Di Persimpangan Jalan

Oleh ROZAID A.RAHMAN

APAKAH negara kita sekarang sedang berada di persimpangan jalan? Tidak pasti yang mana satu yang hendak dituju? Sejak akhir-akhir ini kita semua berhadapan dengan pelbagai polemik, perdebatan, perbahasan dan perbalahan.

Ada yang ingin mempertahankan status quo, ada yang ingin mencabar status quo tersebut. Ada yang mahukan kebebasan dan hak untuk bersuara seperti mana negara Barat atau ala-Amerika dan ada yang mahu melaksanakan hukum hudud.

Ada orang berkata, kesemua ini adalah sebahagian daripada proses kematangan sesebuah negara atau masyarakat. Tetapi pada masa yang sama ada yang melihat ini sebagai satu ancaman kepada kestabilan dan keharmonian masyarakat.

Ada yang berkata, kebebasan bersuara dan hak individu akan menjejaskan keharmonian sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia tetapi ada juga yang berkata, jika negara ini ingin dihormati sebagai sebuah negara demokrasi, ia mestilah terlebih dahulu menghentikan sebarang penindasan ke atas golongan minoriti seksual yang terdiri daripada lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Suatu ketika dahulu soal seksualiti golongan LGBT ini adalah satu subjek yang taboo. Orang tidak bercakap secara berdepan atau secara terang-terangan mengenainya. Tetapi hari ini subjek itu bukan sahaja dibicarakan secara terang-terangan tetapi ada festival yang dianjurkan berhari-hari lamanya.

Pihak yang menganjurkan program atau festival ini menegaskan mereka tidak berhasrat untuk mempromosikan LGBT tetapi sekadar untuk menyedarkan masyarakat bahawa golongan ini juga memerlukan pembelaan yang sewajarnya bukan ditindas atau dipinggirkan dalam masyarakat. Benarkah kata-kata mereka itu?

Masalah yang berada di hadapan kita sekarang ialah kecenderungan untuk menyapu perkara yang kita tidak suka lihat ke bawah karpet. Biar segala habuk dan sampah sarap yang tidak elok dipandang mata tersembunyi di bawah karpet. Kita tidak mahu membicarakannya secara berdepan atau secara terang-terangan. Habis-habis, kita keluarkan gag order. Haram itu, haram ini. Larang itu dan larang ini.

Macam kita larang orang mengadakan Perhimpunan Bersih 2.0 sedikit masa dahulu. Kita buat bermacam-macam sekatan, amaran dan nasihat tapi akhirnya beribu orang buat tak hairan dan masuk berarak ke dalam bandar juga. Kenapa? Sebab mereka rasa hak mereka untuk menyuarakan pendapat cuba disekat.

Begitu juga dengan isu terbaru melibatkan penganjur Program Seksualiti Merdeka. Kita haramkan program mereka tapi jika mereka hendak buat juga orang nak tahu, bagaimanakah mereka akan disekat daripada mengadakannya. Mereka mungkin akan buat sembunyi-sembunyi. Tapi hakikatnya buat juga.

Dunia sudah berubah dan perubahan inilah yang menjadikan masyarakat kita berada di persimpangan jalan. Arah mana yang hendak dituju. Pendekatan apa yang hendak diambil. Cara beri gag order dan haramkan itu serta haramkan ini tidak berkesan lagi. Perlu ada satu platform untuk membolehkan apa juga isu dan perkara yang tidak disenangi dibicarakan secara aman, waras, rasional dan berilmu.

Tidak boleh lagi dah guna cara lama untuk buat kerja. Kena guna cara baru dan pendekatan baru pula. Kalau tidak, kita semua akan jadi tidak relevan dengan situasi semasa.

Nak salahkan situasi semasa pun tak boleh. Ini kerana, pada era dunia tanpa sempadan dan pada era ledakan teknologi maklumat boleh diperolehi di hujung jari dengan memetik punat komputer atau telefon bimbit atau meraba-raba komputer tablet sahaja, tidak ada siapa yang dapat menghalang kuasa penyebaran maklumat melalui internet daripada sampai ke mata dan pendengaran ramai.

Kita halang cara ini, orang akan guna cara lain pula. Jadi tak guna nak sekat-sekat. Guna cara berdepan dan berdialog. Kepada mereka yang hendak menegakkan sesuatu yang baru yang bukan menjadi amalan di negara ini, kena lah juga pada masa yang sama memikirkan kesan daripada hasil tindakan mereka ke atas orang lain. Buatlah secara berhemah tak perlu buat macam festival kerana nanti akan dilihat sebagai satu provokasi kepada golongan majoriti.

Ini termasuklah sama ada hendak mempromosikan Seksualiti Merdeka atau hendak memansuhkan hukum mandatori gantung sampai mati atau melaksanakan hudud. Kena bagi orang faham kenapa perlukan ini semua bukan dengan cara memaksa orang terima sesuatu yang orang tidak faham.

Dalam hal ini ambillah contoh satu program yang hendak diadakan di Auditorium Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada malam 16 November depan. Ia adalah satu wacana ilmu tentang relevankah negara Islam dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia? Who needs an Islamic State?

Panelisnya terdiri daripada wakil pejabat peguam negara, PAS dan Islamic Renaissance Front. Semua wakil ada - daripada jabatan kerajaan yang bertanggungjawab merangka undang-undang negara ini, wakil parti politik yang inginkan sebuah negara Islam dan hukum hudud serta wakil NGO yang terdiri daripada para sarjana dan intelektual Islam.

Majlis-majlis seperti ini perlu diperbanyakkan dengan universiti memain peranan sebagai gedung ilmu yang sebenar dengan membuka platform serta peluang kepada semua pihak yang terlibat menyuarakan pendapat. [mstar.com.my]