Digantung Kerana Seludup Dadah: Iran beri amaran hubungan dengan KL akan terjejas

Iran beri amaran kepada malaysia

Kenyataan itu dibuat selepas terdapat laporan yang menyebut dua wanita Iran, Shahrzad Mansour, 31, dan Neda Mostafaei, 26, dihukum gantung sampai mati kerana kesalahan menyeludup dadah methamphetamine ke Malaysia pada Disember 2010

Petikan dari kosmo.com.my

Iran beri amaran hubungan dengan KL akan terjejas
TEHERAN - Kementerian Luar Iran memberi amaran bahawa hubungan negaranya dengan Malaysia akan terjejas ekoran keputusan sebuah mahkamah yang menjatuhkan hukuman mati ke atas dua wanita warga Iran.

Timbalan Menteri Luar Iran, Hassan Ghashghavi berkata, hukuman mati itu akan memberi kesan yang negatif dalam hubungan melibatkan Kuala Lumpur dengan Teheran.

Kenyataan itu dibuat selepas terdapat laporan yang menyebut dua wanita Iran, Shahrzad Mansour, 31, dan Neda Mostafaei, 26, dihukum gantung sampai mati kerana kesalahan menyeludup dadah methamphetamine ke Malaysia pada Disember 2010.

Menurut Hassan, hubungan persahabatan dan kesetiakawan antara Iran dan Malaysia akan dapat diteruskan jika hukuman tersebut tidak dilaksanakan.

Menurut ketua polis antidadah Iran, Kolonel Ali Moayedi, para penyeludup dadah telah berjanji dengan wanita tersebut untuk memberikan lawatan percuma ke Malaysia.

Malaysia merupakan destinasi pelancongan yang menjadi tumpuan warga Iran kerana peraturan visanya adalah mudah, kata Ali.

Sebagai pertukaran, pasangan wanita itu diminta untuk membawa beg yang mengandungi barang makanan tetapi ia juga diisi dengan dadah tersebut. - Agensi

Artikel Penuh: kosmo.com.my

 

 


Laporan dari hmetro.com.my mengenai keldai dadah:

Sindiket dadah antarabangsa guna ejen tempatan cari keldai dadah

Taktik yang menggunakan rakyat tempatan untuk merekrut "keldai dadah" itu masih menggunakan cara yang sama iaitu menabur janji manis, kemewahan dan percutian menarik kepada mangsa sebelum ditugaskan membawa dadah ke negara ketiga.

"Di dalam Facebook mereka berkenalan, menjalin hubungan rapat dan apabila mendapat kepercayaan, mereka akan digunakan untuk dijadikan keldai dadah," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata, taktik itu dibongkar berikutan penahanan seorang pemuda berusia 23 tahun di Lapangan Terbang Ezeiza, Buenos Aires, Argentina, akhir bulan lalu ketika cuba menyeludup keluar dadah jenis kokain dari negara itu ke Qatar.

"Hasil soal siasat polis negara itu, lelaki terbabit mendedahkan tiga rakyat Malaysia memperdayanya untuk ke Argentina bagi membawa balik batu permata hitam ke negara ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noor Rashid berkata, sebelum ini tugas merekrut mangsa untuk dijadikan "keldai dadah" dilakukan rakyat Iran dan Nigeria, tetapi selepas mendapati taktik itu kurang mendapat sambutan, mereka mengubahnya menggunakan rakyat Malaysia.

Beliau mengulas taktik terkini sindiket dadah antarabangsa yang berpangkalan di negara ini yang kini menggunakan rakyat tempatan sebagai ejen mencari keldai dadah.

"Kita akan terus membuat pemantauan dan mengingatkan orang ramai melalui program-program kemasyarakatan agar orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan taktik yang digunakan sindiket antarabangsa ini," katanya.

Beliau berkata sepanjang 2010 seramai 35 rakyat tempatan termasuk 12 wanita ditahan di luar negara kerana menjadi keldai dadah, jumlah itu berkurangan berbanding tiga tahun sebelumnya, iaitu 54 orang pada 2009, 66 orang (2008) dan 84 orang (2007).

Kebanyakan mereka berumur 40 tahun ke bawah dan ditahan di beberapa negara antaranya Taiwan, Peru, Brazil dan Thailand.

Sementara itu, seramai 14,652 orang ditahan kerana pelbagai kesalahan jenayah narkotik dan polis berjaya merampas dadah yang bernilai RM38.77 juta sepanjang Januari lalu.

Noor Rashid berkata, dalam tempoh itu juga, empat makmal memproses dadah -- dua di Kuala Lumpur dan masing-masing satu di Perak dan Pulau Pinang -- dibongkar dan lapan orang ditahan.

"Dalam tempoh sebulan itu, kita juga berjaya menahan 24 orang termasuk 17 rakyat Iran dalam penguatkuasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT)," katanya.

Beliau berkata, 19 orang ditahan di KLIA dan lima lagi di LCCT dengan rampasan dadah jenis syabu sebanyak 49.8 kg yang kesemuanya bernilai RM3.29 juta.

"Seramai 103 orang diambil tindakan pencegahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 sepanjang Januari lepas dan sebanyak RM3 juta harta di sita termasuk kes yang meyumbang nilai sitaan tertinggi dalam Ops Ramelia yang membabitkan sindiket pengedaran dadah rakyat Iran," katanya.

Sumber: hmetro.com.my

Kategori Berita: