Syiah (1)Subject: Permasaalahan Mazhab
Assalamualaikum,
Saya ingin mendapat sedikit penjelasan berkenaan dengan apa yang sekarang ini kita kenali sebagai mazhab Syiah. Kebanyakan orang mengatakan mazhab ini adalah sesat dan menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar. Persoalan saya ialah apakah perkara2 pokok pegangan mazhab ini yang menyebabkan ianya sesat dan tidak boleh diikuti.Sekian, wassalam.
Jawapan
Semoga Allah merahmati saudara yang bertanya. Alhamdulillah, inilah jawapannya:
Berikut ini adalah petikan dari buku muzakkiratul Firaq, Hasan al-Saiyid al-Mutawalli – buku teks yang diguna pakai di sanawi satu al-Azhar & yg diiktiraf olehnya:
Syiah merupakan satu kelompok Islam yang paling awal muncul, dan ia berasal dari mereka yang berpendapat bahawa Ali Bait (keluarga Rasul) lebih layak menjadi khalifah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Dan, di antara keluarga Rasul yang paling layak pula menjabat jawatan itu ialah Ali bin Abi Talib r.a.
Mazhab syiah ini mula menzahirkan dirinya pada zaman Usman bin Affan r.a.. Kemudian ia berkembang dan tersebar pada zaman Ali r.a. Kesempatan pada zaman Ali ini mereka gunakan untuk menyebarkan fahaman mereka di kalangan umat Islam.
Namun semasa kerajaan Bani Umaiyah memerintah, golongan Syiah telah diperlakukan dengan zalim. Dengan kejadian itu, umat Islam melihat bahawa Ali r.a. dan anak-anaknya telah syahid dari kezaliman tersebut. Dengan pandangan ini golongan Syiah telah dapat menarik ramai penyokong dan mazhabnya semakin tersebar.
Asas-asas Mazhab Syiah
1. Imamah (pemerintahan) bukan sebahagian dari maslahah ‘amah (kepentingan umum) yang perlu kepada perundingan dari umat. Bahkan ia adalah rukun agama dan asas di dalam Islam. Oleh itu tidak harus bagi nabi s.a.w. melupakannya. Malahan baginda wajib melantik/menentukan imam untuk umat Islam. Imam itu adalah maksum, yang terpelihara dari dosa besar dan kecil.
2. Rasulullah s.a.w. melantik Ali sebagai khlifah (pengganti nabi) dengan nas yang dinukilkan oleh golongan Syiah, kemudian ditakwilkannya dengan takwilan yang tidak dikenal oleh ulamak Islam dan ahli hadis.
Dari sinilah munculnya idea wasiat. Dan, Ali r.a. digelar sebagai Wasi – Iaitu imam yang dilantik dengan nas bukan dengan perundingan umat Islam. Manakala Ali pula mewasiatkan hal khilafah (pemerintahan) ini kepada waris selepasnya…. Begitulah seterusnya, setiap imam menerima wasiat dari imam sebelumnya.
3. Ali r.a. adalah sebaik-baik makhluk di dunia ini selepas Nabi Muhamad s.a.w. Oleh itu, barangsiapa yang memusuhinya atau memeranginya, dia adalah musuh Allah, kecuali apabila taubatnya diterima Allah sebelum mati
4. Golongan-golongan Syiah ini tidak dalam satu keadaan sahaja, bahkan ada di antara mereka golongan yang ekstrem dan ada yang sederhana.
Dari golongan sederhana, mereka hanya menganggap Ali itu lebih afdhal menjadi khlifah (selepas nabi wafat) berbanding sahabat yang lain. Mereka ini tidak mengkafirkan atau menfasiqkan sesiapaun. Mereka mengiktiraf sebagai sah keimaman yang mafdhul (kurang afdhal) dalam keadaan wujud yang lebih afdhal. Mereka juga menganggap bahawa tiada antara nabi dan Ali kecuali martabat kenabian sahaja. Yang lain-lain, apa yang dikurniakan kepada nabi, ia juga dikurniakan kepada Ali r.a.
Manakala Syiah dari golongan yang ekstrem dan melampau tidak cukup dengan mengatakan Ali itu lebih afdhal sebagai khalifah dan sebagai orang yang maksum, malahan mereka mengangkatnya sampai ke taraf nabi. Ada sebahagian dari golongan yang mempertuhankan Ali r.a. Sebahagiannya lagi menganggap hulul (meresap) tuhan pada diri Ali. Ada lagi yang beranggapan bahawa roh Ali r.a. itu menempati padanya oleh uluhiyah yang berpindah kepada diri imam-imam berikutnya.
Apa yang benar, dan apa yang kita lihat ialah pada awal tersebarnya pemikiran Syiah, ia merupakan tempat berlindung orang-orang yang mahu menghancurkan Islam keran kebencian aau sikap dengkinya. Juga menjadi tabir kepada orang-orang yang ingin memasukkan ajaran-ajaran datuk nenek mereka samada dari kalangan orang-orang Yahudi, Nasrani, Majusi dll. Syiah juga telah menjadi sebagai lorong kepada orang-orang yang mahu memerdekakan negeri mereka dan keluar dari pemerintahannya.
Semua orang-orang di atas telah menjadikan slogan `cinta ali bait’ sebagai tabir pelindung dengan meletakkan di belakangnya segala kehendak jahat mereka.
******* Intaha al-muzakkirah********
Berdasarkan kepada penjelasan di atas dan dari beberapa sumber sejarah lain, dapat kita menarik kesimpulan bahawa Syiah muncul pada asalnya sebagai satu aliran politik, bukan mazhab fikah atau aqidah. Kemudian ia berkembang yang akhirnya menjadi sebagai satu mazhab fikah dan aqidah.
Yang menjadi punca asas munculnya syiah ialah masalah khilafah. Mereka mengatakan Alilah yang semestinya menjadi khalifah bukan Abu Bakar, Umar, Usman ataupun sahabat-sahabat lainnya. Dari idea khilafah inilah ia berkembang dan berkembang sehingga berpecah kepada entah berapa jenis Syiah. Ada yang beraliran eksrim dan ada yang sederhana.
Dari banyak-banyak aliran Syiah, yang wujud hingga sekarang dari segi pengaruhnya ialah Syiah imamiah yang dianut oleh rakyat Iran dan segelintir rakyat di beberapa negara Islam lain. Manakala Syiah Zaidiyah, yang berkembang di Yaman satu ketika dahulu, saya tidak dapat mengetahui perkembangannya sekarang ini.
Syiah Imamiah inilah yang telah menyelinap masuk ke Malaysia dan Indonesia selepas revolusi Islam Iran
zain y.s