SIRI PENERANGAN MANHAJ HADITH AL-MUTAQADDIMUN - SIRI 2

Setelah menulis artikel permulaan tentang ciri-ciri manhaj al-Mutaqaddimun dalam kajian hadith, saya cuba sekadar mampu untuk meneruskan lagi siri penerangan tentang manhaj tersebut dengan menyentuh perkara pertama yang perlu difahami bersama. Perkara itu ialah hakikat ‘wujudnya perbezaan di antara manhaj al-Mutaqaddimun dan ulama selepas mereka atau al-Mutaakhirun’.

BENARKAH WUJUD PERBEZAAN?

Pasti ada yang akan mempersoalkan kebenaran perkara ini kerana beberapa sebab. Antara sebabnya ialah:

- Ia mungkin perkara baru bagi mereka. Setiap perkara baru memang patut dipersoalkan. Mempersoalkannya adalah perkara yang baik dan ia akan menambah ilmu kita tentang perkara tersebut.

- Mungkin juga kerana mereka telah pun berpegang pada pendapat bahawa perbezaan manhaj ini tidak wujud sama sekali. Kepada mereka, saya harap tulisan ini dapat dibaca sehingga ke hujungnya.

- Mungkin juga ada yang tidak pernah mengambil tahu tentang sejarah kajian hadith lalu tertanya-tanya tentang perbezaan ini. Semoga mereka mendapat maklumat baru daripada artikel ini. Kadangkala saya terpaksa menggunakan istilah yang ada dalam bahasa arab untuk memberikan penjelasan. Saya berharap anda yang kurang memahaminya dapatlah merujuk kepada buku-buku lain untuk mendapatkan penjelasan atau sekurang-kurangnya bertanya kepada mereka yang memahaminya.

Walau apa pun sebabnya, saya sendiri pada mulanya adalah di antara mereka yang tertanya-tanya tentang maksud dan kebenaran perkara tersebut. Hari demi hari, saya mula yakin bahawa ia adalah satu hakikat yang jelas terbukti. Insya Allah, saya cuba meringkaskan bukti-bukti yang menyokong bahawa perbezaan itu wujud.

PERBEZAAN DALAM BEBERAPA ASPEK, BUKAN SEMUA

Sebelum meneruskan tulisan, suka saya nyatakan bahawa perbezaan ini tidaklah berlaku pada keseluruhan aspek berkaitan kajian hadith. Tetapi ia berlaku dalam sudut-sudut dan bab-bab tertentu apabila diteliti. Tidak mungkin akan wujud perbezaan seratus peratus kerana para ulama al-Mutaakhirun tetap bergantung kepada apa yang telah dikaji oleh al-Mutaqaddimun. Kalaulah tidak kerana kajian yg telah disebutkan oleh al-Mutaqaddimun dalam buku-buku mereka, apakah akan ada kajian yang boleh dibuat oleh ulama selepas mereka?

Secara ringkasnya, perbezaan ini boleh ditafsirkan dengan kata-kata salah seorang ulama hadith masa kini iaitu Abd. Aziz al-Torifi daripada Arab Saudi di mana beliau menyifatkan bahawa teori dan kajian ilmu hadith di zaman al-Mutaakhirun telah mula dimasuki perbincangan yang tidak menjadi kaedah pada asalnya. Ini menjadikan sesetengah bidang kajian menjadi luas dan berlaku perbezaan pendapat atau khilaf. Akhirnya kaedah itu tidak lagi kelihatan seperti yang pernah digunakan oleh al-Mutaqaddimun.

TERDAPAT PANDANGAN AL-MUTAAKHIRUN YANG SELARAS DENGAN AL-MUTAQADDIMUN

Apabila kita menyebutkan bahawa perbezaan yang dikatakan ini berlaku pada beberapa aspek, maka perlu diperjelaskan bahawa di sana wujudnya persamaan pendapat pada aspek-aspek lain. Kadangkala kita dapati ulama al-Mutaakhirun berselisih pendapat dan sebahagian mereka menyokong pendapat al-Mutaqaddimun maka sebahagian lagi mengambil pandangan yang berbeza. Ini menampakkan dengan jelas bahawa saya tidak menyatakan bahawa terdapat perbezaan seratus peratus antara al-Mutaqaddimun dan al-Mutaakhirun termasuklah amalan dan kajian ulama masa kini.

ASALNYA IA JELAS, KEMUDIAN BERLAKU SEDIKIT KEKABURAN

Dalam erti kata yang lain, manhaj atau sistem kajian ulama hadith sememangnya diambil daripada kajian al-Mutaqaddimun kerana merekalah golongan awal yang meriwayatkannya dan mengumpulkannya. Mereka jugalah yang menapisnya serta menilai kesahihan atau kedhaifannya. Tetapi zaman demi zaman, berlaku pertambahan maklumat yang datang daripada golongan yang bukan ahli hadith seperti ahli fiqh dan usul fiqh, akhirnya manhaj itu tidak kelihatan seperti yang asal dalam beberapa keadaan dan aspek. Maka berlaku kekaburan pada kalangan al-Mutaakhirun (tidak semuanya) lebih-lebih lagi di zaman moden di mana ia sudah kelihatan sebati seolah-olah tiada perbezaan atau perubahan yang berlaku.

Maka seruan ke arah manhaj al-Mutaqaddimun sebenarnya adalah seruan agar kembali kepada manhaj yang telah dipraktikkan dan dipersetujui di zaman kegemilangan periwayatan hadith. Itulah manhaj yang telah menjadi ikutan para ulama al-Mutaakhirun pada asalnya. Namun berlaku beberapa perubahan yang memerlukan kita untuk mengembalikannya seperti yang telah dilakukan oleh al-Mutaqaddimun.

IA BUKAN MENGGANTIKAN MANHAJ SEKARANG DENGAN MANHAJ BARU

Ia hanyalah bersifat mengembalikan cara kajian hadith dalam aspek tertentu kepada cara kajian yang sememangnya telah diamalkan di zaman kegemilangan ilmu hadith. Kajian al-Mutaqaddimun disifatkan sebagai ‘asal’ yang perlu menjadi rujukan setiap pengkaji al-Mutaakhirun. Malah itulah yang sememangnya menjadi realiti. Manhaj yang ada sebenarnya hanyalah manhaj al-Mutaqaddimun dan al-Mutaakhirun hanya menghuraikannya sahaja. Maka dalam menghuraikan itu, ia dimasuki manhaj lain daripada manhaj asal. Maka sekiranya manhaj mereka sama dengan yang ‘asal’, maka itulah yang tepat. Jika berlaku perbezaan dalam beberapa aspek, maka manhaj itu perlu dikembalikan kepada manhaj ‘asal’.

PERBEZAAN MANHAJ KETARA PADA KAJIAN

Kadangkala kita dapati seorang ulama al-Mutaakhirun telah menegaskan bahawa kajian terbaik adalah kajian al-Mutaqaddimun. Tetapi dalam situasi lain yang melibatkan kajian, beliau didapati menyalahi pendapat atau kaedah al-Mutaqaddimun. Ini adalah perkara biasa kerana kita sebenarnya memperkatakan tentang kaedah dan praktikal secara serentak. Contohnya, al-Hakim dalam bukunya Ma’rifat Ulum al-Hadith didapati memberikan pendapatnya selaras dengan manhaj imam-imam terdahulu. Namun dalam bukunya al-Mustadrak ‘Ala al-Sahihain, al-Hakim didapati telah agak ‘tersasar’ daripada apa yang beliau tegaskan di dalam buku Ma’rifat Ulum al-Hadith. Begitu juga al-Sakhawi dan Ibn Hajar kadangkala menepati kajian al-Mutaqaddimun bahkan bertegas bahawa al-Mutaqaddimun lebih tahu. Namun dalam beberapa contoh praktikal, mereka didapati menggunakan kaedah yang berlainan daripada apa yang mereka sebutkan.

Maka kita perlu berhati-hati agar kita juga konsisten dalam mempraktikkan kajian al-Mutaqaddimun. Contoh amalan tidak konsisten yang berlaku dalam kajian hadith moden ialah perbezaan manhaj dalam menerima pendapat ulama al-Mutaqaddimun berkaitan dua aspek – Pertama, pendapat al-Mutaqaddimun dalam isu menilai periwayat atau ilmu kritikan periwayat. Kedua, pendapat mereka dalam menilai kesahihan hadith atau kedhaifannya. Agak ajaib apabila kita dapati pengkaji hadith masa kini menerima pendapat Ahmad Ibn Hanbal terhadap seorang periwayat tanpa bertanya ‘kenapa’ tetapi mempersoalkan pula pendapat Ahmad Ibn Hanbal ketika beliau mempertikaikan sesuatu hadith.

Sekiranya Ahmad Ibn Hanbal didapati memberikan ulasan ‘tidak dikenali’ terhadap seorang periwayat, maka kita menerimanya bulat-bulat kerana Ahmad adalah seorang pakar yang tahu dan mengenali periwayat, kenapa pula kita tidak menerima bulat-bulat pendapat Ahmad terhadap sesuatu hadith sebagai ‘tidak sahih’ atau ‘tidak ada asal usul’? Insya Allah, persoalan ini akan disentuh dalam ketika yang lain dalam artikel akan datang insya Allah.

BUKTI WUJUDNYA PERBEZAAN

Secara ringkasnya, saya nyatakan bahawa terdapat empat bukti jelas dan kukuh bahawa sesungguhnya terdapat perbezaan di antara manhaj al-Mutaqaddimun dan manhaj al-Mutaakhirun dalam beberapa aspek kajian hadith. Empat perkara tersebut adalah seperti berikut:

1- Wujudnya pernyataan dan ulasan daripada penulis-penulis buku berbentuk Mustolah al-Hadith dalam kalangan al-Mutaakhirun yang mana menyokong wujudnya perbezaan di antara kedua-dua manhaj. Perbezaan ini berlaku dalam beberapa aspek kajian hadith seperti yang akan dilihat pada hujung artikel ini nanti ketika kita membicarakan tentang beberapa contoh.

2- Wujud perbezaan pada hasil kajian hadith di mana kita dapati wujudnya hadith-hadith yang disahihkan oleh al-Mutaqaddimun didhaifkan pula oleh al-Mutaakhirun. Begitu juga hadith-hadith yang ditolak dan didhaifkan oleh al-Mutaqaddimun dinilai sahih oleh sebilangan al-Mutaakhirun. Bila dilihat kembali, ternyata wujud perbezaan manhaj dan bukan semata-mata perbezaan hasil kajian. Mungkin ada yang akan menyatakan bahawa kaedah yang digunakan adalah sama tetapi yang berbeza hanyalah hasil kajian. Saya ingin mempersoalkan, kenapa hasilnya berbeza sekiranya manhaj yang digunakan adalah sama? Jika sesuatu hadith telah diyakini tidak sahih oleh ulama terdahulu disebabkan berlaku ‘kesalahan’ dalam proses meriwayatkannya,bagaimana pula ulama yang hidup beratus tahun selepas mereka mampu pula untuk membuktikan bahawa hadith itu benar dan ‘kesalahan’ itu tidak berlaku? Maka ini jelas memperlihatkan bahawa al-Mutaakhirun mempunyai pandangan yang berbeza sehingga mampu menaikkan taraf hadith itu ke tahap sahih sedangkan ulama terdahulu yang merantau dan mengkaji hadith telah menetapkan hadith itu tidak wujud. Contoh-contoh berkaitan perkara ini akan anda lihat dalam artikel ini dan artikel-artikel lain, insya Allah.

3- Kajian perbandingan akan memperlihatkan bahawa wujudnya perkembangan maksud istilah Mustolah al-Hadith sejak dahulu hingga kini. Istilah yang tidak pernah digunakan oleh al-Mutaqaddimun telah digunakan pula oleh al-Mutaakhirun. Kadangkala terdapat istilah yang sama tetapi telah berubah maksudnya apabila tiba zaman al-Mutaakhirun. Ini adalah bukti bahawa wujudnya perbezaan. Ini sudah pasti berlaku dalam beberapa tajuk dan bukanlah pada semua tajuk-tajuk Mustolah al-Hadith. Berdasarkan perkembangan maksud istilah-istilah tersebut, maka berlaku perubahan dalam menilai hadith.

4- Peribadi pengkaji itu sendiri di mana kita tahu bahawa para pengkaji hadith terdahulu telah meriwayatkan hadith secara langsung daripada periwayat. Mereka telah merantau mencari hadith dan bertemu dengan para periwayat dan juga para pakar hadith yang telah menghafaz beribu-ribu hadith. Mereka juga adalah pakar hadith yang hebat dan mempunyai kelengkapan dan kemampuan untuk mengkaji hadith secara praktikal. Jika kita ingin bandingkan mereka dengan ulama selepas mereka, pasti terlihat di sana perbezaan ilmu dan kemampuan yang cukup besar. Ulama al-Mutaakhirun pada hakikatnya hanya menggunakan apa yang telah ditulis dan dicatat oleh para ulama al-Mutaqaddimun. Kajian ulama terdahulu berasaskan kajian praktikal sedangkan kajian al-Mutaakhirun berasaskan buku-buku yang sampai kepada mereka. Maka sudah pasti di sana wujud perbezaan di antara kajian mereka sama ada sedikit atau banyak. Sudah pasti kemampuan yang ada pada pengkaji al-Mutaqaddimun seperti al-Bukhari, Ahmad Ibn Hanbal dan sebagainya tidak dapat disamai atau disaingi oleh para pengkaji al-Mutaakhirun seperti Ibn al-Solah atau al-Nawawi. Ibn Rajab al-Hanbali (795H) pernah berkata di dalam bukunya Syarh Ilal al-Tirmidzi: ‘Kalaulah tidak kerana buku-buku yang telah ditulis terdahulu dalam ilmu ini, pasti ia tidak akan diketahui lagi pada hari ini’. Oleh sebab itu kita dapati Ibn Hajar yang merupakan antara ulama terkenal dalam kalangan al-Mutaakhirun pernah menyebut bahawa kita perlu ‘taqlid’ kepada hasil kajian dan pendapat ulama al-Mutaqaddimun seperti yang beliau sebutkan di dalam bukunya al-Nukat ‘Ala Ibn al-Solah. Pernyataan ‘taqlid’ juga disebut oleh seorang lagi imam al-Mutaakhirun iaitu al-Sakhawi dalam Fath al-Mugith.

 

Apa yang penting untuk disebutkan di dalam artikel ini juga ialah dua perkara berikut:

1- Contoh sebenar yang mampu memperlihatkan perbezaan manhaj.

2- Apakah implikasi perkara ini pada ilmu kajian hadith moden dan apakah yang seharusnya dilakukan setelah mengetahui dan meyakini perkara ini?

Untuk memberikan contoh, saya nukilkan di bawah ini beberapa contoh yang memperlihatkan perbezaan manhaj dan juga perbezaan hasil kajian di antara kedua manhaj tadi.

KAEDAH ZIYADAT AL-THIQAH (PENAMBAHAN HADITH DARIPADA THIQAH)

Dengan membuat perbandingan di antara buku-buku Mustolah al-Hadith sejak dahulu hingga kini, kita akan mendapati bahawa terdapat beberapa kaedah mustolah yang diperselisihkan. Dengan wujudnya perselisihan ini, peminat dan pembaca buku Mustolah al-Hadith perlu meyakini bahawa sikap bergantung semata-mata terhadap buku-buku Mustolah al-Hadith adalah sikap yang tidak mampu menyelesaikan semua persoalan berkaitan kajian hadith. Di samping itu, perselisihan sebegini boleh dikaji untuk memilih pendapat paling tepat dengan melihat kepada ulasan dan kajian para pengkaji hadith al-Mutaqaddimun. Kita terus kepada contoh perbezaan manhaj.

Contoh tersebut ialah kaedah ‘ziyadat al-thiqah’ atau penambahan daripada seorang thiqah. Apabila berlaku penambahan sama ada dalam sanad atau matan hadith yang hanya diriwayatkan oleh seorang periwayat yang thiqah dan tidak diriwayatkan oleh orang lain yang mengambil hadith bersama dengannya, para pengkaji al-Mutaqaddimun akan melihat kepada aspek-aspek lain yang berkaitan agar diputuskan – adakah kita akan menerima penambahan itu atau tidak. Inilah yang diamalkan oleh mereka dalam kajian dan penilaian hadith di zaman terdahulu. Ini diakui oleh ulama-ulama selepas mereka seperti al-Khatib al-Baghdadi, Ibn Hajar dan lain-lain lagi. Ini bermakna mereka tidak menerimanya bulat-bulat tetapi menerima sebahagiannya dan menolak sebahagiannya berdasarkan kajian lanjut. Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam bukunya Nuzhat al-Nazhor: ‘dan apa yang dinukilkan daripada para imam hadith terdahulu seperti Abd. Rahman Ibn Mahdi, Yahya al-Qattan, Ahmad Ibn Hanbal, Yahya Ibn Ma’in, Ali Ibn al-Madini, al-Bukhari, Abu Zur’ah, Abu Hatim, al-Nasaai, al-Daraquthni dan lain-lain lagi ialah mengambil kira proses tarjih (memilih pendapat terbaik) berkaitan persoalan ziyadah dan juga persoalan lain. Dan tidak pernah diketahui dari mereka pendapat menerima ziyadat secara mutlaq’.

Namun kaedah ini telah mula dimasuki pendapat daripada golongan ahli fiqh dan juga usul fiqh lalu ia berubah sedikit demi sedikit. Akhirnya wujud satu kaedah lain yang menyatakan bahawa ‘ziyadat al-thiqah’ diterima secara mutlaq atau bulat-bulat dengan alasan ia adalah penambahan daripada periwayat yang dipercayai. Sedangkan ia pada mulanya diterima dan ditolak oleh al-Mutaqaddimun berdasarkan kajian. Maka dengan menggunakan kaedah ‘diterima bulat-bulat’ ini, berlakulah perubahan pada hukum sebilangan hadith yang termasuk di bawah kaedah ini. Oleh itu kita dapati terdapat pengkaji-pengkaji hadith di zaman ini yang menyatakan sesuatu penambahan thiqah itu sahih dengan kata mereka ‘hadith ini sahih kerana penambahan daripada seorang thiqah diterima SEBAGAIMANA TELAH DIPUTUSKAN DALAM MUSTOLAH AL-HADITH. Apa yang dimaksudkan dengan ‘telah diputuskan dalam Mustolah al-Hadith? Ia jelas bermaksud sebagaimana yang diputuskan oleh sebahagian al-Mutaakhirun dan bukannya seperti yang diamalkan oleh al-Mutaqaddimun.

MEMENTINGKAN SANAD SAHAJA

Kita juga boleh melihat aspek lain yang lebih ketara iaitu kecenderungan sebilangan al-Mutaakhirun yang menumpukan kepada kesahihan sanad semata-mata dan kurang mengkritik matan. Sedangkan kajian al-Mutaqaddimun menumpukan kepada kedua-duanya dalam memutuskan sama ada hadith itu sahih atau tidak. Sebilangan al-Mutaakhirun suka menyebut bahawa hadith itu ‘sanadnya sahih’ atau ‘semua periwayatnya dipercayai’ sehinggakan istilah itu menjadi satu manhaj dalam menghukum hadith. Walaupun perkara ini diingatkan oleh sebilangan pengkaji hadith moden seperti Syeikh al-Albani, tetapi ia kadangkala digunakan sebagai satu manhaj yang mudah dalam menilai kesahihan hadith. Rujuk pendahuluan buku Tamam al-Minnah karya al-Albani. Pendahuluan tersebut adalah di antara kaedah terbaik dalam membina manhaj. Namun apakan daya, al-Albani sendiri kadangkala tidak mengikut manhaj al-Mutaqaddimun pada sebilangan kajian-kajiannya.

Ini bermakna, manhaj al-Mutaqaddimun adalah manhaj ‘asal’ yang mementingkan hadith itu diriwayatkan dengan sanad yang sahih dan juga matannya tidak mempunyai apa-apa kecacatan seperti kesilapan periwayat atau penambahan yang tidak disengajakan atau disengajakan. Adakalanya sesuatu hadith yang sahih sanadnya tetapi dinilai sebagai dhaif oleh al-Mutaqaddimun. Kenapa? Kerana sanad yang sahih itu rupanya telah dicantumkan dengan matan atau teks hadith yang salah. Ia diibaratkan kita mengambil satu tajuk buku lalu dicantumkan dengan satu nama khayalan. Adakah benar penulis itu menulis buku tersebut? Walaupun buku itu wujud, tetapi ia dicantumkan dengan nama yang tidak wujud.

Sebagai contoh, saya kemukakan satu hadith yang diriwayatkan oleh antaranya Abu Daud dalam Sunan Abu Daud. Hadith ini membawa maksud bahawa Rasulullah SAW ketika ingin memasuki tandas, Baginda menanggalkan cincinnnya terlebih dahulu. Sesiapa sahaja yang menilai sanad atau nama-nama periwayat hadith ini pasti akan mendapati bahawa kesemua nama yang tertulis di dalam sanad hadith itu adalah periwayat-periwayat yang dipercayai dan sanad itu sememangnya sahih. Tetapi, Abu Daud telah menyebut di hujungnya bahawa hadith itu adalah ‘munkar’ dengan maksud ia adalah dhaif! Puncanya telah diterangkan sendiri oleh Abu Daud iaitu sanad yang sahih itu sebenarnya telah dicantumkan dengan teks hadith yang salah dan dhaif. Maka hadith itu telah dikenali oleh pakar hadith seperti Abu Daud bahawa ia adalah dhaif. Kesilapan telah berlaku pada salah seorang periwayatnya yang mencantumkan hadith lain yang dhaif dengan sanad itu. Maka adalah menjadi satu kesilapan kalau kita hanya bergantung kepada sanad yang sahih semata-mata. Dalam hal ini, kita tidak menafikan bahawa sebilangan ulama al-Mutaakhirun telah memberikan peringatan tentang manhaj ini dan menyebut bahawa manhaj ini adalah manhaj yang ‘asal’ daripada muhaddith al-Mutaqaddimun. Apa yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana ia dipraktikkan oleh mereka.

MENAIKKAN TARAF HADITH DENGAN ALASAN SANAD-SANAD YANG BANYAK SALING MENGUATKAN

Ulama al-Mutaqaddimun tidak mudah menaikkan taraf hadith sebagai sahih hanya kerana bersandarkan hujah – ‘hadith itu dhaif tetapi sanad-sanad yang banyak itu saling menguatkan’. Walaupun kaedah ini digunakan dengan berhati-hati oleh sebilangan al-Mutaakhirun, kita dapati ia kadangkala digunakan dengan agak mudah oleh sebahagian yang lain. Akhirnya hadith-hadith yang telah didhaifkan oleh al-Mutaqaddimun telah dinaikkan tarafnya kepada hasan atau sahih disebabkan al-Mutaakhirun menemui banyak sanad-sanad yang menguatkannya. Persoalannya sekarang ialah – adakah al-Mutaqaddimun tidak menemui sanad-sanad itu? Ternyata pakar-pakar hadith al-Mutaqaddimun telah menemui pelbagai sanad sehinggakan Imam Ahmad menemui lebih sejuta sanad, al-Bukhari menemui enam ratus ribu sanad dan lain-lain juga begitu. Kenapa agaknya mereka hanya memasukkan beberapa ribu sanad sahaja dalam buku-buku mereka? Menurut Dr. Hatim al-Syarif, salah seorang pensyarah Universiti Ummu al-Qura, Arab Saudi di dalam bukunya yang amat baik iaitu al-Manhaj al-Muqtarah telah menjelaskan bahawa zaman pengumpulan sanad dan hadith telah berakhir pada kurun ketiga dan awal kurun keempat. Kalaulah tiba-tiba hadith itu muncul buat kali pertama selepas zaman itu, maka ia adalah amat pelik dan ganjil. Tidak mungkin ada hadith yang sahih terlepas daripada imam-imam terdahulu sebagaimana pernah ditegaskan oleh al-Baihaqi dan dinukilkan pendapat ini oleh Ibn al-Solah dalam Ma’rifat Anwa’ Ulum al-Hadith.

Ahmad Ibn Hanbal contohnya hanya memasukkan hampir 28000 sanad sahaja dalam bukunya al-Musnad. Al-Bukhari pula memasukkan lebih kurang 7000 sanad sahaja dalam bukunya Sahih al-Bukhari dan sanad-sanad itu berulang-ulang di beberapa tempat. Ini menunjukkan bahawa pakar-pakar hadith al-Mutaqaddimun telah melakukan satu proses penapisan dan pemilihan. Maka akhirnya, terdapat hadith atau sanad yang tidak mereka masukkan di dalam buku-buku mereka. Adakah mereka tidak menemuinya sedangkan mereka berada di zaman periwayatan? Atau..mereka menemuinya tetapi disebabkan ia tidak sahih, maka ia tidak dipedulikan?. Tiba-tiba sanad-sanad ini ditemui pula beratus tahun selepas mereka. Lalu sanad-sanad itu digunakan pula oleh al-Mutaakhirun untuk menguatkan hadith yang dhaif di sisi al-Mutaqaddimun. Di antara ulama al-Mutaakhirun yang sering menggunakan kaedah sebegini ialah al-Suyuthi sebagaimana terbukti dalam buku-bukunya.

Contohnya hadith yang diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dan lain-lain lagi yang membawa maksud setiap perkara yang penting tetapi tidak dimulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim, ia terputus iaitu tidak diberkati. Ia adalah hadith yang seakan disepakati bahwa tiada ulama yang menilainya sebagai sahih dalam kalangan al-Mutaqaddimun. Terdapat kecacatan pada sanadnya dan juga ia tidak diriwayatkan oleh ulama-ulama terkenal. Terdapat satu lagi lafaz lain iaitu ‘setiap perkara penting yang tidak dimulakan dengan Alhamdulillah, ia terputus’. Hadith ini juga tidak sahih di sisi ulama al-Mutaqaddimun. Tetapi, kita dapati terdapat sebilangan ulama al-Mutaakhirun (seperti Ibn al-Solah dan al-Nawawi) yang menilai kedua-duanya atau salah satu daripadanya sebagai ‘hasan’ atau ‘sahih’ hanya kerana terdapat banyak sanad yang ditemuinya. Walaupun begitu, kita dapati sebilangan al-Mutaakhirun lagi menyokong pendapat al-Mutaqaddimun bahawa ia tetap tidak sahih walaupun sanadnya banyak. Ini menampakkan dengan jelas bahawa kita perlu kembali kepada manhaj asal yang lebih tepat dan teliti. Apa yang sebenarnya berlaku (berkaitan hadith ini) ialah – sanad-sanad yang banyak itu telah ditemui oleh al-Mutaqaddimun kerana sememangnya mereka jugalah yang mengumpulkan hadith-hadith untuk diperturunkan kepada al-Mutaakhirun dan generasi seterusnya. Namun sanad-sanad yang mereka temui itu tidak berfaedah dan tidak dapat menaikkan kedudukan hadith itu ke tahap sahih atau hasan. Inilah manhaj mereka yang terdahulu kerana mereka tidak semata-mata melihat kepada kuantiti tetapi juga kepada kualiti.

Sebuah lagi hadith yang boleh dijadikan contoh perbezaan manhaj adalah hadith yang berbunyi ‘tidak ada wudhu’ bagi sesiapa yang tidak menyebut nama Allah’ yang memberikan maksud bahawa wajib bagi seseorang yang berwudhu’ untuk membaca Bismillah sebelum memulakannya. Hadith ini diriwayatkan antaranya oleh al-Tirmidzi dan lain-lain lagi tetapi kita dapati beliau tidak menilainya sebagai sahih. Begitu juga imam-imam lain seperti Ahmad Ibn Hanbal dan al-Bukhari yang tidak menganggapnya sebagai sahih kerana tidak ada satu pun sanadnya yang layak untuk dinilai sebagai sahih. Bahkan Imam Ahmad menolak hadith ini dengan membacakan ayat Al-Quran berkaitan wudhu’ yang tidak memberikan isyarat bahawa wajib membaca Bismillah. Namun begitu kita dapati terdapat sebilangan al-Mutaakhirun yang menganggapnya sahih kerana terdapat banyak sanad dan akhirnya perkara yang tidak wajib dianggap wajib iaitu membaca bismillah pada permulaan wudhu’.

IMPLIKASI PERBEZAAN MANHAJ PADA KAJIAN HADITH MASA KINI

Sepatutnya perkara ini dibincangkan setelah saya berjaya menghabiskan siri penerangan ini. Namun sekadar ingin memberikan kelegaan kepada sebahagian pembaca, saya ingin nyatakan bahawa manhaj ini adalah satu perkara yang positif bagi memelihara kajian hadith moden agar tidak tersasar daripada kajian al-Mutaqaddimun yang merupakan sumber utama dalam kajian hadith sepanjang zaman. Ia juga adalah satu usaha untuk menyusun dengan lebih kemas dan cantik setiap kajian hadith al-Mutaqaddimun agar ia tidak hilang atau disisihkan kerana kita hanya bergantung kepada kajian ringkas di zaman ini.

Mengetahui wujudnya perbezaan ini akan menjadikan kita lebih berhati-hati sebelum menilai sesuatu hadith sama ada sahih atau dhaif.

Elok kita mengingati kata-kata salah seorang ulama terkenal dalam kalangan al-Mutaakhirun iaitu al-Zahabi dalam bukunya al-Muqizoh. Beliau telah menyatakan bahawa ‘kajian hadith adalah sukar dilakukan pada zaman beliau berbeza dengan keadaan di zaman imam-imam hadith seperti al-Bukhari, Abu Hatim dan Abu Daud. Mereka telah melihat asal hadith (hadith yang ditulis oleh para periwayat di zaman periwayatan) dan mereka tahu segala illah hadith-hadith itu. Manakala di zaman beliau, maka sanad-sanad telah menjadi makin panjang (makin jauh dari zaman periwayatan), telah hilang pernyataan-pernyataan yang diyakini (terpaksa bergantung kepada buku-buku)’.

Insya Allah, siri penerangan ini akan diteruskan dan implikasi manhaj ini sebenarnya dapat dibincangkan bersama setelah kita melihat setiap sudut manhaj ini dan bagaimana ia diaplikaskan. Wallahu a’lam.

alitantawi, Kajang, Selangor

 


 

Siri pertama boleh dibaca di sini:

http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=22194