SJ-13-0585 : penggunaan nama ALLAH & Muhammad di pakaian.

2 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-13-0585 : penggunaan nama ALLAH & Muhammad di pakaian.

Assalamualaikum para panel & forumers Ahkam.net sekalian.

ada seorang sahabat bertanyakan soalan ini dan sy mohon soalan ini dapat dijawap dan dibahas para panel dan forumer di ahkam.net agar dapat membantu kesulitan shbt kita.

semoga Allah merahmati kalian. Barakallahufikum

SOALAN

1. bolehkah lambang Allah Muhammad yang dilekatkan atau dijahit pada baju kerja dan baju sukan saya dibawa masuk ke dalam tandas?

2. Bolehkah anggota yang bukan islam diberi pakai lambang Allah Muhammad itu?

3. bolehkan lambang Allah Muhammad yang ada pada unit kami digunakan untuk kepala surat atau borang-borang? Apa yang saya perhatikan apabila borang yang salah diisi atau surat yang salah dibuat anggota mengoyak dan membuang di dalam tong sampah.

4. apa hukumnya menggunakan pinggan mangkuk yang mempunyai lambang Allah Muhammad? Pinggan mangkuk itu digunakan untuk makan di TLDM.

5. Sebenarnya banyak lagi barang yang mempunyai lambang Allah Muhammad seperti pen, payung, pelekat kereta, majalah2 dan banyak lagi.

Offline
Joined: 01/01/1970 - 7:30am
Re: penggunaan nama ALLAH & Muhammad di pakaian.

Wa’alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan ini dengan kadar kemampuan yang ada, InSyaAllah.

Menurut sebuah riwayat bahawa Anas ra. berkata “Semasa memasuki bilik air, Nabi :saw akan membuka cincinnya”. Semua maklum bahawa cincin Nabi :saw mempunyai ukiran “Muhammad adalah Rasulullah”. Alasannya, kerana tidak sesuai Nama Allah dibawa bersama. Disini menunjukkan dua keadaan :-

a. Kebenaran mengukir Nama Allah keatas sesuatu objek, misalnya cincin. Menurut Ibn Abi Syaibah, bahawa Hudhaifah dan Abu ‘Ubaidah mempunyai cincin yang diukir “Alhamdulillah”. Ibrahim al-Nakhai pula mempunyai cincin yang diukir “Billah”.

b. Hukum membawa barang seperti itu kedalam bilik air. Mazhab Syafie dan Hanafil tidak menggalakkan membawa objek yang mempunyai Nama Allah, akan tetapi Mazhab Maliki dan Hanbali mengharamkannya. Ibn Qudamah rh berkata, jika seseorang membawa sesuatu objek yang menyebut nama Allah, adalah mustahab (digalakkan) meninggalkan atau menanggalkannya.

Jika dia membawa bersamanya, dan menjaganya baik-baik agar tidak terjatuh, atau memusingkan bahagian yang ada nama Allah mengadap tapak tangannya, maka tidak mengapa. Menurut Imam Ahmad, jika cincin mempunyai nama Allah, hendaklah dipusingkannya mengadap tapak tangan dan kemudian baru ke bilik air. Pandangan ini merupakan pendapat Ibn al-Musayyab, Ibn Sirin, dll. (al-Mughni, 1/109).

Syiekh Atiyar Saqr mengatakan bahawa jika dia takut akan cincin (objek) tersebut kehilangan, maka tidaklah menjadi kesalahan membawa kedalam bilik air.

Ini merupakan jawapan secara umum mengenai hukum membawa objek berukirkan Allah kedalam bilik air. Untuk jawapan spesifik, khas kepada penggunaan nama Allah di logo Angkatan Tentera, berikut kami petik jawaban dari Bahagian Agama Tentera Laut Malaysia :-

Quote:
webmaster
2010-02-09

JAWAPAN
Berikut adalah jawapan yang kami terima dari Pegawai Agama Markas Tentera Laut.

Terima kasih atas soalan yang diutarakan. Perkara penting yang perlu difahami dalam menentukan persoalan ini ialah kita perlu membezakan antara kalimah suci dan ayat-ayat suci al-Quran. Kedua-duanya mempunyai hukum yang berbeza. Jika dilihat kemusykilan yang diutarakan, ianya berkisar persoalan kalimah suci.

Mengenai hukum tentang persoalan yang diutarakan, Ulama mazhab Syafie bersependapat bahawa disunatkan menanggalkan apa yang terdapat padanya sebutan Allah Taala ketika hendak memasuki tandas dan ianya tidak wajib. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa Rasulullah menanggalkan cincin yang dipakainya kerana tertulis di atasnya perkataan Muhammad Rasulullah.

Imam Ahmad mengatakan : Cincin yang terdapat padanya nama Allah hendaklah digenggam apabila memasuki tandas. Begitu juga dengan pendapat Ikrimah.

Pendapat lain mengatakan membawa sesuatu yang ditulis zikrullah di atasnya ke dalam tandas hukumnya makruh dan bukannya haram. Sama sepertinya iaitu nama rasulnya dan setiap nama yang diagungkan seperti yang disebutkan dalam kitab al-Kifayah sejajar dengan pendapat al-Imam.

Ibn al-Musayyab, al-Hassan dan Ibn Sirin memberikan kelonggaran tentangnya (membawa bahan yang tertulis nama Allah ke tandas) Imam Ahmad memberikan jawapan tentang seorang lelaki yang membawa duit dirham (tertulis zikrullah) masuk ke tandas dengan mengatakan: aku harap ianya tidak mengapa.

Lambang Allah Muhammad yang dijahit dibaju

Berdasarkan pendapat-pendapat yang dikemukakan di atas dibolehkan untuk memasuki tandas bersama dengan pangkat tersebut memandangkan kesukaran untuk menanggalkannya kerana dijahit terus dibaju. Bagi tali pinggang yang mempunyai kalimah suci terpulang kepada sipemakainya sama ada untuk mengambil sunat dengan menanggalkannya dengan meletakkan di luar tandas atau memakainya bersama-sama dengan mengambil makruh.

Penggunaan Kalimah Suci oleh Bukan Islam

Tentang kalimah suci yang dipakai oleh bukan Islam, Baginda Rasullullah s.a.w pernah mengutuskan surat yang tertera ayat al-Quran kepada Kisra Rom yang tidak beragama Islam. Kisra mengambil surat tersebut yang tertera ayat al-Quran tanpa rasa ragu. Ini adalah sebagai dalil keharusan ianya dipegang oleh orang yang bukan Islam khususnya apabila mempunyai kepentingan yang tertentu. Kita sewajarnya membezakan antara ayat-ayat suci al-Quran daripada kalimah-kalimah suci yang terlalu umum di mana dalam keadaan tertentu ianya tidak dianggap sebagai al-Quran berdasarkan kepada tujuan penggunaan kalimah-kalimah itu. Adapun apabila ternyata tentang “keQuranan” sesuatu kalimah, maka adalah haram ia dibiarkan berada di tangan orang-orang bukan Islam. Sila rujuk keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kebangsaan yang berkaitan dengannya tahun 1985.

Wallahu a’lam

Sumber : http://www.navy.mil.my/component/option,com_jambook/Itemid,282/task,list/sort,createddesc/limit,20/limitstart,35/lang,ms/

Sekian, wassalam.

خيرالأمين