MANHAJ AL-MUTAQADDIMUN: HAFAZAN DAN PENILAIAN TERHADAP HADITH

MANHAJ AL-MUTAQADDIMUN: HAFAZAN DAN PENILAIAN TERHADAP HADITH

[oleh: Muhammad Anwaruddin Abdul Wahab]

Perlu diketahui bahawa Syu’bah, Ibnu Mahdi, Yahya alQattan, Malik bin Anas, Ali bin alMadini, Ahmad bin Hanbal, Abu Zur’ah, Abu Hatim, adDarimi, alBukhari, Muslim, atTirmizi, Abu Dawud, anNasa-ie, Ibnu Majah dan lain-lain pakar hadith kurun ke-2 dan ke-3 Hijrah, menghafaz beratus ribu hadith. Maka, mereka inilah yang mengetahui kecacatan-kecacatan atau penyakit-penyakit hadith dan dijadikan rujukan. Ini kerana kitab-kitab mereka tidak menghimpunkan segala hadith yang dihafaz oleh mereka yang berjumlah ratusan ribu hadith.

Malah hafazan yang tidak dihimpun itu luput dan pupus dengan pulangnya pakar-pakar hadith yang agung ini ke rahmat Allah SWT. Buktinya, dimanakah satu juta hadith yang dihafaz oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal sedangkan di dalam kitabnya al-Musnad hanya terhimpun hampir 28,000 hadith sahaja?

Di kalangan al-Mutaakhirun – sepengetahuan saya - hanya al-Hafiz Ibnu Hajar yang menghafaz lebih 100,000 hadith manakala asSuyuti menghafaz 200,000 hadith. Di sini – secara perbandingan – kemampuan al-Imam Ahmad jauh lebih berganda jika dibandingkan dengan mana-mana pakar hadith al-Mutaakhirun.

Begitu juga pakar-pakar hadith yang lain seperti alBukhari (700,000 hadith), Muslim (600,000 hadith), Abu Dawud (500,000), atTirmizi (lebih 200,000 hadith) dan ramai lagi. Boleh dikatakan pakar-pakar hadith yang muncul antara tahun 200H hingga 300-350H hampir kesemuanya menghafaz lebih daripada 100,000 hadith kerana tempoh tersebut adalah ZAMAN KEEMASAN periwayatan hadith.

Justeru, apakah yang pelik jika seseorang pakar hadith dari zaman itu menilai-SAHIH sesuatu hadith yang mempunyai SANAD yang ada kecacatan seperti terdapat periwayat yang MAJHUL (tidak diketahui) atau mempunyai kelemahan dari segi hafazan selagi ia tidak bercanggah dengan mana-mana hadith yang lebih kuat?

Sebagai contoh, ada sejumlah hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam atTirmizi dalam kitabnya alJami’ (yang dikenali sebagai asSunan) mempunyai SANAD yang DAIF (lemah) namun dinilai-SAHIH oleh atTirmizi sendiri. Apakah beliau seorang yang tidak tahu menilai sesuatu hadith? Adakah beliau seorang ahli hadith yang cuai dan tidak teliti dalam menilai hadith? Ya, tentu sekali beliau telah mengambil kira AL-QARA-IN dan AL-MURAJJIHAT bagi menilai-SAHIH hadith-hadith tersebut.

Oleh itu pendapat yang mengatakan atTirmizi seorang ‘mutasahil’ (bermudah-mudah dalam menilai-SAHIH-kan hadith) harus ditolak secara total. Yang lebih adil adalah beliau mempunyai penilaian tersendiri atau ijtihad mutlak dalam bidang hadith mengikut method yang digunakan pada zaman itu.

Bahkan sekiranya dipraktikkan manhaj/method atTirmizi bahawasanya istilah HASAN atau HASAN GHARIB dalam kitabnya (sepertimana yang dibeliau jelaskan dalam Kitab al-‘Ilal asSaghir) adalah dimaksudkan hadith DAIF (dari segi ilmiah ia telah dibuktikan dengan majoriti SANAD hadith yang diistilahkan oleh atTirmizi sebagai HASAN atau HASAN GHARIB adalah sanad yang lemah) maka terbukti ketegasan atTirmizi dalam menilai sesuatu hadith sehingga kadangkala lebih tegas daripada gurunya al-Imam alBukhari dan al-Imam Muslim.

Kita seharusnya tidak terlepas pandang terhadap latar belakang atTirmizi. Beliau murid alBukhari – tokoh agung dalam bidang hadith. Sehingga alBukhari berkata kepada atTirmizi : “Apa yang aku pelajari daripada engkau adalah lebih banyak daripada apa yang engkau pelajari daripada aku”.

Nah, bukankah ini satu penghormatan dan pengiktirafan? Cukuplah kehebatan atTirmizi dengan Kitab al-‘Ilal asSaghir dan Kitab al-‘Ilal alKabir milik beliau. Dan cukuplah kehebatan dengan kedudukan beliau sebagai IMAM dalam bidang hadith.