Keberkatan Bersahur Menurut Imam Ibnu Hajar

Bersahur untuk berpuasa merupakan tuntutan dan galakan daripada Rasulullah s.a.w. sebagaimana jelas disebutkan dalam sabda Baginda:

  تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِى السَّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya: bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan - [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Apakah kepentingan bersahur pada waktu itu sehingga ia digambarkan sebagai satu keberkatan?

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqalani ketika menghuraikan hadith ini di dalam bukunya Fathul Bari, keberkatan pada amalan bersahur itu membawa beberapa makna. Berikut adalah ringkasan daripada apa yang beliau nyatakan :

1- keberkatan dengan maksud ganjaran dan pahala daripada Allah SWT.

2- keberkatan dengan makna ia memberikan kekuatan dan mengurangkan keletihan bagi mereka yang akan berpuasa.

3- keberkatan kerana waktu sahur adalah waktu untuk berdoa dan beribadah.

4 - ia merupakan satu sunnah Rasulullah s.a.w.

5 - ia merupakan amalan yang membezakan kita dengan ahli kitab yang mana mereka tidak bersahur.

6- memberikan kekuatan untuk menunaikan ibadah.

7- mengingatkan kita untuk berniat bagi puasa.

8- membuka peluang untuk bersedekah untuk orang-orang yang bersahur bersama.

9- mengelakkan akhlak buruk yang mungkin timbul kerana terlalu lapar.

10-Malaikat mendoakan orang-orang yang bersahur.

Semoga Allah SWT memberikan 'keberkatan' ini untuk kita ....hanya dengan bersahur yang mungkin dilihat kecil, tetapi ia amat besar nilainya...

wallahu a'lam

alitantawi