Sampai Atau Tidak? Pahala Bacaan al-Quran Kepada Si-Mati Menurut Mazhab Syafie?

Oleh Kamin

Terdetik untuk menulis artikel ini ekoran dari paparan slot di TV mengenai seorang artis yang telah kembali berjinak dengan Islam memberi tazkirah mengenai amalan bacaan al-Quran kepada si mati. Beliau mengatakan bahawa : "Tidak ada nas atau dalil pun yang menceritakan bahawa bacaan Al-Quran itu akan sampai pahalanya kepada si mati, jadi janganlah kita membuat kerja yang nabi tidak buat.” Beliau menyatakan bahawa Imam Syafie pun mengatakan bahawa tidak sampai amalan bacaan al-Quran kepada si-mati. Berikutan dari tazkiran tersebut, maka berpusu-pusu respon yang mengkritik tazkirah artis tersebut, tidak kurang yang membantah, malah ada yang bersetuju dengan kenyataan artis tersebut.

 
Kita faham bahawa sebagai seorang yang baru kembali berjinak didalam bidang keagamaan, semacam ada suatu semangat untuk beliau berkongsi apa yang telah beliau pelajari, lebih-lebih lagi pandangan tersebut bersifat baru. Cadangan juga harus ditujukan kepada pihak stesyen TV agar meneliti dan menapis dulu bahan-bahan yang akan di kongsikan didalam slot tersebut, lebih-lebih lagi mereka memang tahu bahawa artis tersebut bukanlah ahli untuk  untuk berbicara mengenai persoalan tersebut. Sebagai seorang yang baru didalam bidang ini, tentu sahaja beliau seronok berkongsi ilmu dengan pada hadirin.
 
Cetusan dari video tersebut (rakaman yang tersiar didalam youtube), kelihatan ramai pula dari kalangan yang mirip kepada satu manhaj tertentu memetik pendapat Mazhab Syafie yang menyatakan ‘tidak sampai’ perbuatan membaca al-Quran kepada si-mati. Dalam kebanyakkan fiqh mereka mirip kepada Mazhab Hanbali, dan tiba-tiba didalam hal ini, mereka bersetuju malah memerli rakyat Malaysia yang bermazhab Syafie  kerana tidak ikut Mazhab Syafie dalam bab ini. Bila disoroti fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh Lajnah Daaemah Arab Saudi, maka kita faham mengapa kumpulan ini menyokong pendapat Imam Syafie, kerana itulah yang dikatakan pilihan terbaik menurut Jawatankuasa tersebut. Malah didalam fatwa yang dikeluarkan oleh bekas Mufti Saudi, beliau akui bahawa persoalan ini khilaf; selisih pendapat, namun pendapat yang mengatakan tidak sampai bacaan tersebut adalah lebih kuat. Apakah pandangan ini juga mewakili pandangan jumhur ulama Syafie?
 
Benarkah Mazhab Syafie berbeza pendapat dengan Mazhab lain mengenai sampainya bacaan al-Quran kepada si-mati? Apakah sepakat semua ulama’ Mazhab Syafie mengatakan tidak sampai amalan bacaan al-Quran tersebut?  Katakanlah semua ulama’ Syafie baik  dari zaman dahulu sehinggalah terkini sepakat mengatakan tidak sampai bacaan al-Quran, apakah salah rakyat Malaysia memilih untuk bertaqlid kepada Mazhab Hanbali dalam isu ini? Misalnya kaedah membayar zakat fitrah tanpa menggunakan makanan ruji (eg:beras) sesebuah negara, yang telah digantikan wang, tidak timbul pun isu rakyat Malaysia tidak mengikut Mazhab Syafie walaupun itu pandangan Ibn Taimiyyah rh. Banyak lagi perkara yang kita menggunakan mazhab-mazhab lain, akan tetapi pada prinsipnya kita masih bermazhab Syafie.
 
Tiada khilaf didalam do’a
 
Jumhur ulama’ Mazhab berpendapat bahawa do’a dapat memberi munafaat kepada si-Mati. Menurut Imam Nawawi rh [al-Azkar ms 150) ijma’ ulama’ berpendapat bahawa do’a keatas si-mati  dapat memberi munafaat dan sampai pahala kepadannya. Didalam firman Allah swt :-
 
وَالَّذِينَجَاءُوامِنْبَعْدِهِمْيَقُولُونَرَبَّنَااغْفِرْلَنَاوَلِإِخْوَانِنَاالَّذِينَسَبَقُونَابِالْإِيمَانِوَلَاتَجْعَلْفِيقُلُوبِنَاغِلًّالِلَّذِينَآمَنُوارَبَّنَاإِنَّكَرَءُوفٌرَحِيمٌ
 
“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah” [Surah al-Hasyr :10]
 
Didalam surah Ibrahim ayat 41, Allah berfirman :
 
رَبَّنَااغْفِرْلِيوَلِوَالِدَيَّوَلِلْمُؤْمِنِينَيَوْمَيَقُومُالْحِسَابُ
 
“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”
 
Doa khusus bagi simati dan seluruh kaum muslimin sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA  katanya Rasulullah SAW berdoa ketika solat jenazah iaitu ;
 
اللَّهُمَّاغْفِرْلِحَيِّنَاوَمَيِّتِنَاوَصَغِيرِنَاوَكَبِيرِنَاوَذَكَرِنَاوَأُنْثَانَاوَشَاهِدِنَاوَغَائِبِنَااللَّهُمَّمَنْأَحْيَيْتَهُمِنَّافَأَحْيِهِعَلَىالإِيمَانِوَمَنْتَوَفَّيْتَهُمِنَّافَتَوَفَّهُعَلَىالإِسْلاَمِاللَّهُمَّلاَتَحْرِمْنَاأَجْرَهُوَلاَتُضِلَّنَابَعْدَهُ
 
“Ya Allah ampun dosa kami sama ada yang masih hidup ataupun yang telah mati, kecil dan besar, lelaki dan wanita, yang hadir dan yang tidak hadir. Ya Allah orang yang telah hidupkan  di antara kami, hidupkanlah dia dalam agama Islam. Dan orang-orang yang telah engkau matikan di antara kami, maka matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah kami terhalang drp pahalanya dan janganlah kami disesat selepas peninggalannya. “[Hadith riwayat Abu Daud]
 
 
Mazhab Syafie dan bacaan al-Quran kepada si-mati
Menurut Imam al-Nawawi bahawa pendapat masyhur dari kalangan Ulama’ Syafie mengatakan bahawa membaca al-Quran tidak sampai pahalanya kepada mayat. Tambah beliau : dan berkata satu jemaah dari kumpulan kami : sampai pahalanya kepada mayat dan dengannya berkata Imam Ahmad [Sharah Muslim 7/90]. Didalam Kitab Majmu’ Sharh Muhazzab, Imam Nawawi ada menyebut “telah berpendapat Imam Ahmad bn Hanbal bersama satu jemaah dari kalangan ulama’ dan satu jemaah dari Mazhab Syafie bahawa pahala membaca al-Quran sampai kepada si-mati.
 
Kenyataan Imam Nawawi ini jelas menunjukkan bahawa pendapat yang mengatakan tidak sampai pahala bacaan al-Quran kepada si-mati juga khilaf (berselisih) dikalangan beberapa ulama’ mazhab Syafie, dan ia bukan mutlak. Bahkan Shiekh Abu Bakar al-Dimyati didalam kitabnya I’aanaa al-Tholibin (3/221) menyebut “pendapat yang mengatakan ‘tiada sampai pahala’ itu dhaif (lemah) dan telah sampai satu jemaah dari Mazhab kami yang mengatakan ‘sampai pahalanya’ adalah muktamad.
 
Boleh disimpulkan bahawa terdapat 2 pendapat dari kalangan Mazhab Syafie berkenaan dengan persoalan ini, iaitu :-
(1) Mazhab Syafie yang terdahulu (Mutaqaddimin) mengatakan ibadat mahdah (seperti solat, puasa, bacaan al-Quran) tidak sampai pahalanya kepada orang lain selain dari yang membacanya. Pandangan ini mashyur dikalangan ulama' Mazhab Syafie kata Syiekh al-Islam Zakaria al-Anshari al-Syafie.
 
(2) Mazhab Syafie yang terkemudian (Mutaakhirin) berpendapat bahawa sampai pahala bacaan al-Quran kepada orang yang mati, seperti bacaan al-Fatihah. Ini juga merupakan pendapat ulama' Hanafi dan Hanbali.
 
Bekas Sheikh al-Azhar, Sheikh Jadul Haq  didalam fatwanya berkata “pandangan Mazhab Syafie yang masyhur, dan Mazhab Maliki yang asal, tidak sampai ibadat badaniyah, seperti membaca al-Quran. Akan tetapi, pandangan mutakhir dikalangan Mazhab Syafie dan Maliki yang dipilih adalah : sampai pahala kepada mayat dengan syarat-syaratnya”. (Buhuth wa fatawa, 2/38)
 
 
Keluar dari khilaf
Jika dianalisa penilaian ulama’ didalam hal ini, pendapat semua mazhab sama, iaitu sampai bacaan al-Quran kepada si-mati, akan tetapi cara mereka sahaja yang berbeza. Al-Khathaab memberi komentar dari aspek penggunaan lafaz menyampaikan pahala, katanya : adalah tidak boleh menyebut “menjadikan untuknya”, “mengkhususkan untuknya”, akan tetapi hendaklah “berdo’a agar dijadikan pahala untuknya”. Sebahagian dari ulama’ Syafie berpendapat bahawa bacaan al-Quran itu sendiri tidak memberi kesan kepada si-mati, akan tetapi hendaklah disertakan dengan do’a, misalnya :
 
اللَّهُمَّاجْعَلْمِثْلَثَوَابِمَاقَرَأْتُلِفُلان
 
“Ya Allah! Jadikanlah pahala apa yang telah aku baca kepada sifulan”
 
 Menurut Ibn Rusd, kaedah ini telah mengeluarkan khilaf “sampainya bacaan al-Quran” kepada kaedah “berdo’a”, dimana sepakat ulama’ bersetuju bahawa do’a akan memberi kesan kepada si-mati. Dengan kata lain, seseorang akan berdo’a seusai membaca al-Quran dengan do’a : “kalau ada pahala dari bacaan al-Quran tadi, aku ingin menghadiahkan pahala kepada si-fulan”, maka punca sampai pahala bacaan tersebut adalah melalui do’a.
 
Dr Ahmad Syarbashyi mengatakan bahawa seseorang yang melakukan bacaan al-Quran dengan sukarela dan menghadiahkan bacaan tersebut kepada si-mati tidak akan mendapat ganjaran apa-apa dari bacaan tersebut [Yasalunaka fidiin, 4/97]. Sebab itu tidak boleh mengupah orang membaca al-Quran kepada si-mati oleh kerana si-pembaca tersebut sudah mendapat “ganjarannya” dalam bentuk wang ringgit.
 
Dr Ahmad Syarbashyi menyimpulkan bahawa : “Telah menetapkan oleh para Fuqaha bahawasanya pahala bacaan Al-Quran sampai kepada si-mati bahkan sampai ia kepada yang hidup sebagaimana yang telah disebut pada kitab ulama’-ulama’ besar mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali. Yang demikian itu apabila memintalah oleh yang membacanya akan yang demikian itu daripada Allah Tabaraka Wata’ala. Dan ini adalah kerana  bacaan yang dihadiahkan itu adalah daripada kaedah doa. Maka berniatlah pembaca dan berkata “Ya Allah! Jadikanlah pahala apa yang telah aku baca kepada sifulan.” [Yasalunaka fidiin 6/275]
 
Dengan demikian, dapatlah kita simpulkan bahawa dalam Mazhab Syafie, untuk pahala bacaan al-Quran tersebut sampai kepada si-mati, hendaklah dia sertakan dengan do’a agar ganjaran tersebut disampaikan. Cara ini lebih selamat sebagaimana kaedah “keluar dari khilaf itu adalah mustahab (digalakkan)”, dimana do’a merupakan amalan sepakat ulama’ mazhab mengatakan memberi kesan kepada simati. Oleh itu, pendapat yang mengatakan tidak sampai bacaan menurut sepakat Mazhab Syafie adalah kurang tepat, kerana wujud jalan penyelesaian sebagaimana kata Ibn Rusd “keluar dari khilaf bacaan kepada sampainya amalan berdo’a kepada si-mati”. WA.
 
 
Sekian, wassalam
Kamin, al-ahkam.net

16 Ramadhan 1435, 24/07/201

Kategori Berita: