Tukang Gunting TGNA Kongsi Cerita...

Primary tabs

Tok Guru suka gaya bojeng nipis

KOTA BHARU - “Arwah seorang yang sangat ‘mudoh baso’ (tidak rumit), kalau datang kedai saya, dari dulu sampai akhir, tidak pernah sekalipun merungut,” kata Pak Hamid, tukang gunting rambut Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pak Hamid atau nama sebenar, Abdul Hamid Sheikh Mubarak, 73, merasa bagaikan insan terpilih kerana sejak 1970-an lagi, hanya dia yang sentiasa menjadi pilihan arwah untuk mengunting rambut.

Ketika berkongsi kenangan bermakna itu, Pak Hamid berkata, pada awalnya arwah menggunakan perkhidmatan ‘Pok Kob’ (Allahyarham Yakob Senik) dan ketika itu, Pak Hamid bekerja bersama arwah Pak Kob di Kedai Gunting, Bangunan Pejabat Pas Negeri.

“Masa itu, Pak Hamid memerhati sahaja Pak Kob gunting rambut arwah, cuma kadang-kadang kalau orang ramai, Pak Hamid ganti Pak Kob, rasa bertuah sangat masa itu.

“Sampailah Pak Kob meninggal, jadi Pak Hamid lah yang mengambil alih sepenuhnya tugas tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, bekas Menteri Besar Kelantan itu sangat menjaga keterampilan diri dan pembersih kerana setiap tiga minggu sekali, arwah akan datang menggunting rambut.

“Arwah suka menipiskan rambutnya, kalau panjang sikit pun beliau sudah rimas dan cepat-cepat datang ke kedai, paling sibuk pun sebulan sekali mesti datang.

“Datang dengan senyuman dan duduk di kerusi tanpa sebarang ‘permintaan’, maka kita buat lah kerja kita, sejak dari dulu sampai akhir, hanya satu fesyen sahaja arwah suka iaitu gaya 'bojeng nipis',” katanya.

Pak Hamid menganggap bekas Mursyidul Am Pas itu pelanggan istimewa di kedainya kerana kain alas tidak dikongsi pengunjung lain.

“Kain putih ini, Pak Hamid basuh dan simpan asing. Ia hanya digunakan khas untuk arwah sahaja,” katanya dalam nada sayu.

Katanya, selepas pemergian Tok Guru, kain putih itu akan digunakan untuk semua pelanggan lain.

Pak Hamid memberitahu, sepanjang arwah mengunjungi kedainya, arwah tidak banyak bercakap, sentiasa tersenyum dan berbual perkara penting sahaja.

“Pernah empat bulan lalu, arwah datang ke kedai seperti biasa tetapi saya terkejut apabila arwah berkongsi cerita mengenai kesihatannya dan saya merasakan pada hari tersebut sedikit kelainan daripada kebiasaannya.

“Arwah mengadu sering batuk, jadi saya berkongsi petua dengan menyuruhnya mengamalkan madu dicampurkan limau nipis,” katanya.

Pak Hamid berkata, ketika itu arwah mengiakan sambil teruja untuk mencuba petuanya dan saat itulah menjadi memori indah kerana boleh berbual panjang dengan Adun Chempaka itu dan juga kali terakhir berjumpa dengan arwah.

Menurutnya, pada 19 Januari lalu, dia mendapat perkhabaran bahawa tokoh ulama itu uzur dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

“Ketika itu saya terbayangkan apa yang dikatakan arwah mengenai kesihatannya tidak berapa baik. Dalam hati, saya mendoakan dia cepat sembuh dan boleh ke kedai lagi,” katanya.

Dengan izin ALLAH SWT, rezeki pertemuan dengan arwah tidak berakhir di situ apabila Pak Hamid dijemput untuk ke HUSM bagi menggunting rambut arwah.

“Ya ALLAH, inilah yang dinamakan takdir ketika mengingati pemimpin tersohor itu, saya diberi peluang untuk bersua muka dengannya walaupun dalam keadaan uzur.

“Ketika itu, arwah masih boleh duduk di kerusi dan saya diminta menipiskan rambutnya di dalam wad. Arwah hanya senyum tanpa berkata apa-apa,” katanya.

Amat bertuah bagi Pak Hamid dan kenangan itu kekal abadi dalam hidupnya apabila enam hari sebelum arwah meninggal dunia, dia sekali lagi dijemput ke HUSM.

“Sebak hati, namun digagahkan juga. Ketika itu, saya menipiskan rambut arwah dalam keadaan terbaring dan dia sudah terlalu uzur.

“Saya hanya membalikkan tubuh pemimpin disanjung rakyat itu ke kanan dan ke kiri. Itu kenangan yang tak akan padam selamanya,” katanya.

Katanya, masih terbayang kenangan indah itu walaupun terpaksa menggunting dalam keadaan terbaring, namun arwah tersenyum dan mengangguk tanda terima kasih kerana memenuhi permintaannya.

Tambahnya, dia terkejut dan sayu apabila mendapat berita mengenai pemergian pemimpin agung itu ketika menonton televisyen di rumahnya di Jalan Bayam.

[[{"fid":"1608","view_mode":"default","fields":{"format":"default","field_file_image_alt_text[und][0][value]":"","field_file_image_title_text[und][0][value]":""},"type":"media","attributes":{"height":368,"width":490,"class":"media-element file-default"}}]]

Sumber: Sinar Harian