Kajian Perbandingan: Bolehkah Menggelarkan al-Syahid Kepada Seseorang?

Oleh: zain-ys

Kita sering mendengar atau membaca perkataan as-Syahid /al-Syahid atau syuhada’. Ia diberikan kepada mereka yang mati di jalan Allah atau kerana menegakkan kebenaran. Seperti contoh al-Syahid Hasan al-Banna yang ditembak oleh penguasa yang zalim. Al-Syahid Syed Qutb yang digantung. Al-Syahid Abdullah Azzam yang gugur di Afghanistan. Dan ramai lagi.

Yang terkini ialah peristiwa pembunuhan secara kejam beramai-ramai di Mesir oleh pihak tentera.

Bolehkah gelaran al-Syahid itu diberikan kepada individu tertentu atau pada kumpulan tertentu. Seperti kita katakan para syudaha’ dari Syria yang telah gugur ketika bertempur dengan tentera Iran di Syria.

Berikut ini saya paparkan fatwa ulama berkaitan dengannya.

 


Terdapat dua pendapat ulama:

  • Pendapat pertama: Ia dilarang
  • Pendapat kedua: Ia dibenarkan

 


Pendapat pertama: Ia dilarang

Tidak dibenarkan memanggil gelaran al-syahid atau syuhada’ kepada  individu atau kumpulan yang terbunuh ketika berjihad di jalan Allah atau dalam menuntut keadilan.

Menurut syeikh Saleh bin Utsaimin rhm, ada dua jenis persaksian terhadap seseorang bahawa dia itu syahid:

  • Jenis 1: Mengaitkan kesyahidan dengan sifat atau secara umum seperti dikatakan: “Siapa yang terbunuh fi sabilillah, maka dia telah syahid.” Atau dikatakan “siapa yang terbunuh kerana mempetahankan harta atau  sebab taun, maka dia telah syahid.”

Jenis ini dibenarkan kerana ia adalah persaksian berdasarkan sabdaan Rasulullah s.a.w.

  • Jenis 2: Mengaitkan kesyahidan terhadap individu tertentu, seperti dikatanya: Si fulan itu telah syahid.

Ini jenis yang tidak dibenarkan, kerana tidak boleh menetapkan kesyahidan individu tertentu melainkan dengan apa yang telah ditetapkan oleh Nabi s.a.w. sebagai syahid.

Menurut syeikh al-Utsaimin lagi, imam al-Bukhari ada membuat bab di dalam kitab sahihnya: “Bab Tidak Boleh Menyebut Si Fulan Itu Syahid”. Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam Fathul Bari menyatakan;  tidak boleh secara pasti menyatakan demikian melain melalui wahyu. Ia sepertinya memberi isyarat kepada sebuah hadis Umar r.a. di dalam khutbahnya, katanya: “Kamu sekelian berkata di dalam peperangan kamu, bahawa si fulan itu syahid dan si fulan itu mati syahid. Namun, boleh jadi dia mati kerana terjatuh dari kenderaannya. Oleh itu, janganlah berkata seperti demikian itu. Tetapi katalah seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. “barangsiapa yang mati fi sabilillah atau terbunuh, maka dia mati syahid.”

Apakah alasan panggilan al-Syahid secara khusus kepada individu tertentu tidak dibenarkan? Ibnu Utsaimin menyatakan setiap persaksian terhadap sesuatu memerlukan ilmu atau pengetahuan mengenainya. Syarat seseorang itu mencapai syahid ketika berperang menegakkan kalimah Allah ialah niat di dalam hati batinnya. Tiada siapa yang dapat mengetahui  apa yang diniatkan oleh seseorang.

Teks fatwa penuh syeikh Saleh bin al-Utsaimin boleh dibaca di sini: ar.islamway.net

Kesimpulan:

Boleh atau tidak menyebut syahid kepada seseorang?

  • Boleh secara umum mengatakan: “Siapa yang mati berperang fi sabilillah maka dia mati syahid.”
  • Tidak boleh menentukan secara khusus kepada individu tertentu seperti: “Si fulan telah syahid” atau “as-syahid si fulan.”
  • Hanya wahyu sahaja yang berhak menentukan. Manusia tidak dapat mengetahui hakikat sebenarnya seseorang itu syahid atau tidak.

 


 

Pendapat kedua: Ia dibenarkan

Dr Ahmed Al Raissouni‎ mengemukakan empat hujah yang mendokong pendapat ini.

  • Hujah 1:  Hadis Umar r.a. berikut:

أَقْبَلَ نَفَرٌ مِنْ صَحَابَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا فُلَانٌ شَهِيدٌ فُلَانٌ شَهِيدٌ حَتَّى مَرُّوا عَلَى رَجُلٍ فَقَالُوا فُلَانٌ شَهِيدٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلَّا إِنِّي رَأَيْتُهُ فِي النَّارِ فِي بُرْدَةٍ غَلَّهَا أَوْ عَبَاءَةٍ

Ertinya: Ketika terjadi perang Khaibar, maka sekumpulan sahabat mengadap Nabi s.a.w. dan berkata, 'Fulan mati syahid, fulan mati syahid', hingga mereka melalui seorang laki-laki lalu berkata, 'fulan mati syahid.' Maka Rasulullah s.a.w.  bersabda: "Bukanlah begitu, sesungguhnya aku melihatnya di dalam neraka dalam pakaian atau jubah  yang diambilnya (sebelum dibahagi).' (HR Muslim)

Di dalam hadis ini secara jelas menyatakan natijah dari peperangan dengan menyebut para syuhada’ mereka pada peperangan Khaibar.  Mereka yang syahid itu adalah fulan dan fulan dan fulan. Rasulullah s.a.w. tidak membantahpun nama-nama berkenaan kecuali seorang sahaja. Kerana apa Baginda s.a.w. membantah yang seorang itu sebagai syahid? Kerana Baginda s.a.w. mengetahui keadaannya dan apa yang sebenarnya yang dilakukannya.

Ini bermakna, Rasulullah s.a.w. tidak membantah penetapan sahabat tertentu dengan gelaran syuhada’, bahkan baginda mengakuinya. Ini termasuk Sunnah Taqririyah/pengakuan. Yang dibantah oleh Baginda s.a.w. hanya seorang yang diketahui hakikat sebenarnya melalui jalan wahyu.

 

  • Hujah 2: Hadis Jabir:

عن جَابِرُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ الْأَنْصَارِيُّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَاأَنَّ أَبَاهُ اسْتُشْهِدَ يَوْمَ أُحُدٍ وَتَرَكَ سِتَّ بَنَاتٍ وَتَرَكَ عَلَيْهِ دَيْنًا فَلَمَّا حَضَرَ جِدَادُ النَّخْلِ أَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ عَلِمْتَ أَنَّ وَالِدِي اسْتُشْهِدَ يَوْمَ أُحُدٍ....

Ertinya: Dari Jabir bin 'Abdullah al-Ansari r.a. bahwa bapanya mati sebagai syahid pada perang Uhud dan meninggalkan enam anak perempuan serta hutang. Ketika tiba musim memetik buah kurma aku menemui Rasulullah s.a.w. lalu aku katakan: "Wahai Rasulullah, sungguh Tuan telah mengetahui bahwa bapaku telah mati syahid pada perang Uhud…. (HR al-Bukhari)

 Dalam hadis ini dengan jelas sahabat menyifatkan secara khusus ayahnya yang terbunuh ketika perang Uhud sebagai telah syahid. Di sini Rasulullah s.a.w. juga mengakuinya dan ia termasuk  Sunnah Taqririyah.

 

  • Hujah 3: Telah umum di kalangan para sabahat r.a. dan orang selepas mereka menyebut mereka yang terbunuh ketika berada di jalan agama mereka sebagai syuhada’. Sebahagian mereka ialah Sumayyah Ibu Ammar r.a. yang sering disifatkan sebagai syuhada’ pertama di dalam Islam.

Di dalam Mushannaf Ibnu Abi Syaibah dari Mujahid, katanya: Orang yang pertama syahid di dalam Islam adalah Ibu Ammar. Abu Jahal telah menusuk kemaluannya dengan tombak.

Di dalam Mushannaf Ibnu Abi Syaibah lagi, dari Saad bin Ubaid al-Qari’ pada peperangan al-Qadisiyah: Kami akan bertembung dengan musuh esok insyaallah. Dan kami akan menemui syahid, maka janganlah kamu mandikan darah kami dan janganlah kamu kanfankan kami melainkan dalam pakaian yang sedia kami pakai.

Di sini al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: Telah sepakat para salaf menyebut mereka yang terbunuh pada peperangan Badar, Uhud dan selainnya sebagai syuhada’.

Dan telah sedia maklum para syuhada’ ini semuanya adalah orang-orang yang dikenali individunya dan nama mereka.

 

  • Hujah 4: Sedia diketahui bahawa para syuhada’ mempunyai hukum khas di dalam hal memandikannya, mengkafankannya dan menyembahyangkannya. Untuk memelihara pengkhususan mereka ini maka tidak boleh tidak mestilah memberi sifat syahid kepada mayat berkenaan.

 

Dr Ahmed Al Raissouni membuat kesimpulan hujah-hujahnya dengan mengatakan:

  • Bahawa dalil-dalil yang dikemukakan di atas memberi kita kefahaman bahawa menyatakan atau menyifatkan dengan kata ‘syahid’ atas individu tertentu adalah dibenarkan pada tempatnya.
  • Hadis-hadis yang mengandungi larangan berkenaan, ini bermaksud agar berhati-hati bahawa di sana terdapat perkara-perkara batin/dalaman oleh seseorang menyalahi apa yang dilakukan secara zahir. Maka tidak boleh mengatakan secara pasti apa yang ghaib di sisi Allah. Kita hanya mampu menghukum apa yang zahir sahaja dan apa yang tersembunyi adalah urusan Allah.

Oleh itu, harus hukumnya menghukum bahawa si fulan itu sebagai syahid atau mereka itu adalah para syuhada’ adalah berdasarkan baik sangka dan berasaskan kepada hukum apa yang zahir.

Di dalam kitab Hasyiah al-Sindi Ala Sahih al-Bukhari:

قوله: (باب لا يقول فلان شهيد) أي: بالنظر إلى أحوال الآخرة ، وأما بالنظر إلى أحكام الدنيا فلا بأس"

Ertinya: Katanya: (Bab Tidak Boleh Menyebut Si Fulan Itu Syahid), iaitu: Dengan memandang kepada hal ehwal akhirat, sedangkan dengan memandang kepada hukum-hakam dunia, itu tidak mengapa.

  • Sedia maklum juga bahawa berbaik sangka dengan apa yang zahir pada seseoarang dengan menyerahkan apa yang tersembunyi di dalam hati mereka kepada Allah, merupakan asas yang kukuh dan jalan yang sejahtera.

وفي مستدرك الحاكم عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم: إذا رأيتم الرجل يلزم المسجد فلا تَحَرَّجوا أن تشهدوا أنه مؤمن؛ فإن الله يقول: {إنما يعمر مساجد الله من آمن بالله}

Ertinya: Dari Abu Said al-Khudri r.a., katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Apabila kamu sekelian melihat seorang lelaki yang melazimi masjid, maka janganlah kamu merasa berat untuk mempersaksikan bahawa dia adalah seorang mukmin. Maka sesungguhnya Allah telah berfirman: Hanyasanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah adalah orang-orang yang beriman kepada Allah.. (HR al-Hakim di dalam al-Mustadrak)

  • Realitinya, mereka yang memakmurkan masjid ada kemungkinan mereka beriman dan adakalanya tidak. Menurut kebiasaan, dan apa yang zahirnya ialah masjid dikunjungi oleh orang yang beriman. Kadangkala ia didatangi oleh orang munafik. Adakalanya oleh para perisik dari kalangan Yahudi, Nasrani dan athies. Malah, Masjidil Haram adakalanya dimasuki oleh mereka ini dengan pelbagai tujuan. Namun semua itu tidak menghalang kita untuk mengatakan setiap yang datang ke masjid sebagai orang yang beriman dan mempersaksikan mereka dengan keimanan. Tetapi kita tidak menetapkan secara pasti perkara ini. Begitulah keadaanya dengan masalah kesyahidan dan para syuhada’.

 (Sila rujuk teks fatwa penuh Dr Ahmed Al Raissouni di sini: onislam.net)


(Gambar Asma' Muhamad al-Baltaji anak salah seorang pemimpin al-Ikhwan yang terkorban di dataran Rabaah ditembak tentera Mesir. Mereka menyebutnya sebagai as-Syahidah)