Kenangan Bersama Syuaib al Arnaouth #1

Primary tabs

Oleh alitantawi

Sesampainya saya dan rakan-rakan di Jordan penghujung tahun 1996, kami sibuk diberi taklimat tentang keadaan di sana oleh para ‘senior’. Bermula daripada cara mendaftar subjek hinggalah kepada cara mendapatkan bekalan makanan di kedai, semuanya diceritakan kepada kami. Termasuk juga kami dibawa melawat tempat-tempat menarik dan bersejarah. Tapi saya tidak pernah tahu bahawa di Jordan terdapat seorang alim yang berpengalaman khususnya dalam bidang hadith. Mungkin maklumat itu tidak penting atau mungkin kerana kami baru saja sampai, nak berkomunikasi pun masih merangkak-rangkak, bagaimana pula nak menghadiri kuliah seorang syeikh hadith?

Sebelum mengenali Syuaib al Arnaouth dan menghadiri kelasnya, saya tidak memandang serius ilmu hadith walaupun telah mengambil subjek Ulum Hadith di universiti. Sikap saya masih sama seperti sewaktu di sekolah dahulu, tak peduli siapa yang meriwayatkan hadith, asalkan penulis menyebutnya sebagai hadith, saya pun akan menyebutnya sebagai hadith. Buku-buku hadith pun dibeli tanpa memperdulikan adakah buku tersebut telah disemak (tahqiq) isi kandungannya dan dikaji kesahihan hadith-hadith di dalamnya.

Akhirnya, didorong oleh beberapa orang senior yang telah pun mengecap ‘kemanisan’ ilmu hadith, saya mula mengenali Syuaib al Arnaouth dan menghadiri kuliahnya di Amman. Kelasnya diadakah sebanyak 2 kali seminggu. Beliau mengajar Tafsir al Qurthubi dan Subul al Salam. Lama kelamaan, makin ramai rakan-rakan yang mula menunjukkan minat. Kami sama-sama akan menaiki bas, sampai sahaja di Amman, terpaksa naik teksi untuk sampai ke rumah tempat Syeikh Syuaib mengadakan kuliahnya. Terasa macam mengembara mencari hadith…tapi sudah pasti la menaiki bas dan teksi serta singgah pula makan minum kat tepi jalan amat berbeza dengan ulama silam yang menaiki tunggangan dan merentas gurun dan padang pasir.

Syeikh Syuaib orangnya besar…berketurunan Albania. Ada orang kata dia gemuk, tapi istilah yang sesuai ialah besar. Muka nampak serius je masa mula2 sampai ke tempat kuliah. Rambutnya dah putih begitu juga janggutnya. Janggutnya tak tebal sangat, nipis pun tak nipis tapi tak le panjang macam syeikh2 dari Tanah Arab yang lain. Suka pakai jubah dan beliau pernah menyebut bahawa beliau juga mahu memakai pakaian lain, tetapi bentuk badannya sesuai dengan jubah sahaja. Memakai kopiah putih tapi tak pernah memaksa atau menyuruh murid2nya memakai pakaian seperti beliau. Sehinggakan muridnya yang paling lama belajar dengannya pun memakai pakaian mengikut kesesuaian sahaja.

Beliau mengadakan kuliah itu di rumah anaknya dan ruang tamu akan dipenuhi dengan pelajar daripada pelbagai bangsa dan kebanyakannya orang Arab. Apa yang pelik ialah beliau tidak akan duduk berseorangan di hadapan (seperti kelaziman kelas-kelas pengajian), tetapi beliau akan duduk bersama siapa sahaja yang ingin duduk di sebelahnya kerana terdapat lebih daripada satu tempat duduk di hadapan ruang tamu. Kadang-kadang ramai pulak yang duduk di hadapan dan semuanya berjubah, mungkin orang yang baru pertama kali datang akan tertanya-tanya…’mana satu Syeikh Syuaib?’.

Beliau seorang yang suka bergurau senda dan tidak terlalu serius. Dan beliau akan memberi peluang seluas-luasnya bagi sesiapa sahaja yang ingin bertanya atau memberikan pendapat. Kadang-kadang sesama murid hangat berbincang, beliau akan melihat dan tersenyum saja. Kalau nak dikatakan kelakar, memang kelakar. Lawaknya juga banyak versi dan banyak topik. Selalu juga beliau bercerita tentang kehidupannya di zaman kanak-kanak dan remaja.

Amat sukar untuk mendengar beliau mengutuk atau menghentam mana-mana ulama. Kalau ingin dinyatakan kesalahan pun dalam keadaan penuh adab dan ilmiah. Pernah beliau menceritakan pengalamannya menegur seorang alim lalu saya bertanya kepada beliau (selepas tamat kuliah) dan meneka nama orang alim itu. Beliau hanya tersenyum.

 

Insya Allah kalau ada lagi memori yang berkaitan, akan saya kongsi bersama para pembaca yang berminat. Kepada mereka yang pernah belajar dengan Syeikh Syuaib, tulislah sesuatu utk dikongsi bersama pembaca. Sikit mcm ni pun takpe. Untuk kenangan.