SJ-07-0206 : Kematian

2 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-07-0206 : Kematian

Salam,

Boleh ustaz leraikan kontradiksi fakta tentang kematian ini...

a) Umat Islam diingatkan supaya jangan takut kepada mati.
b) Kematian itu sangat menyakitkan walaupun terhadap seorang rasul. Kalau umatnya bahkan..

bagaimana ingin menghuraikan agar Islam itu nampak indah dan logikanya benar.

Offline
Joined: 01/01/1970 - 7:30am
Re: Kematian

Wa’alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, InSyaAllah.

Kematian adalah hakikat Alam, baik bagi mereka yang berugama Islam ataupun tidak. Samada seseorang itu digambarkan mati didalam keadaan yang tidak sedar; mati didalam tidor seumpamanya, atau mati ketika sakit, keadaan ini berkemungkinan secara fizikal dan mata kasar sama sahaja dengan insan-insan lain. Namun demikian, ketahanan diri seorang Muslim yang beriman berbeza dengan yang tidak beriman. Bagi seorang Islam, mati itu adalah pasti bagi setiap manusia. Tidak ada orang yang dapat lari dari menghadapi kematian. Firman Allah swt :

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ
“Setiap yang bernyawa akan menghadapi mati” [surah Aal Imran: 185].

وَجَاءَتْ سَكْرَةُ الْمَوْتِ بِالْحَقِّ ذَلِكَ مَا كُنْتَ مِنْهُ تَحِيدُ
“datanglah sakrat al maut dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu sentiasa lari daripadanya” [Surah Qaaf : 19]

Bagi kita umat Islam, Mati itu adalah permulaan perjalanan ke Alam Akhirat……..Kenapa umat Islam di seru agar mengingati mati?

a. Agama Islam mengajar bahawa orang yang hidup masih mempunyai hubungan dengan mereka yang telah mati.

1. Agama Islam merupakan agama yang unik. Disamping menjalankan hubungan dengan makhluk Allah yang masih hidup didunia, perhubungan kita dengan makhluk didalam ghaib masih diperlukan. Umat Islam digalakkan memberi salam kepada ahli kubur, dan mengatakan bahawa kami akan mengikuti kamu suatu hari nanti. Kesemua ini membayangkan walaupun seseorang itu telah mati, hubungan antara yang hidup dan yang telah mati masih wujud. Sabda Nabi :saw

زُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ
“Ziarahlah kubur, kerana sesungguhnya ia mengingatkan kamu akan mati” [Hadith Riwayat Muslim].

2. Orang yang masih hidup boleh memberi kesan kepada yang mati. Adalah merupakan fardu kifayah bagi mereka yang hidup melakukan solat jenazah kepada si-mati. Didalam solat tersebut, mereka memohon agar Allah swt memberi keampunan kepada si-mati, dan merahmatinya.

3. Begitu juga dikala melawat kawasan perkuburan, kita diminta memberi salam dan mendo’akan agar Allah mengampunkan dosa2 dan merahmati mereka yang telah mati. Perhubungan antara orang mati dan orang hidup ini merupakan talian hayat kepada amalan-amalan soleh yang masih sampai kepada si-mati.

4. Didalam sebuah hadith yang tersangat mashyur yang menjelaskan, 3 amalan yang boleh sampai kepada si-mati secara berterusan, iaitu sedekah jariah (yang mengalir), ilmu berfaedah yang memunafaatkan orang lain dan anak yang soleh yang mendo’akan keatas ibu-bapanya. Konsep ini menunjukkan betapa arkrabnya hubungan amalan si mati dan juga orang yang masih hidup. Lihat kepada tautan dibawah :-

SJ-07-0205 : pahala kepada mayyit
http://al-ahkam.net/forum09/viewtopic.php?f=97&t=39535

b. Mengingati mati bagi seorang Islam akan meningkatkan Iman seseorang. Dengan mengingati mati, ia membentuk penghidupan seorang Muslim itu dengan penuh kesederhanaan. Tidak berlebih-lebih didalam melakukan sesuatu. Mereka tahu bahawa apa yang ada didunia ini hanya bersifat sementara.

c. Mengingati mati juga merupakan motivasi bagi seseorang Muslim untuk mempertingkatkan amalan akhiratnya. Disamping melakukan amalan wajib, mereka juga menambah amalan-amalan sunat, yang akan menyediakan mereka menghadapi hari kematian. Orang Islam percaya bahawa setelah mati, mereka tidak dapat lagi melakukan amalan-amalan soleh, maka didunialah tempat melabur saham akhirat.

d. Ingat akan mati merupakan benteng kepada umat Islam dari terjebak diri melakukan dosa! Apabila terlintas didalam hati untuk melakukan dosa, seorang yang beriman akan berfikir, kalaulah semasa melakukan dosa tersebut, Allah mengambil nyawanya. Apa yang ingin dia jawab di hadapan Allah?? Ingat kepada mati menjadi benteng orang-orang yang beriman, antara maksiat dan amalan soleh.

-----------------------
Apakah kematian itu satu kesakitan?

Banyak kitab dan hadith membicarakan tentang dasyatnya gambaran kematian. Namun demikan, ada juga ulama’ yang membicarakan, tidak semua kematian itu menyakitkan. Bagi mereka, terdapat dua perkara yang membuktikannya :

1. Terdapat beberapa ayat didalam al-Quran yang menjelaskan bahawa roh seseorang diambil sebagaimana seorang yang sedang tidor. Didalam surah al-Zumar:42 menjelaskan bahawa seseorang yang sedang tidor, sebenarnya Allah menahan rohnya. Tidor juga merupakan sebahagian dari kematian. Jika kematian itu menyakitkan, maka sudah tentu tidor juga menyakitkan.

Begitu juga didalam surah al-Nahl:32 menjelaskan bahawa malaikat mengambil nyawa seseorang itu dan memberi salam kepada mereka. Firman Allah swt :-

الَّذِينَ تَتَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ طَيِّبِينَ يَقُولُونَ سَلَامٌ عَلَيْكُمُ ادْخُلُوا الْجَنَّةَ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan.

2. Terdapat beberapa hadith yang menjelaskan betapa dasyatnya saat-saat kematian yang status hadithnya diantara dhaif(lemah) hinggalah palsu. Al-Hafiz al-Iraqi didalam takhrij beliau terhadap kitab Ihya’ karangan Imam al-Ghazali mendapati bahawa wujud hadith yang menjelaskan sakitnya kematian bertaraf dhaif.

Walau bagaimanapun, kekhilafan ini menunjukkan wujudnya darjat yang berbeza dari aspek kesakitan ketika menghadapi mati. Didalam kitab Ruh al-Ma’ani menyebut : Setiap jiwa akan merasakan kesakitan didalam kematian, akan tetapi ia berbeza antara kedasyatan atau keringanannya.

Bagi orang yang bukan Islam, fenomena kematian adalah sama sahaja. Bagi yang mati didalam tidor, secara mata kasar tidak nampak keperitannya. Bagi yang mati didalam kemalangan jalan raya, sudah tentu senarionya berbeza; ada yang mati terus, ada yang kritikal beberapa jam sebelum menemui ajal. Walau apa pun persamaan secara semulajadinya, tetap berbeza dengan orang Islam :-

a. Kematian selalu berada didalam minda seorang Muslim. Ia adalah pengawal dan benteng dari segala dugaan dunia. Dengan mengingati mati, manusia akan insaf dan berusaha menambahkan amalan soleh.

b. Seorang Muslim, dididik agar tidak meninggalkan si-mati. Mereka sentiasa mendo’akan agar roh-roh itu diberi rahmat dan di ampuni dosanya.

c. Akhir sekali, seorang Muslim percaya bahawa kematian adalah nikmat tertinggi seorang manusia. Berbeza sekali dengan orang kafir. Walaupun ada yang kelihatan seperti sakit, akan tetapi Allah swt akan membayar ganjaran kesakitan itu dengan nikmat yang tidak terhingga. Berkata al-Hafiz :

أن شدة الموت لا تدل على نقص في المرتبة بل هي للمؤمن إما زيادة في حسناته وإما تكفير لسيئاته
“sesungguhnya dasyatnya maut tidak menunjukkan kurangnya mertabat seseorang, bahkan ia memastikan samada bertambah kebaikkannya atau diberi keampunan dosanya.”

Dari segi hakikatnya, konsep mengingati mati dan sakaratul maut tidak bertentangan diantara satu sama lain. Agama Islam mendidik jiwa umatnya mengingati mati setiap hari. Saat-saat kematian merupakan satu nikmat yang dikurniakan Allah. Kesakitan menghadapi maut akan dibayar ganjaran oleh Allah swt. WA.

Sekian, wassalam

خيرالأمين