Politik Iraq sisih puak Sunah

Primary tabs

BAGHDAD 24 Mac - Dua blok politik Syiah terbesar di Iraq, satu diketuai Perdana Menteri, Nuri al-Maliki dan satu lagi kumpulan pemimpin yang menjalin hubungan erat dengan Iran, membincangkan penggabungan yang berisiko meluaskan sengketa Syiah-Sunah di negara ini.

Penggabungan blok Perikatan Negara Berdaulat pimpinan Maliki dengan Perikatan Kebangsaan Iraq (INA), selaku dua daripada tiga blok yang memenangi undi terbesar pilihan raya Parlimen Iraq pada 7 Mac lalu, meminggirkan bekas Perdana Menteri, Iyad Allawi, ketua perikatan Iraqiya yang mendapat sokongan padu masyarakat Sunah.

Maliki yang mahu mengetuai kerajaan bagi satu penggal lagi, mungkin mendapati diri beliau diketepikan jika kedua-dua blok bergabung.

Satu parti komponen INA ialah gerakan Sadr pimpinan ulama Syiah anti-Amerika, Moqtada al-Sadr yang mendapat undi terbanyak bagi INA dan tidak mempunyai hubungan baik dengan Maliki.

Komposisi kerajaan akan datang diberi perhatian rapi oleh Washington yang merancang untuk menamatkan operasi tempur di Iraq menjelang 1 September ini, juga oleh syarikat-syarikat minyak global yang sudah menandatangani kontrak berbilion-bilion dolar untuk membangunkan telaga minyak Iraq.

"Lebih satu pertemuan diadakan dengan INA bagi mencapai perjanjian membentuk perikatan besar atau menggabungkan kedua-dua perikatan," kata anggota kanan Negara Berdaulat, Sami al-Askari.

Beliau berkata demikian sejurus selepas seorang lagi pemimpin blok itu mengeluarkan kenyataan mengenai keperluan bergabung.

Blok Negara Berdaulat boleh dikatakan dalam kedudukan terikat dengan perikatan Iraqiya pimpinan Allawi dari segi pungutan undi.

Tiada satu pun blok utama dijangka memenangi cukup kerusi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian, kerana itu rundingan antara parti dan perikatan mengenai potensi membentuk pakatan sedang berjalan lancar.

Kiraan undi akhir dijadual diumum Jumaat ini, hampir tiga minggu selepas pilihan raya diadakan. - REUTERS

UTUSAN