Fiqh ad-dalil Dr 'Aidh bin Abdullah al-Qarni – Bab Makanan

Primary tabs

BAB MAKANAN

1292. Makanan adalah segala sesuatu yang menjadi santapan umat manusia dan dapat mengenyangkan mereka. Dalilnya firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya. (Al-An'am: 145)

 

1293. Tidak dibolehkan memakan makanan melainkan yang dihalalkan. Dalilnya Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammmad): "Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka? Katakanlah: Dihalalkan bagimu yang baik-baik  (Al-Ma'idah: 4)

 

1294. Makanan baik adalah setiap makanan yang dianggap lazat mengikut cita rasa manusia yang normal. Dalilnya firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik. (Al‑A'raf: 157)

 

1295. Makanan buruk adalah setiap makanan yang dianggap jijik oleh jiwa manusia yang normal. Dalilnya firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

..dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk (Al-A'raf: 157)

 

1296. Terdapat sepuluh perkara yang haram dimakan oleh manusia dan ia berdasarkan kepada nash Al-Qur'an. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. (Al-Ma'idah: 3)

 

1297. Diharamkan memakan sesuatu yang sudah berubah menjadi najis. Sebab Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam pernah ditanya mengenai lemak di mana seetor tikus jatuh he dalamnya. Baginda menjawab:

Buanglah ia (lemak) dan juga sekelilingnya (yang disentuh tikus). Setelah itu, makanlah saki-baki lemak kamu itu. (Hadith riwayat Al-Bukhari: 235, 236, 5540, Ahmad: 26256, Abu Daud: 3841 dan selain mereka itu)

 

1298. Diharamkan memakan racun. Sebab Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu. (Al-Nisa': 29)

Rasulullah Shallallahu wasallam bersabda:

Sesiapa merasai racun lalu membunuh dirinya, maka dia akan menjilat racun yang berada di tangannya itu di dalam neraka Jahannam. (Hadith riwayat Al-Bukhari: 5778, Muslim: 109, Ahmad: 7399, 9839 dan selain mereka itu)

 

1299. Diharamkan memakan sesuatu yang dianggap menjijik­kan, seperti ludah, hingus, peluh, mani, kotoran binatang dan kutu. Dalilnya firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk (Al-A'raf: 157)

 

1300. Diharamkan memakan sesuatu yang boleh membawa kepada mudharat. Dalilnya firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

..dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil)(Al-Baqarah: 195)

 

Dan sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam:

Tidak dibolehkan memudharatkan dan tidak boleh dimudharatkan. (Hadith riwayat Ahmad: 2862, Ibnu Majah: 2342 dan rujuk As-Silsilah Ash-Shahihah: 250)

 

1301. Diharamkan memakan daging yang dipotong dari binatang yang masih hidup. Dalilnya sabda Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam:

Bahagian anggota binatang yang dipotong tatkala ia masih hidup adalah dianggap sebagai bangkai. (Hadith riwayat Ahmad: 21396, 21397, Abu Daud: 2858, At-Tirmidzi: 1480 dan Ad-Darimi: 2018)

 

1302. Diharamkan memakan daging keldai dan baghal. Dalilnya firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan (Allah menjadikan) kuda dan baghal serta keldai untuk kamu menunggangnya, dan untuk menjadi perhiasan; dan Ia menjadikan apa yang kamu tidak mengetahuinya. (An-Nahl: 8)

 

Namun daging kuda adalah boleh dimakan berdasarkan kepada ke­terangan nash. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam pula bersabda:

Ketahuilah bahawa kamu tidak dibolehkan memakan daging keldai kampung. (Hadith riwayat Ahmad: 16722, Abu Daud: 3804, 4604 dan rujuk Al-Misykah: 163)

 

1303. Diharamkan memakan daging binatang buas dan burung bercakar. Dalilnya sabda Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam:

Rasulullah Shalallahu alaihi wasallam melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring dan burung yang memiliki cakar. (Hadith riwayat Muslim: 1934, Ahmad: 2193, 2614 dan Abu Daud: 3803)

 

1304. Diharamkan memakan binatang yang suka memakan kotoran. Dalilnya adalah hadith berikut:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada memakan daging binatang yang memakan kotoran, meminum air susunya dan mengenderainya. (Rujuk Majma' Az-Zawa'id, jil. 5, hlm. 50)

 

1305. Di haramkan memakan daging binatang yang diperintahkan oleh agama untuk membunuhnya. Dalilnya sabda Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam:

Ada lima ekor binatang yang termasuk binatang merbahaya dan ia mesti dibunuh sama ada Tanah Halal mahupun di Tanah Haram, iaitu: burung gagak, burung helang, kala jengking, tikus dan anjing ganas. (Hadith riwayat Muslim: 1198, Ahmad: 24140, 24390, An-Nasa'i: 2881, 2882 dan selain mereka itu)

 

1306. Diharamkan memakan daging binatang yang dilarang oleh agama untuk membunuhnya. Dalilnya hadith berikut ini:

Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam melarang daripada membunuh empat jenis haiwan, iaitu: semut,, lebah, burung Hud-Hud dan kera. (Hadith riwayat Ahmad: 3057, 3232, Abu Daud: 5267, Ibnu Majah: 3224, Ad-Darimi: 1999 dan rujuk Al-Misykah: 4145)

 

Hadith lain menegaskan:

Rasulullah Shallallahu wasallam melarang daripada membunuh katak. (Hadith riwayat Ahmad: 15330, Abu Daud: 3871, An-Nasa'i: 4355, Ad-Darimi: 1998 dan rujuk Al-Misykah: 4545)

 

1307. Binatang yang tidak diberi sebarang penjelasan hukum oleh agama adalah termasuk kategori binatang yang halal dimakan. Dalilnya firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dialah (Allah ).yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi... (Al-Baqarah: 29)

 

Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam bersabda:

Allah tidak memberi keputusan hukum terhadap beberapa perkara adalah sebagai rahmat ke atasmu bukan kerana lupa. Oleh itu janganlah kamu mencari-cari masalah terhadapnya. (Hadith riwayat Ad-Daruquthni, jil. 4, hlm. 298, no: 104, Ath-Thabrani dalam Al-Ausath: 8938 dan rujuk Majma' Az-Zawa'id, jil. 1, hlm. 171)

 

1308. Diharamkan meminum khamar. Dalilnya firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesangguhnya arak, dan judi dan  pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh ttu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (Al-Ma'idah: 90)

 

1309. Dihalalkan memakan hidupan laut. Dalilnya firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dini'mati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran (Al-Ma'idah: 96)

 

Dan sabda Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam:

Ia (laut) adalah suci airnya dan halal (dimakan) bangkai binatang yang mati (di dalamnya). (Hadith riwayat Ahmad: 7192, 8518, Abu Daud: 83, At-Tirmidzi: 69, An-Nasa'i: 332, 4350 dan rujuk Al-Misykah: 479)

 

1310. Dihalalkan memakan daging haiwan ternak. Dalilnya firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan binatang-binatang ternak itu, Dia juga menciptakannya untuk kamu (An-Nahl: 5)

 

FirmanNya:

...dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.. (Al-Ma'idah: 1)

Yang dimaksudkan dengan haiwan ternak adalah unta, lembu dan kambing.

 

1311. Dihalalkan memakan daging dhab. Sebab ia pernah dihidangkan di atas meja makan Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam.

 

1312. Dihalalkan memakan daging binatang dhabba', sebab sebagaimana yang telah tsabit bahawa Rasulullah Shallallahu wasallam pernah memburunya.

 

1313. Dihalalkan memakan arnab, sebab Abu Thalhah Radhiyallahu `anhu pernah menghadiahkan dagingnya kepada Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam.

 

1314.. Dihalalkan memakan daging keldai liar. Sebab Ash-Sha'ab bin Jatsamah pernah menghadiahkan daging keldai liar kepada Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam. Apabila Baginda menolak hadiah makanan yang diberi kepadanya, maka yang demikian itu satu pertanda bahawa ia adalah makanan yang diharamkan.

 

1315. Dihalalkan memakan daging pelbagai jenis burung. Dalilnya sabda Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam:

Hendaklah ia disembelih lalu dimasak dan kemudian dimakan. Dan janganlah bahagian kepalanya dibuang. (Hadith riwayat Asy-Syafi'i dalam kitab Al-Musnad, jil. 1, hlm. 315, An-Nasa'i dalam kitab Al-Kubra: 4860, dalam kitab Ash-Shughra: 4349 dan A1-Hakim: 7574)

 

1316. Dibolehkan memakan daging bangkai dalam keadaan terdesak. Dalilnya firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

..kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya.. (Al-An'am: 119)

 

1317. Sebagaimana yang telah tsabit dalam As-Sunnah bahawa dihalalkan memakan daging ayam, kuda, keldai liar, dhab, arnah, dhabba', belalang dan jenis-jenis burung.

 

1318. Pada dasarnya, makanan itu adalah halal. Dalilnya firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

katakanlah (wahabi Muhammad): "Akutidka dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya. (Al-An'am: 145)

 

1319. Terdapat beberapa pengecualian daripada bangkai yang diharamkan iaitu:

a. lkan dan belalang. Dalilnya sabda Rasulullah Shallallahu wasallam:

Kami dihalalkan memakan dua jenis bangkai, iaitu bangkai ikan dan bangkai belalang. (Hadith riwayat Ahmad: 5690, Ibmi Majah: 3218, 3314 dan rujuk Al-Misykah: 4132)

 

b. Tulang bangkai, tanduknya, kukunya, bulunya dan kulitnya (apabila sudah disamak adalah suci), sebab tidak ada dalil yang menegaskan bahawa ia adalah benda najis. Dalilnya sabda Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam:

Tidakkah kamu mengambil kulitnya untuk disamak dan kamu dapat memanfa'atkannya.(Hadith riwayat Muslim: 363)

 

Dan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya... (Surah Al-An'am: 145)

 

1320. Terdapat beberapa pengecualian daripada darah yang diharamkan, iaitu:

a. Darah yang tidak mengalir. Dalilnya firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir. (Al-An'am: 145)

 

Jadi, darah yang tidak mengalir adalah halal untuk dimakan, iaitu darah yang terdapat di dalam urat binatang dan di sela-sela tulang.

 

b. Hati dan hempedu. Dalilnya sabda Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam:

Kami dihalalkan memakan dua jenis darah, iaitu; hati dan hempedu. (Hadith riwayat Ahmad: 5690, Ibnu Majah: 3218, 3314 dan rujuk Misykah: 4132)

 

1321. Dihalalkan memakan daging import dengan dua syarat, iaitu:

a. Hendaklah daging tersebut termasuk daging yang dihalalkan oleh Allah untuk dimakan.

b. Hendaklah ia telah disembelih mengikut cara penyembelihan yang telah ditentukan oleh syara'.

 

1322. Tidak dibolehkan menggunakan khamar (arak) sebagai salah satu cara pengubatan. Dalilnya sabda Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam:

Ia (khamar) bukanlah ubat, namun ia adalah penyakit. (Hadith riwayat Muslim: 1984, Ahmad: 18380 dan At-Tirmidzi: 2046)

 

Dan sabdanya:

Berubatlah, namun kamu tidak dibolehkan berubat dengan menggunakan benda yang diharamkan (Hadith riwayat Abu Daud: 3874, Al-­Baihaqi dalam kitab Al-Kubra: 19465 dan rujuk Al-Misykah: 4538)



(Petikan dari buku: Fiqh ad-dalil : Perbahasan Feqah serta dalil-dalilnya / Dr 'Aidh bin Abdullah al-Qarni, Al-Hidayah Publishers.)