Teknologi kimia - Sumbangan Besar Saintis Islam

Primary tabs

SEPERTI juga bidang-bidang sains yang lain, Islam turut memberi sumbangan yang amat besar dalam bidang teknologi kimia.

Sumbangan besar tamadun Islam dalam bidang ini antara lain adalah dalam aspek proses penyulingan (taqtir atau tas'id), peralatan teknologi kimia dari bikar hingga ke penyuling (qar' dan al-ambiq); dan kaedah menghasilkan minyak pati ('itr), naft atau naftah (petroleum), al-kuhul (alkohol), asid galian seperti asid nitrik, sulfurik (ruh al-saj) dan hidroklorik; dan al-qali (alkali) melalui antara lain proses penyulingan ini.

  Para ahli teknologi kimia Islam juga telah mencipta proses pembuatan sabun keras, memperbaiki proses pembuatan kaca, dan licauan untuk tembikar serta mencipta ubat bedil atau barud (gunpowder).

Pengunaan teknologi kimia untuk menghasilkan ubat-ubatan untuk perubatan juga disorot.

Ahli al-kimiya Islam seperti Jabir dan al-Razi dalam penulisan mereka telah mengetahui bahawa pembuatan bahan kimia berlaku melalui proses-proses kimia seperti penyulingan, penyejatan, pengeringan, penurasan, penghabluran, pemejalwapan dan sebagainya.

Al-Kindi dalam bukunya Kitab Kimiya al-'ltr wa al-Tas'idat (Buku tentang Kimia Minyak Pati dan Pemejalwapan (Penyulingan)) yang diterbitkan pada abad kesembilan Masehi telah membincangkan mengenai beberapa jenis proses penyulingan.

 

Ahli kimia Islam juga telah mencipta penyuling jenis retort.

Al-Hassan seorang ahli sejarah teknologi Islam telah mencadangkan bahawa penyulingan merupakan sumbangan ahli teknologi Islam yang amat penting kepada perkembangan teknologi kimia moden.

Melalui penyulinganlah, ahli kimia Islam telah berjaya mengasingkan al­'atr atau minyak pati daripada bunga dan tumbuhan seperti yang diperihalkan oleh al-Kindi dalam bukunya itu.

Al-'atr atau lebih dikenali sebagai minyak atar merupakan bahan yang digemari oleh Rasulullah s.a.w. dan disunatkan memakainya ketika hendak menunaikan solat.

Ahli teknologi kimia Islam telah buat pertama kalinya menggunakan penyuling untuk memisahkan minyak mentah dari Baku kepada naft putih (pecahan ringan) dan naft hitam (pecahan berat).

Selain itu, perkataan alkohol itu jelas merupakan perkataan Arab al-kuhul yang ditukarkan kepada bahasa Inggeris.

Proses menghasilkan al-kuhul dan sifat-sifatnya telah diperihalkan secara terperinci oleh ahli kimia Islam al-Kindi dalam Kitab Kimiya al-'ltr wa al­Tas'idat.

Selain itu, sifat kebolehbakarannya dicerap dan digunakan oleh Jabir bin Hayyan.

Asid-asid galian seperti asid nitrik, hidroklorik dan sulfurik yang merupakan bahan teknologi kimia yang penting dalam perkembangan industri kimia hinggalah ke hari ini, telah dihasilkan oleh ahli teknologi kimia Islam melalui penyulingan.

Jabir bin Hayyan dalam Sanduq al­Hikmah telah memperihalkan proses menghasilkan asid nitrik dengan menyuling campuran nitre (kalium nitrat), vitriol Kubrus (kuprum sulfat) dan alum Yemen (aluminium sulfat).

Jabir bin Hayyan tahu bahawa sekiranya asid nitrik ini dicampur dengan sal ammoniak (ammonium klorida), campuran asid nitrik-asid hidroklorik (aqua regia) yang terhasil boleh melarutkan emas yang seterusnya boleh dipisahkan daripada perak.

Al-Razi telah memperihalkan proses menghasilkan asid sulfurik (ruh al-saj) dengan menyuling vitriol hijau (ferus sulfat) atau dengan membakar

belerang (sulfur) pada abad kesembilan Masehi.

Al-qali (alkali) amat diperlukan untuk membuat kaca, licauan dan sabun.

Al-Razi telah memperihalkan kaedah menghasilkan al-qali daripada abu kayu oak dan daripada pohon solsola soda (al-Hassan dan Hill, 1986).

Selain dalam bidang-bidang yang disebutkan di atas, sumbangan ahli kimia Islam juga memberi makna besar terhadap membaiki dan proses pembuatan kaca.

Jabir bin Hayyan telah memperbaiki proses pembuatan kaca dengan menambah garam magnesium kepada campuran bahan mentah kaca supaya warna kemerahan dinyahkan sehingga kaca menjadi jernih.

Ahli teknologi kimia Islam di Baghdad telah memperkenalkan licauan yang berasaskan garam timah untuk menghasilkan tembikar yang setanding kualitinya dengan tembikar Dinasti Tang.

Perkembangan ubat bedil (gunpowder) dan naft oleh orang Islam merupakan salah satu pencapaian teknologi kimia Islam yang amat penting kerana pencapaian ini telah memberikan kepada tentera Islam ketinggian teknologi perang yang menyebabkan kemenangan di Ghazwah al-Mansurah melawan tentera Salib pada abad ketiga-belas Masehi (1249) dan Ghazwah 'Ain Jalut menentang tentera Mongol pada abad yang sama (1260).

Al-Razi dan al-Zahrawi pula merupakan dua ahli teknologi kimia yang juga ahli perubatan. Mereka mempelopori bidang petrokimia atau kimia untuk perubatan.

Petikan: Estidotmy 31 Dis 2003, Edisi 23, hal. 14


Kategori Berita: 

Artikel Berkaitan