Ust Ali Muda: Astora Pendusta Agama 7

Primary tabs

Oleh: Ust Ali Muda

Bismillahirrahmanirrahim.
Di bawah ini adalah sebuah tulisan yang saya hasilkan minggu lepas dan saya hantarkan kepada surat khabar Utusan Malaysia pada Jumaat (22 Oktober 2000) untuk disiarkan dalam ruangan ‘Forum Hujung Minggu’ hari berikutnya. Malangnya tulisan yang ditulis semata-mata untuk memperbetulkan kesilapan Astora dalam gambarannya terhadap hukum hudud mungkin ditafsirkan sebagai mengkritik pihak pemerintah yang mendominasikan akhbar tersebut. Akibatnya, tulisan yang tidak menyentuh langsung parti Umno (berbanding Astora yang terang-terangan mempersenda Pas dalam tulisannya yang berkenaan) itu tidak dilayan atau disiarkan sehingga kini (tidak dipastikan jika selepas ini Utusan akan menyiarkannya…?). Utusan lebih mementingkan Umno daripada Islam yang diselewengkan fahamannya oleh Astora Jabat, sehingga kritikan yang objektif dan bebas daripada unsur kepartian pun tidak dilayan. Nampaknya, hanya tulisan yang menyokong arus Umno sahaja yang disiarkan oleh Utusan, seperti tulisan saya tentang isu penggubalan rang undang-undang murtad yang disiarkan pada 7 Oktober yang lalu.

Sebenarnya saya tidak bersetuju seratus peratus dengan rang undang-undang itu kerana bukan hukum Islam yang sebenar. Tetapi seperti yang saya katakan di hujungnya, kalau tak ada rotan akar pun jadi.

Sebagai parti Islam, Pas berhak tidak menyokong rang undang-undang itu kerana ia bukan undang-undang Islam. Pas berhak mempertikaian niat Umno melalui rang undang-undang tersebut (sebagai hendak membuktikan Umno telah melaksanakan syariah Islam…?)
Di bawah adalah tulisan yang saya maksudkan tanpa sedikit perubahan daripada versi yang dihantar kepada Utusan:

************************************************************************************* Salah tanggapan terhadap hudud Islam

Saudara Pengarang,

Tulisan saudara Astora Jabat (AJ) dalam ruangan ‘Debat’ (Utusan Malaysia 13 Oktober 2000) yang bertajuk ‘Rogol dalam bas dari sudut hudud’ menarik perhatian saya untuk membuat sedikit ulasan dan pembetulan.

Secara mudahnya AJ menyimpulkan bahawa hukuman hudud dalam Islam tidak boleh dilaksanakan jika tiada empat orang saksi ke atas perbuatan jenayah tertuduh, kerana menurutnya, Rasulullah s.a.w. tidak pernah menghukum penjenayah hudud melainkan dengan pengakuan tertuduh sebanyak empat kali.

Jika ada empat saksi pun, menurut AJ lagi, penjenayah masih boleh melepaskan diri dengan bertaubat kepada Allah s.w.t. atau melarikan diri (iaitu pengingkaran terhadap pengakuan terdahulu) semasa hukuman dijatuhkan.

Beberapa kesimpulan mudah oleh AJ ini perlu dinilai secara ilmiah supaya para pembaca Utusan tidak tersalah faham terhadap hukum hudud yang mulia itu. AJ hanya bersandarkan kepada sebuah hadis untuk membuat kesimpulan terhadap enam atau tujuh kategori hudud.

Sebuah hadis yang dimaksudkan itu ialah tentang peristiwa seorang lelaki bernama Ma`iz al-Aslami yang telah mengaku berzina sebanyak empat kali (pengakuan) dalam empat majlis di depan Nabi s.a.w. Setelah Nabi s.a.w. memastikan Ma`iz memahami pengertian zina yang sebenar dan mengutuskan beberapa Sahabat lain untuk memastikan beliau tidak cacat akal atau terlalu bodoh, barulah Nabi s.a.w. jatuhkan hukuman rejam ke atas beliau. Tetapi sebaik sahaja terkena rejaman, Ma`iz terasa kesakitannya lalu melarikan diri. Para perejam mengejar Ma`iz sehingga beliau dapat ditangkap di tengah sebuah padang pasir lalu direjam semula sehingga mati. Para perejam kembali memberitahu Nabi s.a.w. akan hal itu, tetapi Nabi s.a.w. berkata, “Bukankah baik kamu biarkan sahaja Ma`iz melarikan diri, mudah-mudahan dia bertaubat dan Allah s.w.t. terima taubatnya?” Ini kerana tindakan melarikan diri itu telah dikira sebagai penarikan balik pengakuan dan ia telah menjadi suatu syubhah (keraguan) yang menggugurkan hukuman hudud.

Makna hadis di atas adalah berdasarkan koleksi beberapa riwayat yang dikeluarkan secara sahih oleh Imam Muslim (al-Hudud, 5: 17), Abu Dawud (2422, 2423 dan 2424), Ahmad bin Hanbal (1: 238 dan 325), al-Bayhaqi (8: 226), al-Tabarani (2: 261 dan 11: 338), al-Daruqutni (3: 121) dan al-Hakim (4: 361) –lihat Mawsu`ah Atraf al-Hadith al-Nabawi al-Syarif oleh Syeikh Muhammad al-Sa`id Zaghlul.

Namun begitu, pergantungan kepada sebuah hadis ini untuk membuat kesimpulan tentang konsep keseluruhan hudud dalam Islam adalah satu pergantungan kepada dahan yang amat rapuh. Ini kerana sesuatu hukum dalam Islam bukanlah terhasil daripada satu atau dua nas sahaja, sebaliknya orang yang ingin membuat kesimpulan tentang sesuatu hukum Islam wajib mengumpulkan seluruh nas yang berkaitan sama ada daripada al-Quran atau hadis sahih. Selepas itu barulah dibuat rumusan atau kesimpulan yang mengambil kira semua kehendak nas-nas yang terkumpul itu. Contohnya kita tidak dapat membuat rumusan dan fahaman yang tepat tentang pengertian sembahyang jika kita tidak kumpulkan semua nas tentang sembahyang dalam al-Quran dan hadis secara serentak.

Oleh kerana AJ tidak menyempurnakan proses pengumpulan nas-nas yang berkaitan hudud terlebih dahulu, maka kesimpulan yang dibuat oleh beliau berdasarkan satu nas amatlah dangkal, tidak tepat dengan ruh (semangat) hudud Islam dan boleh mengelirukan pembaca.

Kenyataan AJ bahawa Rasulullah s.a.w. tidak pernah menghukum penjenayah hudud melainkan dengan pengakuan tertuduh sebanyak empat kali adalah kenyataan yang silap. Ini kerana terdapat banyak hadis lain yang menunjukkan Rasulullah s.a.w. menghukum penjenayah hudud hanya dengan sekali pengakuan sahaja ataupun kurang daripada empat kali pengakuan.

Imam al-Bukhari (3: 134, 241, 250 dan 8: 208), Imam Muslim (al-Hudud: 255), al-Nasai (Adab al-Qudhah: 21), al-Bayhaqi (8: 213, 219, 222 dan 225) dan beberapa ulama hadis yang lain meriwayatkan daripada Abu Hurayrah dan Zayd bin Khalid bahawa seorang pekerja lelaki (al-`Asif) telah berzina dengan isteri majikannya. Setelah mengetahui keterlanjuran itu, bapa al-`Asif cuba mencari penyelesaian di luar mahkamah dengan majikannya. Oleh kerana ada kekeliruan tentang hukuman yang sebenar yang sepatut diterima oleh penzina, bapanya dan majikan itu (suami perempuan yang berzina dengan al-`Asif) telah pergi bertemu Nabi s.a.w. supaya kedua-dua pesalah zina dihukum menurut Kitab Allah s.a.w. Maka Nabi s.a.w. menjatuhkan hukuman sebat seratus kali dan buang begeri setahun ke atas al-`Asif (kerana beliau bujang ketika itu) dan baginda memerintahkan seorang Sahabat bernama Unays supaya pergi bertanya isteri kepada majikan al-`Asif itu sama ada benar dia telah berzina. Sekiranya dia mengaku, kata Nabi s.a.w., rejamlah dia. Isteri majikan al-`Asif mengaku, lalu Nabi s.a.w. merejamnya (hukuman zina bagi yang telah berkahwin).

Berdasarkan hadis ini nyatalah Nabi s.a.w. menjatuhkan hukuman hudud ke atas pesalah dengan hanya sekali pengakuan sahaja. Jadi bagaimanakah seorang ilmuan Islam dapat menyelaraskan kedua-dua hadis sahih yang nampak secara zahirnya bertentangan ini?

Sebenarnya, Nabi s.a.w. menunggu sehingga Ma`iz mengaku sebanyak empat kali, memastikan beliau memahami pengertian zina dan mengutuskan beberapa Sahabat menyelidik kewarasannya, adalah disebabkan keadaan Ma`iz yang tiba-tiba mengaku berzina itu dianggap oleh Nabi s.a.w. sebagai tindakan orang yang tidak waras atau terencat akalnya. Setelah hilang tanggapan itu dengan pasti, Nabi s.a.w. pun menjatuhkan hukuman wahyu itu. Ini berdasarkan pembacaan menyeluruh terhadap beberapa versi riwayat sahih yang dihimpunkan.

Dalam peristiwa al-`Asif pula, kedudukan beliau dan isteri majikannya adalah diketahui oleh Nabi s.a.w. dan para Sahabat sebagai orang yang benar-benar mukallaf (berakal waras, sedar dan baligh), maka dengan sekali pengakuan sahaja Nabi s.a.w. menjatuhkan hukuman hudud. Dengan ini, jelaslah kesimpulan AJ adalah tersasar daripada konsep hudud yang sebenar dan boleh mengelirukan pembaca.

Demikianlah juga dengan hadis tentang seorang perempuan al-Ghamidiyyah yang datang mengaku perzinaannya sehingga hamil di depan Nabi s.a.w. Baginda telah menerima pengakuannya walaupun belum sampai empat kali, apatah lagi bukti perzinaan jelas iaitu hamil tanpa suami. Jika tidak kerana perempuan itu hamil, sudah tentu Nabi s.a.w. merejamnya ketika itu juga. Tetapi kerana hamil, Nabi s.a.w. menyuruhnya melahirkan anak itu dahulu dan menyusukannya sehingga anak itu pandai makan sendiri. Setelah itu baharulah Nabi s.a.w. merejamnya sehingga mati. Hadis ini diriwayatkan secara sahih oleh Imam Muslim (al-Hudud, 5: 22, 23 dan 24), Ahmad (4: 430, 435 dan 440), Abu Dawud (al-Hudud: 25), al-Tirmizi (1435), al-Nasai (al-Janaiz: 63), al-Tabarani (18: 197 dan 198) dan para ulama hadis yang lain.

Sebenarnya ada banyak hadis yang lain menunjukkan hukuman hudud dijatuhkan dengan sekali pengakuan dan tanpa keterangan empat saksi, tetapi kebanyakannya dalam kategori hukum hudud yang lain seperti hudud minum arak, qazaf (menuduh orang lain berzina tanpa saksi), mencuri, murtad, membunuh dan lain-lain. Oleh kerana perbincangan hudud di sini lebih tertumpu persoalan zina, maka tidak perlulah dibawa contoh hadis dalam kategori hudud yang lain. Jadi bagaimana AJ boleh mendakwa Rasulullah s.a.w. tidak pernah menghukum penjenayah hudud melainkan dengan pengakuan tertuduh sebanyak empat kali?

Perlu dijelaskan bahawa syarat empat saksi hanya diperlukan dalam keterangan terhadap tuduhan zina atau seertinya dengannya (qazaf) ke atas orang yang dikenali sebagai baik. Jika si penuduh gagal membawa empat saksi yang adil (tidak fasik), maka hukuman sebat lapan pulah kali akan dikenakan ke atasnya kerana telah melakukan jenayah hudud qazaf (Surah al-Nur: 4).

Dalam keterangan tuduhan jenayah selain zina atau perbicaraan bukan jenayah, syarat empat saksi ini tidak diperlukan, bahkan cukup dengan dua saksi adil sahaja (Surah al-Talaq: 2). Jadi amatlah mengelirukan bila AJ merumuskan semua jenayah hudud hanya boleh disabitkan bila ada empat saksi atau empat kali pengakuan tertuduh sahaja.

Berdasarkan kekeliruan ini maka AJ menyimpulkan bahawa pemandu bas yang merogol, meliwat dan mambunuh Noor Suzaily Mukhtar pada 7 Oktober yang lalu, tidak boleh diadili melalui hukum hudud, kerana pada anggapan AJ, penjenayah itu boleh terlepas dengan mudah kerana tiada empat saksi, tiada kemungkinan penjenayah itu akan mengaku sebanyak empat kali di depan hakim dan kalau mengaku pun, penjenayah itu boleh terlepas dengan mengingkari pengakuan terdahulunya dengan segala cara yang difahami sebagai menarik balik pengakuan. Bila pengakuan ditarik balik, hudud tidak dapat dilaksanakan kerana wujud syubhah (keraguan). Maka, dakwa AJ, hanya hukum ta`zir yang boleh mengadili jenayah tersebut.

Sekiranya AJ mengetahui himpunan lengkap nas-nas berkenaan hudud dalam Islam, kekeliruan ini tidak mungkin terjadi. Si pemandu bas yang merogol, meliwat dan mambunuh itu boleh diadili secara hudud. Yang pasti di sana telah ada dua saksi pra-jenayah yang melihat Noor Suzaily meminta tolong dari dalam bas, terdapat qarinah (isyarat kuat) seperti kesan mani di lantai bas, kesan cap jari atau pergelutan dan tertuduh sendiri telah menunjukkan kepada polis tempat beliau membuang dompet mangsa (menurut laporan akhbar). Dengan dua saksi dan qarinah-qarinah yang wujud, hakim boleh bertanya sama ada tertuduh mengaku atau tidak terhadap tuduhan jenayah hudud yang dikenakan. Sekiranya tertuduh mengaku, hukum rejam sampai mati boleh dilaksanakan (menurut Islam) kerana tertuduh telah berkahwin (dilaporkan, sebanyak empat kali dengan isteri berlainan). Ini berdasarkan hadis dalam kes isteri majikan al-`Asif yang mengaku berzina dengannya.

Sekiranya tertuduh tidak mengaku, beliau tidak akan terlepas begitu sahaja seperti salah tanggapan AJ. Sebaliknya, berdasarkan kewujudan dua saksi pra-jenayah itu dan qarinah-qarinah kuat yang ada, hakim boleh menjatuhkan hukuman ta`zir sehingga ke tahap bunuh. Apatah lagi tertuduh mempunyai rekod-rekod jenayah sebelum ini. Tetapi hukum ta`zir ini terletak pada budi bicara hakim yang memutuskan hukuman. (Saya harap ulasan ini tidak menjadi satu prejudice terhadap tertuduh dan subjudice terhadap perbicaraan yang bakal diadakan kerana saya hanya menyingkap gambaran sebenar pelaksanaan hukum hudud dalam Islam terhadap kes ini).

Malangnya negara kita sekarang masih tidak membenarkan hakim menjatuhkan hukuman ke atas penjenayah seperti yang dikehendaki Islam kerana undang-undang hudud ini belum diperkanunkan dalam Kanun Kesiksaan. Diandaikan si tertuduh yang merogol, meliwat dan membunuh itu mengaku melakukan jenayah tersebut, hakim tidak boleh menurut hukum Islam seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. walaupun hakim memahaminya.

Hal ini pernah terjadi di Mahkamah Rayuan pada 9 Oktober 2000 yang lalu apabila Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin Yunus dan hakim-hakimnya sebulat suara menolak rayuan dua orang bapa yang mengaku bersalah merogol anak mereka dan mengatakan mereka sepatutnya dihukum rejam (Berita Harian, 10 Oktober 2000). Ini menunjukkan para hakim mengetahui hukum Islam yang sebenar tetapi tidak berupaya melaksanakannya kerana tiada peruntukan dalam Kanun Kesiksaan atau akta yang lain.

Setelah jelas kedudukan sebenar konsep hukum hudud dalam Islam berdasarkan himpunan nas-nas al-Quran dan hadis, maka ternyatalah rumusan AJ hanyalah merupakan kekeliruannya dalam memahami hukuman yang kompleks ini.

Jika kita menyedari perbuatan pemandu bas itu amat dahsyat, kenapa kita tidak mengorak langkah untuk membendung jenayah seperti itu dengan mengaktakan hukuman-hukuman yang paling adil seperti yang termaktub dalam al-Quran dan hadis.

Kesimpulannya, Islam menggariskan dua bentuk pencegahan daripada jenayah seperti itu. Pertama, pencegahan sebelum berlaku jenayah iaitu lelaki diperintahkan menjaga pandangan dan kemaluan, dalam masa yang sama wanita juga diperintahkan menjaga pandangan, kemaluan dan aurat yang tidak boleh didedahkan (kecuali muka dan pergelangan tangan) –(Surah al-Nur: 30 dan 31).

Yang kedua, pencegahan selepas berlaku jenayah itu iaitu mengenakan hukuman rejam bagi penjenayah yang telah menikmati seks halal (perkahwinan) atau sebat seratus kali bagi penjenayah yang belum menikmatinya. Hukuman tegas ini bertujuan menginsafkan pesalah berkenaan dan menggerunkan orang lain yang berniat untuk melakukan kesalahan serupa. Ini amat berkesan kerana hukuman hudud ini dijalankan di depan khalayak ramai (Surah al-Nur: 2). Maka benarlah kata-kata: Mencegah lebih baik daripada merawat.

Ali Muda, Negeri Sembilan.

Demikianlah tulisan yang dihantar kepada Utusan. Walaupun fahaman Astora terhadap konsep hudud ternyata salah, tetapi Utusan tidak mengambil tanggungjawab untuk memperbetulkannya dengan sebuah rencana lain yang dikirimkan.

Mungkin Astora merupakan satu aset yang amat besar bagi Utusan, semakin rosak imej Astora (yang sedia rosak) bererti semakin rosak imej Utusan yang sememangnya telah merudum jualannya. Astora adalah seorang penulis yang mampu meningkatkan jualan Utusan. Malangnya Astora atau Utusan mungkin tidak menyedari bahawa tidak semua benda yang dikerumuni itu benar. Sesuatu perkara itu menjadi glamour dengan dua sebab. Pertama, mungkin kerana kebaikannya dan kedua, kerana keburukan atau kejahatannya. Nabi Muhammad s.a.w., para nabi yang lain dan para mujahidin terkenal sepanjang zaman kerana risalah Islam yang dibawa, sebaliknya Fir`aun, para penzalim dan diktator terkenal kerana kezaliman dan keingkaran terhadap Allah s.w.t.

Orang membaca tulisan Astora untuk mengetahui apa repekannya pada hari Ahad dan Jumaat. Astora jangan syok sendiri kononnya ramai peminat. Dengan melihat komen-komen daripada pembaca yang disiarkannya di ruangan ‘E-mel daripada pembaca’ itu, kita dapat mentelah bahawa semakin ramai pembaca yang muak dengan sikap fanatik butanya terhadap Umno dengan menegakkan benang basah melalui slogan ‘Bicara Agama’.

Para pembaca semakin menyedari metodologi Lubsu al-haq bi al-Batil (mencampur aduk antara kebenaran dan kebatilan) yang dimainkan Astora. Astora semakin tertekan dengan asakan-asakan pembaca dan pendengar di mana-mana sahaja beliau berucap. Tetapi seperti biasa, Astora sentiasa membuat ulasan bahawa dia menang dan penyokongnya semakin ramai. Astora sanggup mendakwa tulisannya penuh dengan fakta yang tidak boleh dipertikaikan langsung, (Mingguan Malaysia, 22/10/00) dan kononnya tiada ulama atau ustaz Pas yang mampu menyanggahnya dalam Harakah (Mingguan Malaysia, 15/10/00). Sepatutnya Astora tidak mencabar penentangnya di medan Harakah kerana akhbar itu hanya dibenarkan terbit dua minggu sekali. Ruangnya amat terhad dan tidak sesuai untuk tulisan-tulisan penentangnya (Astora) yang selalunya panjang.

Jika benar Astora ingin menunjukkan kepada pembaca akan keberaniannya, kenapa tidak berani mendedah URL laman yang mendebatkan pemikiran sesatnya seperti laman Minda Rakyat atau Tranung Kite dan laman-laman yang lain. Kenapa akhbarnya (Utusan) memadamkan URL laman Minda Rakyat yang saya sebutkan dalam rencana saya tentang isu penggubalan rang undang-undang murtad pada 7 Oktober lepas, sedangkan URL laman Sisters In Islam didedahkan kepada umum seminggu sebelum itu?

Rupanya Astora semakin tertekan apabila semakin ramai rakyat Malaysia telah sedar bahawa seorang yang menganggap dirinya sebagai ‘Pembicara Agama’ dalam akhbar Utusan itu sebenarnya ‘Pendusta Agama’ dari Thailand. Kerana tidak tahan dengan tekanan itu, Astora pun mengugut untuk menyaman saya kerana kononnya saya telah membuat kesimpulan serong tentang pendiriannya terhadap hadis Nabi s.a.w., khususnya hadis ahad. Tetapi Astora tidak menyebutkan nama saya secara terang untuk tidak mengglamourkan saya (saya pun bukan sukakan glamour seperti Astora), apatah lagi selama ini Astora mendakwa tiada seorang pun yang mampu menyanggah pendapat dan pemikiran ‘Islam’nya.

Tentang topik ugutan handak menyaman saya ini, saya akan ulas dalam tulisan yang akan datang. Kita kerja kerana Allah s.w.t., tetapi apakah Astora juga kerja kerana Allah s.w.t. apabila semua kebatilan yang dilakukan oleh pujaan dan pemimpin parti pujaannya (tidak dapat dipastikan sama ada pujaan ikhlas atau ada benda sebaliknya) itu disifatkan sebagai bertepatan dengan kehendak Islam. Dalam bekerja, pertama sekali kita memastikan ketepatan dengan hukum Islam, yang kedua ketepatan dengan peraturan undang-undang sivil negara.

Sebagai rakyat negara ini kita tidaklah buta sangat tentang undang-undang, walaupun bukan pengamal undang-undang itu. InsyaAllah saya akan bahaskan dari sudut undang-undang fitnah atau defamation (seksyen 499) daripada Kanun Kesiksaan, untuk menjustifikasikan sama ada saya dikira menfitnah Astora dalam tulisan yang mensifatkannya sebagai anti-hadis itu (yang bertajuk “Awas! Astora anti-hadis?”).

Sekian, wassalam `ala man ittaba`a al-huda.