00. Ringkasan Sirah Nabi s.a.w. (Mukadimah)

Primary tabs

Khulasah Nurul Yaqin Oleh Umar Abdul Jabbar | Terjemahan Zainudin bin Yusro

Mukadimah

Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada hamba-hambaNya dengan kisah-kisah orang terdahulu dan menjadikannya sebagai pedoman untuk orang-orang yang kemudian sehingga ke hari kiamat.

Selawat dan salam ke atas penghulu kami, Muhammad s.a.w. yang mana kehidupannya penuh dengan kemuliaan akhlak, keindahan sifat. Dan selawat ke atas keluarganya dan para sahabatnya, yang mana mereka telah mengambil sirah kehidupan baginda s.a.w. sebagai pelita untuk menyebarkan agama sehingga sampai ke dinding Cina di bahagian timur dan ke jantung Eropah di bahagian barat.

Wa Ba’du (dan selepas itu), oleh kerana sirah Rasulullah s.a.w. merupakan sebesar-besar pembersih bagi jiwa yang menurut hawa nafsu, sehebat-hebat madrasah yang dapat menanam di dalam jiwa pertumbuhan iman yang kuat, dan pancarannya yang benar, kuat kemahuan, berpegang dengan kebenaran, berhias dengan ketinggian akhlak dan kemuliaan sifat, maka saya melihat perlunya saya meringkaskan untuk para pelajar sekolah rendah pelajaran dalam sirah Nabi s.a.w. Iaitu dengan bahasa yang mudah guru mengajarnya. Mudah untuk pelajar memahaminya dan menuturkannya.

Dari beberapa kitab sirah, saya memilih kitab Nurul Yaqin Fi Sirah Saiyidil Mursalin karangan al-marhum al-Khudari Bek, kerana dalam periwayatan ia berpegang dengan al-Quran dan al-Hadis, popularitinya di kalangan orang awam dan orang khawas, bebas dari ikatan perasaan cinta dan benci yang dapat menghilangkan manfaat yang dapat diambil dari sirah. Kerana perasaan cinta akan membuatkan apa-apa yang tidak baik menjadi baik. Apa-apa peristiswa yang berlaku akan ditakwilkan dengan rupa yang tiada di dalamnya apa-apa kerendahan, sehingga akibat darinya akan menjatuhkan dan merendahkan pelakunya.

Sedangkan perasaan benci akan membawa kepada perkara sebaliknya. Iaitu akan mrmbuatkan apa sahaja yang baik menjadi keji dan apa-apa yang baik akan dikeluarkan menjadi jahat.

Seterusnya saya akan iringi setiap pelajaran dengan ringkasannya.

Saya memohon kepada Allah agar ia diterima dan ikhlas kerana Allah yang Maha Mulia. Sesungguhnya Dia berkuasa atas setiap sesuatu dan layak memperkenan permohonan.

Umar Abdul Jabbar