Kenyataan Media Muzakarah JK Fatwa Mengenai Pelaburan ASN & ASB

Logo ASB
 
 
Mengenai isu pelaburan ASB dan ASN yang sejak akhir-akhir ini menimbulkan keresahan kepada masyarakat awam berpunca daripada tindakan pihak-pihak tertentu menyebarkan bahawa Suruhanjaya Sekuriti mengatakan ASB dan ASN adalah tidak patuh syariah. Perkara pertama yang perlu difahami dalam isu ini ialah perbezaan peranan antara Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan pihak manakah yang diberi autoriti dalam mengeluarkan hukum di Malaysia.
 
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja merupakan badan pengeluar dan penyelaras hukum hakam dalam apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang bersifat nasional yang melibatkan kepentingan seluruh umat Islam. Manakala Suruhanjaya Sekuriti pula adalah badan yang antara peranannya ialah membuat keputusan sama ada sesuatu sekuriti diklasifikasikan sebagai patuh syariah atau tidak berdasarkan garispanduan yang mereka tetapkan, bukan hukum atau fatwa.
 
Sepertimana semua sedia maklum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa sejak dari tahun 2008 telah pun membincangkan isu pelaburan dalam ASN dan ASB dan telah memutuskan bahawa hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputra (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus. Keputusan yang dibuat ini adalah dengan melihat ruang lingkup yang luas bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudharatan yang lebih besar terhadap sosio ekonomi Umat Islam.
 
Sebagai badan pengeluar hukum yang diberikan autoriti oleh Ulil Amri, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan menggunakan kaedah-kaedah serta dalil-dalil yang diiktiraf syarak. Hukum atau fatwa yang dikeluarkan juga mengambil kira aspek-aspek lain yang muktabar seperti kepentingan umum, keperluan dan maqasid syariyyah dan siasah syar'iyyah. Berbeza dengan metodologi Suruhanjaya Sekuriti dalam penyenaraian sekuriti patuh syariah yang antara lain mengadaptasi pendekatan kuantitatif yang mengguna pakai tanda aras aktiviti perniagaan dan tanda aras nisbah kewangan.
 
Sebagai badan yang diberikan peranan menentukan hukum hakam dalam isu-isu bersifat nasional seperti isu pelaburan ASN dan ASB ini, Jawatankuasa Fatwa melihat kekukuhan ekonomi umat merupakan salah satu masalah daruriyah yang perlu diberi perhatian serius oleh pemerintah selaku Ulil Amri, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi masakini, yang menampakkan umat Islam tertinggal jauh di belakang. Islam menegah umatnya menjerumuskan diri dalam kemudharatan dan kefakiran yang boleh menggugat kekuatan ummah.
 
Setiap hukum yang diputuskan bukan hanya melihat dari satu aspek tertentu sahaja dan tidak melibatkan sebarang tanda aras berbentuk angka untuk memutuskannya sebagai halal, harus atau haram. Tetapi hukum yang diputuskan perlu memenuhi tuntutan keadilan, maslahah, menghindar daripada kerosakan dan keruntuhan yang lebih besar.
 
Dalam menentukan hujah keharusan dalam pelaburan ASN dan ASB ini, ada pihak-pihak yang berceramah di sana sini mengatakan hukum yang dikeluarkan oleh Muzakarah tidak mengikut syarak kerana berhujah menggunakan maslahah. Adalah sangat tidak tepat jika ada pihak-pihak tertentu yang mendakwa bahawa hujah bersandarkan maslahah ummah mengenepikan prinsip-prinsip Islam kerana maslahah juga adalah prinsip Islam yang perlu dipegang dalam penentuan sesuatu hukum. Semua pihak perlu memahami bahawa prinsip pensyariatan Islam yang telah digariskan iaitu kewajipan menjaga lima(5) perkara iaitu agama, nyawa, akal, zuriat dan keturunan serta harta benda perlu dipertahankan kerana ia menjadi tunjang kehidupan seluruh umat Islam. Sekiranya terjejas salah satu daripada perkara ini, maka umat Islam akan ditimpa kehinaan yang akan menjejaskan agama dan kehidupan.
 
Dalam hal ini, hukum ke atas pelaburan ASN dan ASB tidak boleh dilihat dari aspek tertentu sahaja, tetapi perlu mengambilkira semua kesan yang akan dihadapi oleh agama, umat Islam dan negara.
 
Jawatankuasa Fatwa amat kesal sejak kebelakangan ini terdapat pihak-pihak tertentu yang cuba menimbulkan keraguan kepada masyarakat awam dengan memuatnaik surat daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) (rekod surat-bertarikh 2009) yang mengatakan bahawa pelaburan ASN dan ASB sebagai tidak patuh syariah. Juga beberapa orang penceramah sentiasa membangkitkan isu haram melabur dalam ASN dan ASB ini dengan pelbagai hujah, dan dikatakan keputusan Muzakarah itu adalah menyimpang kerana ahlinya tidak mempunyai ilmu atau kepakaran dalam bidang ekonomi Islam. Semua pihak perlu maklum bahawa sebahagian daripada ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga turut/pernah menjadi ahli pakar di Suruhanjaya Sekuriti.
 
Di media sosial, blog-blog dan facebook, golongan yang mengakui sebagai ahli pakar ini cuba menimbulkan keresahan kepada masyarakat awam terhadap status ASN dan ASB dengan merujuk kepada surat yang dikeluarkan oleh SC tersebut. Isu pelaburan ASN dan ASB ini merupakan perkara ijtihadi, yang sememangnya akan mengundang polemik dan perdebatan jika semua pihak yang mendakwa sebagai ahli pakar mahu menegakkan pandangan masing-masing tanpa menghiraukan peranan pihak yang diberi autoriti dalam menentukan hukum.
 
Sewajarnya mereka yang melabelkan diri sebagai intelektual Islam ini memahami isu ini secara menyeluruh dan hak-hak Ulil Amri kerana akibat daripada sikap mereka yang gemar dan sengaja mempertikaikan hukum yang telah dibuat telah menimbulkan keresahan yang meruncing di kalangan umat Islam.
 
Situasi ini memperlihatkan bagaimana gusar dan resahnya umat Islam apabila sesuatu isu yang diperkatakan itu berkait dengan harta yang menjadi tonggak kelangsungan hidup setiap individu. Kegemparan yang ditimbulkan ini, hanya akan merugikan umat Islam sendiri. Adalah lebih bijak sesuatu perbezaan itu dibincang terlebih dahulu dengan pihak berkuasa daripada menimbulkan keresahan kepada masyarakat kerana Jawatankuasa Fatwa sentiasa bersikap terbuka dalam menerima pandangan yang positif dan konstruktif.
 
Keputusan hukum yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa adalah berpandukan kepada Ijtihad Jama'i dan konsensus semua ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada para Mufti dan ahli-ahli pakar dalam bidang akidah, fiqh, hadith dan tafsir, muamalat dan sains, dan keputusan dibuat berdasarkan kajian pakar-pakar ekonomi Islam dan penjelasan terperinci oleh pihak pengurusan tertinggi PNB dan juga Majlis Penasihat Shariah PNB sendiri yang terdiri daripada pakar-pakar dan ulama berwibawa tanpa terikat dengan garis panduan atau metodologi badan lain yang jelas mempunyai fungsi yang berbeza.

Oleh itu, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan menasihatkan pihak-pihak berkenaan khususnya penceramah-penceramah berkenaan supaya menghentikan tindakan memprovokasi isu-isu yang melibatkan hukum hakam kerana walaubagaimana tinggi sekali pun ilmu dan kepakaran seseorang itu, adalah lebih bijak jika ianya disalurkan dengan cara yang beradab dan memahami terlebih dahulu peranan dan tugas pihak berkuasa serta kaedah dalam berfatwa atau mengeluarkan hukum supaya tidak mengundang kekacauan kepada ramai pihak.
 
Sekian, terima kasih.
 
PROF. EMERITUS TAN SRI DATO' DR. ABD. SHUKOR BIN HJ. HUSIN
Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia
14 Februari 2014