min janib al-‘adam’ (Al-Syatibi, Ibrahim Ibn Musa (2003), al-Muwafaqat, cet.3,  Beirut : Darul Kutub al-Ilmiyyah, jil.2, ms.7).

 

Ibadah: Memelihara agama melalui kaedah menghasilMemelihara agama melalui ‘min janib al-wujud’ (kaedah Menghasil) ialah ‘melakukan sesuatu yang membangunkan agama dan mengukuhkannya’. (Abdullah Darraz dalam Syatibi (2003), jil.2, ms.7).

 

Demi memelihara agama melalui kaedah ‘min janib al-wujud’ ini, Syariat Islam mewajibkan ke atas para mukallaf ibadat-ibadat teras seperti solat, zakat, puasa, haji dan sebagainya. (Al-Syatibi (2003), jil.2, ms.7)

Kesemua ibadat teras ini berfungsi sebagai ‘penghasil’ agama. Seterusnya, menegak dan mengukuhkannya.

Adapun memelihara agama ‘min janib al-‘adam’ (kaedah Menangkis), ia bermakna ‘menangkis segala perkara yang boleh menggugat atau melenyapkan agama’. (Abdullah Darraz dalam Syatibi (2003), jil.2, ms.7)

Bagi tujuan memelihara agama melalui ‘min janib al-‘adam’ ini, Islam mewajibkan 4 kewajipan. Iaitu :

  1. Jihad ;
  2. Hukuman ke atas orang yang murtad;
  3. Memerangi bid’ah dan menghukum pelakunya; dan
  4. Pengharaman maksiat dan hukuman ke atas pelakunya.

(Yusuf Hamid al-‘Alim (1993), al-Maqasid al-‘Amah Li al-Syari’ah al-Islamiyyah, cet. 2,Riyadh : al-Dar al-Ilmiyyah Li al-Kitab al-Islami, ms.248).

Lindungi agama.. Bukan semata-mata hujah. Kekuatan dan kekuasaan juga perlu digunakanKeempat-empat kewajipan ini bukan berbentuk hujjah. Kesemuanya adalah dalam kategori ‘penggunaan kekuatan dan penguatkuasaan undang-undang’.

Justeru, tidak benar agama hanya dilindungi oleh hujjah.

Kenyataan Imam Syatibi di atas memberi pengertian yang jelas. Iaitu agama dan 4 lagi tunjang kehidupan yang lain, bukan hanya dilindungi oleh hujjah. Ini kerana, menangkis sesuatu yang boleh menggoyahkan agama, bukan hanya boleh dan perlu dilakukan dengan hujjah.

Sebaliknya, kekuatan dan kekuasaan perlu juga digunakan-disamping hujjah-bagi melindungi agama, seperti yang dinyatakan oleh Syaikh Yusuf Hamid al-‘Alim di atas.

Kenyataan Imam Syatibi yang diperincikan oleh Syaikh Yusuf Hamid di atas, adalah hujah pertama yang menyokong kenyataan bahawa agama bukan hanya dilindungi oleh hujjah.

 

Sirah para rasul

Nabi Muhammad s.a.w.

Hujjah kedua, ialah sirah Nabi Muhammad s.a.w dan para rasul yang lain. Sirah mereka membentangkan dengan jelas hakikat bahawa, hujjah semata-mata tidak mampu melindungi agama. Sebaliknya, untuk melindungi agama, hujjah perlukan dokongan kuasa dan kekuatan.

Ketika berada di Mekah, Nabi s.a.w memiliki hujjah yang maha hebat, iaitu al-Quran. Tidak cukup dengan itu, Baginda diperkuatkan lagi dengan mukjizat yang nyata (hissi) seperti kemampuan membelah bulan dan peristiwa Israk Mikraj.

Al-Quran telah mematikan segala hujjah Musyrikin Mekah. Demikian juga mukjizat Baginda yang lain. Sekaligus ia adalah bukti yang terang benderang bagi kerasulan Baginda s.a.w.

Hujah sahaja tidak memadai. Nabi s.a.w. terpaksa mencari perlindungan agamanya di Habsyah dan MadinahMeskipun demikian kuat dan nyata hujjah Baginda s.a.w, namun ia tidak mampu melindungi agama yang dibawa Baginda. Sehingga Baginda s.a.w terpaksa mencari perlindungan bagi agama yang diwahyukan kepadanya itu di Habsyah, dan kemudiannya di Madinah.

 

Nabi Ibrahim a.s.

Sirah Nabi Ibrahim s.a.w juga menunjukkan perkara yang sama. Hujjah yang dibawa oleh Nabi Ibrahim sangat kukuh dan hebat. Kehebatannya menyebabkan Namrud tercengang dan lidah kaumnya kelu.

Ketika Nabi Ibrahim melontarkan hujjah yang membuktikan Namrud bukan seorang tuhan seperti yang didakwanya, Namrud bukan sekadar kelu lidahnya. Lebih dari itu, beliau tercengang ‘dihentak’ kekuatan hujjah Baginda.

Ke‘tercengang’an Namrud ini dirakamkan oleh ayat 258, surah al-Baqarah yang memperihalkan tentang satu perdebatan yang berlaku antara beliau dan Nabi Ibrahim . Ayat tersebut bermaksud :

“Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Ia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi : “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari Timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim”

Kekuatan hujjah Nabi Ibrahim terlakar begitu jelas dalam ayat suci di atas. Namun, ia masih belum dapat melindungi agama yang dibawa Baginda. Diri Baginda sendiri pun tidak dapat dilindungi oleh hujjah Baginda yang begitu kuat dan hebat itu, apabila Baginda sendiri akhirnya dicampakkan ke dalam api.

Andai Baginda selaku pembawa agama, tidak dapat dilindungi oleh hujjah miliknya meskipun ia sangat hebat dan kuat, maka bagaimana ia mampu melindungi agama itu sendiri?

Begitu juga dengan hujjah yang dikemukakan Baginda kepada kaumnya setelah Baginda memecahkan berhala-berhala sembahan mereka. Hujjah Baginda membuatkan mereka kelu dan terdiam.

Seperti yang diceritakan ayat 62-28 surah al-Anbiya’ beserta tafsiran para ulama, Nabi Ibrahim telah bertindak memecahkan berhala-berhala sembahan kaumnya, kecuali satu berhala besar.

Pada berhala besar itu Baginda letakkan kapak. Baginda kemudiannya meminta kaumnya bertanya kepada berhala besar yang mereka sembah itu, siapakah yang memecahkan berhala-berhala lain di sekelilingnya.

Hujjah Nabi Ibrahim ini menyebabkan kaumnya kelu lidah dan terdiam, kerana mereka tahu berhala besar itu tidak mampu berkata-kata.

Walau begitu, Nabi Ibrahim tetap dihukum dengan dicampakkan ke dalam api!

Terpaksa lari dari Firaun sekalipun hujah Nabi Musa cukup kuat

 

Nabi Musa a.s.

Demikianlah juga dengan sirah Nabi Musa.

Baginda diberikan hujjah yang sangat kuat yang berupa mukjizat yang banyak. Namun, semua mukjizat itu semata-mata, masih juga belum mampu melindungi agama dan pengikut Baginda. Hingga mengakibatkan Baginda terpaksa membawa lari pengikut Baginda daripada kekejaman Firaun.

Ringkasnya, para rasul diberikan hujjah yang kuat dan tidak terlawan oleh musuh, iaitulah mukjizat. Namun mukjizat-mukjizat yang hebat itu semata-mata, tidak mampu melindungi agama yang dibawa oleh mereka, seperti dalam sirah Nabi Muhammad s.a.w, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan lain-lain.

Jika hujjah yang nyata dan kuat seperti mukjizat masih belum mampu melindungi agama, maka apakah umat Islam di akhir zaman ini, di zaman ketandusan ilmu dan iman, mampu melindungi agama mereka hanya dengan hujjah semata-mata?

Tentulah tidak.

Contoh-contoh yang dinyatakan di atas, hanyalah secebis dalil dari sekian banyak dalil yang menunjukkan agama bukan hanya dilindungi oleh hujjah. Namun, ia sudah memadai dan mencukupi bagi menyampaikan maksud.

 

Cadangan

Di sana ada satu persoalan berbangkit. Iaitu sebab yang mendorong sesetengah pihak membuat dakwaan yang difahami bahawa agama hanya dilindungi oleh hujjah.

Tidak diragukan, dakwaan ini terbit kerana didorong oleh kecintaan pihak terbabit kepada Islam. Yang tidak mahu Islam dilihat oleh bukan Islam terutamanya, sebagai agama kekerasan dan paksaan. Sebaliknya, agama suci ini mahu dilihat sebagai agama yang lembut dan harmoni.

Walaupun niat pihak-pihak terbabit suci, tapi kenyataan para ulama dan sirah para rasul yang dinyatakan di atas, jelas memperlihatkan bahawa agama tidak boleh dilindungi oleh hujjah semata-mata.

Bebas mengamalkan agama anutan masing-masing. Islam agama paling toleransi. Penguatkuasaan undang-undang Islam tidak akan menjejaskan sifat itu.Kekuatan dan kuasa serta undang-undang, wajib digunakan-disamping-hujjah untuk memelihara agama.

Ini tidak akan memburukkan imej agama suci ini kerana setiap ideologi anutan manusia juga dilindungi dengan kuasa dan undang-undang.

Lebih penting daripada itu, Islam sendiri adalah satu agama yang bersifat dengan sifat toleransi yang tiada tolok bandingnya terhadap bukan Islam dan agama lain.

Hakikat ini-jika digembar gemburkan-sudah memadai bagi menampilkan Islam sebagai satu agama yang harmoni, toleran dan indah.

Justeru, adalah dicadangkan kepada pihak-pihak terbabit supaya fokuskan kepada aspek toleransi Islam ini. Sebarkan. Warwarkan…

Lebih baik dilakukan ini daripada cuba mendakwa Islam hanya dilindungi oleh hujjah semata-mata.

Wallahua’lam

 


[Blog penulis boleh dilayari di: http://warisan-semasa.blogspot.com/]

 

Kategori Berita: 

Artikel Berkaitan